
Kehidupan yang sibuk dalam urusan perniagaan mungkin menyukarkan diri untuk mempunyai masa berkualiti bersama. Namun bagi Fouziah Gous itu tidak menjadi masalah buat dia dan suami.
“Sejak mula berkahwin hingga ke hari ini, setiap hari sebelum tidur saya akan tanya suami apakah perancangannya pada esok hari. Dari situ saya boleh rancang apa yang akan saya buat bersama. Jika suami ada mesyuarat dan urusan lain yang perlu diselesaikan, saya akan fokus dengan kerja saya dan luang masa bersama Zeeshan di rumah atau pejabat.
“Masa berkualiti dengan anak saya tak ada masalah sangat. Dengan suami pula saya akan ikut masa dia. Jika suami ada perbincangan pada malam hari saya akan ke rumah ibu saya. Kerja saya dengan suami dua bidang yang berbeza, jadi biasanya setelah seharian berpenat lelah dengan semua urusan tersebut, malam sebelum tidur saya dan Zhaf akan berkongsi cerita apa yang berlaku pada hari itu.
“Hujung minggulah waktunya untuk kami luangkan masa bersama-sama sebaiknya. Memang kami berdua sama-sama sibuk tapi kami tetap luangkan masa setiap malam untuk bercerita tentang aktiviti masing-masing sebelum tidur. Jadi saya tahu apa aktivitinya sepanjang hari. Bagi saya yang paling penting adalah komunikasi dalam perhubungan,”katanya.
Seimbangkan Pantang Tradisional & Cara Moden
Menjadi kelaziman wanita selepas bersalin untuk berpantang selama tempoh tertentu bagi memulihkan badan setelah mengandung dan bersalin. Fouziah Gaus seperti wanita-wanita lain juga turut mengamalkan pantang untuk wanita bersalin. Moden atau tradisional bukanlah satu persoalan untuknya, yang penting ia dapat membantu mengembalikan kesihatan dan bentuk badan yang asal kepada setiap wanita.
“Saya tetap makan ubat yang doktor bagi dan berpantang di rumah. Bagi saya, pantang moden dan tradisional perlu seimbang. Contohnya 44 hari saya perlu berada di rumah, berurut, bengkung dan sebagainya itu memang saya lakukan.

“Pemakanan dalam pantang juga turut saya amalkan dan tidak makan sewenang-wenangnya. Malah saya suka makanan dalam pantang, ia sihat dan menyelerakan. Tambah lagi bila ibu mentua saya yang memasaknya. Seingat saya ketika berpantang anak yang pertama dahulu, dua minggu pantang saya dah dapat pakai baju saya sebelum mengandung dahulu. Jadi berpantang itu memang perlu diikuti dan ia baik untuk badan kita.”
Namun begitu, menurut Fouziah dia tidak mengamalkan sebarang jamu ketika berpantang. Hanya rutin pantang yang biasa dan juga pengambilan ubat-ubatan mengikut saranan doktor sahaja yang diamalkan.”
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Datuk Shafinaz & Ernie Zakri Ikon Seni Dua Generasi

Isi Kandungan
ToggleOktober datang lagi, sempena kedatangan bulan kanser payudara kali ini, Mingguan Wanita mengambil kesempatan untuk menyatukan dua nama besar dalam industri seni suara iaitu Datuk Shafinaz Selamat dan Ernie Zakri. Selain berkongsi pencapaian masing-masing dalam industri, dua nama besar ini juga turut sama mengajak wanita di luar sana untuk sentiasa memastikan kesihatan yang baik dengan cara mengamalkan gaya hidup sihat.
Masih Seperti Dahulu
Menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada awal tahun lalu tidak pernah mengubah kehidupan figura ini. Kehidupannya masih berjalan seperti biasa. Datuk Shafinaz yang popular menerusi lagu Ingin Bersamamu tetap menjalankan tugas rutinnya sebagai pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Dalam masa yang sama beliau turut memegang jawatan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) serta vokal “master” untuk Koir Kebangsaan Malaysia. Terbaru dirinya turut terlibat dalam rancangan realiti, Mentor di TV3.
Menyentuh pendapat beliau tentang gadis pelantun suara yang semakin dikenali, Ernie, beliau berbangga dengan kejayaan yang dimiliki oleh gadis itu.
“Kami mempunyai hubungan yang baik, dia seorang pelajar yang bagus. Kini dia juga sudah mula mengajar, perkara ini membuatkan saya berbangga dengan pencapaiannya. Telah menjadi tugas seorang guru untuk mendidik anak muridnya mencapai sesuatu kejayaan. Pada saya, Ernie telah mencapai satu tahap pencapaian yang sangat baik.
“Seperti mana orang lain, saya turut mengharungi beberapa kejayaan untuk sampai ke tahap ini. Sebagai wanita susah untuk mengubah persepsi masyarakat yang sering kali meletakkan had umur tertentu untuk mencapai sesuatu lazimnya untuk berumah tangga dan beranak. Tetapi bagi saya ini pilihan saya untuk sangat fokus kepada kerjaya saya.
“Jadi cabaran untuk diri saya adalah mencari masa untuk keluarga saya dan diri sendiri. Saya amat workholic. Jika saya miliki lebih daripada 24 jam untuk bekerja mungkin saya akan bekerja dengan lebih kuat lagi. Manakala cabaran ketika bersama pelajar adalah bertemu pelajar yang macam-macam ragam dari yang kecil sehinggalah yang dewasa.
“Setiap pelajar miliki perbezaan apatah lagi yang berbeza ideologi bahawa nyanyian adalah sekadar hobi. Saya pula meletakkan nyanyian sebagai kerjaya. Jadi sukar untuk meletakkan expectation kepada mereka,” ungkapnya satu-persatu.
Lakukan Pemeriksaan Kerap
Biar pun beliau tidak pernah melalui situasi atau berhadapan dengan pesakit kanser secara dekat, namun beliau sering kali berkongsi maklumat dan cerita dengan orang sekelilingnya tentang kanser payudara. Apatah lagi di media, terdapat banyak kempen kesedaran dalam menggalakkan wanita di luar sana menjalani pemeriksaan payudara bagi menjamin kesihatan masing-masing.
“Sebenarnya kehidupan adalah lebih penting daripada segala-galanya. Sekiranya kita dapat cegah awal, semuanya akan bertambah baik. Sebaiknya janganlah kita terlalu takut untuk kehilangan payudara daripada kehilangan nyawa.
“Seperti orang lain, disebabkan kurang masa untuk bersenam, saya cuba untuk mengawal pemakanan tetapi saya sukar untuk meninggalkan tabiat mengambil makanan manis selepas menjamah makanan. Arwah bapa saya seorang pesakit diabetis, jadi saya perlu berjaga-jaga,” sebelum ini dirinya turut terlibat dalam beberapa NGO dalam kempen kesedaran kanser payudara.
Harapan Datuk Shafinaz, biar pun telah berada di tahap ini, dirinya masih belum berpuas hati dengan apa yang dicapai selama ini. Sebaliknya beliau sentiasa berusaha untuk pergi lebih jauh, menambah pencapaian diri dan mencabar diri untuk lakukan perkara-perkara yang baru. Setiap hari dia berusaha untuk bertanding dengan diri sendiri untuk menjadi yang terbaik.
Idola & Mentor Buat Selamanya
Selaku bekas pelajar Datuk Shafinaz, sudah tentu penyanyi dan guru vokal ini amat mengagumi idolanya. Selain menjadi seorang guru yang disanjungi, Datuk Shafinaz juga banyak memberi inspirasi padanya untuk mengajar orang lain dari segi vokal.
Bermula dengan peringkat ijazah, Ernie telah pun bersua dengan Datuk Shafinaz. Setelah tamat belajar dan terlibat dalam bidang industri sekali pun, Ernie tetap mendapatkan khidmat idolanya. Termasuklah ketika menyertai Anugerah Juara Lagu yang lalu. Dirinya sentiasa mengharapkan hubungan dengan gurunya akan berlangsung sampai bila-bila.
“Datuk Shafinaz bukan hanya mengajar saya dari segi vokal sebaliknya dalam masa yang sama berkongsi pengalamannya tentang industri. Dia memang tidak lokek dalam berkongsi ilmu. Oleh hal yang demikian, kini tiba masanya dia pula berkongsi dengan orang lain,’ jelas Ernie.
Ernie Pernah Jalani Pembedahan Buang Ketulan Payudara
Dalam masa yang sama, Ernie turut berkongsi pengalamannya yang pernah menjalani pembedahan untuk membuang ketulan di payudara pada usia 23 tahun. Mujurlah ia hanya ketulan kecil dan bukanlah sel kanser.
Ernie sendiri mengetahui tentang masalah yang dihadapi agak lambat kerana sering kali mengabaikan kepentingan membuat pemeriksaan kesihatan. Padahal sejak di sekolah lagi adanya pendedahan untuk kita memeriksa sendiri payudara agar kita menyedarinya lebih awal.

Setelah melalui fasa ini barulah Ernie mengakui dirinya kerap kali meluangkan masa untuk memeriksa mahkotanya setiap kali selepas mandi. Biar pun ia hanyalah ketulan, tetapi ia memberi efek kepada emosinya. Biar pun keluarga kita bebas daripada sejarah mengalami kanser payudara, namun apa salahnya untuk sentiasa buat pemeriksaan kerana tidak semua daripada kita bernasib baik.
“Buat wanita di luar sana yang tengah bertarung melawan kanser atau baru sahaja mengetahui dirinya mengalami kanser seharusnya mendoakan agar mereka kuat. Saya tahu situasi ini bukanlah mudah bagi kita. Jadi orang sekeliling perlulah memberi sokongan agar pesakit kanser menjadi lebih positif.
“Sejak saya membuang ketulan pada payudara, saya amalkan gaya hidup lebih positif. Saya titik beratkan pengambilan makanan yang sihat, kurangkan pengambilan ayam dan daging untuk perkara sama berulang kembali kepada diri saya.
***
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Datuk Shafinaz Selamat dan Ernie Zakri.Ikuti sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Oktober, Volume 2 ini.
Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
Penyelaras & Teks: Nur Syazwani Mehat
Foto: Ahmad Shahir Ahmad
Penata Gaya: Musnida
Solekan: Sahir Sabri (Ernie Zakri) & Mohd Hizam (Datuk Shafinaz Selamat)
Tajaan Pakaian: Amaze Inspire, Ken Rimba Legian, Shah Alam ( Ernie Zakri) & Shanell Harun, Shah Alam (Datuk Shafinaz Selamat)
Aksesori: Habib Jewels
Tajaan Lokasi: Wallmaster Design Sdn Bhd, No 19, Jalan Sepadu 25/123A, Seksyen 25, Shah Alam (Terima kasih Noor Reymy Salikin, Sales & Marketing)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Momen Penyatuan, Lembaran Baru Elfira & Faris

Isi Kandungan
Toggle1 Januari 2019 bukan sahaja pembuka lembaran tahun baru bagi semua orang. Ia juga membuka lembaran baru dalam kehidupan artis dan selebriti jelita bernama Elfira Loy. Tarikh penuh bermakna ini juga menjadi detik penyatuan Elfira dengan jejaka pilihan hati, Muhamad Faris Khairol Anuar, yang kini sah bergelar suaminya. Elfira dan Faris telah melangsungkan majlis pernikahan mereka di Cyberview Lodge, Cyberjaya.
Berita gembira itu telah dikongsi oleh Elfira dengan memuat naik sekeping foto berserta kapsyen melahirkan rasa syukur menerusi akaun Instagram miliknya. “ Alhamdulillah,” tulisnya secara ringkas.
Perkenalan
Majlis pernikahan hanya dihadiri kaum keluarga, sanak-saudara dan rakan baik kedua belah pihak. Umum hanya mengetahui pasangan ini bercinta setelah kedua-duanya mengikat tali pertunangan pada bulan September 2018 lalu. Akui Elfira, dia dan Faris hanya berkenalan lebih kurang 10 minggu sebelum mengambil keputusan untuk bertunang. Seterusnya pada bulan Julai 2018, ketika berada di Bali, Faris telah melamar Elfira untuk menjadi suri hidupnya.
Dengan hanya sekali lafaz, Elfira dan Faris sah bergelar suami-isteri. Pasangan pengantin ini telah dinikahkan oleh bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin dalam majlis yang bermula jam 9.00 pagi.
Bagaimana kedua-dua pasangan pengantin baru ini bertemu? Cerita Elfira, pertemuan pertama mereka agak kasual dan bersama teman lain. Namun bagi Faris, sebelum ini dia pernah bertemu Elfira.
“Saya pernah bertemu malah bergambar dengan Elfira beberapa kali sebelum ini tapi saya tak rasa itu pertemuan pertama kami yang sebenar-benarnya. Itu hanyalah sekadar seorang rakyat biasa bergambar dengan artis terkenal tanah air. Elfira mungkin tak ingat pun kami pernah bergambar bersama.
