Menjadi anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera antara cita-cita paling popular dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Ia sebaliknya dianggap tidak sinonim dengan wanita kerana memerlukan kelasakan dan ketangkasan.
Kini sebenarnya ramai wanita diangkat menduduki jawatan kanan dalam pasukan beruniform. Dek kerana sejak kecil melihat ibu dan arwah ayahnya segak mengenakan uniform, wanita perkasa, Siti Fazilah Mohd Redzuan, 32 telah menanam cita-cita untuk menyarung uniform yang sama.
Impiannya itu tercapai dan kini bergelar Kopral Penjara dan sekaligus mewarisi pekerjaan ibu dan arwah ayahnya yang merupakan anggota pegawai penjara. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini juga berkahwin dengan seorang anggota pegawai penjara dan kini merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Wanita yang kini bertugas di Penjara Tapah, Perak dari zaman sekolah telah terlibat dengan Kadet Polis dan Unit Trafik Sekolah. Akui memilih kerjaya lasak ini kerana minat yang mendalam dalam unit beruniform.
“Bak kata pepatah bapa borek anak rintik, begitu juga dengan saya. Sejak kecil saya melihat ibu dan juga arwah abah segak berpakaian baju seragam. Apatah lagi semasa zaman sekolah saya turut aktif dan terlibat dalam pakaian beruniform.
“Seleps tamat persekolahan saya terus memohon SPA untuk meminta beberapa jenis pekerjaan. Saya pernah pergi temuduga untuk memenuhi jawatan tentera laut dan polis tetapi tidak berjaya. Akhirnya mendapat tawaran sebagai Pegawai Penjara KA19. Saya melaporkan diri di Depot Pati Tahanan Lenggeng, Negeri Sembilan pada 6 Ogos 2007. Seterusnya menjalani latihan asas di Pusat Latihan Pegawai Penjara (PLPP) di Taiping, Perak dan berjaya menamatkan latihan selama tiga bulan.
“Apabila Depot Pati tahanan diserahkan pada pihak Imegresen saya di posting pula ke Penjara Tapah, Perak pada 31 Mac 2008 sehingga kini. Saya telah berkhidmat selama 12 tahun di Institusi Penjara Tapah dan kini bertugas di Unit Kawalan dan Pencegahan(UKP),” terang anak ketiga dari lima beradik ini.
Ads
Aktif & Cergas
Wanita yang mendapat pendidikan di SMK Tun Syarifah Rodziah sehingga tingkatan 6 ini, dahulunya memegang jawatan KA19 dan kini memangku jawatan KA20 sebagai Kopral Penjara. Ditanya tentang tugas dan tanggungjawabnya Siti Fazilah akui tugas pegawai penjara semenangnya cukup berat.
“Sebagai pegawai penjara kami bertanggungjawab membentuk satu pasukan yang berkemahiran untuk mengawal situasi yang menggugat keselamatan dan ketenteraman penjara dari dalam mahupun di luar tembok penjara. Selain itu melahirkan anggota yang aktif, cergas, bersatu sentiasa dan patuh pada arahan.
“Kami juga menjadi kekuatan tambahan jika berlaku sebarang insiden seperti rusuhan, mogok dan kelarian banduan. Kawalan pengiringan banduan berisiko seperti Banduan Akhir ke mahkamah atau rawatan di hospital. Melakukan pemeriksaan ke atas banduan baru masuk, melaksanakan pemeriksaan dan rondaan di setiap bangunan dan sel banduan supaya keselamatan terjamin. Kami juga membanteras segala artikel larangan yang di bawa mausk oleh banduan contohnya seperti tembakau, duit, telefon bimbit, dadah dan sebagainya,” ungkap Siti Fazilah.
Pernah Ikat Tali Pusat Bayi Yang Baru Lahir
Siti Fazilah yang peramah ini juga menerangkan untuk menjadi anggota badan beruniform seseorang itu perlu memiliki hati yang cekal.
Ads
“Syarat utama mesti punyai hati yang cekal, berani dan sanggup menerima kritikan dari pihak atasan mahupun masyarakat luar. Mental dan fizikal harus kuat dan tidak mudah putus asa. Pada masa yang sama harus ada sikap toleransi ke atas tahanan atau banduan yang ditahan.
“Antara pengalaman manis saya selama bekerja sebagai anggota pegawai penjara adalah pernah mengikat tali pusat bayi yang baru dilahirkan di sel penempatan banduan kerana tidak sempat membawa banduan tersebut ke hospital.
“Pengalaman sukar pula apabila melihat seorang ibu dan anak terpaksa dipisahkan atas sebab anak telah mencapai had umur yang ditetapkan yang membolehkan anak tersebut tidak boleh tinggal di dalam penjara,” kongsinya lagi.
Sentiasa Peka
Disentuh tentang cabaran sebagai anggota beruniform, Siti Fazilah akui banyak cabara yang perlu ditempuhi.
