Elak rumah tangga disondol, bila dah kahwin, tak perlu ada kawan baik lain jantina. Zaman sekarang, bukan susah sangat rumah tangga goyah. Bukan sebab duit tak cukup, bukan sebab pasangan tak cantik atau tak kacak.
Elak Rumah Tangga Disondol, Bila Dah Kahwin, Tak Perlu Ada Kawan Baik Lain Jantina
Tapi sebab batas pergaulan yang makin kabur. Ramai anggap masih boleh “berkawan biasa” dengan orang lain jantina walaupun dah bergelar suami atau isteri. Katanya, “tak lebih dari kawan”, tapi dari situ jugalah ramai yang akhirnya tersandung dan tersondol.
Realitinya, bila hati mula bagi ruang, emosi pun ikut longgar. Apa yang dulu tak pernah terfikir, akhirnya boleh jadi. Paling menyakitkan, selalunya benda ini bermula dari hubungan yang nampak kecil yang bermula dengan kawan baik.
9 Tip Elak Orang Ketiga Dalam Hubungan
1. Tiada istilah ‘kawan biasa’ selepas berkahwin
Selepas berkahwin, saya percaya lelaki dan perempuan tidak perlu lagi mempunyai kawan berlainan jantina atas alasan “kawan biasa”. Saya sendiri tidak selesa jika isteri saya berkawan rapat dengan lelaki lain, dan saya juga memastikan saya tidak menjalin persahabatan rapat dengan wanita lain.
Kalau ada pun, cukuplah sekadar kenal dan saling menghormati dari jauh. Tidak perlulah bertanya, “Dah makan ke belum?” atau ajak keluar kononnya sekadar ‘hangout’.
Selepas berkahwin, pasangan kitalah sepatutnya menjadi kawan sejati. Hubungan dengan orang lain yang berlainan jantina tidak perlu dipelihara hingga jadi terlalu rapat. Kalau betul perlu berkawan pun, pastikan pasangan kita tahu dan kenal siapa. Itu pun ada batasnya.
2. Elakkan urusan profesional jadi peribadi
Kalau perlu berjumpa atas urusan kerja antara lelaki dan perempuan, tidak perlulah duduk minum di kafe dengan muzik jazz. Cukup sekadar berjumpa di pejabat, selesaikan urusan, dan terus balik.
Tidak perlu ‘entertain’ sampai pergi tengok wayang atau konsert atas nama profesionalisme Islamik. Kalau tiada pejabat, kedai mamak pun sudah memadai. Sebaiknya bawa kawan bersama. Elakkan situasi berdua-duaan yang boleh menimbulkan perasaan yang tak sepatutnya.
3. Jaga jarak, elak salah faham
Jika klien wanita mengalami kerosakan kereta, tidak perlulah tawarkan diri untuk menghantarnya pulang. Hubungi mekanik atau bantu tempah Grab. Itu pun sudah cukup baik.
Ads
Kita elakkan situasi yang boleh mencetuskan curiga, seperti pasangan terhidu bau minyak wangi “Lolita Lempicka” pada kerusi penumpang, atau terjumpa gincu tertinggal yang akhirnya boleh mencetuskan drama rumah tangga di mahkamah syariah.
4. Apa yang anda buat, bayangkan pasangan buat juga
Mudah sahaja. Jika anda sendiri tidak suka pasangan anda lakukan sesuatu perkara, maka janganlah anda lakukan juga. Itu prinsip asasnya. Jangan pandang ringan perkara yang boleh mengundang keretakan rumah tangga.
5. Magnet tarik magnet, elakkan terlalu dekat
Lelaki dan perempuan ibarat magnet utara dan selatan. Bila rapat, pasti ada daya tarikan. Dalam Islam, ini dinamakan ikhtilat, iaitu pergaulan terbatas.
Bila terlalu rapat, walaupun atas nama profesional, lama-lama akan timbul rasa. Mula terdetik ayat seperti, “Suami saya tak pernah tanya saya sihat ke tak. Awak lain, sangat caring.” Masa itu, semuanya sudah terlambat. Sudah masuk jerat cinta.
6. Jangan gedik, jangan terlalu ‘charming’
Kalau kita gedik, kita berpotensi jadi penyondol. Kalau terlalu menarik perhatian, kita pula jadi sasaran untuk disondol. Bila saya bertemu wanita-wanita, saya kurangkan bercakap. Jaga diri, jaga gaya.
Ads
7. Masalah rumah tangga, selesaikan dengan pasangan
Jangan kongsi masalah rumah tangga dengan kawan berlainan jantina, walaupun sekadar melalui WhatsApp atau berbual di pejabat.
Kalau bergaduh dengan pasangan, cari jalan selesaikan bersama. Jika tidak mampu juga, jumpa wali. Wali bukan hanya berperanan ketika akad nikah, malah selepas kahwin pun wali boleh menjadi penengah. Bukan cari pendengar lain yang akhirnya menjadi tempat bergantung perasaan.
8. Jangan banding pasangan di rumah dengan orang luar
Kalau isteri di rumah hanya berbaju kelawar dan berbau bawang, jangan bandingkan dengan wanita di luar yang sentiasa wangi dan bergaya.
Realiti rumah tangga bukan seperti dunia Instagram. Kita sendiri pun, bila di rumah hanya berkain pelikat dan berbaju T lusuh sambil duduk depan kipas. Jangan hipokrit nak mengharapkan pasangan sentiasa sempurna.
9. Bila pasangan tidak lagi nampak menarik, kenanglah jasa, bukan rupa
Kalau rasa pasangan sudah tidak seperti dahulu, ingatlah jasa dan kenangan bersama. Penampilan boleh berubah, tetapi budi yang ditabur tidak boleh dibeli.
Ads
Dulu kahwin macam kereta baru. Sekarang mungkin sudah sejuta kilometer perjalanan. Tapi makin lama bersama, makin bernilai. Makin klasik, makin mahal.
Curang itu pilihan, bukan takdir. Jangan salahkan takdir untuk menutup kesalahan yang kita buat dengan sedar. Kita ada pilihan untuk jaga batas, kawal emosi dan pelihara hati.Kalau tak mahu disondol, jangan buka ruang. Kalau tak mahu menyondol, jangan terlalu mudah didekati.
Menjaga rumah tangga bukan hanya tentang setia secara fizikal, tetapi juga emosi, masa, dan perhatian. Bila dah berkahwin, semua hubungan yang ada sebelum itu perlu dinilai semula. Kalau kita benar-benar sayang pasangan, kita tak akan buat sesuatu yang boleh mencipta ruang atau peluang untuk pihak ketiga masuk campur.
Kawan baik lain jantina bukan keperluan dalam hidup selepas perkahwinan, sebaliknya ia berpotensi menjadi titik mula keretakan rumah tangga. Kalau nak jaga rumah tangga dari disondol, tutuplah pintu-pintu kecil sebelum ia jadi ruang besar yang tak dapat dikawal. Cinta itu pilihan. Kesetiaan pun sama. Dan memilih untuk jaga hati pasangan, adalah bentuk cinta yang paling matang.
Tindakan memohon doa semasa hantar anak sekolah atau ketika tersekat dalam kesesakan.. bunyinya nampak simple saja sebenarnya. Malah, tak nafikan ramai sebenarnya mak ayah yang buat.
Namun, besar impaknya pada anak-anak. Lagi-lagi jika mak ayah berdoa bersama anak-anak yang berada dalam kenderaan.
Sebagaimana yang dikongsikan oleh Abdul Muiez Ruslee ini, berdoa semasa dalam perjalanan menuntu ilmu ini ada banyak kelebihannya.
Marilah sama-sama semak, apakah kelebihan yang akan diperoleh jika tak tinggal berdoa semasa dalam kenderaan menuju ke destinasi ilmu ini.
Berdoa Semasa Hantar Anak Sekolah, Ini Kelebihannya
Bila hantar anak ke sekolah, biasanya apa yang kita buat semasa dalam perjalanan?
Senyap? Layan perasaan? Atau tengok YouTube?
Banyak aktiviti yang boleh kita lakukan bersama-sama.
Antaranya ialah berdoa.
Saya fikir, berdoa semasa dalam perjalanan menuntut ilmu, banyak kelebihannya.
Saya terkesan kepada satu hadis nabi yang kerap saya dengar. Maksudnya, “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga.”
Memang padu betul hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ni.
Bila kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu dengan ikhlas, Allah mudahkan bagi kita jalan menuju ke syurga. Syurga weh. Bukan kaleng-kaleng. Allahu akbar.
Lepastu kan, bila anak-anak kita dalam perjalanan ke sekolah, mereka turut dianggap sebagai berjihad, tahu?
Ada hadis yang menyebut tentang ini. “Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai dia kembali.”
Lepastu kan, anak-anak kita ini akan dipayungi oleh malaikat dan seluruh makhluk turut mendoakan mereka.
Rasululullah pernah sebut tentang hal ini.
“Para malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredaan kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimohon keampunan buat mereka oleh penduduk langit dan bumi, bahkan hingga ikan yang ada di dasar laut.”
Subhanallah tabarakallah.
Doa Kuat-kuat Supaya Anak Dengar Sama
Kalau seluruh makhluk mendoakan anak-anak kita, kenapa tidak kita ambil masa, angkat tangan dan berdoa bersama-sama. Doa kuat-kuat supaya anak-anak kita dengar. Biar mereka tahu, apa yang kita sebut.
Saya selalu ulang,semoga anak-anak tak menangis bangun pagi. Tak banyak kerenah nak ke sekolah. Alhamdulillah, nampak adalah perubahan.
Bila kita doa kuat-kuat, anak kita tahu, apa yang kita minta dekat Allah. Mereka pula mengaminkan. Subhanallah. Indah betul.
Jadi, kalau ada masa, sama ada dalam perjalanan, tersekat dalam kesesakan atau tengah beratur di lampu isyarat, ambillah satu dua minit untuk berdoa bersama. Lepas doa, salam dan cium pipi.
Tak perlulah nak tunggu dah sampai pintu sekolah baru nak peluk cium semua. Manalah jalan tak jam.
Kalau dah biasa buat, alhamdulillah. Kalau belum buat, kita cuba ya.
Lampin pakai buang yang tak selesa akan buat anak kecil berjaga malam. Gunakan teknik perah dan ramas agar si manja tidur lebih lena.
Tidaklah nanti mak ayah terpaksa berjaga malam dan kesudahannya, menjelang pagi hari mata mak ayah pun menjadi ‘beruang panda’. Akibat tak cukup tidur melayan anak yang keresahan sepanjang malam.
Salah satu hal yang buatkan anak berjaga malam apabila lampin pakai buang yang dikenakan tidak selesa dan menyakitkan.
Ini perkongsian dari Dr Taufiq Raziftentang teknik nak jadikan lampin pakai buang yang dipakaikan pada ada anak lebih selesa dan tak menyakitkan. Paling penting, cara ini boleh buat bayi anda tidur lebih lena dan lama. Sebabnya lampin pakai buang sudah menjadi lembut dan tak lagi keras seperti sebelumnya.
Kaitan Tidur Lena Dan Lampin Pakai Buang
“Sayang, ni caranya nak bagi baby kita selesa ”
Ni la teknik ‘ramas’ dan ‘perah’ pampers yang isteri saya ajar. Memang ajaib pun teknik ni. Anak nampak lebih nyenyak tidurnya. Siap berdengkur lagi!
Permukaan pampers kan kadang-kadang agak keras. Kalau kena dengan baby yang kulitnya jenis sensitif memang boleh iritasi kulit si comel kita. Pedih tu!
Tu la kenapa kita ‘perah’ dan ‘ramas’ pampers ni dulu sebelum pakaikan kat anak kita supaya permukaan pampers tu jadi lebih lembut bila bersentuhan dengan kulit si comel kita. Jangan risau, pampers takkan bocor pun kalau buat camni.
Nota
Apa lagi, tag la pasangan masing-masing. Bab keselesaan baby ni jangan buat main-main. Jangan sampai tidur si comel kita terganggu sebab dengan tidur tu la anak kita berkembang dan membesar dengan lebih sempurna.
Sumber/Foto teknik: Taufiq Razif
Ini Cara Nak Pilih Lampin Pakai Buang Yang Sesuai Dengan Bayi Anda
Mak ayah jangan sesekali membeli lampin pakai buang ikut harga yang ditetapkan oleh sesetengah produk di pasaran. Bila dengar ada lampin pakai buang yang murah, cepat-cepat belikan untuk si kecil. Tanpa kita sedari tindakan itu sebenarnya memberi kesukaran kepada bayi kelak.
Beli Pek Kecil Dahulu
Tujuannya nak dicubakan pada bayi kita. Kalau selepas dua lampin bahagian punggung anak masih kelihatan normal, bermakna sesuailah lampin pakai buang itu dengan kulit bayi anda. Tapi bila kulit bayi anda mulai kemerah-merahan selepas mengenakan lampin pakai buang bermakna produk itu tak sesuai dengan bayi anda.
Awas! Jangan Tabur Bedak
Jangan sesekali mengenakan bedak pada bahagian alat sulit anak anda. Ini kerana, sesetengah ibu bapa atau pengasuh akan melumurkan bedak pada bahagian itu dengan alasan mahu mengelakkan ruam atau kemerah-merahan.
“Partikel bedak ni sangat halus dan boleh masuk ke dalam saluran pernafasan dan akhirnya boleh sampai ke paru-paru si comel kita. Ini boleh menyebabkan jangkitan tapi lebih dasyat lagi kalau pada bayi yang ada alergi.”
“Kalau pada anak perempuan pulak, bedak ni boleh masuk ke celah-celah vagina atau clitoris dan boleh menyebabkan jangkitan. Sebab tu saya lebih rela je anak saya busuk di taskanya daripada anak saya harum dan wangi tapi berpenyakit!” – Taufiq Razif
Saiz Biar Tepat
Jangan mak ayah beli ikut dan, sampai terlalu sempit. Badan anak saiz XL tapi nak jimat punya pasal, mak ayah sanggup belikan lampin pakai buang saiz M dekat anak. Ada juga yang berikan anak saiz lebih besar dari fizikal si kecil. Sudahnya, bocorlah bila tidur malam. Dah elok-elok nak berjimat cermat, anda pula yang bersusah payah kena basuh tilam sebab kena air kencing atau ‘poo poo’ si manja.
Sesuaikan Ikut Masa Pemakaian
Sekarang ini ada lampin pakai buang yang dihasilkan ikut masa pemakaian. Untuk siang hari mahupun untuk malam hari. Biasanya jenis yang siang hari ini lebih kurang daya serapan berbanding untuk malam hari. Sebabnya anak akan pakai lebih lama lampin pakai buang di malam hari. Jadi daya serapannya perlu lebih tinggi dan tahan lebih lama.
Mak Ayah Tahan Rasa Ghairah Membeli
Ni salah satu kegilaan mak ayah yang baru dapat bayi. Konon nak buat persediaan awal, dibelinya lampin pakai buang saiz newborn berkarton-karton. Bayi sebenarnya cepat membesar, nanti belum sempat guna habis, saiz newborn itu dah tak boleh guna. Bukankah membazir namanya. Lebih baiklah beli ikut kadar keperluan bayi anda.
Paling Utama, Tentulah Harga
Mak ayah perlu faham ini. Lampin pakai buang yang murah tak bermakna ia tak bagus dan tak berkualiti. Dan tak semestinya mahal itu bagus. Sebaik-baiknya, rujuk kembali poin-poin di atas dan setelah setiap poin dipenuhi bolehlah anda membuat perbandingan harga. Mana satukah yang paling sesuai dan berbaloi lampin pakai buang ini mahu dipakaikan kepada anak anda.
Sekarang ini tak cukup kalau nak mengharapkan suami seorang yang bekerja mencari nafkah. Mengharapkan gaji suami untuk tanggung isteri dan keluarga, rasanya tak sempat cukup bulan dah habis.
Pening pula kepala suami memikirkan nak cari duit dan tanggung isteri keluarga. Nak tak nak isteri pun kena kerja sambilan untuk dapatkan duit tambahan dalam meneruskan kehidupan.
Itu tidak jadi masalah pun demi tingkatkan pendapatan keluarga. Apa yang menjadi masalah bila suami mula berkira-kira dan kedekut dengan isteri teurtamanya bila isteri ada duit sendiri.