“Jadi untuk menjawab pertanyaan ini, saya rasa kami berjumpa buat kali pertama di Publika ketika Elfira sedang bersama-sama dengan Anis membeli-belah. Anis merupakan rakan baik Elfira dan juga rakan saya.
“Saya sepatutnya berjumpa dengan Anis bersama rakan-rakan lain bagi makan malam pada hari itu. Akan tetapi saya habis kerja sedikit awal dan terus ke Publika. Dan disebabkan itulah saya bertemu dan berjumpa dengan Elfira buat kali yang pertama,” ujar Faris mengimbau detik pertemuan pertama bersama Elfira.
Ternyata pertemuan tidak dirancang itu telah menerbitkan rasa ingin tahu antara satu sama lain. Perancangan Allah sangat indah buat pasangan muda yang sama cantik sama padan ini. Tahniah Mingguan Wanita ucapkan kepada Elfira dan Faris.
Tidak Ada 5 Resepsi Hanya Majlis Nikah Dan Majlis Bertandang
Dalam majlis nikah yang telah berlangsung, Elfira dan Faris kelihatan sama cantik menggayakan sepersalinan busana rona putih hasil rekaan pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini. Majlis yang bertemakan ‘garden wedding’ ini diadakan secara tertutup namun tetap meriah. Beberapa hari selepas itu, majlis resepsi di sebelah pihak pengantin perempuan pula telah dilangsungkan.
Pada malam sebelum, Elfira dan beberapa orang rakan wanita yang juga ‘bridemaids’ sempat lagi meraikan majlis berinainya di lokasi yang sama berlangsungnya majlis pernikahan. Majlis ini diadakan secara tertutup namun peminatnya boleh melihat gambar-gambar menarik di dalam Instagram Elfira dan juga program eksklusif Walimahtul Urus Elfira dan Faris di Astro Ria.
Selesai majlis pernikahannya, telah tersebar khabar mengatakan bahawa pasangan ini bakal mengadakan lima majlis resepsi. Terkejut Elfira sebaik ditanya soalan tersebut.
“Saya tiada lima resepsi seperti yang digembar-gemburkan. Kami hanya mengadakan majlis nikah di sebelah saya dan majlis bertandang di sebelah Faris,” ujar Elfira majlis resepsi di sebelah pihaknya telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Seminggu selepas itu barulah majlis bertandang di pihak pengantin lelaki.
Pada malam resepsi pihak pengantin perempuan, sekali lagi busana rekaan Rizman Ruzaini jadi pilihan hati. Jenama Rizman Ruzaini sudah bekerjasama hampir 10 tahun dengan Elfira. Sudah pastilah kedua pereka fesyen yang dipanggil Abang oleh Elfira ini jadi pilihan hati bagi menghasilkan busana indah untuk digayakan pada hari penuh istimewa dan bersejarah buat dirinya itu.
Segala-galanya Ikut Perancangan
Majlis resepsi di sebelah pihak pengantin lelaki pula memperlihatkan Elfira dan Faris menggayakan busana daripada Cosry dan Rico Rinaldi.
Ternyata Elfira memberikan komitmen seratus peratus bagi memastikan majlis perkahwinannya berjalan lancar. Dia mahukan segala-galanya mengikut perancangan dan impiannya.
“Saya yang rancang, urus dan pilih setiap details about the wedding. Saya turut dibantu oleh Nas Great Idea. Tetapi semuanya mendapat kelulusan dan bantuan ibu saya yang sentiasa menemani saya ke sana ke sini, famili saya dan kawan-kawan saya. Saya juga yang menentukan setiap konsep dalam majlis yang telah berlangsung. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar,” tambahnya penuh syukur.
Kena Cari Hikmah Dalam Setiap Apa Yang Berlaku
Ketika temu ramah ini dibuat, Elfira baru selesai mengadakan majlis resepsi di sebelah pihaknya. Melihatkan kemeriahan majlis yang telah berlangsung menimbulkan persoalan adakah dengan mengadakan perkahwinan sebegini meriah menjadikan Elfira sebagai penanda aras kepada artis lain untuk mengadakan majlis perkahwinan sepertinya?