“Cabaran utama memerlukan kita sentiasa peka terhadap banduan supaya mereka mendengar arahan yang telah ditetapkan iaitu apabila mengiring banduan merbahaya ke hospital dan mahkamah.
Ads
“Cabaran paling sukar sebagai seorang wanita adalah membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Saya juga harus utamakan keluarga walau macam mana letih dengan tugasan harian. Saya juga bekerja mengikut syif pagi dan mainshift. Anak-anak akan diletakkan dalam jagaan pengasuh sementara saya dan suami keluar bekerja. Namun kini saya sudah lali dengan kerjaya ini dan anak-anak juga memahami kerjaya kami suami isteri,” kata Siti Fazilah.
Sebagai seorang srikandi Siti Fazilah juga sentiasa menjaga pakaiannya agar kelihatan kemas selalu.
“Sememangnya kami mementingkan penampilan dan sentiasa kelihatan kemas. Selain itu saya juga sering menjaga tingkah laku diri semasa melayan karenah pelawat atau orang awam dengan sistematik dan sopan supaya tidak mencalarkan imej kita.
“Malah saya juga memegang tegas prinsip di mana perlu displin, tegas,amanah dan berbakti kepada jabatan dan agama,” akurnya.
Aktif Bersukan
Siti Fazilah juga berkongsi kisahnya yang aktif bersukan kerana memerlukan stamina yang kuat sewaktu menjalankan tugas.
”Dalam mengekalkan stamina tiada masalah bagi saya kerana saya adalah seorang yang aktif bersukan semenjak sekolah lagi. Saya terlibat dalam sukan bola jaring ke peringkat mewakili Jabatan Penjara Malaysia (MAKSAK),” akhiri Siti Fazilah.
Berita kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang maut akibat insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bulan lalu, benar-benar meruntun hati ramai pihak.Namun yang paling terkesan dengan kehilangan tersebut pastinya kedua mak ayah hero negara ini.
Bagi seorang ibu yang melahirkan dan membesarkan anak dengan sihat dan sempurna, pastinya tidak terjangkau dek fikiran macam mana anak yang dikandung 9 bulan terlebih dahulu pergi meninggalkan dirinya dalam keadaan sebegitu. Dalam redha menerima segala takdir dan ketentuannya, pastinya wujud rasa amarah, kecewa dan sakit hati bersisa dihati.
Diheret Ke Muka Pengadilan
“Saya nak tengok muka orang yang sanggup buat macam itu… sampai bunuh anak saya,” itu luahan Asma Aziz, 51, iaitu ibu kepada Muhammad Adib.
Asma berkata, besar harapannya sebagai seorang ibu untuk melihat individu tidak bertanggungjawab itu diheret ke muka pengadilan sebagai pembelaan terhadap kematian anaknya itu.
Dan apabila waktu itu tiba nanti, Asma berkata, dirinya sendiri mahu melihat sendiri wajah individu yang tergamak meragut nyawa Muhammad Adib ketika anaknya itu sedang bertugas untuk negara.
“Saya nak depa (mereka) dibawa ke muka pengadilan, apa yang dilakukan itu tidak boleh dimaafkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini.
Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN), kelmarin.
Pada masa sama, Asma berkata pihaknya menghargai keprihatinan ramai pihak khususnya di media sosial yang mahu kematian anaknya itu turut dibela ke muka pengadilan.
“Rasa berterima kasihlah namun sampai sekarang saya tak boleh tengok berita mengenai Adib (di laman sosial)…saya tak sanggup lagi.
Adib Rapat Dengan Keluarga
Mengimbas semula sifat Muhammad Adib, Asma berkata, anak kedua daripada empat beradik itu amat rapat dengan keluarga malah sentiasa pulang ke kampung menaiki pengangkutan awam setiap kali cuti.
Katanya, selain itu, Muhammad Adib juga akan mengambil cuti untuk membantu bapanya mengerjakan sawah setiap kali musim menanam padi tiba.
“Kalau cuti dua hari pun arwah akan pulang ke rumah menaiki kereta api atau bas sebab arwah memang rapat dengan keluarga.
“Kalau musim menanam padi tiba, arwah akan menghubungi bapanya untuk mengambil cuti dan membantu di sawah,” katanya yang mengakui tidak dapat tidur lena malam tadi berikutan merindui Muhammad Adib.
Malah ketika ditanya lebih lanjut mengenai Muhammad Adib, Asma bagaimanapun tidak dapat menjawab berikutan terlalu sebak.
Katanya, dirinya sekeluarga juga tidak membuat keputusan lagi sama ada mahu ‘menukar’ majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung 22 Disember ini sebagai kenduri tahlil berikutan masih terlalu sedih dengan insiden menimpa mereka.
MW: Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga Muhammad Adib ini. Semoga pelaku yang melakukan perbuatan kejam ini, segera dibawa kemuka pengadilan dan mendapat pembalasan yang setimpal.
