Duit raya jangan biar ada riba, jadi duit haram. Berhati-hati! Aktiviti menukar wang kertas untuk dijadikan duit raya mungkin mengandungi unsur riba tanpa disedari.
Duit Raya Jangan Biar Ada Riba, Jadi Duit Haram
Meskipun menukar not kertas untuk duit raya menjadi amalan biasa, terdapat situasi tertentu yang boleh membawa kepada riba jika tidak dilakukan dengan betul.
Ketua Pegawai Eksekutif Lariba Consulting, Abd Aziz Mohd Nor, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lariba, menjelaskan bahawa menukar duit raya merujuk kepada penyerahan sejumlah wang lama, seperti RM500, dan menerima jumlah yang sama dalam bentuk wang baharu dengan pecahan tertentu seperti RM5, RM10, atau RM20. Proses ini tertakluk kepada hukum al-sarf dalam Islam.
“Penukaran wang raya perlu memenuhi dua syarat utama, iaitu penyerahan wang lama dan wang baharu mesti berlaku dalam satu sesi tanpa sebarang penangguhan. Jika terdapat kelewatan dalam serahan, ini dikategorikan sebagai Riba al-Nasi’ah.
“Selain itu, pertukaran tersebut mesti dilakukan dengan jumlah yang sama tanpa sebarang lebihan. Jika terdapat lebihan dalam pertukaran, maka ia dianggap sebagai Riba al-Fadl.
“Oleh itu, sekiranya terdapat unsur riba al-Nasi’ah atau riba al-Fadl dalam pertukaran duit raya, maka ia menjadi haram,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berkongsi beberapa keadaan yang boleh menyebabkan pertukaran duit raya mengandungi unsur riba.
Ads
“Sebagai contoh, individu A ingin menukar RM1,000 dengan individu B yang dikenali kerana memiliki banyak wang baharu. Individu A menyerahkan wangnya hari ini, tetapi individu B hanya memberikan wang baharu keesokan harinya.
“Situasi ini haram kerana melibatkan riba al-Nasi’ah akibat penangguhan dalam serahan wang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan satu lagi senario di mana individu A ingin menukar RM1,000 dengan individu B, tetapi individu B mengenakan caj tambahan sebanyak RM10.
Ads
“Individu A akhirnya memberikan RM1,010 dan menerima RM1,000 dalam wang baharu. Ini juga haram kerana berlaku riba al-Fadl akibat pertukaran jumlah yang tidak sama,” tambahnya.
Dalam situasi lain, Farid ingin menukar RM1,000 dengan Bank XYZ melalui rakannya, Ahmad, yang bekerja di bank tersebut.
Ads
“Farid menyerahkan wang kepada Ahmad sebelum Ahnad memulakan tugas. Ahmad kemudian menukarkan wang tersebut di kaunter bank dan menyerahkannya kembali kepada Farid pada waktu petang.
“Dalam kes ini, pertukaran wang raya adalah harus kerana ia berlaku secara tunai di kaunter bank tanpa sebarang lebihan atau penangguhan. Ketika Farid menyerahkan wang kepada Ahmad, ia dilakukan sebagai akad wakalah (akad perwakilan), bukan atas kapasiti Ahmad sebagai pegawai bank,” jelasnya.
Ustaz Lariba menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan pertukaran duit raya untuk mengelakkan terjerumus dalam dosa besar riba, yang dianggap sebagai satu bentuk peperangan dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Jangan normalisasikan maksiat, Dr Ahmad Sanusi. Dalam dunia hari ini, kita semakin melihat perkara yang dahulunya dianggap salah, kini diterima sebagai kebiasaan. Sama ada dalam media sosial, hiburan, mahupun kehidupan seharian, batasan antara yang baik dan yang buruk semakin kabur.
