
Dari dunia coklat premium ke pentas fesyen penuh elegan, Nafesa hadir bukan sekadar sebagai jenama tudung baharu di Saudagaar Asia, ia adalah warkah cinta seorang anak kepada ibunya, tanda penghargaan terhadap wanita yang menjadi sumber kekuatan hidupnya.

Pengasasnya, Said Saiful Fazli Said Aluwi, tidak membina jenama ini sekadar atas minat atau peluang pasaran semata-mata. Nafesa lahir daripada doa yang paling jujur, rindu yang paling dalam, dan kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah putus mengalir dalam hidup seorang anak.

Nama Nafesa, diambil terus daripada nama ibunya, Naveesof, simbol kelembutan, ketabahan dan keanggunan seorang wanita yang membesarkan keluarga dengan penuh sabar dan pengorbanan. Ia bukan sekadar nama, tetapi amanah cinta yang dibawa ke hadapan.
Inspirasi Arafah
Inspirasi itu hadir di Arafah, ketika hening doa dan rintih rindu kepada ibunya membuka jalan kepada kelahiran sebuah label fesyen yang sarat makna. Setiap helaian dalam koleksi Nafesa seolah-olah menyimpan getaran kasih seorang anak terhadap ibunya, lembut, menjaga, dan penuh hormat.

Koleksi sulung Nafesa, The Alhambra Monogram, diinspirasikan daripada seni bina megah Istana Alhambra di Granada. Corak yang halus dan kaya nilai seni itu mengangkat satu mesej penting, wanita bukan hanya mempersona dari luaran, tetapi juga kukuh dari dalam.
Setiap helaian dicipta menggunakan satin premium yang lembut, ringan dan mudah dibentuk, sesuai untuk wanita moden yang sentiasa bergerak tetapi mahu kekal anggun sepanjang hari. Ia bukan sekadar tudung, tetapi ruang untuk wanita.
Dalam setiap butiran rekaan, Saiful menyelitkan memori bersama ibunya. Kisah pengorbanan, nasihat yang tak pernah lekang, dan kekuatan seorang wanita yang tetap tersenyum walau diuji kehidupan.

Tidak ketinggalan, kehadiran Noor Kumalasari sebagai Nafesa Première Showcase Muse menjadikan pelancaran jenama ini lebih simbolik. Figura tersohor yang anggun bak waktu, Noor membawa aura kemewahan warisan lama yang selari dengan nilai Nafesa, elegan, berjiwa, dan kekal relevan merentas zaman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!