Bukan mudah menguruskan anak-anak dan keluarga.Bagi seorang isteri adakalanya perlukan masa untuk diri sendiri atau ‘Me Time’ bagi melakukan perkara yang dia suka.Tak kiralah pergi membeli belah ke, pergi spa ke, salon ke, makan-makan secara sendirian mahupun sekadar keluar dengan kawan-kawan. Bahkan dapat keluar sekejap pergi supermarket, jalan-jalan cuci mata tanpa anak-anak pun dah boleh buat isteri bahagia.
Para suami kena faham, ‘Me Time’ ini bukanlah bermaksud seorang isteri itu hanya pentingkan diri sendiri. Setiap isteri perlukan ‘Me time’ nya sendiri untuk meredakan emosinya yang penat, melepaskan lelah seketika setelah bertungkus lumus menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Alah, bukannya selalu pun! Percayalah para suami, isteri yang dapat ‘me time’ nya sendiri, pasti lebih bersemangat untuk berkhidmat buat keluarga tersayang!
Bagi yang mengikuti instagram Hairul Azreen, Hanis Zalikha dan anaknya Yusuf Iskandar pasti mengetahui, yang pasangan ini telah berjauhan hampir sebulan. Ini kerana Hairul Azreen terlibat dalam penggambaran filem terbarunya ‘Paskal’ di Sabah, manakala Hanis Zalikha hanya tinggal berdua menjaga anaknya, Yusuf Iskandar di Kuala Lumpur.
Setelah habis menjalani penggambaran di Sabah, Hairul telah kembali ke rumah, sementara menunggu untuk menyambung penggambaran filem ini di Turki pula nanti. Apa yang menariknya, dalam tempoh berehat tersebut, Hairul Azreen cukup ‘sporting’, memberi ‘green light’ buat Hanis Zalikha untuk meluangkan masa ‘Me Time’ dengan kawan-kawannya bercuti di Korea. Sekaligus tak kisah untuk menjaga Yusuf Iskandar berdua, sementara isterinya pergi bercuti.
Didalam posting terbaru Hairul Azreen ada memuat naik video pendek, menyatakan Hanis Zalikha akan ke Korea.
“Giliran mommy pulak bercuti dengan kawan-kawan sebelum daddy sambung penggambaran filem ‘Paskal’ di Turki’.”
Namun paling menyentuh hati dan mendapat perhatian pengikutnya, pada ruangan komen Hairul Azreen meluahkan penghargaan buat para isteri yang berkorban menjaga anak-anak serta memahami tugas isteri yang menguruskan rumahtangga.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Hairul Azreen kerana menghargai dan memahami tugasan isteri. Tindakan hairul Azreen memberi isterinya Hanis Zalikha ‘Me time’ untuk bercuti bersama dengan kawan-kawan ini memang para suami lain patut contohi. Bukan selalu pun! Sesekali berilah ruang buat isteri untuk melakukan perkara yang dia suka, tanpa suami dan anak-anak. Suami bertimbang rasalah dan bertolak ansur pula menjaga anak-anak, kan!
Ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku di perkhemahan Father Organic Farm, Jalan Genting, pertemuan terbaru adalah ibu dan anak berpelukan di bawah runtuhan.
Ibu Dan Anak Berpelukan Antara Satu Sama Lain
Mayat dua beranak ini ditemukan dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain. Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, dua mangsa itu membabitkan seorang wanita dan anak perempuannya dianggarkan berusia antara empat hingga tiga tahun ditemui jam 4.40 petang di Sektor C Riverside.
“Seorang lagi mangsa ditemui di sektor sama selepas dikesan anjing pengesan (K9) dan usaha membawa keluar mayat berkenaan sedang giat dijalankan.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meninggal dunia yang ditemui seramai 19 orang dan 14 lagi individu masih hilang sedang dikesan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, 16 mayat mangsa yang ditemui sehingga jam 1 tengah hari tadi pada mulanya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Bagaimanapun, semua mayat mangsa dipindahkan ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Mana-mana pihak yang mahu membuat pengecaman diminta datang ke Hospital Sungai Buloh atau datang ke lokasi untuk berhubung dengan komander operasi,” katanya.
Ditanya sama ada operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) akan diteruskan sehingga waktu malam, beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pihak bomba berhubung perkara itu.
“Pada waktu malam, pastinya ada halangan dari segi cuaca, teknikal dan faktor keadaan gelap sekali gus menyebabkan ancaman yang tidak nampak.
“Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, kami mungkin akan menangguhkan operasi ini pada waktu malam,” katanya.
Mingguan Wanita : Moga ahli keluarg mangsa tabah hadapi dugaan ini.
Sumber: Harian Metro
Gambar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
Luna Maya mendedahkan dia dan suami, Maxime Bouttier, merancang menimang anak tahun depan. Pelakon terkenal itu juga bersedia memperlahankan kerjaya demi fokus kepada fasa baru sebagai ibu.