
Gali semula kubur Zara Qairina untuk bedah siasat, mahkamah ada kuasa arahkan jika perlu. Mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah menggali semula kubur bagi mengeluarkan jenazah, khususnya untuk tujuan menjalankan bedah siasat semula, selaras dengan peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah.
Gali Semula Kubur Zara Qairina Untuk Bedah Siasat, Mahkamah Ada Kuasa Arahkan Jika Perlu
Menurut Peguamcara dan Peguambela, Nor Zabetha Muhamad, walaupun mayat yang telah lama dikebumikan tidak lagi mempunyai tisu lembut yang boleh dinilai kerana proses pereputan, namun kecederaan pada tulang masih boleh dikesan dan menjadi bukti penting.

Katanya, perkara ini pernah dijelaskan oleh Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh ketika memberikan keterangan dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
“Saya ambil keterangan Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dalam kes kematian kadet Zul Farhan (PP lwn. Muhammad Akmal Zuhairi Akmal & Ors [2024] 1 CLJ 795).
“Bagi orang Islam perlu mendapatkan keizinan khas Jabatan Agama Islam Negeri. Bagaimanapun, sudah tentu jika mayat mangsa dikeluarkan, keadaannya tidak sama tetapi banyak kecederaan tulang akan kelihatan.
“Sebenarnya terdapat banyak kes di Malaysia, jenazah yang ditanam telah digali semula ‘exhume’ atau ‘exhumation’ untuk bedah siasat,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, tular kisah seorang ibu, Noraidah Lamat yang memohon bantuan guaman untuk memulakan proses menggali semula kubur anaknya, Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap kematiannya.
Nor Zabetha turut berkongsi satu lagi kes melibatkan kematian Dr Sebastian Joseph, di mana bapa mangsa, Joseph Anthony telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengebumikan semula mayat anaknya bagi menjalani bedah siasat kali kedua pada 7 Januari 2015.
Beliau menjelaskan bahawa hasil bedah siasat kedua mendakwa bedah siasat pertama dilakukan secara cuai dan tidak mengikut piawaian profesional, manakala siasatan polis pula dikatakan tidak dijalankan dengan teliti.
“Jadi Plaintif sebagai bapa menyaman pegawai perubatan, polis, pengarah hospital, Ketua Polis dan Kerajaan Malaysia.
“Dalam kes ini terdapat isu-isu tentang kedudukan undang-undang antaranya kewajipan pegawai perubatan adalah untuk kepentingan masyarakat dan bukan pada keluarga, terdapat isu had masa.
“Berdasarkan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, tindakan terhadap pegawai awam atau pihak berkuasa Awam mestilah dalam tempoh tiga tahun dari perbuatan. Memandangkan tindakan ini diambil melebihi tiga tahun, jadi tuntutan plaintif ditolak,” jelasnya.

Selain itu, Nor Zabetha juga mengulas kes Zahidah Ahmad dan adik tirinya Maznah, di mana pihak polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali semula jenazah ibu tiri mereka, Tanziah Zainuddin, yang telah dikebumikan tanpa sebarang bedah siasat.
Ketika memandikan jenazah, keluarga menyedari adanya kesan lebam namun urusan pengebumian tetap diteruskan. Namun kemudian, gelang emas milik Allahyarham didapati hilang dan ditemui telah digadai oleh teman lelaki Zahidah, menyebabkan keluarga mengesyaki unsur jenayah dan membuat laporan polis.
“Sewaktu memandikan jenazah, ahli keluarga nampak kesan lebam tetapi meneruskan urusan pengebumian.
“Selepas kejadian, gelang emas mangsa hilang dan dijual di kedai pajak oleh teman lelaki Zahidah.
“Ahli keluarga mula syak terdapat unsur jenayah, laporan polis dibuat. Setelah mayat digali, bedah siasat dijalankan namun punca kematian tidak dapat dipastikan kerana pereputan,” katanya.
Kedua-dua tertuduh dalam kes ini akhirnya dijatuhi hukuman. Maznah dikenakan perintah tahanan di bawah Yang di-Pertuan Negeri disebabkan statusnya sebagai remaja semasa kejadian. Zahidah pula disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun.
“Keputusan untuk menggali semula mayat bukan mudah tetapi ahli keluarga akan cuba mencari keadilan sewajarnya kerana mereka mahukan jawapan,” tambah Nor Zabetha.
Sumber: Sinar Harian dan Peguam Nor Zabetha

Baca artikel lain juga: Bekas Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha Nafi Terbabit Tragedi Zara Qairina- Saya Sudah Bersara Ketika Insiden Berlaku
Seruan Dirikan Solat Hajat Serentak Selepas Solat Jumaat Demi Keadilan Buat Zara Qairina
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI