Dalam Negara

Fauziah Sarman Temui Bahagia Semula. “Shila Pun Restu, Dia Gembira Tengok Saya Bahagia”

Share

Selepas dua tahun melalui episod perpisahan, Fauziah Sarman, 57, ibu kepada penyanyi tersohor Shila Amzah, memilih untuk membuka lembaran baharu dalam hidup. Dengan tenang dan jujur, beliau mengumumkan hasrat untuk berkahwin semula.

Kali ini, dengan seorang lelaki berstatus duda yang telah berjaya mencuri hatinya dengan kelembutan dan kematangan.

“Sebagai wanita yang pernah melalui badai rumah tangga, saya percaya… jika Allah izin, bahagia itu tetap akan singgah lagi.” – Fauziah Sarman

Cinta Kedua, Hati Yang Lebih Tenang

Memetik laporan Harian Metro, Fauziah mengakui perkenalan mereka bukan sesuatu yang tergesa-gesa. Selepas beberapa bulan berkawan, hubungan yang terjalin kini makin mendalam, berteraskan kepercayaan, pengalaman hidup dan doa restu daripada anak-anak.

“Kami masih dalam fasa mengenali hati budi. Tapi Alhamdulillah, dia seorang lelaki yang baik, penyayang dan tahu susur galur hidup saya. Kami bercinta bukan seperti orang muda lagi, ini fasa matang… ada hormat, ada realiti, dan ada perancangan,” katanya.

Lebih membahagiakan, anak-anak turut merestui hubungan ini, termasuk Shila sendiri yang telah pun bertemu calon tersebut.

“Shila gembira bila tahu saya dah jumpa kebahagiaan saya. Itu pun dah cukup untuk buat saya rasa diberkati.”

Bersedia, Tapi Masih Berahsia

Ketika ditanya soal identiti bakal suami dan tarikh perkahwinan, Fauziah memilih untuk tidak terlalu terbuka buat masa ini.

“Insya-Allah, jika semuanya dipermudahkan, kami akan bernikah tahun ini. Tapi saya belum bersedia berkongsi secara terperinci. Bila tiba waktunya, saya akan umumkan. Buat masa ini, doakan yang baik-baik saja untuk kami.”

Beliau turut memaklumkan bahawa lelaki berkenaan mempunyai kerjaya tetap dan juga menjalankan perniagaan sendiri.

Penamat Yang Reda, Permulaan Yang Baharu

Fauziah pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon era 1980-an, Datuk ND Lala, pada tahun 1989. Daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada. Namun, ikatan selama 34 tahun itu berakhir pada 2 Ogos 2023 apabila mereka rasmi bercerai.

Kini, dalam diam dan tenang, wanita tabah ini sedang melakar kebahagiaan baharu.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Rosmah Idayu