Mulalah fikir, kalau isteri berhenti kerja dan suami seorang yang tanggung isteri dan keluarga, mahunya tak cukup duit setiap bulan. Lepas itu berkira-kira dan kedekut pula dengna isteri.
Sebenarnya, percayalah rezeki pasti akan melimpah ruah bila suami utamakan isteri dan anak-anak. Duit habiskan pun tak kisah, hati tenang sebab mampu puaskan hati keluarga.
Jangan kedekut dengan isteri, nanti Allah limpahkan lebih banyak rezeki pada suami.
Dah 4 tahun isteri saya menghabiskan duit suaminya…
Dulu, isteri seorang wanita yang bekerjaya, ada pendapatan tetap, gaji bersihnya hampir RM3k setiap bulan. Hidup mewah bila suami isteri bekerja…dari anak seorang, sehinggalah lahir yang ketiga.
Selesa, tak rasa langsung sesak tengah bulan…
Bila isteri ada pendapatan, maka apa yang ada dalam fikiran saya? Kalau duit saya tak cukup, saya bloeh mintak kat dia. Lepas itu, hadirlah nafsu untuk tukar HP, sport rim, modified kereta dan sebagainya.
Tak tanya isteri dah, terus buat keputusan sendiri.
Balik rumah dgn HP baru, sport rim baru, isteri berleter la kejap, lepas itu dia cool. Kalau bulan yang spend duit untuk beli macam-macam tu mesti bajet lari, maka mintak duit isteri. Walaupun isteri beri tapi siap dengan pakej berleter.
Isteri Terpaksa Berhenti Kerja
Bila pengasuh tiba-tiba tak boleh jaga anak ketiga yang masih baby tu, isteri ambil cuti untuk jaga sementara nak cari pengasuh baru. Kami duduk berbincang, bersembang hati ke hati.
Saya tak bersedia lagi untuk dia berhenti sebab komitmen bulanan tu masih sama, plan atas gaji 2 orang. Tapi bila difikirkan tentang anak-anak, maka isteri kata keputusan yang terbaik adalah berhenti kerja, duduk rumah, uruskan anak-anak sebab mereka dah mula nak sekolah.
Apa perkara pertama yang terlintas di fikiran saya? Cukup kah gaji seorang saja ni.
Alhamdulillah, tahun ni dah tahun keempat isteri menjadi suri rumah sepenuh masa tanpa sebarang punca pendapatan. Komitmen masih sama, hutang masih sama, dan ditambah pula dengan yuran sekolah untuk setiap anak.
Sepanjang 4 tahun dia menghabiskan duit suaminya, duit suaminya TAK PERNAH HABIS.
Ajaibkan aturan Allah, semuanya suami belikan, sediakan, semuanya suami bagi, tapi rezeki suami makin murah, makin mencurah-curah. Tiap=tiap tahun gaji asyik naik sahaja, bonus suami pun banyak.
Suami Mudahkan Urusan Isteri
Rupa-rupanya, tak miskin si suami yg tanggung isteri sepenuhnya. Tak susah si suami yang memudahkan urusan isteri dan tak berkira dengan isteri.
Sepanjang 4 tahun ni jugak, Allah berikan kesihatan yang cukup baik kepada saya. Jarang sakit untuk keluar mencari rezeki buat keluarga…
Setiap urusan tu rasa mudah dan setiap kali bekerja tu hati rasa tenang, walaupun gaji dihabiskan untuk keluarga. Tapi ianya tak menyebabkan diri rasa serabut dan DUIT TAK CUKUP.
Setiap bulan sentiasa saja cukup…Allah s.w.t tak pernah kedekut dan kejam pada hamba-Nya yang menjalankan tanggungjawab serta kewajipan yang diamanahkan kepadanya untuk DITUNAIKAN…
Mingguan Wanita : Betul sangat, jangan berkira dengan isteri dan ank, sebab semua rezeki Allah dah atur cantik-cantik.
Air mata terakhir Zara Qairina, bersumpah & nafi mencuri sebelum temui ajal. Inkues kematian pelajar, Zara Qairina membuka kisah memilukan apabila arwah dilaporkan menitiskan...