Dalam Negara

Elak Unsur Khurafat, JHEAIK Pantau Kubur 6 Beranak Mangsa Tragedi Sungai Korok

Share

Elak unsur khurafat, JHEAIK pantau kubur 6 beranak mangsa tragedi Sungai Korok. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengambil inisiatif memantau kawasan perkuburan enam sekeluarga yang terkorban dalam tragedi di Sungai Korok bagi mengelakkan berlakunya perbuatan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Elak Unsur Khurafat, JHEAIK Pantau Kubur 6 Beranak Mangsa Tragedi Sungai Korok

Langkah ini diambil susulan laporan penduduk tempatan yang melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan unsur mencurigakan di kawasan berkenaan.

Menurut Pengarah JHEAIK, Datuk Dr Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin, anggota bertugas telah diarahkan untuk menjalankan pemantauan berterusan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun.

“Setakat ini belum ada sebarang bentuk sekatan atau tali penghadang dipasang di kawasan tersebut, namun pemantauan tetap dijalankan dari semasa ke semasa. Jika didapati ada unsur amalan menyeleweng daripada syariat, tindakan tegas akan diambil,” jelasnya ketika dihubungi, Khamis.

Ahli jawatankuasa Masjid A-Taqwa dan penduduk Kampung Bohor Karang menziarahi kubur enam beranak.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan sebarang perbuatan khurafat yang bertentangan dengan akidah dan logik akal. Malah, beliau turut menggesa pihak masjid agar berperanan aktif membendung sebarang bentuk penyelewengan akidah di tanah perkuburan.

Setiausaha Masjid At-Taqwa Jerlun, Mhd Shukri Hassan turut mengesahkan bahawa pihak masjid menerima arahan rasmi daripada JHEAIK untuk membantu dalam pemantauan tersebut. Beliau turut menyeru penduduk kampung untuk bekerjasama bagi menjaga kesucian kawasan perkuburan.

Katanya, langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian seperti yang pernah berlaku sebelum ini, apabila terdapat individu didakwa mengambil tanah kubur milik arwah Nurly Sahirah Azman, seorang pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan di Gerik.

“Kami tidak halang sesiapa yang ingin menziarahi pusara arwah, namun perlu diingat, jangan lakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ambil tanah kubur atau melakukan ritual yang melampau tidak dibenarkan. Jika berlaku, kami akan maklumkan kepada pihak berkuasa,” tegas beliau.

Sementara itu, adik kepada arwah Mohamad Azim Izat Ishak, Mohamad Adlan Solehin, 24, turut menyuarakan pandangan pihak keluarga yang berharap agar masyarakat menghormati kawasan perkuburan.

“Kami faham ramai datang kerana simpati dan ingin mendoakan arwah, tapi jangan sampai buat perkara yang tidak sepatutnya. Sebagai keluarga, kami rasa tidak selesa kalau ada yang lakukan perbuatan pelik di kubur,” ujarnya.

Untuk rekod, tragedi yang menyayat hati itu berlaku awal pagi Sabtu lalu apabila sepasang suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka, Putra Rayyan, 9, Hawa Adriana, 8, Annayla Humaira, 7, dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan, maut selepas kereta mereka terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok.

Kesemua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang pada hari Isnin.

Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: Tragedi Sungai Korok, “Semalam Qisya Pakai Baju Arwah Uminya, Mungkin Dia Rindu Nenek Qisya

Tragedi Sungai Korok, Keluarga Teruskan Perniagaan Roti Canai Arwah Suami, Isteri

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has