
Empat Mayat Pelancong Itali
Tragedi di Maldives, akhirnya empat mayat pelancong Itali yang hilang ketika menyelam di sebuah gua bawah laut ditemukan pada Isnin semalam, sekali gus melengkapkan operasi pencarian dalam tragedi selaman terburuk pernah berlaku di negara kepulauan itu.
Menerusi portal Sinar Harian, mangsa yang ditemukan ialah Monica Montefalcone, 52, anak perempuannya Giorgia Sommacal, 20, Muriel Oddenino, 31, dan Federico Gualtieri, 31. Kesemua mayat ditemukan di kawasan Thinwana Kandu yang dikenali sebagai “gua jerung”.
Sebelum ini, mayat jurulatih selam mereka, Gianluca Benedetti, 44, ditemukan terlebih dahulu pada Jumaat.
BACA ARTIKEL: Tragedi Cuti Sekolah: Abang Lemas Cuba Selamatkan Adik Tangkap Ikan Laga
Kesemua mangsa dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ketika meneroka rangkaian gua bawah laut di Vaavu Atoll, Maldives.
Operasi pencarian dijalankan dengan bantuan pasukan penyelam elit dari Finland yang diterbangkan khas ke Maldives oleh Divers Alert Network Europe selepas pihak berkuasa tempatan berdepan kesukaran untuk menyelam sehingga kedalaman kira-kira 150 meter bagi memasuki kawasan gua tersebut.
Pasukan itu terdiri daripada penyelam berpengalaman Sami Paakkarinen, Jenni Westerlund dan Patrik Grönqvist yang pernah terlibat dalam operasi menyelamat pasukan bola sepak remaja Thailand di dalam gua pada tahun 2018.
Kementerian Luar Itali memaklumkan punca sebenar kematian lima mangsa masih dalam siasatan, manakala usaha membawa keluar mayat dari dasar laut dijangka mengambil masa beberapa hari lagi.
Dalam perkembangan sama, seorang anggota penyelam penyelamat Maldives, Sarjan Mejar Mohamed Mahudhee, turut maut ketika operasi mencari mangsa pada Sabtu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada enam orang.
Laporan turut menyebut kira-kira 20 lagi pelancong Itali berada di atas kapal layar Duke of York ketika kejadian, namun semuanya selamat dan sudah pulang ke Itali.
Siasatan awal turut meneliti kemungkinan keracunan oksigen akibat selaman terlalu dalam sebagai antara faktor yang menyumbang kepada tragedi itu.