Genap setahun tragedi tanah mendap, anak buat upacara kenang pemergian ibu di Jalan Masjid India. Anak kepada seorang wanita warga India yang menjadi mangsa tragedi tanah mendap di Jalan Masjid India tahun lalu kembali ke lokasi sama bersempena ulang tahun pertama kejadian berkenaan untuk mengadakan upacara doa.
M Surya, anak lelaki kepada G Vijayalakshmi yang berusia 48 tahun ketika kejadian, hadir ke lokasi tersebut dua hari lalu bagi melaksanakan upacara thavasam. Ritual itu merupakan amalan dalam agama Hindu yang diadakan mengikut tarikh bintang kematian si mati.
Dalam upacara ringkas yang diadakan di laluan pejalan kaki yang sudah dibaik pulih itu, Surya ditemani seorang saudara. Sebagai sebahagian daripada ritual ‘thavasam’, pemuda berusia 25 tahun itu meletakkan gambar ibunya di dalam bingkai berhampiran lokasi mendapan, menghiasinya dengan kalungan bunga, selain menyusun pelbagai persembahan di atas daun pisang termasuk buah-buahan, kuih-muih dan makanan kegemaran ibunya.
Sempena ulang tahun itu juga, Surya turut mengedarkan makanan dan minuman percuma kepada penduduk sekitar sebagai ‘anathanam’ (sedekah makanan), satu amalan dilakukan dengan doa roh ibunya bersemadi dengan tenang.
Tragedi berkenaan berlaku pada jam 8.22 pagi 23 Ogos tahun lalu, Vijayalakshmi yang berasal dari Kuppam di negeri Andhra Pradesh, India, terjatuh sedalam lapan meter ke dalam tanah mendap yang tiba-tiba terbuka di laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India, kawasan beli-belah sibuk yang popular dalam kalangan pelancong.
Difahamkan, ketika kejadian, beliau sedang menuju ke sebuah kuil berdekatan, manakala Surya pula berada di Thailand. Beliau tiba dari Thailand pada 24 Ogos dan tidak meninggalkan lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga usaha itu ditamatkan pada 31 Ogos.
Operasi SAR yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Geologi serta pelbagai agensi lain dijalankan secara besar-besaran. Namun, usaha berkenaan berdepan pelbagai kesukaran antaranya laluan pembetung yang sempit dan tersumbat, penglihatan terhad serta keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pasukan penyelam turut melakukan percubaan masuk ke dalam sistem pembetungan tetapi hanya mampu bertahan tidak lebih daripada 30 minit. Selepas sembilan hari, operasi SAR dihentikan dan fasa pencarian beralih kepada pemulihan.
Pada 1 September 2024, sehari selepas operasi tamat, DBKL menyerahkan sumbangan ihsan berjumlah RM30,000 kepada keluarga mangsa. Datuk Bandar Kuala Lumpur menegaskan ia bukan bayaran pampasan, sebaliknya sekadar “sumbangan ikhlas”.
Sumber: Berita Harian dan Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Gadis Mangsa Disimbah Cuka Getah Jalani Pembedahan Hidung, Tak Pernah Berdendam Perbuatan Bapa
Tragedi Jejambat Lebuh Raya Dash, Pelajar Kolej Maut, Terjatuh Dari Ketinggian 21 Meter
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE