Selalu kita dengar, adik beradik boleh berpecah belah, bergaduh dan putus saudara, gara-gara kerana harta pusaka peninggalan mak ayah. Sedikit atau banyak harta pusaka itu tidak menjadi persoalan yang penting mereka mendapat hak masing-masing.
Kadang-kadang, harta peninggalan tidaklah seberapa dan sesetengahnya, mak ayah masih ada lagi. Tapi adik beradik sudah mula menghitung jumlah yang boleh mereka dapat. Kesian mak ayah yang punya anak seperti ini.
Ketahuilah, harta pusaka itu adalah hasil usaha mak ayah kita semasa mereka masih hidup. Tak perlulah kita berebut atau bergaduh. Kalau ada pun bahagian kita, bersyukurlah.
Inilah yang harus dipesan oleh adik beradik kita seperti yang dikongsikan oleh Ustazah Norhafizah Musa Fans ini.
Pesan Pada Adik-Beradik
Bila dah besar, dah ada kerja, dah ada pendapatan, dah ada duit, cari harta sendiri..beli rumah, beli tanah, beli aset..
Bagi ada harta dengan nama sendiri..
Jangan direbutnya tanah sekangkang kera di kampung tu nanti..
Ads
Jangan disebabkan harta tak seberapa itu, kita adik beradik bergaduh, bermasam muka…bertelagah..
Kita ini sulung ke, lelaki ke, nanti bahagian kita lebih dari adik beradik yang lain pun, janganlah fikir, berharap.. atau meletakkan target yang kita nak rumah, mahukan tanah, kita nak kebun atau nak harta..
Jangan..
Sebab nanti bila tak dapat, kita mula la nak marah, bergaduh dan nak menuntut.. Sedangkan ketika “harta” tu ada, bukan kita yang jaga, usahakan atau berbakti. Tiba-tiba bila harta tu sudah tiada pemiliknya, kita nak sangat-sangat “hak” kita…
Ads
Hak apa yang kita nak? Kita tuntut dan kita berhak ke?
Usaha sendiri untuk kumpul harta sendiri tanpa perlu meletakkan harta pusaka sebagai matlamat kita, cita-cita kita…yang lebih utama ialah menjaga ibu bapa kita, baik sihat mahupun sakit tanpa perlu mengharapkan apa-apa dari mereka…
Ini tak, kita buat mereka seperti bola..sekejap pass sana, pass sini..
Kita sebagai anak yang perlu bagi “sesuatu” kepada orang tua kita dan bukannya menunggu dan berebut “sesuatu” hasil penat lelah mereka..
Kalaulah kita berebut menjaga orang tua kita sebagaimana kita berebut harta pusaka, mesti untung orang tua kita kan.. Tapi banyak yang jadi bodoh dan hilang akal hanya disebabkan sesuatu yang bernama “harta pusaka”..
Time sakit tak nak jaga, time dah tiada datang menuntut pula..
MW: Isu inilah yang memang tak akan pernah habis dan sering jadi masalah dalam hubungan adik beradik.
Zaman sekarang ini, baik anak lelaki mahu pun anak perempuan perlu diajar masuk ke dapur untuk membantu membuat kerja-kerja rumah. Jangan terlalu mengharapkan anak perempuan sahaja yang duduk di dapur dan anak lelaki pula dimanja dan dilayan bagai raja.
Tidak dinafikan juga, sesetengah orang cakap, untungnya dapat anak perempuan sebab nanti boleh tolong mak di dapur. Malah, bila besar nanti, mak-mak pula goyang kaki sebab anak perempuan yang akan masak dan buat kerja rumah.
Bagi mak-mak, hanya anak perempuan yang perlu diajar memasak, mengemas rumah atau menguruskan kerja rumah. Anak lelaki pula tidak perlu, ditantang minyak yang penuh dan tidak perlu tahu tentang hal-hal kerja rumah.
Kalau nak dibanding kan dulu, memang ada mak ayah yang berbezakan antara aanak lelaki dengan anak perempuan. Kononnya, anak perempuan, bila sudah berkahwin akan tetap masuk ke dapur. Manakala anak lelaki, bila dewasa tanggungjawabnya pula mencari rezeki untuk keluarga dan tidak perlu melakukan kerja-kerja rumah.
Walau bagaimanapun, keadaan sekarang telah merubah segalanya. Baik anak lelaki atau anak perempuan perlu sama-sama membantu dalam membuat kerja rumah. Mak ayah tak perlu membezakan. Kononnya, kerja rumah untuk anak perempuan sahaja.
Malah, keadaan sekarang pun anak perempuan bukan hanya duduk di rumah, mereka sudah keluar bekerja dan pada masa sama perempuan yang berkahwin turut membantu suami dengan bekerja untuk mengurangkan bebanan suami.
Sebab itulah mak ayah tidak boleh bezakan anak lelaki dengan anak perempuan dalam membuatk kerja rumah. Sebaliknya perlu sama-sama melakukan. Dulu dan sekarang tidak sama.
Begitulah juga perkongsian daripada Dr Redza Zainol yang turut menyarankan supaya mak ayah kena sama-sama memastikan anak lelaki dan anak perempua nsama-sama terlibat dalam membuat kerja rumah. Tidak boleh membandingkan keduanya.
Makin lama saya tengok anak-anak sekarang ini, makin dia menjadi-jadi.
Buku jatuh atas lantai, dia minta mak kutip. Selipar tercabut minta mak kutip dan pakaikan balik.
Sekali anak ni minta nak minum, mak dia keluarkan botol susu dari beg.
“Dah darjah 1, minum pakai botol lagi ke?”
Maknya cuma tersengih-sengih.
“Dia tak nak pakai gelas. Kalau paksa sangat, nanti sampai bergaduh.”
Selidik punya selidik, rupanya mak ni dah serupa bibik di rumah. Semua kerja rumah, dia yang buat. Apa anak nak, dia ikutkan semuanya.
Saya pun cakap jangan manjakan sangat anak lelaki ni.
Anak bawah 2 tahun memang kita jaga macam anak raja. Tapi bila sudah masuk umur 2 tahun, kita dah boleh latih anak sama-sama buat kerja rumah (house chores).
Boleh guna teknik single step command (satu arahan): Contoh: Tolong ambilkan tuala mandi.
Atau guna teknik 2 steps command (2 arahan dalam 1 ayat): Contoh: Tolong ambil pampers ni dan buang ke dalam bakul / tong sampah.
Dua-dua teknik ni sesuai untuk kanak-kanak usia 2 tahun. Senang je kan.
Nak anak umur 2-3 tahun sama-sama buat kerja rumah, caranya bukan ala-ala tentera tau.
Mak ayah buat seronok-seronok dengan anak.
Contohnya anak bongsu saya jenis suka berlumba. Jadi saya buat “Game” lumba siapa kemas mainan paling cepat.
Saya akan kira 1,2,3 dan start lumba siapa kemas paling laju. Sambil tu buat bunyi enjin kereta.
Habis kemas terus sorak sama-sama siap High five dengan anak.
Asasnya, kita kena buat sama-sama dengan anak. Kita ialah idola di mata dia.
Kalau anak menolak, jangan marah dia. Cuba cari apa lagi keperluan asas dia yang belum dipenuhi (makan, tidur, bermain).
Esok kita ajak dia kemas lagi. Muka kena senyum, kena banyak sabar tau. Budak baru 2 tahun.
Bila anak TIDAK dilatih:
Dia hilang rasa bertanggungjawab.
Dia tak pandai urus masa.
Keyakinan diri jadi rendah.
Tak pandai jaga kebersihan.
Cara Betul Anak usia 2-3 tahun ni:
Kena tahu wajib kemas mainan sendiri.
Biar dia belajar lap meja dan lantai.
Letak pinggan dan cawan plastik dalam sinki lepas makan.
Biar dia biasa letak baju kotor dalam bakul.
Galakkan dia angkat barang yang ringan.
Lepas mereka buat, kita ucapkan terima kasih, bagi pelukan dan puji anak best-best tau.
Barulah anak lelaki tahu, kerja-kerja rumah ni bukan kerja orang perempuan semata.
