Bergelar seorang doktor bukanlah satu perkara yang mudah. Selepas menuntut ilmu di menara gading beberapa tahun dan menjalankan latihan praktikal sudah tentu kerjaya ini sangatlah mencabar.

Bagi diri Dr Ismaliza Ismail, 37 yang berasal dari Kemaman, Terengganu, sebagai seorang wanita yang bergelar doktor tentunya dia perlukan semangat kekuatan dalaman yang membantu dirinya untuk menjadi seorang yang berdedikasi kepada kerjayanya.

Anak sulung daripada empat orang adik-beradik ini juga mempunyai klinik iaitu Amisi Medic & Wellness yang terletak di Bangi.

“Sebagai seorang wanita, untuk menjadi seorang doktor atau usahawan sememangnya perlu kuat semangat. Semangat ataupun spirit adalah kekuatan dalaman yang akan membantu kita untuk menuju ke hadapan. Bukannya satu perkara mudah untuk saya berada di tahap hari ini.

“Saya bermula sebagai Pegawai Perubatan di dalam bidang pembiusan lebih kurang lapan tahun di beberapa hospital kerajaan di Semenanjung Malaysia. Saya akui sangat sayang dengan kerja ini namun minat saya kemudian beralih kepada dunia perubatan estetik atau kecantikan. Kini saya merupakan doctor perubatan kecantikan di Klinik Amisi dan juga penasihat kecantikan Skin Valet iaitu pusat terapi kulit. Saya juga memberi konsultasi mengenai kesihatan kulit dan juga terapi yang berkaitan,” terang graduan dari Universiti Putra Malaysia ini memulakan bicara.

IKLAN

Ditanya juga bagaimana minat untuk bergelar doktor terlahir dalam dirinya, Dr Ismaliza menerangkan sebenarnya sejak kecil dia telah menanam azam untuk bergelar doktor.

“Bapa saya ialah pembantu perubatan di sebuah klinik swasta, setiap hari melihat bapa bekerja di klinik menjadikan saya berazam untuk menjadi doktor. Jadi, saya boleh sambung apa yang bapa buat,” ungkap Dr Ismaliza yang cukup peramah.

Doktor Wanita Ini Rasa Seronok Bila Dapat Redakan Kesakitan & Buat Pesakit Tersenyum 
Doktor Isma bersama anak-anak kesayangan.

Banyak Kenangan Manis 

Minat yang mendalam dalam bidang kecantikan, Dr Ismaliza kemudiannya melanjutkan pelajaran dan mengambil Diploma Aesthetic daripada American Academy of Aesthetic Medicine. Dek kerana sangat mencintai dunia kecantikan sejak zaman remaja, Dr Ismaliza juga menjadikan minatnya ini untuk diteroka dan mengaplikasikan kepada pesakit yang mementingkan penampilan dan kecantikan diri.

IKLAN

“Sejak itu, saya mempraktikkan perubatan kecantikan sebagai kerjaya. Sejak daripada dulu, saya seorang yang sukakan kecantikan. Keluarga dan rakan rapat memahami sangat dengan perangai saya. Tetapi, bila mana saya melihat ramai yang ambil mudah mengenai perubatan kecantikan, saya terpanggil untuk kongsi ilmu yang saya ada dengan masyarakat. Saya lihat hari ini masyarakat Malaysia gemar kepada kecantikan dan sudah mula mengambil berat tentang penampilan diri mereka. Disebabkan itu juga saya mahu berkongsi ilmu saya dengan mereka.

“Pengalaman manis sepanjang bergelar seorang doktor terlalu banyak. Paling manis bila mana kita berjaya untuk membuat pesakit tersenyum. Bila seorang jatuh sakit, kita dalam keaadaan tertekan. Keadaan akan memudaratkan lagi pesakit. Tetapi, sebagai doktor, bila kita boleh membantu untuk menghilangkan rasa sakit ataupun meredakan rasa sakit, dan pesakit bisa tersenyum, itulah momen yang sangat manis buat saya,” akur Dr Ismaliza.

IKLAN

Suami Beri Sokongan   

Ditanya tentang cabaran sebagai seorang yang bergelar srikandi, Dr Ismaliza akui bukannya mudah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

“Cabaran utama adalah masa. Sebagai seorang ibu kepada tiga orang anak dan juga seorang doktor dan sekarang sebagai usahawan, masa adalah cabaran paling besar untuk saya. Saya perlu membahagikan masa dengan sebaik mungkin untuk saya dan keluarga. Suami juga banyak memberi sokongan galakan kepada diri saya. Malah dia juga antara tulang belakang dalam kejayaan saya pada hari ini.

“Saya cuba membahagikan masa yang saya ada bersama keluarga dengan sebaik mungkin. Contoh, setiap bulan saya pastikan masa bersama keluarga diluangkan untuk beriadah ataupun bercuti. Saya juga perlu seimbangkan dua keperluan ini dalam imej saya. Imej yg saya bawa perlu sesuai dgn karektor diri saya dimana seorang doktor yang berkeluarga tetapi masih menjaga penampilan diri,” akui Dr Ismaliza bahawa untuk seimbangkan diantara keluarga dan kerjaya sememangnya merupakan cabaran paling besar dalam kariernya.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI