
Pasangan selebriti popular Indonesia, Raisa Andriana, 35, dan suaminya yang juga pelakon kacak berdarah kacukan Australia-Poland, Hamish Daud, 45, kembali menjadi perhatian ramai selepas timbul spekulasi bahawa rumah tangga mereka kini sedang bergolak.

Desas-desus itu mula tercetus apabila peminat menyedari foto sambutan ulang tahun perkahwinan kelapan pasangan berkenaan telah ‘hilang’ dari laman Instagram (IG) masing-masing.
Sebelum ini, Raisa dan Hamish dilihat meraikan ulang tahun perkahwinan mereka pada 3 September lalu, namun tiada lagi sebarang hantaran berkaitan momen istimewa itu dapat ditemui di platform sosial kedua-duanya.
Menurut laporan CNN Indonesia, hantaran terakhir yang kekal di IG Hamish hanyalah foto sambutan ulang tahun ketujuh perkahwinan mereka pada tahun lalu. Sejak Julai, pelakon itu hanya memuat naik gambar aktiviti peribadi dan momen bersama anak perempuan mereka tanpa sebarang kelibat Raisa di sisi.

Diam Seribu Bahasa
Kehilangan foto-foto kenangan itu pantas mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat, malah ada yang mendakwa pasangan berkenaan kini berdepan kemelut rumah tangga, kononnya berdasarkan maklumat daripada individu terdekat mereka.
Namun begitu, baik Raisa mahupun Hamish masih memilih untuk berdiam diri, tanpa sebarang kenyataan rasmi atau penjelasan bagi meredakan gosip yang semakin rancak diperkatakan di media sosial.

Cinta Yang Bermula Dari Filem
Raisa dan Hamish mula berkenalan pada 2013, ketika bekerjasama dalam filem Rectoverso. Ketika itu, Hamish membintangi naskhah tersebut, manakala Raisa pula menyumbangkan suara dalam lagu runut bunyinya.
Hubungan mereka mula mendapat perhatian umum sekitar 2016, selepas Raisa berpisah dengan bekas kekasihnya, Keenan Pearce. Tidak lama kemudian, Hamish dilihat hadir memberi sokongan pada konsert Raisa dan dari situ, cinta mereka semakin mekar.


Akhirnya, pada Disember 2016, pasangan ini mengumumkan hubungan secara terbuka di media sosial, sebelum disatukan sebagai suami isteri pada 3 September 2017 dalam majlis tertutup di Jakarta.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang menjadi penyeri rumah tangga pada Februari 2019.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
























