“Ayah… Ruqyah dah jadi doktor, macam yang ayah impikan.”

Itulah ungkapan penuh emosi yang lahir daripada bibir Dr Siti Ruqyah Adnan, 24, sebaik menggenggam erat ijazah perubatannya di sisi pusara insan tersayang, ayahnya, Adnan Yasin, 76, di Tanah Perkuburan Islam Sri Aman.

Anak bongsu daripada sepuluh beradik ini baru sahaja menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah.

Kisah Sayu Di Sebalik Kejayaan Dr Siti Ruqyah Adnan

Namun, saat yang sepatutnya menjadi detik paling manis dalam hidupnya bertukar menjadi pilu apabila tiga jam sebelum majlis konvokesyen bermula, beliau menerima khabar duka ayahnya meninggal dunia secara mengejut di kediaman keluarga mereka di Kampung Sri Aman, Kelantan.

Menurut Dr Siti Ruqyah Adnan, dia masih tidak dapat melupakan detik menerima panggilan itu.

Tak Sempat Tengok Anak Bawa Balik Ijazah, Gadis Bangga Tunaikan Impian Ayah Jadi Doktor
Dr Siti Ruqyah menggenggam erat ijazah yang baru diterima di sisi pusara ayahnya, Adnan di Tanah Perkuburan Islam Sri Aman, Pasir Puteh. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

“Sebaik sahaja menerima perkhabaran tersebut, saya terus berlari masuk ke dalam kereta dan menangis teresak-esak sebelum didatangi rakan-rakan yang cuba menenangkannya,” katanya dengan nada sebak.

Detik Terakhir Bersama Ayah

Katanya lagi, pada awalnya abang dan kakaknya merancang hadir bagi mewakili keluarga di majlis konvokesyen, namun apabila mendapat tahu tentang pemergian ayah, mereka berpatah balik ke Kelantan.

Ads

“Malam sebelumnya ayah sihat dan tiada tanda-tanda sakit serta menghantar saya menaiki bas. Pagi Ahad itu, masa hendak solat Subuh, ayah dikatakan berhenti beberapa kali sebab sakit dada dan termuntah.

“Ayah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya perlahan.

Impian Ayah Dr Siti Ruqyah Adnan Akhirnya Tertunai

Arwah yang juga seorang pesara guru dikatakan amat menantikan hari konvokesyen anak bongsunya itu. Namun, hajat untuk hadir tidak kesampaian kerana perlu menjaga isterinya, Nik Norizan Wan Deraman, 69, yang sudah enam tahun terlantar akibat serangan strok.

“Betapa arwah menunggu saat itu kerana impian ayah hendak melihat salah seorang daripada anaknya menjadi doktor.

“Alhamdulillah saya berjaya menyempurnakan impian ayah. Abang dan kakak adalah jurutera, guru, dan pegawai bank,” katanya lagi.

Tak Sempat Tengok Anak Bawa Balik Ijazah, Gadis Bangga Tunaikan Impian Ayah Jadi Doktor
Menurut Dr Siti Ruqyah baju dipakai semasa hari raya lalu itu adalah persalinan yang sama dikenakan semasa hari konvokesyennya di UniSHAMS dan ia menjadi kenangan buatnya bersama arwah ayah dan ibu.

Tunaikan Impian Ayah Dengan Ijazah Di Pusara

Selesai majlis konvokesyen, Dr Siti Ruqyah Adnan bergegas pulang ke kampung halamannya. Namun, sebaik tiba, jenazah ayahnya telah pun selamat dikebumikan sekitar jam 5 petang.

Ads

Dia tidak sempat menatap wajah ayah buat kali terakhir, tetapi tetap membawa pulang ijazah yang diimpikan ayahnya selama ini untuk dihadiahkan di pusara insan yang membesarkannya penuh kasih.

Tak Sempat Tengok Anak Bawa Balik Ijazah, Gadis Bangga Tunaikan Impian Ayah Jadi Doktor

“Impian ayah sudah saya tunaikan. Saya akan teruskan perjuangan ini, untuk ayah dan mak,” ujarnya menutup bicara.

Ads

Sumber: Sinar Harian

Artikel lain: “Rezeki Anak, Hadiah Dari Allah”- Ibu Muda Berpantang Rai Dua Anugerah Utama UniSZA

Ibu Muda Dalam Pantang, Nekad Hadir Konvokesyen, Naik Pentas, Rai Kejayaan Bersama Keluarga

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI