Sesungguhnya, hargai setiap ahli keluarga selagi mereka masih ada, jangan terlalu taksub bekerja sehingga abaikan masa bersama keluarga.
Memang hidup memerlukan kita bekerja dan mencari nafkah untuk keluarga, namun janganlah mengabaikan perasaan pasangan dan anak-anak.
Hargai Selagi Masih Ada
Kongsi Nurul Haslida, luangkan masa bersama keluarga selagi masih ada. Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Zaman yang sudah di penghujung ini kita tidak jangka apa bakal terjadi.
Mati tiba-tiba tanpa kita tahu puncanya. Yang sakit dah tentu sakit. Sama ada semakin teruk atau sebaliknya. Itu semua rahsia Allah, kita tidak mengetahuinya.
Apa yang bakal terjadi di hadapan semua sudah ditentukan. Masa yang sedikit ini, luangkanlah bersama keluarga. Gembirakan keluarga kita kerana kita tidak tahu siapa yang akan pergi dulu.
Tak semestinya yang sakit akan pergi dulu. Kadang-kadang yang sihat pergi dulu. Jadi peluang yang ada ini jangan sia-siakannya. Gunalah dengan manfaat. Rugi jika kita abaikan.
Jangan Terlalu Taksub Bekerja
Jika ada rezeki lebih bawalah keluarga kita berjalan-jalan kerana berjalan juga satu terapi. Tak pergi jauh pun tak apa, tak pergi tempat mahal pun tak apa janji kita keluar dan tenangkan fikiran bersama keluarga.
Tinggalkan kerja-kerja yang sudah pasti tak akan habis sampai bila-bila. Ingat satu jika kita tiada, kerja tu tetap ada dan orang lain yang akan ambil alih pula jadi jangan terlalu taksub dengan kerja sehinggakan kita abaikan masa dengan keluarga.
Sangat rugi bila mana kita membuang masa dan peluang untuk melihat anak-anak kita membesar di depan mata. Pengalaman dan kenangan itu sangat sukar untuk kita lalui lagi. Malah keakraban mereka dengan kita pun akan jadi jauh.
Hingga Abai Masa Bersama Keluarga
Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk melalui momen yang indah itu. Kerana dari situ akan menguatkan kasih sayang kita dengan anak-anak kita.
Ada juga pasangan yang suka melebihkan kawan daripada keluarga. Bagi mereka keluarga adalah satu beban dan menyusahkan.
Mereka lebih suka membuang masa dengan kawan-kawan demi kepentingan diri sendiri sedangkan kawan-kawan itu datang dan pergi bila mereka perlukan kita, mereka akan datang pada kita dan jika mereka tidak perlukan kita, mereka akan menjauh.
Tetapi keluarga tetap setia dengan kita walau bagaimana keadaan kita sekalipun. Tengok mata anak-anak kita seorang demi seorang, tengok sedalam-dalamnya supaya nanti kita akan nampak bahawanya mereka sangat mendambakan perhatian dan kasih sayang daripada kita.
Ads
Hubungan Yang Terjalin Erat
Jika sejak kecil kita memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kita kepada mereka tak mustahil, keakraban kita dengan mereka pasti terjalin dengan erat.
Malah mereka akan lebih menghargai dan menghormati kita sampai hujung nyawa kita. Jadi gunalah peluang yang ada ini untuk mengembirakan anak-anak kita. Jangan siakan peluang dan masa yang dah ada didepan mata.
Ingat, keluarga adalah amanah dan tanggungjawab kita. Mereka juga adalah pertalian darah yang sangat erat dengan kita. Ibarat jika kita gembira mereka pun gembira dan jika kita sedih merekapun akan turut sedih.
Susah senang pasti mereka tetap bersama kita. Jadi hargailah selagi masih ada di depan mata. Jangan anggap mereka beban atau menyusahkan. Anggaplah mereka permata yang berharga pada kita.
Mingguan Wanita : Sebaiknya hargailah pasangan dan anak-anak, bimbang suatu hari nanti kita akan menyesal jika mereka telah tiada buat selamanya. Cipta momen indah bersama anak-anak untuk dikenang sampai bila-bila.
Kata orang iman tak dapat diwarisi, tapi iman boleh disuburkan dalam hati anak-anak melalui ibu bapa yang ada JIWA YANG BESAR. Tokoh ibu bapa Malaysia iaitu Sulaiman Saipin (Tokoh Maulidur Rasul 2006) dan Eshah Din (Tokoh Ibu Mithali 2007) antara bukti kecemerlangan keibubapaan yang nyata. Keduanya mempunyai 17 orang anak dan 15 daripadanya lulusan universiti.
Ini perkongsian terdahulu yang dicatat Dr Shukri Abdullah, pengasas Amalan Belajar Sdn Bhd. Pakar Motivasi terkenal ini banyak berkongsi rahsia kejayaan dengan pelajar dalam siri ceramah dan seminarnya.
Ketika beliau berpeluang menziarahi keluarga tokoh ibu bapa, Wak Sulaiman dan Mak Esah pada tahun 2009, beliau peroleh tips berguna untuk ibu bapa.
Biarpun ia sebuah kisah terdahulu, namun tips yang dikongsikan Dr Shukri begitu dekat dengan apa yang ibu bapa lalui hari ini. Panduan mendidik anak ini begitu bermakna sekali. Lagi-lagi ketika ini terlalu banyak isu berbangkit berkaitan sistem pendidikan kita.
Apa pun, segalanya perlu bermula daripada ibu bapa juga. Bagaimana mereka menyantuni pendidik yang mengajar anak-anak mereka tanpa jemu.
Sejarahnya, Wak Sulaiman cuma seorang buruh estet (penoreh getah) yang ketika itu sudah punyai 100 orang cucu dan 12 orang cicit. Bapa ini tak pernah bersekolah secara formal tapi bagaimana anak-anak Wak Sulaiman Dan Mak Esah cemerlang dalam kehidupan.
Ini panduan mendidik anak hasil bicara hikmah Tokoh Ibu Bapa Malaysia. Yang mana setiap tip ini perlu generasi muda fahamkan agar tidak tersasar dari landasan.
Dari kiri: Mak Esah, Wak Sulaiman dan Dr Shukri Abdullah.
6 Rahsia Tokoh Ibu Bapa Mendidik Anak Hebat
1. Kenal Guru Yang Mengajar Anak-anaknya
Walaupun dihimpit tekanan kewangan malah kedua-duanya tidak pernah bersekolah secara formal tetap mengambil berat soal pelajaran anak.
Mereka kerap ke sekolah mengenali dan bertanya khabar dengan guru tentang kemajuan pelajaran anak mereka. Kata Wak Sulaiman “Saya tidak faham Mak bapak yang langsung tidak mengenali guru yang mengajar anak mereka“.
2. Mencari Rezeki Tanpa Kenal Erti Penat
Selain bekerja di estet mereka akan membuat kerja lain untuk mencari nafkah tambahan bagi menyara anak yang ramai bersekolah. Kerana tidak mengenal erti penat lelah atau ikut istilah Wak “tak tau dok sengap, kena kerja selalu“, Allah murahkan rezeki mereka untuk membantu anak mereka bersekolah hingga ke peringkat universiti.
3. Sentiasa Semak Buku Anak-Anak
Wak memberitahu beliau tidak mengenal abjad rumi tetapi sentiasa menyemak buku anak-anak. Dia pantang melihat report card anak-anak yang ditulis dengan markah warna merah. Itu saja petunjuk yang dia faham anak-anak bermasalah dalam matapelajaran berkaitan.
Anak-anak pun faham akan pendirian Wak dan akan berusaha untuk mengelak mendapat markah yang menyebabkan bertanda dengan warna merah. Satu tindakan yang simple dari seorang yang tidak ke sekolah formal, namun cukup menyengat. Itu salah satu petanda beliau “ambil peduli” kemajuan pelajaran anak.
4. Bapa Tegas Tanpa Pilih Kasih
Wak juga tegas ke atas semua anak tanpa memilih kasih. Sebagai contoh mana-mana anak yang pulang ke rumah selepas jam 7 malam terpaksa kena rotan dan tidur di luar rumah. Itu tiada kompromi.
Dia berbuat demikian kerana mahu mendisiplinkan anak-anak agar pulang ke rumah on-time dan tidak membuang masa dengan kawan-kawan yang tidak ambil berat dengan pelajaran.
5. Prinsip Inilah Rahsia Besarnya
Prinsipnya kata Wak “Biar mak bapak bodoh, anak jangan jadi bodoh juga” Maksud beliau, biar dia dan isteri tidak bersekolah, anak-anak jangan juga begitu. Ketika mereka remaja di zaman dulu bukan sahaja kemudahan persekolahan sukar malah Wak terpaksa membantu bapanya menoreh getah di estet sehingga tidak berpeluang ke sekolah.
6. Mak Ayah Jangan Sampai Abai Amanah Mendidik Anak
Dia juga rimas dengan ramai ibu bapa sekarang yang asyik tonton TV dan lain-lain kelekaan sehingga mengabaikan tugas mendidik dan memantau anak dalam pelajaran.
Sudah fahamkan 6 tip mendidik anak cemerlang yang dikongsi tokoh ibu bapa ini? Ternyata tip yang dikongsikan ini tetap relevan untuk menjadi amalan ibu bapa muda zaman ini.
Sumber/Foto : Facebook Page DrShukri Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kisah pasangan curang bukan lagi perkara asing di kalangan isteri. Lantas ramai yang memilih untuk keluar daripada perkahwinan itu dengan alasan tidak dapat memaafkan kecurangan suami. Namun, ada juga yang tetap bertahan. Kenapa ye? Ikuti kupasan daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Relationship Coach daripada Promind training And Consultation, yang juga kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Hak
Kebanyakan isteri menganggap suami adalah hak milik mutlak mereka. Apabila isteri berkata begitu, maka saya pasti mereka betul. Namun saya juga tahu bahawa poligami itu dibenarkan. Saya ada beberapa rakan-rakan ‘bertuah’ yang bukan sekadar beristeri dua tetapi sudah mencapai kuota penuh!
Dalam kumpulan berbual di media sosial para suami memang tajuk poligami ini mempunyai kuasa paling kuat untuk menarik rakan-rakan lain memberi komen. Walaupun tajuk ini harum dan mekar tetapi terlalu jarang didengar ada rakan-rakan yang ‘upgrade’ diri dengan status beristeri dua, tiga atau empat. Maksudnya kebanyakan sesi tadi hanya ‘sembang sini, habis sini’ sahaja. Itulah lelaki yang bergelar suami ini. Sembangnya kencang tapi isteri tersayang masih di hati.
Perlu Kekuatan
Sebagai ‘Relationship Coach’, salah satu kesempatan yang selalu diambil peserta untuk konsultansi percuma semasa kursus ialah untuk bertanya, “Dulu suami saya ada perempuan lain di luar tetapi semua sudah selesai. Saya boleh maafkan tetapi saya tetap tidak boleh lupa dan terima dia sepenuhnya. Apa yang mesti saya buat? “
Soalan hanya boleh difahami oleh mereka yang pernah melaluinya. Pada kekuatan bagaimanakah seorang isteri boleh memaafkan suami yang pernah curang dengan orang lain? Waktu itu syaitan begitu cepat membisikkan kata-kata beracun yang suami anda sebenarnya menggilai orang lain.
Pada ketika itu peritnya seperti kail tajam bermata tujuh menusuk dan tersangkut dalam hati. Semakin anda menggelupur melepaskan diri, semakin anda meraung kesakitan. Tapi akhirnya kuasa Allah lebih besar. Kail yang tertusuk itu terlepas dan suami kembali ke pangkuan anda. Perkara itu sudah berlalu. Sebagai isteri solehah anda boleh memaafkan tetapi masalahnya sekarang anda tidak boleh melupakan!
Jangan Lepaskan
Semasa anda dikhianati dahulu pasti terasa itulah masalah paling besar dalam dunia. Walau apa yang berlaku, jangan lepaskan tiang seri perkahwinan itu. Jika selama ini anda boleh melayan rasa dikhianati dan dikecewakan maka selepas ini tukar fokus kepada mencari petunjuk yang suami sangat menghargai anda. Ingat bahawa anda hanya akan nampak apa yang anda mahu lihat. Dalam hanya beberapa minit anda menukar fokus itu, perubahan emosi positif akan datang membanjiri emosi anda.
Kerenggangan Emosi
Apabila anda fokus kepada penyelesaian ini maka anda semakin menuju kepada jawapan yang anda cari. Kebanyakan daripada faktor kecurangan suami bukan disebabkan faktor keintiman seksual tetapi lebih kepada kerenggangan emosi.
Dalam ruang yang tidak kelihatan itu, suami merasa terbentang jurang besar yang memisahkan emosi dia dan anda. Untuk mengikat suami lebih kuat kepada anda selepas ini maka belajarlah untuk menarik emosi suami lebih dekat kepada anda. Ada banyak yang boleh anda lakukan. Kata orang tua-tua dulu, jika sayang suami maka sayangilah perut dan penuhilah matanya. Janganlah kerut kening macam itu. Bukan perut dan mata yang saya maksudkan tetapi hati dan perasaannya. Bila perut kenyang maka hati jadi senang. Apa saja yang indah di mata pasti turun ke hati. Itulah lebuh raya menuju keintiman emosi.
Cepat Pulih
Pasangan suami isteri yang pernah melalui cabaran dengan tajuk ‘curang’ akan lebih cepat pulih dengan selalu menghabiskan lebih banyak masa bersama. Menemui perkara baru atau mencari semula kenangan lama adalah cara berkesan untuk anda pulih sepenuhnya. Sebagai contoh kenapa anda menyukai dia dahulu? Kenapa anda memilih dia berbanding orang lain? Dan kenapa anda menerima dia sebagai suami dahulu?