“Wedding is not a benchmark. Ia adalah satu majlis untuk meraikan keluarga, sahabat handai daan tetamu. Tak kisah sama ada besar atau serba sederhana saja. Janji kita memberi jemputan untuk diraikan. Setiap orang tentunya ada impian majlis perkahwinan yang mereka ingini. Ada yang inginkan majlis yang lebih ringkas dan ada yang ingin majlis lebih kelihatan gah dan mewah. Walau apa pun, ia adalah apa yang mereka mahukan,” jelasnya lagi.
Perkahwinan pada usia 25 tahun adalah waktu yang sesuai bagi seorang wanita sepertinya untuk mendirikan rumah tangga. Akui Elfira, mungkin dia nampak muda tetapi apa yang berlaku bukanlah apa yang dirancangnya. Semuanya atas kuasa Allah SWT.
“Tidakkah risau populariti dalam bidang seni akan turun? Populariti adalah perkara terakhir yang saya akan fikir dalam hidup saya. Sebabnya populariti bukan saya yang cari tetapi ia adalah sesuatu yang diberikan oleh masyarakat terhadap pencapaian saya selama ini, yang saya bersyukur dan ingin dikekalkan kalau ia mendatangkan hanya perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. I wont take that for granted,” ulasnya lagi.
Jelas Elfira lagi, walau kini telah bergelar isteri, berkaitan kerjaya segala-galanya masih sama. Dia akan tetap fokus pada kerjaya dan perniagaannya.

“Tetapi saya lebih kena menjaga masa sebab kepentingan sudah pastilah buat suami tersayang,” tambahnya.
Tak Ada Syarat
Bagi Faris pula, dia tidak menetapkan sebarang syarat khusus kepada Elfira selepas bergelar isteri.
“Alhamdulillah kami mempunyai tahap pemahaman yang tinggi antara satu sama lain. Ia membuatkan segala perancangan dan fikiran kami dapat dikongsi dan diterima dengan mudah sesama sendiri,” sambung Faris pula.
Sepanjang kemeriahan dan panasnya cerita mengenai perkahwinan Elfira Dan Faris pada bulan Januari lalu, tidak dinafikan ada juga kata-kata manis dan tidak manis yang keluar daripada mulut warga alam maya atau netizen terhadap perkahwinannya. Apa komen Elfira?
“Tak ada gunanya hendak bertelingkah. Orang boleh menyukai atau membenci kita tanpa sebarang alasan dan saya okay saja. Saya kena cari hikmah dalam setiap apa yang berlaku. Dan hikmah itu kita akan nampak bila kita berdoa, mendengar dan melihat. Bukan dengan berbalah balik,” luahnya lagi.
*******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan pengantin baru Elfira Loy dan Faris ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita isu Februari, Volume 1 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Teks: Julie Roshana Akma Shafee
Foto: Terima kasih www.mysweetpictures.com @sweetpictures_kl / @blackpepperweddings / Kakifoto by Rashidee Azman
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pernah Pakai ‘Kasut Mulut Buaya’ Azlan Dedah Rahsia Jadi Jutawan!

Pertama kali dipertemukan, penulis tidak menyangka pemilik nama sebenar Muhammad Azlan Abdullah @ Ali, 32, merupakan seorang usahawan berjaya yang telah pun bergelar jutawan. Dia yang hadir bersama isteri dan anak-anak kelihatan cukup sederhana. Bahkan, sepanjang sesi fotografi berlangung, Muhammad Azlan ternyata sangat ramah dan bersikap rendah diri.
Ikon Usahawan Muda yang kisah hidupnya dibukukan dengan judul ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ ini memegang prinsip, menjadikan kemiskinan sebagai motivasi manakala kekayaan sebagai inspirasi.
“Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti. Saya juga bersyukur apabila kisah pengalaman hidup yang berasal dari keluarga miskin tegar dan kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada bagaimana hubungan kita dengan Allah S.W.T. Jika kita ada masalah hubungan dengan Allah, rezeki sempit. Sememangnya sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun Allah melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” kata peneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd ini, membuka bicara.

Digelar ‘Kasut Mulut Buaya’
Anak kelahiran Besut, Terengganu ini, akui hidupnya sejak kecil sangat susah. Namun ibu dan ayahnya tidak pernah lelah untuk menghantar mereka seramai 16 adik beradik ke sekolah.
“Saya sangat menghargai jasa emak iaitu Siti Aishah Ismail, 57, dan ayah, Abdullah @ Ali Ahmad, 73 yang membesarkan kami 16 beradik dan memberikan pendidikan walaupun serba kekurangan.
