
Erra Fazira selamat bergelar isteri Mr E, terima mas kahwin sepokok bunga emas seberat 102 gram. Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira sebentar tadi selamat bergelar isteri kepada usahawan Ezwan Zain.
Memilih keberkatan hari Jumaat, penghulu segala hari serta tarikh menarik 12.12.2025, dengan sekali lafaz tepat jam 9,19 pagi tadi, dirinya kembali bergelar isteri selepas 10 tahun hidup sendirian.
Penyatuan pasangan ini berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor.
Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek tampil anggun mengenakan rona serba biru muda rekaan Rizman Ruzaini. Seri pengantin terpancar di wajah primadona tanahair ini tatkala melangkah masuk ke dewan pernikahan diiringi anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 16 tahun yang mengenakan persalinan rona putih.
Menerima mas kahwin iaitu 24 dinar emas yang dibentuk menjadi sepokok bunga seberat 102 gram, kedua pasangan ini mengukir senyuman manis tatkala selamat bergelar suami isteri.
Sesuatu yang berbeza, pasangan ini meletakkan kesemua barang hantaran dalam satu talam, berbeza dengan pernikahan biasa yang mana barang hantaran diletakkan dalam bekas berbeza.
Antara lain kata Erra Fazira, dirinya mahukan sesuatu yang ringkas dan praktikal memandangkan persiapan majlis juga agak suntuk.
“Selalunya orang (pengantin) buat lima berbalas tujuh dulang hantaran. Ada juga tujuh berbalas sembilan dulang.
“Tetapi kali ini kami nak buat kelainan sikit, tak payah nak pening-pening, tak perlu nak ada dayang-dayang bawa dulang hantaran, kita satukan semua dalam talam saja. Satu dulang tetapi dulang yang agak besar boleh masukkan semua barang hantaran,” katanya.
Antara yang menjadi tumpuan pada pernikahan Erra Fazira ialah barang-barang hantaran seperti tas tangan berjenama mewah, jam tangan, kasut serta barangan kemas yang diletak di dalam talam sebagai hantaran perkahwinan.
Majlis diadakan secara tertutup di mana mana tema putih menjadi pilahan pasangan ini dan ianya dihadiri oleh ahli keluarga, rakan rapat serta pihak media sahaja. Sekadar info, ini adalah perkahwinan ketiga buat Erra Fazira dan kedua buat Ezwan Zain.