Ini adalah soalan-soalan yang membawa anda kembali ke garis mula perkahwinan anda. Dulu anda dan suami tersilap tetapi sekarang lihat pada masa depan. Apa yang anda mahu? Bayangkan keluarga bahagia dengan anak-anak semakin dewasa. Menyambut kejayaan mereka di Universiti dan menerima deretan cucu-cucu comel. Anda dan suami tentu tidak mahu melalui masa depan itu sendirian, bukan? Anda boleh mencipta masa depan yang indah itu. Dengan berkat doa dan usaha..Insya-Allah itu semua boleh menjadi kenyataan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Emosi Orang Perempuan Gembira Atau Sedih Bergantung Pada Pasangannya. Memang ada benarnya sebarang perubahan tingkah laku, personaliti mahupun emosi isteri selalunya bergantung pada pasangannya. Bagaimana layanan yang diterima daripada suami, samaada baik atau sebaliknya. Suami atau pasangan memainkan peranan penting menjadi punca, apa yang isteri rasa.
Hadamkan perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini sebagai panduan dalam rumahtangga.
Tingkah laku dan perbuatan pasangan tu akan mempengaruhi emosi dan fikiran pasangan seorang lagi. Jika pasangan seorang yang mempunyai keperibadian yang baik, tak mudah marah, tenang, senang dibawa berbincang, maka secara automatik pasangannya tiada rasa susah hati, tiada rasa terasa hati, tiada rasa makan hati dengan pasangan sendiri.
Lain pula jika berpasangan dengan seorang yang baran, yang senang mengeluarkan kata-kata kesat, maki hamun, susah dibawa berbincang apatah lagi ditegur, maka automatik pasangannya sentiasa hidup dalam keadaan tertekan, fikiran serabut, hati tak tenang, selalu terasa hati, makan hati dengan pasangan sendiri. Sebab tu bila berkawin, ramai yang berubah dari sikap asalnya sebelum berkawin.
Keadaan memaksa dia melakukan perubahan untuk menyesuaikan diri dengan siapa dia berpasangan. Mungkin dari seorang yang periang, ceria, gembira, petah berkata-kata jadi pendiam, jarang bercakap, nampak macam ada masalah.
Pengaruh tingkah laku dan perbuatan pasangan tu akan memberi impak dalam kehidupan seorang lagi dari sudut personalitinya. Tengok pasangan yang bahagia, tengoklah personaliti mereka. Pasangan yang baik, yang memahami, yang mudah dibawa berbincang, yang tak ego, yang boleh ditegur akan membentuk personaliti positif pasangan yang satu lagi.
Emosi Isteri Bergantung Pada Pasangannya
Kita decide kita nak isteri kita tu gembira ataupun sedih.Emosi orang perempuan ni adakalanya bergantung pada pasangannya. Dia boleh jadi tenang, tak tenang, gembira, tak gembira, ketawa, sedih, tertekan semua bergantung pada pasangannya.
Kita nak dia sembunyikan apa yang dia rasa, dia boleh buat. Dia tahu bila dia perlu untuk stop luah dan pendam. Pasangan dia buat tak tahu, tak nak faham dia, buat tak dengar pada luahan dia, maka dia akan simpan sorang-sorang apa yang dia rasa.
Lama-lama dia akan tawar hati.
Kita nak dia ketawa dan gembira sepanjang masa pun dia boleh buat. Tapi kalau tiba-tiba dia menangis malam-malam, kita jangan hairan pulak sebab dia penat berlakon sepanjang masa untuk nak kelihatan seperti yang diminta.
Lama-lama dia akan murung.
Apa yang saya belajar dari isteri, masa dia marah, saya diam, saya dengar. Masa angin dia tak baik, saya tak usik, tapi pujuk. Masa dia berleter, saya biar dia habis cakap tanpa membangkang.
Saya bagi tumpuan pada apa yang keluar dari mulut dia sebab setiap perkataan tu datangnya dari hati.
Ingatlah, sebagai suami, kita boleh jadi punca kepada apa yang isteri kita rasa.
Mingguan Wanita: Ada benarnya, emosi dan personaliti isteri baik gembira mahupun sedih bergantung pada pasangannya. Elok layanan yang diterima,maka eloklah emosi isteri.
Siti pesan, Umairah jangan lupa mak ayah. Sebagai ibu saudara dan juga Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi nasihat cukup bermakna buat penyanyi...