Bila dah menjadi suami isteri adalah penting menyimpan rahsia dan mengambil tahu dokumen penting yang pasangan kita miliki. Penting tulis dan simpan dokumen penting pasangan seperti password telifon bimbit,akaun media sosial, no pin pada kad ATM, akaun simpanan yang dimiliki, sijil takaful, geran rumah, kereta, jumlah hutang dan sebagainya.
Bukan apa, ia sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini secara tiba-tiba contohnya meninggal dunia akibat kemalangan, segala dokumen telah dicatat dan disimpan sempurna bagi memudahkan segala urusan nanti.
Peringatan bagi kaum lelaki yang bergelar suami.Elakkan lah benda ini berlaku. Saya nak bantu pon tak dapat. Dokumen dokumen penting semua dalam phone. Nak deactivate semua kat phone.
Kejujuran dalam berkeluarga. Catat lah dalam buku masing-masing dan disimpan di tempat yang suami isteri boleh tahu. Sebab kita tidak tahu siapa “pergi” dulu.
Password phone
No Agent Insurans / Hibah
Jumlah hutang & siapa
Jumlah pemiutang & siapa
No pin bank card
Online Banking
Bussines Partnership jika ada
Listing hutang bank & card credit
Password peti besi (jika ada)
Ads
Untuk apa nak berahsia, kalau isteri nak check phone bagi je. Dari mula kita “Aku Terima Nikahnya” bermakna dia sebahagian dari hidup kita.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat suami isteri. Tak perlu terlalu berahsia dalam menyimpan dokumen-dokumen penting ini. Berkongsilah, simpan di tempat yang selamat dan diketahui bagi memudahkan urusan pasangan bila kita dah tiada.
Semua pasangan suami isteri mahukan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat. Namun dalam melalui kehidupan bersama, ada perbuatan yang sebenarnya sangat menyakitkan hati pasangan dan jangan dibuat. Perkara-perkara ini mungkin kita tidak sedar semasa bercinta atau tidak dipedulikan semasa berbulan madu. Kali ini saya nak kongsikan tentang sikap yang isteri KENA ELAK ye…
Sudah tentu perkara ini kita lakukan secara tidak sengaja. Kecuali diberitahu, kadangkala kita tidak sedar perkara itu kita ulang berkali-kali. Pada mulanya perkara itu mungkin kelihatan comel tetapi kecomelan itu bukan untuk selama-lamanya.
Ia berpotensi bertukar daripada sesuatu yang comel kepada sesuatu yang mengancam ketahanan hubungan dengan pasangan kita. Dalam ruangan ini minggu ini kita akan lihat sebahagian daripada perkara-perkara ini.
Saya pernah dengar orang cakap, kita tidak akan tahu setahan mana pasangan kita sehingga diuji. Memang betul tetapi jangan cari penyakit dengan mengujinya sendiri. Biarlah ujian itu datang secara semula jadi. Sebagai contoh suami anda kata
“Abang setia hingga ke akhir hayat.”
Anda senyum dan kembang hati mendengarnya. Dengan niat untuk bergurau dan menguji kata-kata itu, anda pun ber’skandal’ palsu dengan orang lain. Anda terlupa satu perkara. Ada perkara boleh bergurau atau perkara boleh jadi pantang besar. Pada maruah seorang lelaki mengetahui isterinya berskandal dengan orang lain itu bukan satu ujian kesetiaan. Itu ujian ketegasan keputusan.
Rumah tangga adalah tanggungjawab bersama. Jangan biasakan menyebut “Ini semua sebab abanglah…” sekiranya berlaku sesuatu masalah. Setelah melihat air mukanya berubah lalu cepat-cepat anda kata itu gurauan.
Mungkin maksud anda bergurau tetapi pada pandangannya air muka dan bahasa badan anda tidak menunjukkan begitu. Kata-kata yang membawa maksud menyalahkan suami akan menyebabkan dia merasa gagal, terhina dan merobek egonya. Lelaki selalu bertindak tidak siuman pada ketika egonya tercalar. Adalah lebih elok anda memilih ayat yang membawa maksud memikul tanggungjawab bersama. Ini akan memberikan sokongan psikologi yang sangat suami perlukan untuk menghadapi masalah itu.
Satu lagi ialah perangai suka merajuk. Memang kadangkala perangai merajuk ini nampak comel. Anda duduk diam di satu sudut, bila suami datang memujuk, anda juih muncung keluar lagi panjang. Konon tidak mahu bercakap tetapi mengharap suami akan terus memujuk lagi. Sesekali bolehlah buat begitu tetapi tidak ada orang boleh sabar kalau anda buat begitu tiga atau empat kali setiap hari. Jika tidak percaya, cubalah!
Setiap orang menerima orang lain dalam ikatan rumah tangga dengan harapan tertentu. Harapan untuk hidup lebih selesa, harapan untuk disayangi, harapan untuk itu dan ini. Namun begitu jangan kira harapan kita sahaja. Pasangan kita juga mempunyai harapan tertentu kepada kita. Jangan kita meletakkan bebanan harapan itu kepadanya tetapi memberi alasan tidak dapat memberi balasan yang setimpal kerana sibuk dengan perkara lain.
Apabila suami cuba bercakap-cakap dengan anda, cubalah untuk menjawab semula dengan jawapan beserta huraiannya. Jangan hanya jawab ‘tak nak’, ‘tak mahu’, ‘tak tahu’, ‘entah’ atau yang seumpamanya. Anda mungkin pendiam atau pada ketika itu sakit gigi tetapi pada telinga suami jawapan-jawapan begini adalah jawapan malas dan tidak bersungguh. Yang lebih bahaya jika dia dengar jawapan anda itu seperti mencabar dirinya.
Bagus sekiranya di pejabat pangkat anda besar dan orang lain terpaksa ikut semua kehendak anda. Namun jangan terbawa-bawa perangai itu di rumah. Tidak kira apa jawatan anda di pejabat, jawatan tetap dan tidak boleh pencen yang anda sandang di rumah ialah sebagai isteri dan ibu. Jika di rumah anda mahu segalanya ikut kehendak anda, tunggulah harinya suami atau anak-anak menunjukkan kebencian mereka.
Kebahagiaan atau masalah rumah tangga adalah milik peribadi antara suami dan isteri itu. Sekarang seperti jadi budaya baru, saling bertukar ucapan cinta atau makian berapi di laman sosial.
Walau bagaimana bahagia atau bagaimana benci pun anda kepada pasangan, tidak ada orang yang perlu atau sibuk mahu tahu. Jagalah harga dirinya sebagai suami. Bayangkan jika dia membalas dengan memalukan anda pula di laman yang sama. Malu pada anak-anak, keluarga sendiri dan keluarga mertua. Mana mahu letak muka, bukan?
Artikel: Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mulanya sekadar berkongsi hobi yang sama. Siapa sangka akhirnya saling jatuh cinta dalam hubungan yang terlarang. Bila jatuh pada orang yang salah, pelbagai masalah pula yang muncul. Ikuti perkongsian seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Merupakan seorang guru dan begitu juga dengan suami.
Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota. Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran masjid atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran.
Jiran sebelah kiri rumah saya berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya dan sering ke rumah saya. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Pasangan jiran saya itu isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. bekerja swasta. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsapp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi masalah kerja, soal anak-anak. Tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya. Antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini?
Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya. Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar? Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup.
Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat.
Maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata dia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya. Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti…
Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal.
Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta. Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah.
Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya.
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala?
Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk? Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan?
Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya? Puan tahukan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah. Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu. Tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak. Namun usaha puan mesti berlipat kali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar nombor telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan! Itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni.
Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik. Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain.
Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca al-Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Artikel: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!