Selebriti

Fikry Ibrahim Tepis Dakwaan Rumah Tangga Bergolak, Memilih Untuk Jaga Privasi

Share

Hanya disebabkan tidak berkongsi foto bersama isteri pada hari raya, timbul spekulasi kononnya rumah tangga pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim kembali bergolak.

Fikry Ibrahim Tepis Dakwaan Rumah Tangga Bergolak

Namun, Fikry atau nama penuhnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, menepis dakwaan itu dan menegaskan perkongsian di media sosial bukan penentu keadaan sebenar sesebuah hubungan.

“Dakwaan kononnya masih berantakan itu tidak benar dan saya anggap sekadar spekulasi. Saya percaya ia timbul kerana saya tidak berkongsi gambar.

“Kalau buat sedikit ‘research’, boleh lihat bila kali terakhir saya memuat naik gambar bersama ibu. Adakah itu bermakna saya bergaduh dengan ibu? Tidak juga.

“Saya dan isteri memilih untuk tidak berkongsi gambar. Lagipun bukan tiada langsung gambar kami bersama. Di Instagram saya masih ada beberapa yang dikekalkan,” katanya.

Raya Berasingan Faktor Keluarga

Mengulas sambutan Aidilfitri, Fikry menjelaskan mereka beraya secara berasingan tahun ini atas faktor keluarga.

“Isteri pulang ke Sarawak kerana giliran dia beraya di sana. Saya pula perlu menjaga ibu, tambahan pakcik saya kurang sihat akibat strok.

“Saya izinkan dia pulang, tetapi selepas itu kami tetap berjumpa. Malah sebelum raya kami sempat meluangkan masa bersama membeli baju raya,”

katanya.

Memilih Untuk Jaga Privasi

Ditanya sama ada akan lebih terbuka berkongsi kehidupan peribadi, Fikry menegaskan dia kekal dengan prinsip menjaga privasi.

“Saya rasa cukuplah setakat ini. Sebelum berkahwin pun saya tidak berdepan isu seperti ini. Jadi saya akan kekalkan prinsip sama.

“Di media sosial, saya lebih banyak berkongsi mengenai ibu sahaja. Ahli keluarga lain jarang saya kongsikan kerana mahu menjaga privasi,” katanya.

Tak Nak Layan Gosip

Fikry turut mengakui wujud pelbagai dakwaan tidak benar di media sosial, namun memilih untuk tidak melayan.

“Ada yang kata saya keluar ‘dating’ dengan jurusolek, itu sangat tidak masuk akal.

“Kalau saya balas, ini akan jadi lebih panjang. Jadi saya pilih untuk tidak melayan kerana ada banyak perkara lain yang perlu difikirkan,”

katanya.

Berkongsi reaksi isterinya, Fikry berkata isterinya pada awalnya terkejut, namun kini memahami keadaan sebenar.

“Awal-awal mungkin dia terkejut, tetapi saya minta dia tidak melayan perkara seperti ini. Komunikasi kami baik sahaja.

“Saya bersyukur kerana keluarga dan mentua sangat matang serta sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Gambar: Fikry Ibrahim

Published by
Nadia