“Saya masih ingat sewaktu zaman sekolah rendah biasanya bila tak mampu bayar yuran, pihak PIBG akan tolong bayarkan. Maklumlah saya ni murid miskin jadi sering kena buli dengan murid yang hidup senang. Saya ke sekolah dengan memakai kasut koyak, kami adik beradik cuma ada sepasang kasut sekolah. Dalam setahun kami hanya akan pakai sepasang kasut itu saja dan saya akan pakai walaupun kasut saya itu koyak sehinggakan kawan-kawan panggil saya dengan gelaran ‘kasut mulut buaya’,” ungkap Muhammad Azlan yang tidak pernah patah semangat untuk meneruskan alam persekolahan walaupun kehidupannya susah.
Emak Menangis, Ulat Jatuh Daripada Poket Baju
Fasa kehidupan paling menyedihkan apabila dia bekerja sebagai pengutip sampah dan daripada situlah yang membuatkan Muhammad Azlan mula mengorak langkah untuk menjadi seorang yang berjaya. Bapa kepada empat orang anak ini juga sentiasa mengingati pesanan ibunya walau di mana dia berada mesti menjaga tiga perkara iaitu yang pertama jaga solat, kedua jaga al-Quran dan ketiga bersikap jujur serta amanah.
Tatkala diminta mengulas mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam fasa kehidupannya yang sukar iaitu menjadi pengutip sampah, Muhammad Azlan begitu bersemangat untuk berkongsi dengan pembaca.
“Saya bekerja di bawah sebuah syarikat kontraktor pembersihan selama enam bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2005 ketika usia saya sekitar 19 tahun. Saya selalu bawa balik makanan kurang elok yang dah diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam, ikan dan sayur untuk keluarga.
“Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis. Saya tanya kenapa menangis, dia cakap dia melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh baju saya itu.
“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya yang menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar. Kemudian saya berhenti kerja. Saya datang ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah restoran makanan segera yang terletak di Ampang. Selang beberapa bulan kemudian saya bekerja sebagai buruh binaan di Taman Melawati. Kemudian saya pulang ke kampung dan sambung pelajaran,” ungkapnya.
Nekad Berhenti Belajar
Ketika menyambung pelajaran di Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Bachok, Muhammad Azlan, sudah mula mencari wang poket sendiri. Malah dia juga pernah mengusahakan kebun jagung.
“Saya pernah mengusahakan kebun jagung seluas 13 ekar secara bersendirian berhampiran KIST sewaktu saya belajar di sana. Apabila kebun jagung itu membuahkan hasil, saya nekad untuk berhenti belajar supaya dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada bisnes kebun jagung. Namun takdir Allah mengubah segala-galanya. Ribut kuat melanda Bachok lalu memusnahkan segalanya dengan sekelip mata.
“Pada waktu itu, jagung-jagung sudah mula menguning. Saya terduduk. Harapan saya untuk meraih untung hancur berkecai, satu-satunya motosikal buruk yang saya miliki terpaksa dijual untuk melunaskan hutang sewa tanah. Selepas itu, saya hanya berjalan kaki jika nak ke mana-mana.
“Pada waktu itu, hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan saya dan saya rasakan berada di titik paling bawah dalam roda kehidupan. Saya hilang kebun, hilang status sebagai pelajar dan tidak miliki pekerjaan. Hanya Allah disisi saya. Saya pujuk hati, mempercayai takdir Allah,” luah Muhammad Azlan.
Titik Perubahan
Muhammad Azlan menerangkan pada waktu itu hanya ibunya saja yang tidak memarahi dirinya.
“Bila mak dan ayah tahu saya berhenti belajar, hanya mak yang tak marah saya, tapi mak mahu saya berikan yang terbaik, Saya beritahu mak, saya kena keluar merantau. Saya beritahu pada mak saya tak akan pulang jika saya tak berjaya kecuali mak sakit.
“Saya tak akan lupa, segalanya bermula pada Ramadan 2010. Saya bertekad meninggalkan rumah dengan berbekalkan RM1.30 yang diberikan oleh mak, dengan harapan dapat mengubah nasib diri dan kelurga. Ketika itu saya meminta mak agar jangan sedih dan selalu doakan kejayaan saya. Saya yakin, sebelum diberi nikmat, pastilah akan diuji oleh Allah SWT terlebih dahulu.
