Haruan Makan Anak: Pura-Pura Jumpa Bayi Di Stesen Minyak, Plot Twist Anak 16 Tahun Jadi Mangsa Serakah

Share

Haruan makan anak, pura-pura jumpa bayi di stesen minyak, plot twist anak 16 tahun jadi mangsa serakah. Satu kes penemuan bayi di sebuah stesen minyak Batu 14 di sini bertukar menjadi tragedi hitam penuh kejutan apabila polis membongkar rahsia sebenar di sebalik laporan awal yang dibuat seorang lelaki.

Pada awalnya, seorang lelaki berusia 29 tahun  yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tampil membuat laporan polis dan mendakwa menemui seorang bayi perempuan berusia kurang seminggu di dalam kotak berhampiran bangunan kedai stesen minyak tersebut, kira-kira jam 1.56 pagi Isnin lalu.

Bayi itu ditemui dalam keadaan sihat sebelum dihantar ke hospital untuk pemantauan. Bagaimana pun hasil soal siasat polis mendapati terdapatnya unsur plot twist apabila bayi tersebut adalah hasil sumbang mahram seorang bapa yang bertindak menjadikan anak remajanya berusia 16 tahun mangsa nafsu serakahnya.

Dalam sidang media oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof,  pihaknya menerima laporan awal daripada seorang lelaki  yang mendakwa menemui seorang bayi perempuan dalam sebuah kotak berhampiran stesen minyak.

“Bayi berkenaan ditemui masih bernyawa dan sihat ketika berada di dalam kotak sebelum dihantar ke hospital untuk pemantauan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati laporan itu adalah rekaan. Lelaki tersebut dipercayai bersubahat dengan seorang rakan lelaki berusia 39 tahun yang juga bapa kandung kepada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

“Lelaki itu disyaki melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sehingga remaja tersebut melahirkan bayi berkenaan. Mereka kemudian membuang dan menyembunyikan kelahiran itu di lokasi terbabit,” jelasnya.

Menurut Naazron, kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod lampau melibatkan dua kes dadah dan dua kes jenayah.

“Suspek berusia 39 tahun direman enam hari, manakala pengawal keselamatan direman sehari. Remaja perempuan itu dibebaskan dengan jaminan polis dan kini dirawat di hospital,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan Seksyen 376(3) kerana melakukan sumbang mahram.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 atau mana-mana balai polis berhampiran. Kredit:- Sinar Harian.

Published by
Almaswa Haji Che Ros