Pesanan ‘manja’ buat anda yang selalu kongsi gambar dalam group WhatsApp, sebelum sebar tolonglah berfikir dulu. Kita tak akan pernah tahu apa perasaan pasangan kawan-kawan yang lain, jenis cepat kecil hati atau memang tak boleh terima langsung kalau nampak gambar tak sepatutnya ada dalam phone.
Ya, mungkin niat nak bergurau tetapi percayalah ada sesetengah orang cukup menyampah dengan situasi ini. Nak-nak pula kalau anak-anak dah pandai buka phone sendiri. BAHAYA!
Hah, agak-agak kalau jadi macam situasi saudara Akhtar Syamir ini macam mana? Senang tak nak pujuk pasangan? Cuba hadam sikit tuan puan…
Berhentilah Sebar Gambar Tak Sepatutnya Dalam Group
Semalam saya terpaksa luahkan kekecewaan kat group kawan-kawan sekolah. Benda yang sama berulang-kali dilakukan. Bila dinasihat dengan baik, akan berhenti buat benda ni beberapa minggu. Lepas tu akan mula balik.
Tak faham-faham nak hormat orang. Dalam group tu kebanyakannya dah berkahwin dan beranak-pinak. Bukan lelaki je, perempuan pun ramai. Telefon pun kadang-kadang anak ade pegang. Bukan masalah setting auto download ke tidak. Walaupun saya sendiri tak set auto download, tapi untuk yang suka set auto download dah tentu sangat-sangat menyusahkan.
Ads
Leceh yang amat sangat nak menjawab dengan pasangan bila adanya gambar-gambar sebegini keluar kita memang tak download, tapi persepsi pasangan terhadap kawan-kawan kita pasti jadi serong. Mereka pasti tertanya-tanya kenapa pasangan mereka berkawan dengan orang sebegini? Bila ahli group itu wanita dan suami dia sendiri yang tengok, memang takkan lama. Mesti akan left group. Tak berbaloi bertengkar dan bermasam muka kerana orang lain.
Tolonglah Hormat Orang Lain Sikit
Kalau tak hormat kawan-kawan pun, tak rasa bersalah ke kat isteri sendiri? Isteri mana yang suka suami kongsi gambar-gambar perempuan lain? Tak kira la posisi atau caption apa sekali pun. Tak pernah ke terfikir yang apa yang dibuat tu salah? Apa yang seronoknya melayan nafsu mata dengan perempuan lain? Anak dah berderet, nak menggatal apa lagi? Konon nak ikut sunnah Nabi kahwin 4. Kalau dah rasa mampu sangat, silakan. Tapi sunnah lain buat la jugak. Share gambar perempuan lain, zina mata ni semua sunnah jugak ke?
Ads
Jangan ingat orang yang tak suka buat jahat ni tak sporting. Itu alasan hina untuk terus buat benda yang rosak ni.
Bukan mudah nak kekalkan silaturrahim dengan sahabat masa sekolah dulu. Kali terakhir persekolahan untuk saya ialah 22 tahun yang lalu. Dari beratus-ratus sahabat masa sekolah dulu, ada hampir 60 je dalam group tu. Itu sahaja yang tinggal sebagai penghubung kepada memori indah, suka dan duka zaman persekolahan. Pengalaman sebegitu kita takkan dapat ulangi lagi. Kita bukan ada mesin masa yang boleh patah balik dan lalui semula benda tu semua. Bila kita tengok seorang sahabat, semua kenangan yang berdekatan dengan dia kita akan dapat ingat dan rasakan. Kalau perhubungan itu dah hilang? Lama-kelamaan memori itu akan lenyap buat selamanya.
Ads
Nasihat Buat Ahli Group
Ambillah iktibar dari benda ni. Makin lama makin berkurang sahabat dalan group disebabkan hal ini. Di platform lain bukan senang nak berkumpul. Janganlah pentingkan diri dan nafsu sendiri. Berhenti mengajak orang lain ke jalan yang mungkar. Hormati orang sekeliling dan hormatilah isteri sendiri. Kalau betul-betul tak boleh tinggalkan gambar wanita lain yang cantik yang seksi dan video porno yang dirasakan perlu sangat untuk dikongsi tu, silalah undur diri. Layanlah sorang-sorang. Jangan sibuk nak ajak orang lain.
Kepada suami orang yang masih berperangai sebegini. Kamu memang sampah yang menyusahkan. Kepada ahli group yang ada orang sebegini, nasihatlah baik-baik. Kalau tak boleh berubah, fikirlah sama ada nak kehilangan 50 sahabat, atau nak kehilangan 2,3 orang yang tak faham bahasa. Pilihan di tangan anda.
Saya pasti masalah ini sering berlaku kepada ramai orang. Jadi, tolong SHARE post ini supaya ramai orang yang berperangai seperti ini faham betapa mereka telah menyusahkan dan memutuskan hubungan di kalangan sahabat mereka.
Korang punya group ada tak jadi macam ni?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cerita yang dikongsikan Imam Muda Hassan Adli ini benar-benar terjadi dalam kehidupan suami isteri. Bila suami terlalu rajin buat kerja rumah, sampai isteri rasa tak seronok nak meneruskan hidup dengan suaminya itu.
Kata Imam Muda Hassan lagi, banyak pengajaran yang boleh didapati dari kisah suami isteri ini. Bahawa cinta itu janganlah terlalu dicari, tapi jemputlah cinta yang diberkati dalam alam rumah tangga.
Isteri Minta Cerai Sebab Suami Terlalu Rajin Buat Kerja Rumah
Betullah manusia ini sangat kompleks untuk difahami. Allah ciptakan akal dengan 1001 rahsia yang sukar untuk difahami. Hebat ciptaan Allah!
Berlaku di India, seorang isteri menuntut perceraian di peringkat pengadilan Syariah dengan alasan suaminya terlalu mencintainya dan terlalu rajin membantunya mengemas rumah, memasak untuknya, dan suaminya langsung tidak pernah meninggikan suara padanya.
Pegawai Syariah menung panjang juga bila mendengar alasan si isteri ini.
Cinta Bukan Untuk Dimiliki..
Si isteri inginkan seorang suami yang boleh dibawa bertengkar, pemalas, dan tidak terlalu mencintainya. Akhirnya pegawai Syariah terpaksa menolak permohonan luarbiasa daripada isteri ini.
Nak bagitahu di sini, cinta itu terlalu subjektif dan adakalanya sukar untuk difahami, dan adakalanya di luar jangkauan pemikiran manusia.
Ada benarnya kata bijak pandai, “cinta bukan untuk dimiliki, tapi untuk diperjuangkan.” Bila suami sibuk mencari cinta isteri, mungkin suatu hari nanti dia akan penat. Begitu juga bila isteri terlalu mencari cinta suami, akhirnya dia akan lelah juga.
Cinta bukan dicari tetapi dijemput dan diundang. Undanglah ia dengan keberkatan. Cinta yang diberkati, di dalamnya ada kalimah La Ilaha Illallah.
Bila mana Allah yang diangkat dalam cinta kita, in shaa Allah berkat cinta yang akan diperolehi oleh suami isteri.
Jemputlah cinta, jangan terlalu mencari!
#jiwatenang
MW : Memburu cinta diberkatiNya agar rumah tangga aman harmoni.
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak kisahlah rumah kita kecil atau besar, asalkan bahagia daripada menggangu dan menyusahkan orang lain. Oleh sebab itu disarankan pada pasangan yang baru berkahwin, tinggalkan berasingan daripada keluarga dan ipar duai.
Sebaik mana pun hubungan kita dengan keluarga dan ipar duai pasti lama-kelamaan akan bermasam juga lama-lama.
Lebih banyak yang kurang enak daripada yang indah berlaku bagi mereka yang tinggal sebumbung beramai-ramai. Maklumlah banyak kepala, banyaklah masalah yang nak kena hadap.
Biarlah Rumah Kita Kecil Asalkan Bahagia
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslinda dan hadam baik-baik ya:
Setelah berkahwin elaklah menetap dengan mertua atau ipar duai. Sama ada di rumah mereka atau rumah sendiri kerana kelak akan menimbulkan banyak masalah. Lagi satu privasi kita pun terhad.
