Tiada hadiah yang lebih bermakna dalam meraikan ulangtahun perkahwinan apabila dapat menimang zuriat sendiri. Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle selamat menimang cahaya mata pertama mereka pada 6 mei kelmarin.Bayi sulung pasangan diraja ini dilahirkan pada bulan yang sama ulangtahun pertama perkahwinan mereka, iaitu 19 Mei nanti.
Majlis perkahwinan Putera Harry & Meghan Markle pada 19 Mei 2018.
Berita gembira itu diumumkan Putera Harry dalam satu kenyataan kepada media.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan kami menimang cahaya mata lelaki awal pagi ini, seorang bayi lelaki yang sihat.
“Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat. Ia merupakan pengalaman terhebat yang pernah saya alami,” kata Putera Harry kepada wartawan di Windsor.
Menurut kenyataan Istana Buckingham, putera sulung Harry dan Meghan itu dilahirkan pada jam 5.26 pagi (waktu tempatan) dengan berat 3.26 kilogram.Bayi tersebut diberi nama Archie Harrison Mountbatten-Windsor.
Ibu Meghan, Doria Ragland yang teruja menerima kehadiran cucu sulungnya kini menemani Meghan di Frogmore Cottage.
Ads
Dikongsi di laman Instagram @SussexRoyal
Berita gembira kelahiran putera sulung pasangan diraja itu turut dikongsi di laman Instagram @SussexRoyal yang dilancarkan pada 2 April lalu.
Peminat dijangka berpeluang melihat pasangan diraja berkenaan bersama bayi mereka apabila Putera Harry dan Meghan mengambil gambar bersama di Istana Windsor.
Ads
Putera yang baharu dilahirkan itu merupakan waris ketujuh takhta Britain selepas Putera Charles, Putera William, Putera George, Puteri Charlotte, Putera Louis dan bapanya, Putera Harry.
Putera Harry,34, yang juga adik kepada Putera William berkahwin dengan Meghan Markle, 37, seorang aktres terkenal dari Amerika Syarikat pada 19 Mei 2018. – AFP/Agensi
MW: Tahniah buat pasangan diraja ini atas kelahiran cahaya mata yang pertama. Agak-agak nama apakah yang menjadi pilihan.
Lanjutan tragedi penemuan mayat Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin,40 yang ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya, polis telah menahan lelaki Nigeria di sebuah kafe di pusat beli belah Cheras Sentral, petang semalam.
Berdasarkan siasatan awal polis di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, suspek berkenaan adalah individu terakhir yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), keluar dari kediaman mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata suspek dilaporkan bertindak agresif dan cuba melepaskan diri sehingga berlaku pergelutan dengan pihak polis sebelum dia dapat ditahan.
“Pihak polis akan mendapatkan permohonan reman ke atas suspek hari ini,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pada masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas suspek, Aliwajuwom Gilbertalowonle @ Juwon, 36, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sepang.
“Suspek ialah rakan kepada seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria yang ditahan polis awal pagi tadi.
“Ketiga-tiga suspek ini sering berhubung antara satu sama lain. Mereka ialah rakan perniagaan serta memiliki sebuah kedai menjual telefon bimbit di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Ditanya sama ada Siti Kharina ialah rakan perniagaan kepada semua suspek, Noor Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Polis sedang menjalankan siasatan dari semua aspek. Kita sedang siasat macam mana hubungan mangsa dengan suspek dan bagaimana mereka boleh mengenali antara satu sama lain.
“Berdasarkan siasatan awal polis juga mendapati mangsa mempunyai dua rumah sewa.
“Malah, keluarga dan rakan mangsa juga tidak tahu bahawa mangsa turut menyewa rumah di Kondominium Third Avenue,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, polis menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana semua barang berharga tidak hilang.
“Polis juga masih menunggu laporan bedah siasat termasuk kemungkinan mangsa dirogol,” katanya.
Dengan penangkapan suspek ketiga ini, kes pembunuhan Siti Kharina Mohd Kamarudin, berkemungkinan dikategorikan selesai.
Terdahulu, menurut Noor Azam, mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan semalam, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.Beliau berkata pemilik rumah itu datang untuk memeriksa rumahnya, dan polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa di kondominium itu.
“Mangsa ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya.
Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada jam 4 petang, Rabu minggu lalu.Mangsa dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih dengan nombor pendaftaran BEY 1361.
Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya untuk bertanya mengenai keadaannya
Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami Mohd Udzir Khalid, 40, dan tiga anak mereka Khairin Uzma, 14, dan pasangan kembar berusia 10 tahun Khairin Daima Hana dan Khairin Damia Hasya.Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Jenazah ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Seri Menanti, di sini, kira-kira jam 9 malam tadi.
MW: Salam Takziah buat keluarga mangsa dan semoga diberi kesabaran menghadapi ujian ini. Semoga pelaku segera dikenakan hukuman dan mendapat pembalasan yang setimpal.
Seharusnya begitulah anak-anak, biar dah berjaya melangit, glamour ke tahap puncak sekali pun, hak mak ayah tetap ditunaikan tanpa bernanti-nanti.
Pelakon drama rantaian Nur, Noorkhiriah Ahmad Shapie ini meletakkan ibunya di takhta teratas selain suami dan anak-anak. Kerana ibulah sumber kekuatan dirinya sebagai seorang anak.
Momen mengingat mak ini tiba-tiba terakam semula di ingatan Noorkhiriah dalam bulan puasa ini. Catatnya, “Baru lepas makan sambal itam mak buat. Macam nampak mak je dalam bubur lambuk ini.”
“Hadeh.. tetibe rasa macam nak balik kampung. Korang jangan sia-siakan mak kita yang sorang ni. Dulu time akak jatuh frust tergolek dog. Mak pesan satu je, ‘boipren boipren ni leh cari ganti.. tapi mak tak de ganti dah.”
“Itulah penguat semangat akak bila down. Zaman dululah.. zaman sekarang nak frust mende? Gedik ar kalu frust-frust ni.”
Kata Noorkhiriah lagi, “time bulan puasa gini hok yang darjah satu punya kisah pun boleh ingat balik. Time sahur.. time berbuka.. penuh meja.”
“Ntah pape je atas meja time tu. Mak masak air pun rasa sedap. Air tangan mak kan.. Bila tanya mak OK? Tak de yang tak OK. Rindu anak-anak pun mak diam je.”
“Sedar-sedar wasap suh balik. Maka anak-anak pun meluru cari date bagi semua berkumpul. Kadang dapat, kadang berterabut baliknya.”
“Tapi takpe janji balik. Moga Allah sihatkan mak.. rahmari mak. Mak, saya rindu ngat ke Pak. Semalam (4 hari lalu) genap 5 tahun arwah Pak pergi. Allah ambil hak Dia.”
Akui Noorkhiriah lagi, ibunya itulah kebahagiaan dirinya selain daripada suami dan anak-anak. Biarpun ayahnya sudah tiada, tidak bermakna ibunya tidak berhak untuk bahagia.
MW : Cuma nak khabor, “hakak pun pernah merasa sambal itam mak Norkhiriah ni. Memang power.. dia punya sedap original pior Pahang.”
Sempena menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal, majalah Mingguan Wanita dan Impiana telah bekerjasama melakukan program CSR dengan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Dengan bantuan Pusat Zakat Selangor, kedua-dua majalah terbitan Nu Ideaktiv Sdn Bhd ini telah memilih dua buah keluarga Asnaf yang tinggal di Sungai Besar, Selangor.
Penulis berkesempatan mendekati keluarga Asnaf pertama iaitu keluargaPuan Misnah binti Mismat. Misnah, 45 tahun, seorang wanita yang amat tabah dalam menempuhi kehidupan seharian. Semenjak kematian suaminya, Ariffin Abdullah lebih kurang lima tahun lalu, balu inilah yang memikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga.
Misnah bukan sahaja perlu membesarkan empat orang anak kandungnya, malah dia juga perlu menjaga dan menyara tiga saudara terdekatnya. Nasib baik anak pertama dan keduanya sudah habis belajar. Ringan sedikit tanggungjawabnya.
Di dalam rumah pusaka milik arwah nenek yang dihuni oleh Misnah dan anak-anak ini juga dihuni oleh dua orang emak saudara dan seorang anak saudaranya. Bayangkan sahaja rumah sempit itu jika semua ahli keluarga berkumpul pada masa yang sama.
Cerita Misnah, salah seorang ibu saudaranya berada dalam keadaan uzur.
“Dia berumur 76 tahun. Saya perlu menguruskan makan minumnya kerana dia sudah nyanyuk. Seorang ibu saudara lagi berusia 61 tahun dan dia mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 tahun. Anak perempuannya adalah anak istimewa.
“Suami saya meninggal dunia akibat penyakit saraf. Saya memang tidak bekerja semasa suami ada. Dia yang menanggung kami sekeluarga. Setelah kematian suami, pendapatan itu memang tidak ada. Saya hanya mengharap bantuan daripada Pusat Zakat.
“Pusat Zakat Selangor memberi bantuan bulanan sebanyak RM200 dan sumbangan barangan dapur seperti beras dan minyak.
“Setelah suami meninggal dunia, anak sulung saya, Nur Syazwani, 22 tahun, pula mengambil alih mencari rezeki untuk keluarga. Dialah yang menanggung adik-adiknya belajar sebab saya tidak bekerja. Anak perempuan saya ini baru saya mendirikan rumah tangga. Anak kedua saya Nur Ariff, 21 tahun, sudah habis belajar dan baru bekerja.
“Anak ketiga saya Nur Asyraff, 15 tahun, masih belajar di Ma’ahad Tahfiz Ismail di Puncak Alam, Selangor. Manakala anak bongsu saya Nur Afiff masih bersekolah dalam darjah lima. Anak bongsu saya ini bermasalah dalam pembelajaran,” katanya tentang latar belakang keluarganya.
Misnah mengakui dirinya perlu kuat dalam menghadapi kenyataan hidup dan sentiasa banyak berdoa.
“Rezeki itu ada di mana-mana. Kita sahaja yang perlu berusaha. Tetapi bagi saya, hendak berusaha lebih dari luar kemampuan memang saya tidak berdaya kerana saya sendiri tidak berapa sihat. Secara jujurnya saya tidak kuat.
“Semasa hidup, arwah suami adalah petani. Dia tidak meninggalkan sebarang harta untuk menyokong saya membesarkan anak-anak. Saya berusaha sendiri selepas itu dan perlu kuat untuk anak-anak.
“Saya bersyukur anak-anak banyak memahami. Mereka tahu ibu mereka tidak semampu orang lain. Saya bersyukur sebab rezeki itu ada. Tetapi kita kena sabar. Memang semua orang ada dugaan tetapi demi anak-anak kita kena kuat dan kena reda kerana itu semua sudah ketentuan Allah untuk kita.
“Secara jujurnya saya tidak ada rasa terbeban dengan tanggungjawab ini. Susah senang kita bersama. Makan atau tidak, kami sama-sama rasa,” luah Misnah sambil mengesat air mata yang secara tiba-tiba keluar tanpa disedari.
Salbiah Dahlan, 61 tahun, ibu saudara yang turut menemani Misnah dalam pertemuan ini berasa sedih dengan keadaan dirinya yang seperti membebankan anak saudaranya itu.
“Saya seperti menjadi tanggungjawab dia apabila saya menumpang di rumahnya. Saya sudah tidak ada tempat lain untuk tinggal. Saya bergantung apa yang ada pada anak saudara saya ini. Ada rezeki kami kongsi, mana yang tidak ada kami berusaha cari bersama-sama.”
Salbiah mula tinggal dengan Misnah setelah dia bercerai dengan suaminya. Salbiah tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan bergantung sepenuhnya pada Misnah.
Kenapa Misnah? Itu soalan yang ditanya pada Salbiah.
“Saya ada anak tetapi maklum sahajalah dia juga ada suami dan keluarga sendiri. Hanya Misnah sahaja yang sependapat dengan saya. Saya sayang pada Misnah sebab masa kecil saya ada menjaga dia,” ceritanya.
Celah Misnah pula, tidak ada beza antara ibu saudara atau adik-beradik lain. Hubungan mereka memang rapat.
Sewaktu menunggu majalah Impiana melakukan sedikit make over terhadap ruang tamu rumah mereka, Misnah berehat seketika di Omah Liren, rumah rehat tempat penulis dan rakan-rakan lain menginap sepanjang kami berada di Sungai Besar.
Kelihatan wajah Misnah ceria tatkala menceritakan pengalaman membeli-belah di Econsave sebelum itu. Hampir seharian MW menemani keluarga ini membeli-belah di Econsave Alam Jaya, Puncak Alam.
Terima kasih Area Manager Econsave Cash and Carry Sdn Bhd Miss Lim Yoke Foong dan Branch Manager Econcave Alam Jaya Ahmad Subti bin Haji Ashari atas sumbangan baucer bernilai RM1300 yang diberikan kepada asnaf terpilih ini.
“Saya seperti bermimpi. Tidak dapat dibayangkan. Seronok sangat. Syukur Alhamdulillah, anak saya dan anak saudara saya memang cukup gembira sehingga tidak terkata. Saya tidak dapat bayangkan keseronokan mereka kerana selama ini saya tidak mampu hendak mengajak mereka membeli belah. Saya lebih utamakan keperluan untuk anak-anak belajar,” terangnya lagi.
Video membeli-belah di Econsave bersama Mingguan Wanita dan make over rumah oleh Impiana ini pula boleh ditonton di saluran You Tube, laman web, Facebook dan Instagram Mingguan Wanita dan Impiana pada hari raya Aidilfitri ini.
Jika ada yang sudi membantu, Misnah terima apa sahaja bantuan yang diberikan. Dia menerima dengan seadanya. Sebarang bantuan bolehlah menghubungi nombor telefon bimbit 0132352339 atau hantar ke alamat No 44A, Parit 11 Gambut, Jalan Sg Panjang, 45300 Sungai Besar, Selangor atau ke akaun Maybank bernombor 162197407939 Misnah binti Mismat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!