
Ini kerana jihad yang sangat digalakkan buat seorang isteri adalah di sisi suami dan keluarga dan bukannya pergi ke negara yang sedang bergolak.

Menurut Dr Izhar, adalah HARAM isteri terlibat misi berisiko ini jika suami tidak izin dan urusan rumahtangga terabai. Jihad menjaga rumahtangga lebih besar daripada melibatkan diri dalam misi yang tidak diredai suami atau ibu bapa. Jika suami dan Ibu bapa mengizinkan pemergian isteri, maka hukumnya harus selagi syariat terjaga.

“Dan HARAM juga isteri pergi walaupun mendapat izin dari suami jika tidak dapat dipastikan keselamatan syariat, batas pergaulan, Ikhtilat di atas kapal dan lain-lain oleh pihak NGO. Jika semua keperluan syariat dan keperluan wanita dapat dipenuhi oleh pihak NGO, maka hukumnya harus.
Dirinya turut menambah adalah menjadi HARAM hukumnya jika suami terlibat dengan misi tetapi mengabaikan tanggungjawab dan nafkah keluarga sebelum dan selepas dia terlibat.

Dirinya turut menitipkan nasihat buat semua. Katanya, bagi yang telah mendapat keizinan dan telah memenuhi segala keperluan keluarga pergilah mewakili negara bagi menyampaikan amanah rakyat Malaysia kepada GAZA.
“Bagi yang tidak dapat keizinan suami atau isteri atau ibubapa, maka tidak perlu paksa diri hingga kita bercerai-berai. Berlapang dada supaya rumah tangga terpelihara. Nabi sendiri tidak benarkan sahabatnya terlibat dengan jihad jika ibu bapa menghalangnya.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menjelaskan bahawa keputusan membenarkan isteri atau anak perempuan terlibat dalam operasi berisiko bergantung kepada pertimbangan individu. Bagaimanapun, keputusan itu perlu dibuat dengan penuh teliti serta mengambil kira pelbagai aspek penting.
“Sesiapa yang membenarkan isteri atau anak perempuannya pergi ke sesuatu operasi berisiko, ia satu pandangan atau penilaian yang mungkin ada alasannya.
“Itupun hendaklah mengambil kira soal keselamatan dan harga diri wanita dalam pelbagai sudut. Ini kerana asalnya wanita tidak didedahkan kepada bahaya perang atau apa-apa bahaya tanpa keperluan.
“Lelaki pula hendaklah sentiasa melindungi keselamatan isteri dan anak-anak khususnya yang perempuan. Jika keadaan memerlukan khidmat wanita, mereka boleh sertai seperti para sahabat wanita menyertai Nabi s.a.w dalam peperangan sebagai perawat dan pembantu. Ia satu pahala.
“Selain tujuan operasi yang memenuhi syarak, keizinan suami dan kesesuaian operasi di sudut diri wanita hendaklah diambil kira. Jika itu semua memenuhi, maka mereka boleh sertai sesuatu operasi,” katanya dalam hantaran tersebut.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