Biarlah rumah kita kecil asalkan kita bahagia. Malah jika kita ada masalah ianya hanya dalaman sahaja dan tidak diketahui oleh orang luar.
Selain itu elaklah juga mertua atau ipar duai menumpang kita, jika datang sekali sekala tak apa. Kerana bimbang asal dari suka terus jadi tidak suka.
Selain itu jika terlalu ramai dalam sebuah rumah, tanggungan kita juga akan bertambah malah tidak semua sanggup berkongsi. Ada yang mempunyai peti ais peribadi, meja makan peribadi dan lain-lain. Jadi seolah-olah ibarat duduk di bilik sewa yang percuma.
Rumah Sendiri Tak Menggangu, Menyusahkan Orang
Masalah yang akan timbul pula ialah bil-bil dalam rumah itu yang tinggi. Jika ada yang berkongsi tidak apa tetapi jika hanya kita sahaja yang tanggung, penat juga. Sedangkan gunanya ramai tetapi yang bayarnya seorang saja.
Lebih-lebih lagi kita menetap bersama ipar duai kita yang tidak bekerja. Ini juga satu masalah buat kita. Andainya mereka ada anak-anak, terpaksa kita pula yang kena tanggung semua. Mereka senang lenang makan,tidur dan rehat. Malah lepas tangan kepada kita untuk menanggung semua.
Seeloknya sebagai mertua ataupun ipar duai. Tak perlulah mengganggu rumahtangga anak dan adik beradik kita. Kita tidak tahu masalah mereka. Entah-entah gaji yang mereka dapat hanya cukup-cukup untuk tanggungan mereka anak beranak. Jadi jangan bebankan mereka.
Jika kita nampak mereka mewah sedikit, anggaplah itu mungkin hasil penat lelah mereka. Malah pastinya mereka tidak akan melupakan kita. Cuma satu saja jangan meminta-minta secara paksa sama ada wang ataupun apa sahaja.
Bina Kehidupan Sendiri Tanpa Menyusahkan Orang
Kekadang mereka akan memberi juga kepada kita mengikut kemampuan mereka. Tak perlu memaksa mereka memberi lebih kerana mereka juga ada tanggungan dan masalah. Tidak semua mereka mendapat gaji yang tinggi. Malah ada hutang yang perlu mereka bayar juga.
Jangan iri hati melihat kehidupan orang lain. Setiap kita rezeki berbeza. Ini tidak jika kita tengok kehidupan adik beradik atau ipar duai kita lebih elok dari kita, mulalah timbul perasaan cemburu dan tidak puas hati. Maka mula mengganggu dengan menyibuk apa yang mereka ada. Ini tidak baik dan boleh merosakkan hubungan kekeluargaan.
Biarlah kita berjumpa ataupun berkumpul sekali sekala. Kemeriahannya lain. Malah banyak cerita yang hendak kita kongsikan nanti. Lama tak berjumpa juga akan membuatkan kita saling merindu.
Oleh itu, biarlah kita membina kehidupan kita masing-masing asalkan tidak mengganggu dan menyusahkan orang lain. Dengan cara ini, perasaan yang tidak elok juga tidak akan timbul. Bila berkumpul sekali sekala pasti akan meriah. Makanya biarlah kita ada rumah sendiri. Tak besar tak apa asalkan kita gembira.
MW: Kadang-kadang terperangkap apabila orang tua meminta kita untuk tinggal bersama, dek perasaan rasa bersalah kita setuju tinggal bersama. Hubungan yang awalnya baik menjadi keruh, tetapi masih ramai yang merasa bahagia walaupun tinggal beramai-ramai sebumbung.
Semuanya terpulang kepada diri masing-masing dalam mengawal setiap situasi yang sudah tentu bukan sesuatu yang mudah, Renung-renungkan.
Bulan Oktober diraikan di seluruh dunia sebagai bulan kesedaran kanser payudara, satu inisiatif global untuk meningkatkan pemahaman tentang kepentingan pengesanan awal dan rawatan segera.Di...