MW: Baik anak lelaki atau anak perempuan kena ajar buat kerja rumah. Esok-esok mak ayah pun senang. Bukan untuk mak ayah tapi untuk bakal keluarganya dan belajar erti tanggung jawab.
Pernah tak mak-mak yang mempunyai anak ramai merasa sukar untuk keluar, baik pergi berjalan-jalan atau makan di luar. Maklum sahajalah bila anak ramai peelnya pun macam-macam. Lasaknya anak apabila tengah membesar. Ini belum lagi bergaduh sesama mereka.
Itulah yang membuatkan mak ayah rasa malas nak ke rumah orang atau keluar berjalan. Nanti orang tengok, buat malu sahaja. Lebih baik duduk di rumah. Biarkan mereka bermain sesama mereka.
Namun, timbul kesian juga bila terperap di rumah, anak pun ingin tengok pemandangan luar, berjalan-jalan seperti orang lain. Kalau anak ‘behave’ seperti orang lain tiada masalah nak ke mana-mana. Janganlah begitu. Anak lasak itu normal, Cuma kita sebagai mak-mak kena cerewet supaya anak-anak terjaga adabnya terutamanya bila ke rumah orang kan!
“Saya tak suka pergi rumah orang yang memandang anak-anak saya yang lasak dengan pandangan tak puas hati..normal la budak-budak lasak ni..kalau duduk diam baru tak normal.”
Pandangan saya pula begini…
Memang normal budak-budak lasak dan tak duduk diam…
Kalau setakat main-main biasa tak jadi masalah.
Tapi yang jadi masalah ialah apabila anak-anak kita dah mula rosakkan harta benda orang, dah mula masuk bilik orang, mula buka peti sejuk orang, melompat-lompat atas sofa orang..
Inilah yang kena ambil serius ya..
Sebagai ibu bapa kenalah main peranan.
Tak kan pergi rumah orang pun nak biar anak-anak melompat sana sini..
Bawa selipar sampai atas katil kita..
Buka peti ais dan ambil sahaja makan yang ada tanpa izin..
Merosakkan harta benda kita..
Tanpa teguran perkara tu akan jadi normal/biasa.
budak-budak memang sentiasa budak
Tapi yang dewasanya kita..
Boleh tengok aje budak tu melompat dari satu sofa ke sofa yang lain..
Semua berkaitan dengan adab….
Lasak macm mana pun budak..
Pelajaran tentang adab kena ambil peduli…
Jangan sebab dia budak kita relakan dia buat apa saja.
Melentur buluh biarlah dari rebung..
Saya punyai anak 6 orang. Biasalah budak semua lasak, tak duduk diam tapi kita sebagai ibu bapa kena jadi contoh dan bertanggungjawab ke atas adab anak-anak kita.
Paling kurang pun kalau nampak tu kena cepat-cepat tegur.. tak kira depan orang atau tidak.
Ada yang tegur saya bawa anak-anak makan dekat kedai makan, katanya anak saya semua behave, duduk diam waktu makan.. Tak ada lari-lari sana sini.. Lepas makan susun pinggan..
Saya cakap mereka dah biasa
Adab dekat luar, adab dekat kedai makan..
adab di mana-mana
Apa yang salah saya terus tegur..
Bila pergi rumah orang, saya akan pesan awal-awal dalam kereta.
Jangan buat sepah, dah main kemas balik, makan jangan sepah-sepah, jangan masuk bilik org, usik barang oerang dan macam-macam lagi.
Bila dah sampai rumah orang, saya tak biarkan mereka, saya akan pantau kelakuan masing-masing.
Jangan malu dan takut untuk tegur anak sendiri. Kita jangan hanya melihat sahaja apa yang anak buat tidak betul. Sebab itu adab penting untuk mereka bawa sampai dewasa.
Memang nampak macm susah kan. Itu ini semua tak boleh. Tapi kesannya pada anak-anak sangatlah baik.
Biarlah orang kata kita ibu bapa yang cerewet tapi orang nampak anak kita tahu adab.
Adab dengan rakan sebaya dan adab dengan org dewasa.
MW: Itulah yang patut kita sebagai mak ayah latih anak-anak. Tak kisah anak ramai atau seorang yang penting tahu adab.
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!