
Kisah gadis cekal, Nur Nabilah Mohd Azahar, kembali menjadi perhatian apabila dia menggenggam ijazah sarjana meskipun pernah berdepan tragedi menyayat hati, kehilangan kaki kanan akibat terkena kipas bot semasa latihan menyelam di Dive Division Curacao, Caribbean, empat tahun lalu.

Insiden itu hampir mematahkan semangatnya, namun berkat sokongan keluarga, pensyarah serta rakan-rakan, Nabilah atau mesra disapa Bella, bangkit daripada kemurungan dan membuktikan dirinya mampu berjaya. Dia kini menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Pelancongan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan keputusan membanggakan, CGPA 3.55.
“Sepanjang 10 bulan saya dirawat di wad, saya mengalami kemurungan memikirkan masa depan kerana ketika itu saya baru sahaja menjalani latihan industri di peringkat sarjana muda.

“Namun, dari situlah saya berazam untuk bangkit sebagai pelajar orang kurang upaya (OKU) yang baharu dan berdikari setelah mendapat sokongan pensyarah dan rakan-rakan. Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian dengan pencapaian CGPA 3.55,” katanya.
Perjalanan Nur Nabilah Mohd Azahar Sebagai Pelajar OKU
Sepanjang bergelar pelajar sarjana, Nur Nabilah Mohd Azahar tetap meneruskan rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan mengakui perjalanan itu bukan mudah.

“Pada mulanya agak sukar untuk hidup berdikari sebagai pelajar OKU di Inapan Siswa Maybank tanpa ibu bapa di sisi.
“Namun, urusan saya di kampus banyak dipermudahkan oleh pihak universiti dan rakan-rakan kuliah yang sentiasa membantu,” ujarnya.
Dia juga menzahirkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada keluarga, pihak universiti, pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), serta rakan-rakan yang tidak pernah jemu memberi dorongan.

Bangkit Semula Selepas Tragedi Kipas Bot Di Caribbean
Lebih membanggakan, selepas pulih daripada kemurungan, Nur Nabilah Mohd Azahar kembali aktif dengan aktiviti menyelam, minat yang hampir meragut nyawanya dahulu. Malah, dia pernah muncul dalam rancangan Majalah 3, beberapa media tempatan serta membintangi watak sokongan dalam sebuah filem.
Kini, gadis bersemangat waja ini berhasrat mencari pekerjaan yang sesuai dengan keupayaannya sebagai individu OKU dan mahu menjadi inspirasi kepada mereka yang senasib agar terus tabah menempuh hidup tanpa penyesalan.
Kejayaan Nur Nabilah Mohd Azahar Di Konvokesyen UUM
Pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah petang tadi, Nur Nabilah Mohd Azahar menerima ijazah sarjananya yang disampaikan oleh Pro-Canselor UUM, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah, simbol kejayaan besar hasil ketabahan dan kecekalan dirinya.
Kisah inspirasi Nur Nabilah Mohd Azahar membuktikan bahawa kecacatan bukan penghalang untuk berjaya. Dengan semangat, kesabaran dan doa, beliau kini menjadi contoh pelajar yang bangkit daripada ujian hidup untuk mencipta masa depan gemilang.
Sumber: Facebook Universiti Utara Malaysia (Oleh: Nordiana Shafiee Gambar: Mohd Fuad Stephan)
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!










