Grab Malaysia Perkasa Bola Sepak Wanita, Jadi Rakan Rasmi LWN 2025

Share

Sejak Liga Wanita Nasional (LWN) diperkenalkan pada 2017 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), wanita Malaysia kini punya gelanggang sendiri untuk membuktikan kebolehan. Dari sekadar pasukan sekolah hingga ke pentas liga, pemain-pemain ini membina kekuatan dengan keringat, jatuh-bangun, dan keyakinan bahawa bakat mereka setara dengan lelaki.

Musim 2025 menjadi bukti kemajuan ini. Malah bola sepak wanita semakin mendapat perhatian di Malaysia, dan Grab Malaysia kini tampil sebagai Platform e-Hailing & Penghantaran Makanan Rasmi untuk Liga Wanita Nasional (LWN). Usaha ini bertujuan meningkatkan prestij liga, memberi lebih pengiktirafan kepada atlet wanita, serta menggalakkan rakyat Malaysia menyokong bola sepak wanita.

Kerjasama ini diumumkan semasa pelancaran musim 2025 Liga Wanita Nasional baru-baru ini, yang turut disaksikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Semarakkan Semangat Rakyat Malaysia Dalam Menyokong Bola Sepak Wanita

Musim ini, lapan pasukan yang terdiri daripada Kelana United FC, KL Rangers FC, Kuala Lumpur FA, MBSJ FC, Red Eagles FC, Sabah FA, Selangor FC dan Young Tigress akan berentap.

Melalui kerjasama ini, Grab Malaysia akan memperluaskan promosi perlawanan LWN di platform Grab, memberi pengalaman lebih menarik kepada peminat bola speak dan memperkasa atlet wanita di dalam dan luar padang. Malah menerusi gandingan Grab dan LWN berharap dapat menyemarakkan semangat rakyat Malaysia untuk menyokong bola sepak wanita, sambil meraikan ketabahan, bakat, serta kesungguhan para pemain.

Pada majlis pelancaran itu juga Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo menyatakan pihaknya sangat kagum dengan semangat juang luar biasa wanita.

“Di Grab, kami komited dalam memperkasa wanita agar mereka terus maju – sama ada dalam usaha memecahkan batasan di atas padang, atau mengejar peluang dalam kehidupan seharian. Kerjasama kami dengan LWN mencerminkan misi ini dan menekankan dedikasi kami untuk memacu pemerkasaan ekonomi yang inklusif.

“Melalui inisiatif seperti #SisBoleh, kami telah menyediakan peluang penjanaan pendapatan fleksible untuk wanita bagi membantu mereka mencapai kejayaan dengan cara mereka tersendiri.

“Apa yang lebih memberi inspirasi adalah beberapa pemain bola sepak berbakat liga ini juga merupakan rakan-pemandu dan penghantar di platform kami, satu lambang ketabahan dan semangat juang yang luar biasa.

“Bersama-sama, kita berusaha menggerakkan rakyat Malaysia untuk memperjuangkan sukan wanita dan meraikan pencapaian hebat para atlet wanita, sekaligus membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah dan inklusif,” ujarnya.

Bukan Kolaborasi Biasa

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Suraya Yaacob pula menerangkan kolaborasi antara LWN dan Grab Malaysia bukanlah kolaborasi biasa. Ia merupakan satu Kerjasama yang sangat bermakna untuk mengangkat martabat bola sepak wanita.

“Kerjasama antara LWN dan Grab Malaysia bukan sekadar kolaborasi biasa. Ianya merupakan satu gerakan yang bermakna untuk mengangkat bola sepak wanita dan memperkasakan suara atlet wanita di seluruh Malaysia.

“Sukan wanita berhak mendapat lebih banyak liputan dan dorongan, dan dengan sokongan daripada Grab Malaysia, kita sedang mengambil langkah penting untuk membangunkan liga ini dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menyokong atlet-atlet hebat ini.

“Bersama, kita bukan sahaja memacu kemajuan untuk wanita dalam bidang sukan, malah kita mencipta peluang untuk generasi seterusnya agar berani bermimpi dan meraih lebih banyak kejayaan. Kami menjemput semua warga Malaysia untuk bersama-sama menyokong bola sepak wanita dan meraikan semangat, bakat, dan ketabahan para pemain kita,” kata Dato’ Suraya yang juga berharap atlet wanita akan meraih sokongan dari semua rakyat Malaysia.

Pelanggan Akan Nikmati Pengalaman Luar Biasa

Sebagai Inisiatif daripada Kerjasama ini, Grab akan memberikan pengalaman istimewa buat para pelanggannya.

Aplikasi Grab akan berfungsi sebagai platform untuk memperluaskan keterlihatan perlawanan, pemain dan liga LWN, serta menggalakkan rakyat Malaysia untuk memberi sokongan padu kepada komuniti bola sepak wanita.

Grab juga akan bekerjasama dengan LWN untuk menghasilkan kandungan berinspirasi yang menyerlahkan liga dan para atletnya, bagi meningkatkan keterlibatan dan sambutan orang ramai. Di lokasi perlawanan, penonton boleh menikmati pengalaman yang lebih lancar dengan menempah makanan kegemaran mereka melalui GrabFood, manakala para pemain LWN akan menerima pelbagai ganjaran dan keistimewaan eksklusif sebagai sebahagian daripada komitmen Grab untuk memperkasa wanita di dalam dan di luar padang.

Kepada seluruh rakyat Malaysia srtai dan sokonglah bola sepak wanita dengan Grab Malaysia dan Liga Wanita Nasional (LWN). Lawati Liga Wanita Nasional untuk mengetahui lebih lanjut tentang liga, mengikuti perlawanan, dan menyokong pasukan pilihan anda.

Baca Disini : #SisBoleh Kuasai Kewangan: Grab Malaysia Memperkasa Wanita Melalui Literasi Kewangan

 

Published by
Norhayati Suboh