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat hari ini. Apa yang dulunya dianggap tabu kini menjadi perkara biasa, hanya kerana ia kerap dipaparkan di skrin telefon kita. Pergaulan bebas dipamerkan secara terbuka, pakaian seksi dianggap fesyen, hiburan melalaikan dijadikan norma – semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah.
Lebih membimbangkan, ramai yang berbangga dengan perbuatan maksiat. Jika dahulu orang melakukan dosa dalam sembunyi, kini ia dipamerkan untuk mendapat likes dan followers. Kita seakan-akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat, walaupun manusia tidak.
Apabila kita terlalu kerap melihat sesuatu perkara, kita akan menjadi terbiasa dengannya. Inilah bahaya normalisasi maksiat. Apa yang pada awalnya membuat kita rasa janggal atau bersalah, lama-kelamaan kita anggap biasa sahaja. Daripada biasa, kita mula membela dan mempertahankan. Akhirnya, kita sendiri jadi sebahagian daripada budaya itu.
Sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku. Dosa tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan. Malah, orang yang menegur pula dianggap “kolot”, “bajet alim”, atau “suka jaga tepi kain orang”.
Ini bukan soal menjadi terlalu konservatif atau menghukum orang lain, tetapi tentang menjaga nilai moral dan agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
1. Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.
2. Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan.
“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)
3. Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.
“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)
4. Bagi orang awam pula, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.
Sabda Rasulullah:
ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ
“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)
Semoga Allah membimbing kita.
Maksiat tidak sepatutnya dinormalisasikan, walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Islam bukan agama yang menyekat kebebasan, tetapi agama yang membimbing kita ke jalan yang benar. Jika kita benar-benar sayangkan agama, sayangkan diri, dan sayangkan masyarakat, kita harus berani berkata tidak kepada budaya normalisasi maksiat.
Kerana yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya. Dan yang benar tetap benar, walaupun hanya sedikit yang mengikutinya.
Hukum solat di atas sejadah yang empuk. Sejadah merupakan elemen penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia digunakan setiap kali menunaikan solat. Sejadah yang empuk bukan sahaja memberikan keselesaan kepada pengguna, tetapi juga membantu meningkatkan kekhusyukan dalam ibadah.
Dalam pasaran hari ini terdapat pelbagai jenis sejadah. Antaranya, ada yang sangat empuk dan lembut sehingga tenggelam dahi apabila sujud. Sesetengah orang berpendapat bahawa ia menambahkan lagi kekhusyukan dalam solat.
Ada pula yang berpendapat tidak sah kerana tidak tetap dahi. Sebenarnya bolehkah dan sahkah solat di atas sejadah yang empuk dan lembut?
Hukum meletakkan alas hamparan di atas tempat sujud seperti kain, tikar atau sejadah adalah harus dan dibolehkan. Ini kerana ia dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa:
عن أبي سعيد الخدري : أنَّه دَخَلَ على النبيِّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ قالَ: فَرَأَيْتُهُ يُصَلِّي على حَصِيرٍ يَسْجُدُ عليه
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa beliau masuk untuk menemui Nabi SAW dan beliau berkata: “Aku melihat Baginda SAW sedang mendirikan solat di atas hamparan yang dia sujud di atasnya.” Hadis riwayat Muslim: (519)
Begitu juga, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RAnha bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Pada suatu hari, aku tidur di sisi Rasulullah SAW dan kedua-dua kakiku menghala ke arah kiblat. Apabila Baginda SAW ingin sujud, dia memberi isyarat kepada-ku dan aku mendakap kedua-dua kaki-ku. Apabila Baginda SAW berdiri, maka aku melepaskan kedua-dua kaki-ku. Hadis riwayat al-Bukhari: (382)
Imam al-Bukhari meletakkan hadis di atas pada bab menyatakan tentang solat Nabi SAW di atas tikar (الصلاة على الحصير) . Ibn Rajab al-Hambali dalam mensyarahkan hadis ini berkata:
هذا يدل على أنه كان يسجد على طرف الفراش الذي كانت نائمة عليه ، وكانت رجلاها عليه
Maksudnya: Hadis ini menunjukkan bahawa Baginda SAW sujud di hujung katil (tikar) yang Saidatina Aisyah RAnha tidur di atasnya dan kedua-dua kakinya turut berada di atas tikar itu. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3:27)
Namun begitu, secara asasnya Rasulullah SAW telah menetapkan tujuh anggota perlu disentuhkan di atas tempat sujud ketika sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُمِرْتُ أنْ أسْجُدَ على سَبْعَةِ أعْظُمٍ على الجَبْهَةِ، وأَشارَ بيَدِهِ على أنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ، وأَطْرافِ القَدَمَيْنِ
Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil Baginda SAW mengisyaratkan tangganya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki. Hadis riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)
Hal ini juga seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh al-Syafie, antaranya Syeikh Hasan al-Kaff dengan berkata bahawa:
أَن يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضاءٍ : الجبهة و بطون اليدين و الركبتين و و بطون أصابع الرجلين
Maksudnya: Hendaklah seseorang itu sujud di atas tujuh anggota iaitu: dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 221)
Justeru itu, daripada syarat sujud di atas, maka dahi mestilah diletakkan dan ditempelkan di atas tempat sujud, tidak kira sama ada seseorang itu sujud di atas tanah atau di atas alas seperti tikar, sejadah atau tilam.
Selain itu, disyaratkan juga ketika sujud untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud.
Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan perkara ini bahawa:
Maksudnya: Disyaratkan untuk menekan kepalanya (pada tempat sujud sehingga tetap dahi), iaitu pada kadar jika sekiranya dia sujud di atas kapas, maka ia melekat. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 221)
Perhatikan kepada ketebalan sejadah tersebut, sama ada ia boleh untuk tetap dan berjejak dahinya ketika sujud ataupun tidak. Sekiranya ketebalan dan kelembutan sejadah tersebut menyebabkan dahi tidak tetap dan tidak boleh ditekan, seolah-olah berada dalam keadaan terapung kerana terlalu lembut, maka tidak sah sujudnya.
Kesimpulannya hukum sujud di atas sejadah yang empuk dan lembut adalah sah dan dibolehkan jika sekiranya apabila ditekan dahi padanya, maka dahi itu tetap dan berjejak pada tempat sujud tersebut.
Syarat sah sujud adalah meletakkan tujuh anggota iaitu iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki pada tempat sujud. Selain itu disyaratkan juga, untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud.
Oleh itu, jika sekiranya sejadah tersebut terlalu empuk dan lembut sehingga tidak menjadikan dahi seseorang tetap dan berjejak pada tempat sujud dan dirasakan seolah-olah terapung, maka tidak sah sujudnya di atas sejadah seperti itu.
Akhir sekali, ketahuilah bahawa sujud merupakan keadaan paling dekat seseorang hamba dengan Allah SWT dan Baginda SAW menganjurkan supaya memperbanyakkan doa pada ketika tersebut.
Rasulullah SAW bersabda:
أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ
Maksudnya: Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud. Hadis riwayat Muslim: (482)
Justeru itu, marilah sama-sama kita mengambil peluang untuk berdoa sebanyak-banyaknya ketika kita tunduk bersujud kepada Allah SWT dan janganlah terlalu cepat mengangkat kepala kita untuk bergegas kepada hal-hal keduniaan.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya.
Gadis kena pecat sebab pergi solat, ada rakan sekerja Islam tapi tak solat. Situasi pekerja dibuang kerja hanya kerana menunaikan solat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Namun, insiden sebegini masih berlaku, menunjukkan masih ada majikan yang gagal memahami kepentingan hak asasi pekerja.
Beberapa kes sebelum ini menunjukkan bagaimana pekerja diberhentikan kerana solat, sama ada secara langsung atau secara halus dengan memberikan tekanan sehingga mereka terpaksa berhenti sendiri. Ada yang dimarahi, dipotong gaji, malah ada yang diugut untuk dipecat jika terus bersolat.
Sikap sebegini mencerminkan ketidakfahaman majikan terhadap kepelbagaian agama dan hak pekerja. Lebih membimbangkan, ada kes di mana pekerja yang diberhentikan bukan kerana gagal melaksanakan tugas, tetapi semata-mata kerana mereka memilih untuk menunaikan solat pada waktu yang sepatutnya.
Menerusi luahan di laman X, seorang gadis memberitahu dia baru sahaja bekerja. Bagaimanapun dia mendakwa telah dipecat oleh majikan atas alasan kerana dia solatnya terlalu lama.
Menurutnya, dia hanya mengambil masa 20 minit untuk menunaikan solat. Gadis itu mempersoalkan adakah logik untuk majikan memecatnya kerana situasi tersebut.
Jelas gadis itu lagi dia tidak pernah melihat pekerja lain solat melainkan ketika solat Jumaat.
“Baru first time kerja tapi kena pecat sebab solat lama sangat. Boss tak kasi warning, terus pecat je. I solat less than 20 minutes. Nak tanya akak-akak kira lama ke? Logik ke dipecat sebab ni? Staff lain ada Islam tapi saya tak pernah nampak mereka pergi solat selain solat Jumaat,” ujarnya.
Dalam komen-komen warga maya ada yang mecadangkan gadis itu membuat laporan berkenaan isu tersebut.
Berikut antara komen-komen warg maya:
“Boleh bawa aduan ke Jabatan Tenaga Kerja”
“Kena letak waktu solat sebagai salah satu waktu kontrak (untuk bos bukan Islam)”
“Saya juga menghadapinya. Terpaksa solat dihujung waktu”
“Kesiannya. Tak lama pun 20 minit untuk wanita. Itu standardlah”
“Kalau perempuan 20 minit tak lamalah. Sebab nak pakai telekung semua campur pergi balik surau”
“Kalau tak silap dalam undang-undang ada mention majikan perlu memberi sekurang-kurangnya 20 minit untuk waktu solat pekerja tidak termasuk waktu rehat.”
Menurut Perlembagaan Malaysia, setiap individu mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka. Akta Kerja 1955 juga melindungi pekerja daripada diskriminasi berdasarkan agama. Justeru, majikan yang bertindak membuang pekerja kerana solat boleh dianggap melanggar hak asasi dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Selain itu, banyak syarikat besar di Malaysia yang menyediakan surau atau ruang khas untuk pekerja Muslim menunaikan solat. Ini menunjukkan bahawa tidak ada alasan logik untuk melarang solat di tempat kerja, apatah lagi menjadikannya sebab untuk memberhentikan pekerja.
*Laporkan kepada pihak berkuasa – Jika mengalami diskriminasi kerana solat, pekerja boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
*Gunakan saluran undang-undang – Jika majikan melanggar hak pekerja, tindakan undang-undang boleh diambil bagi menuntut keadilan.
*Kesedaran dan pendidikan – Majikan dan pekerja perlu diberi pendedahan tentang hak beragama agar perkara sebegini tidak berulang.
Seorang pekerja tidak sepatutnya dipaksa memilih antara pekerjaan dan agama. Solat bukan satu jenayah, dan seseorang tidak sepatutnya dihukum kerana menunaikan tanggungjawabnya sebagai Muslim.
Majikan yang adil dan bertimbang rasa pasti akan memahami perkara ini dan menghormati hak pekerja. Jika kita ingin membina masyarakat yang harmoni dan saling menghormati, sikap diskriminasi terhadap agama perlu dihentikan.
Faraj berbau hanyir selepas bersama suami boleh jadi tanda vaginosis bakteria. Ketahui punca, simptom dan cara atasi masalah kesihatan intim wanita ini.