Dr Janefer – “Tiada Kesan Lebam, Tanda Penderaan Pada Tubuh Zara Qairina.” Prosiding inkues kematian remaja, Zara Qairina Mahathir, 13, pada Selasa mendengar keterangan daripada Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Janefer Voo, yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Menurut saksi ketiga itu, mangsa dibawa masuk ke Jabatan Kecemasan pada jam 4.38 pagi selepas ditemui di tingkat bawah asrama sekolah. Hasil pemeriksaan awal mendapati pesakit tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius di bahagian kepala.
“Pesakit patah tulang tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah tulang terbuka pada buku lali sebelah kaki kiri dan patah tulang tertutup pada buku lali sebelah kaki kanan,” katanya.
Dr Janefer berkata, beliau turut mendapati terdapat luka berdarah dan bengkak pada bahagian belakang kepala mangsa. Susulan itu, “Trauma Alert” diaktifkan pada jam 4.42 pagi bagi mendapatkan rawatan segera daripada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, sementara proses resusitasi dijalankan.
“Hasil pemeriksaan saya, pesakit disyaki mempunyai kecederaan otak yang teruk terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang pada kedua-dua buku lali dan pergelangan tangan kiri, dan disyaki mempunyai pendarahan dalaman,” jelasnya ketika membaca keterangan bertulis di Mahkamah Koroner.
Beliau menambah, keadaan tekanan darah pesakit yang terlalu rendah menimbulkan syak wujud kecederaan dalaman akibat hentakan kuat.
“Hasil pemeriksaan saya, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit, hanya ada kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang di tangan kiri dan kedua-dua buku lali,” katanya.
Selepas pesakit melalui rawatan kecemasan termasuk imbasan pengimejan, beliau mengesahkan Zara Qairina mengalami pendarahan pada otak, patah tulang terbuka pada buku lali dan tumit kiri, patah tulang tertutup di tangan kiri dan kaki kanan, keretakan pada tulang belakang lumbar dua, tiga dan empat, selain terdapat darah beku pada bahagian pinggul serta otot psoas kiri.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Inkues Zara Qairina: Keterangan Ahli Kimia, Diari Dan Lokasi Kejadian Jadi Tumpuan
Kes Zara Qairina: Jenazah Alami Pereputan Tidak Seperti Diviralkan, Ini Pandangan Sudut Syarak
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE