
Ibu & anak meninggal dunia dalam kereta, lemas akibat terhidu gas karbon monoksida. Dua beranak, Zabanah Abu Hussin, 57 dan anak perempuannya, Intan Nur Syafiqah Othman, 25 ditemui sudah tidak bernyawa di dalam kenderaan Exora dipercayai lemas akibat terhidu gas karbon monoksida malam semalam.
Apa yang menyedihkan, kenderaan dinaiki dua beranak ini hanya berjarak 50 meter sahaja dari rumah anak saudara mangsa iaitu Khadijah Abu Bakar, 37 yang menjadi tempat dua beranak ini melepaskan penat setiap hari selepas bekerja di bekerja di sebuah kedai makan di Cheng, di sini.

Namun semalam, lebih 20 kali Khadijah menghubungi ibu saudaranya itu sejak dari jam 7 malam, mahu bertanya di mana keberadaan mereka untuk makan bersama namun malangnya pangggilan itu tidak berjawab hingga ke tengah malam.
“Lebih 20 kali saya menghubungi arwah tetapi tidak berjawab. Hampir setiap hari, arwah bersama Intan Nur Shafiqah akan datang ke rumah saya sekitar jam 7 malam untuk berehat sebelum pulang ke kediaman mereka di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah, kira-kira jam 10 malam.
“Malam tadi, kami menunggu untuk makan bersama tetapi mereka tidak juga sampai. Kami berasa pelik dan cuba menghubungi lebih 20 kali namun tidak berjawab.
“Hinggalah sekitar jam 11 malam, abang saya menelefon untuk memberitahu bahawa dua beranak itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta Proton Exora yang diparkir di tepi jalan, kira-kira 50 meter dari rumah saya di Paya Rumput,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, hari ini.

Khadijah berkata, beliau terus bergegas ke lokasi dan mendapati anak lelaki arwah cuba memberi bantuan pernafasan tetapi tidak berjaya sebelum pegawai perubatan yang tiba kemudian mengesahkan Zabanah dan anak perempuannya telah meninggal dunia.
“Ketika kami cuba membantu arwah, memang terhidu bau gas sangat kuat dalam kereta itu dan brek tangan dalam keadaan ditarik.
“Ada orang kampung memberitahu yang mereka nampak kereta arwah diparkir di situ sejak jam 9 malam lagi,” katanya.
Beliau yang bersedih atas kejadian itu menganggap dua beranak itu sebagai keluarga kandung yang rapat dan mesra.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata polis menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 pagi daripada seorang orang awam yang memaklumkan dua wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kenderaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati, ibu tunggal ini bersama anaknya dipercayai berehat dan berada di tempat duduk hadapan dalam keadaan terbaring. Hasil pemeriksaan lanjut pihak polis, tiada kesan kecederaan atau unsur jenayah ditemui dan polis percaya punca kematian ialah kebocoran gas dalam kenderaan yang menyebabkan kedua-duanya lemas.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut akan dijalankan selepas bedah siasat selesai dilaksanakan. Innalilahi wa inna ilahi rojiun. Moga roh keduanya ditempatkan di kalangan orang beriman. Sumber:- Berita Harian.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI