“Ibu akan sentiasa menyayangi dan merindui kamu, selalu…”
Itulah bait kata yang menggoncang jiwa seorang ibu yang kehilangan anak gadisnya dalam tragedi penuh tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Dalam satu hantaran di Facebook, wanita itu meluahkan rasa rindu yang tidak bertepi terhadap pemergian anak perempuannya yang baru berusia 16 tahun anak yang selama ini menjadi sumber ketenangan dan kebanggaan keluarga.
“Dia seorang anak yang sangat penyayang, baik hati dan berdisiplin. Sejak kecil, dia tidak pernah membuat kami risau.
Dia sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa dan orang lain, serta tidak pernah meminta apa-apa daripada kami,” tulis si ibu, yang kini hanya mampu berbicara dengan bayangan memori.
Baginya, anak yang pergi itu bukan sekadar darah daging, tetapi cerminan kasih yang paling tulus.
“Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang begitu kejam. Saya benar-benar kehilangan kata-kata, hati saya amat sakit. Semoga dia berada dalam keadaan baik di dunia lain, semoga rohnya tenang dan bahagia.”
Luahan itu diakhiri dengan ungkapan yang meruntun hati.
“Ibu akan sentiasa menyayangimu dan merindui kamu, selalu.”
Dalam nada tenang yang menyembunyikan derita, wanita itu turut berterima kasih kepada semua yang mengirim doa dan kata semangat buat keluarganya yang kini berdepan kehilangan paling pedih dalam hidup.
Dalam kejadian sekitar jam 9.10 pagi kelmarin, pelajar perempuan berusia 16 tahun itu ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan. Polis kemudian menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dan merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE