Gadis Mangsa Disimbah Cuka Getah Jalani Pembedahan Hidung, Tak Pernah Berdendam Perbuatan Bapa

Share

Gadis mangsa disimbah cuka getah jalani pembedahan hidung, tak pernah berdendam perbuatan bapa. “Abah antara orang yang sangat gembira apabila saya menjalani pembedahan hidung bagi melancarkan pernafasan yang sempit dan sehingga kini abah juga selalu minta maaf atas kejadian itu,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan.

Gadis Mangsa Disimbah Cuka Getah Jalani Pembedahan Hidung, Tak Pernah Berdendam Perbuatan Bapa

Nurul Dahyatul, kini berusia 23 tahun, merupakan mangsa simbahan cuka getah oleh bapa kandungnya dalam insiden tragis pada 15 Ogos 2010, kira-kira jam 1.45 pagi. Serangan tersebut meninggalkan parut kekal pada wajah dan tubuhnya, selain kedua-dua rongga hidungnya mengecut hingga menjejaskan pernafasan.

Gambar terkini

Anak muda ini telah menjalani lima kali pembedahan hidung di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak April tahun lalu, dengan yang terbaru pada 21 Ogos lalu. Beliau menjelaskan, rawatan tersebut banyak dibantu pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menanggung kos perjalanan ke ibu negara, selain Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menyumbang RM2,300 bagi pembelian tisu expander.

Nurul Dahyatul Fazlinda (kiri) bersama ibunya Che Ku Zaimah (tengah). Kredit foto: Sinar Harian

Menceritakan lanjut, katanya kulit lama pada wajah terpaksa dibuang sebelum pasukan doktor membentuk semula hidung menggunakan tulang rawan sebagai sokongan.

“Sekarang pernafasan saya sudah tidak sempit dan bernafas juga sudah lebih mudah dan baik berbanding dahulu.

Nurul Dahyatul Fazlinda menjalani pembedahan untuk meletakkan isi lemak ke bahagian hidung pada 17 April tahun lalu. Kredit foto: Sinar Harian

“Pembedahan ini dilakukan untuk kesihatan diri dan bukan untuk menjadi cantik semata-mata atau malu dengan parut ini. Saya juga bersyukur impian menjalani pembedahan tercapai dan mungkin akan ada dua pembedahan lagi selepas ini,” jelasnya.

Nurul Dahyatul turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sudi membantu, khususnya Teresa Kok dan MAIDAM, selain akhbar ini yang sebelum ini menyiarkan kisah perjuangannya mendapatkan rawatan.

“Saya dimaklumkan YB (Yang Berhormat) Teresa tersentuh hati apabila membaca kisah saya yang tidak pernah berdendam dengan abah dalam kejadian itu yang disiarkan Harian Metro pada 2023.

Gambar terkini: Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Saya terharu meski berbeza kaum dan agama beliau (Teresa) sudi membantu saya. Abah juga gembira dan sebak apabila saya dapat bantuan dan impian menjalani pembedahan tercapai,” katanya lagi.

Terdahulu, Harian Metro pernah menyiarkan pengakuan Nurul Dahyatul bahawa dia tidak pernah menyimpan dendam terhadap bapanya. Malah, memaafkan lelaki itu telah menenangkan jiwanya, dan ibunya juga tidak pernah mendidik mereka untuk membenci bapa kandung sendiri.

Dalam insiden di Kampung Sekayu, Kuala Berang itu, bukan sahaja Nurul Dahyatul cedera, malah adiknya, Muhammad Irfan Firdaus dan ibu mereka, Che Ku Zaimah Che Ku Awang turut menjadi mangsa simbahan cuka getah. Peristiwa hitam itu merubah kehidupan keluarga ini, namun kasih dan hormat mereka terhadap Mat Haizan Mat Yassin tidak pernah pudar.

Nurul Dahyatul Fazlinda (kanan) bersama adiknya, Mohd Irfan (dua dari kanan) ketika Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. Kredit foto: Sinar Harian

Bagi yang ingin membantu meringankan beban rawatannya, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1150041000040457 atas nama Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan.

Sumber: Harian Metro  dan Sinar Harian 

Baca artikel lain juga: Tersimbah Asid Ketika Masih Kecil, Gadis Tidak Pernah Berdendam Dengan Ayah

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has