“Selepas melangkah keluar, kawan saya telah berikan motor dan saya lari ke wakaf sawah padi. Tak tahu nak buat apa, saya pergi ke sebuah kedai dan perhatikan siapa yang boleh belanja saya makan.
“Tatkala itu saya nampak seorang yang saya kenal. Saya tengok Cikgu Halim Md Saman (bekas cikgu saya), saya ceritakan semuanya pada dia. Cikgu minta jualkan tanah miliknya. Pada hari pertama, saya berjaya jual dua lot tanah dan ketika itu saya dapat RM4,000. Saya ambil RM2,000 untuk belanja bekerja dan RM2,000 pula saya infak pada orang,” ungkap Muhammad Azlan yang kemudian membina kehidupan baru selepas bertemu dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan yang membuka jalan rezeki kepada dirinya dalam bidang hartanah.

Amalan Jemput Rezeki
Muhammad Azlan akui terdapat beberapa amalan yang membantunya untuk mendapatkan rezeki yang luas. Antaranya, dia mengakui bahawa dia tidak akan memulakan sesuatu kerja selagi belum bersedekah.
“Alhamdulillah, rezeki dating mencurah-curah.Kisahnya, saya mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang mahu menjual tanah seluas lima ekar di Kg.Raja Besut dengan harga serendah RM428,000. Saya memecahkan tanah itu menjadi beberapa lot dan menjualnya semula. Urus niaga itu bernilao RM1.5 juta. Dalam masa setahun itulah, seorang budak miskin Berjaya jadi jutawan,” kata Muhammad Azlan yang menjadikan Cikgu Ramli iaitu orang yang bertanggungjawab mendidik dan mendorong dirinya dalam bidang perniagaan sebagai mentor.
Tujuh Tip
Muhammad Azlan juga turut berkongsi tujuh tip amalan yang dilakukan agar rezeki sentiasa dekat dengan diri.
“Pertama saya sangat menjaga kebajikan mak dan ayah saya serta keluarga terdekat. Kedua, tak tinggalkan al-Quran walaupun sehari dalam hidup saya. Yang ketiga, istiqamah dalam amalan sedekah tak kira sedikit atau banyak wajib dilakukan setiap hari. Keempat, rutin Solat Dhuha setiap hari, kelima berbaik sangka, keenam memanjangkan silaturrahim dan ketujuh bersikap pemaaf terhadap kawan atau lawan,” kongsinya.
Terangnya lagi disebalik kejayaan dirinya sebenarnya ada dua wanita dalam dirinya yang amat penting.

“Pertama ialah ibu saya yang sentiasa mendorong saya untuk pergi ke depan. Kedua, isteri saya Nurul Fitriyah Mohd Sabri, 32, yang sentiasa menyokong penuh gerak kerja saya, memberikan sokongan dan tidak pernah letih bersama saya,” terang bapa kepada Nurul Natasya Al Humairah, 6, Nurul Athirah Al Athiyah,5, Mohamad Athiqullah Al Amin, 4 dan Nurul Syahirah Al Afiah,1 tahun.
Buku Motivasi Rahsia Kejayaan
Ikon usahawan berjaya ini juga menerangkan kini dia hadir dengan sebuah Buku Motivasi dengan tajuk ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’.
“Buku ini mengisahkan seratus peratus kehidupan realiti yang saya bermula dari bawah sampai sekarang. Dimana saya melalui liku-liku hidup dan turut berkongsi rahsia-rahsia bagaimana untuk berjaya. Semuanya diabadikan dalam buku ini,” terang Muhammad Azlan.
Buku motivasi ini berharga RM35 senaskah dan RM10 kos penghantaran. Boleh dibeli secara Online di laman web muhammadazlan.com dan hubungi di nombor telefon 013 288 9442, 013 240 9443 dan 013 226 9442 . Buku ini mengandungi 360 mukasurat sarat dengan gambar dan kisah. Boleh didapati di semua kedai buku. Selain itu mereka yang berminat juga bolehlah layari Facebook Muhammad Azlan Al-Amin.
*******************************************************************
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Ikon Usahawan dan jutawan muda ini, baca sambungannya didalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu November, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.
Penyelaras: Norhayati Suboh & Nur Syazwani Mehat
Teks: Norhayati Suboh
Solekan: Ann Karim
Pakaian: Ooi Couture Malaysian Designer
Baca Di sini: 7 Amalan Rezeki Melimpah, Lelaki Pengutip Sampah Kini Jadi Jutawan!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI