Kandungan nutrisi makanan yang tepat sebenarnya mampu memberi tenaga dan membantu mempercepatkan proses bersalin bagi mak-mak yang sedang dalam tempoh contraction. Selain melakukan senaman dan banyakkan berjalan untuk memudahkan kelahiran 6 jenis makanan ini juga disarankan diamalkan.
Berikut merupakan perkongsian yang dedahkan oleh Dr Hafiz Sulaiman sendiri sebagai rujukan.
6 MAKANAN MUNGKIN MENCEPATKAN PROSES KELAHIRAN
Risau sakit lama sewaktu bersalin? Memang seksa..Ia boleh jadi pengalaman paling sakit dalam hidup sesetengah wanita. Masa praktikal di labour room dulu, saya pernah jaga seorang pesakit ni.Separuh hari dia sakit contraction kuat.Lebih-lebih lagi lepas dapat ubat cepatkan bersalin lah. Sampai berdiri, duduk atas katil bersalin pun ada, tak senang baring punya pasal. Kesian sangat.
Saya kongsi beberapa petua pemakanan untuk lancarkan proses bersalin. Ambil sewaktu sudah term dan atas nasihat doktor ya 🙂
1. MINYAK KELAPA
Minyak kelapa dara (VCO) kaya dengan lemak MCT dan LCT.
Lemak MCT memberi tenaga segera kerana tidak perlu diproses di hati.
Lemak LCT pula memberi tenaga berpanjangan.
Settle..insha Allah tak perlu minum manis untuk tenaga 🙂
2. KURMA
Di dalam Al quran mengisahkan Maryam A.S ibu kepada nabi Isa A.S ketika sakit kuat dalam peringkat akhir kandungannya diperintahkan Allah menggoncangkan pokok kurma.
Kajian Al- Kuran O et al pada 2011 menunjukkan bahawa pesakit yang makan kurma 4 minggu sebelum tarikh kelahiran:
Ads
96% mengalami kelahiran spontan ( tanpa induce atau pembedahan) berbanding 79% yang tak makan kurma. Hanya 28% memerlukan “penggalak kelahiran” (oxytocin/pitocin) berbanding 47% yang tak makan kurma.
Purata fasa pertama kelahiran lebih singkat (510minit) berbanding mereka yang tak makan kurma (906minit).
Kajian oleh Razali N et al pada tahun 2017 di Dept Obgyn Universiti Malaya juga menunjukkan kurma mengurangkan keperluan “induction of labour” menggunakan oxytocin.
Tenaga pun dapat..pahala pun dapat insha Allah.
3. EVENING PRIMEROSE OIL (EPO)
EPO tinggi omega 6 yang meningkatkan keradangan maka dikatakan boleh “melembutkan” bukaan serviks.Kajian saintifik walaubagaimanapun menunjukkan tiada kesan ketara.
Ads
Alaa..cuba je lah. Confirm tak bahaya macam trans fat.Sebaiknya ambil bila dah mula contraction. Saya tak galakkan amal lama-lama sebab minyak EPO ini pro-keradangan.
4. EMPULUR NANAS
Bahagian tengah nanas ini mengandungi bromelain yang dikatakan boleh juga menyebabkan cervical ripening. Namun tiada bukti saintifik yang membuktikannya.
Mungkin sebab nanas tinggi histamin juga..histamin tinggi menyebabkan pergerakan rahim juga bagi mereka yang alah.
Ads
5. PARSLEY
Daun ni tak mahal dan senang dapat. Berlebihan pengambilan mempunyai kesan uterotonik (menyebabkan pergerakan otot rahim).Low risk pregnancy boleh lah cuba ya.
6. DAUN TEH RED RASPBERRY
Walaupun membunyai banyak bukti anekdot mengatakan , kajian saintifik menunjukkan ia tidak berkesan. Boleh je cuba sebab kajian juga mengatakan tiada kesan sampingan pengambilannya.
Kebanyakan bahan makanan diatas tidak terbukti secara saintifik berkesan mencepatkan kelahiran.Namun tak salah mencuba atas nasihat doktor.Pilihan keluarga kami ialah kurma dan VCO.Alhamdulillah anak kedua lahir sangat mudah. Kurang sakit, tau-tau dah 8cm. Bersalin tak sampai 2 minit.saya pun kagum ma sha Allah.
Semoga tips di atas membantu melancarkan proses kelahiran dan memberi tenaga ketika bersalin. Jangan lupa berdoa kerana kita hanya berusaha dan makanan di atas hanya asbab mudahnya bersalin. Barakallah.
Kongsikan juga pada mak-mak yang dah nak bersalin. Moga memudahkan proses bersalin mereka.
Kalau ikutkan sibuk kerja, memang kebanyakan mak ayah tak ada masa nak melayan karenah anak-anak 24 jam. Sudahnya anak membesar tanpa sedar, tahu-tahu semua dah berjauhan dan masing-masing pandai berdikari.
Sudahnya, kenangan apa yang anda ada? Itulah yang diluah oleh saudara Amir Syahir di status facebook miliknya baru-baru ini, sebelum terlambat eloklah mak ayah betulkan mana yang silap.
Anak biasanya lebih rapat dengan ibu berbanding ayah. Sebab selalunya ibu lebih punya banyak masa dengan anak berbanding ayah. Tapi, sesibuk manapun kau bekerja, jangan lupa cari masa untuk anak.
Memang kau kerja sebab nak cari duit untuk anak isteri kan. Tapi, tak guna juga kau punya banyak duit tapi kau jauh dengan anak. Anak bila tengok kau pun menangis. Kau nak ke macam tu?
Anak dekat dan rapat dengan kita sampai umur 12 tahun je biasanya. Dah masuk sekolah menengah, lepastu tinggal di asrama, biasanya diorang akan lebih rapat dengan kawan-kawan.
Masa tu kau tanya dia sepatah dia pun jawab sepatah lah. Dah kau ajar dan tak layan dia masa kecil dengan baik. Kau jangan marahkan dia jika dia bersikap kurang ajar masa tu. Kau yang selalu mematahkan semangat ingin tahu dia.
Jangan biarkan dorang membesar tanpa ada kenangan indah bersama kau.
Hari minggu bawalah keluarga kau jalan-jalan. Berkelah di tepi pantai atau lepak dekat air terjun ke. Luang masa berkualiti dengan keluarga. Dah hari bekerja kau sibuk je manjang. Hari minggu, utamakan keluarga.
Kalau anak suka menyanyi, luangkan masa dengan dorang kat rumah nyanyi sama-sama. Kalau anak suka jalan-jalan tepi pantai, bawak la dorang jalan-jalan tepi pantai. Boleh main bina istana pasir ke.
Takpun, kau ajak anak kau berkebun belakang rumah, ajak basuh kereta sama-sama. Memang suka la dorang main air tu. Ada juga kenangan kau dengan dorang nanti.
Masa makan, biar makan sama-sama. Masa tu kau nak tanya aktiviti dorang di sekolah. Bantu dorang buat kerja sekolah. Jangan asyik duk layan drama ngarut je.
Tetapi ingat , masa kau luangkan masa dengan keluarga, jangan pegang telefon pintar kau tu. Simpan sekejap. Off semua gajet. Kalau kau keluar dengan dorang tapi mata masih kepada telefon pintar, tu bukannya bonding time namanya.
Telefon pintar telah ambil masa kau. Janganlah biarkan telefon pintar ambil masa kau dengan keluarga kau. Sampai bila tak habis kalau kau nak melayan kawan-kawan kat media sosial tu. Kalau sakit demam, anak isteri juga yang kau cari.
Hargailah isteri dan anak-anak kau selagi mereka masih setia di sisi. Jangan bila mereka pergi, baru kau menyesali. Pada saat dan ketika itu semuanya sudah tidak berguna lagi. Kah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Demi memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran dan peroleh keputusan yang baik, ada ibu bapa sanggup menabur janji dengan anak-anak. Misalnya menghadiahkan barangan yang disukai oleh anak-anak.
Janji itu dianggap reward kerana kesungguhan anak-anak untuk terus belajar. Jika dibiasakan, ia boleh memberi kesan baik pada ibu bapa dan anak itu sendiri.
Sebagai ibu bapa yang penyayang lagi prihatin, menjadi satu amalan mulia untuk memberi perhatian dan merealisasi apa sahaja keperluan yang diperlukan oleh anak.
Misalnya keperluan makanan, pakaian, buku bacaan, telefon bimbit, komputer riba, alatan permainan sukan dan seumpamanya.
Ia adalah fitrah melihat sikap ibu bapa yang sentiasa mendaya usahakan dirinya demi keselesaan dan kebahagiaan anak-anaknya.
Begitulah juga fitrah bahawa ibu bapa ingin menjadi cemerlang dalam aspek mendorong dan mengasuh anak menjadi anak soleh dan bagus dalam bidang akademiknya.
Cabarannya, sejauh mana anak itu dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan akademiknya di peringkat menara gading dan kerjaya.
Bagi memotivasikan anak untuk berjaya dalam pelajaran, banyak kalangan ibu bapa cuba sedaya upaya melengkapkan keperluan anak mereka.
Kesan negatifnya, ada ibu bapa mengalami tekanan kerana tidak mampu menunaikan janji kepada anak setelah bersetuju untuk merealisasikannya.
Kita sedia maklum bahawa sikap yang tidak tepati janji, maka hukumnya boleh menjadi berdosa. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah Taala maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji.” (Surah Al-Maidah :1)
Mengambil hikmah di sebalik ayat Al Quran di atas, maka adalah wajar ibu bapa melunaskan janji. Janji mestilah ditepati. Justeru, hendaklah ibu bapa berhati-hati apabila berjanji dengan anak-anak.
Hakikatnya, banyak benda dan perkara ada kesan baik dan buruk. Ia memerlukan kajian dan pemikiran yang jelas sebelum merancang dan berjanji. Apa yang penting kita mesti yakin pada diri sendiri dan anak kita.
Manusia boleh jadi hebat dan selamat berasaskan ilmu, pengamalan ilmu dan keimanan yang padu di dalam dirinya. Selain itu, ilmu tanpa amal adalah sia-sia.
Banyak kalangan ahli masyarakat kita mempunyai sijil akademik berjela, pangkat dan darjat, namun sikap dan sahsiah amat buruk hingga kita hanya mampu menggelengkan kepala. Janji mesti ditepati. Jika tak yakin mampu menepati janji, maka jangan menjanjikan kepada anak sendiri.
Jika ibu bapa tidak menepati janji, kesannya ialah:
√ Anak akan tercedera emosi
√ Rasa rendah diri
√ Kecewa
√ Tidak mempercayai janji ibu bapanya pada masa depan.
Ambillah ingatan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda maksudnya:
“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (HR. Bukhari-Muslim)
Anak secara personal telah berhempas pulas belajar dan mencapai impiannya untuk meraih keputusan peperiksaan (akademik) yang cemerlang, hasil faktor motivasi yang pihak ibu bapa telah berikan, misalnya berjanji membelikan sebuah motosikal atau komputer riba atau jam tangan berjenama.
Adapun menurut jumhur ulama Islam, bahawa hukum menunaikan janji itu ada tiga cabang iaitu;
Iaitu jika perkara yang di janji tidak diperintahkan oleh agama dan juga tidak mengandungi perkara mudarat tertentu jika ditinggalkan, baik untuk diri sendiri atau orang lain. Misalnya, seorang anak berjanji kepada ibunya untuk tidak lagi bermain Facebook atau WhatApps di dalam rumah.
Jika janji yang dia buat sudah tidak relevan dengan keadaan dan jika meninggalkan janji tersebut lebih besar manfaatnya. Misalnya ketika seseorang berjanji untuk tidak melanjutkan pelajaran kerana ingin berniaga sahaja,
Namun ibu bapanya lebih meredhai dia untuk teruskan pelajaran. Jika demikian, dia harus membayar kafarat atas janji atau sumpah yang dia buat dengan berpuasa kafarat 3 hari berturut-turut.
Iaitu ketika janji yang dia buat bertentangan dengan ajaran agama. Misalnya seorang ibu berjanji kepada anaknya jika anaknya berjaya dapat semua “A” di dalam SPM 2018, dia akan berbogel di tengah padang bola sepak.
Ibu bapa boleh atasi masalah timbulnya anak rasa kecewa, terkilan dan tidak mempercayai ibu bapa sendiri natijah tidak merealisasi janji ialah dengan sikap asertif dalam komunikasi.
Sikap asertif atau berterus terang tetapi sangat lunak, mesra, logik dan tidak menyakitkan hati anak. Misalnya ibu bapa boleh bercakap kepada anak seperti berikut;
Ibu dan ayah nak minta maaf kepada Fauzi (contoh nama anak) sebab tak dapat belikan jam tangan G Shock Casio tu. Sebab…..ibu dan ayah tak mampu. Duit keluarga kita sekarang ni sangat kritikal.
Duit ibu dan ayah dalam bank sekarang ni pun sekadar cukup-cukup untuk baiki kereta kita yang sedang rosak enjinnya tu…….Ibu dan ayah harap Fauzi memahami dan memaafkan ibu dan ayah……….
√ Gunakan nada suara yang lembut.
√ Pastikan sebelum bercakap dengan anak itu, buat solat hajat dahulu agar hati anak terbuka dan lembut hatinya untuk menerima ketidakmampuan ibu bapa dalam merealisasi janji terhadapnya.
√ Bertawakal kepada Allah.
√ Mesti bersikap sabar untuk hadapi apa sahaja respons daripada anak sama ada dari segi ekspresi riak wajahnya, refleksi perasaan, persepsi dan barangkali kritikannya kepada ibu bapa.
Institusi keluarga yang cemerlang dihasilkan oleh persekitaran komunikasi dalam keluarga yang benar, jujur dan tulus ikhlas. Dengan adanya rasa sayang, hormat dan bertolak ansur, akan lahirlah sebuah keluarga yang berdaya maju, aman bahagia dan diberkati.
Mengenai isu ibrah (pengajaran) di sebalik janji ibu bapa terhadap anaknya, ia mesti diambil pengajaran besar kerana sikap tidak menepati janji dalam kalangan ibu bapa terhadap anak adalah dilarang oleh tuhan.
Malah Allah menyatakan bahawa sikap memungkiri janji dalam kalangan manusia itu merupakan ciri karakter syaitan yang pendosa. Jelasnya, Allah telah berfirman maksudnya
“Mengingkari janji adalah sifat syaitan. Padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.” (QS. An-Nisâ: 120).
Penulis : Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Baru-baru ini di sebuah akhbar mendedahkan punca remeh temeh dan ada yang tidak masuk akal berlakunya perceraian. Antaranya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, punggung isteri menggerutu, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, lambat menyediakan makanan dan banyak lagi.
Kenapa institusi kekeluargaan hari ini terlalu longgar? Sehingga begitu senang untuk suami melafazkan cerai? Malah perceraian yang berlaku dalam masyarakat seolah-olah menjadi seperti perkara mainan sahaja.
Menurut Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris, “Kata kunci pada perhubungan rumah tangga adalah KENAL dan FAHAM. Apabila kita sudah kenal dan faham barulah kita dapat berkomunikasi dengan baik.
“Membina rumah tangga bukan mudah seperti disangka. Semua alasan yang diberikan untuk meruntuhkan rumah tangga adalah selalunya perkara yang tidak boleh diterima.
“Di dalam psikologi, itu hanya dipanggil sebagai proses adaptasi dan akomodasi. Adaptasi adalah proses penyesuaian pasangan dengan alam perkahwinan.
“Yang mana apa sahaja berlaku kita perlu mengubah cara fikir dan sudut pandang kita sebelum ini dipanggil akomodasi.”
Contohnya seorang isteri atau suami yang kahwin mereka sudah lama membina cara fikir iaitu atas faktor cara kita dibesarkan, sekolah, budaya dan sebagainya.
Jadi dalam perkahwinan kita perlu ada matlamat untuk memulihkan dan membina keseimbangan di dalam personaliti, gaya hidup, komunikasi dan sebagainya.
1. Selalunya penceraian yang tanpa alasan yang tidak konkrit hanyalah kerana emosi negatif yang melebihi logik. Atau ketidakcerdikan dalam melayari rumah tangga.
2. Kolam jiwa yang penuh kelodak keegoan. Masing-masing menuding jari pada pasangan, isteri tidak faham suami dan suami tidak faham isteri.
3. Mungkin bagi sesetengah pihak merasakan perkara ini melucukan tetapi inilah realiti. Ada kalanya mereka memberikan alasan yang tidak munasabah untuk bercerai, adakah kerana masyarakat kita pada hari ini terlalu memikirkan soal yang remeh temeh?
Soal remeh temeh ini adalah disebabkan gaya hidup kita bukan kepada ketuhanan tetapi lebih kepada materialistik.
4. Apabila seorang isteri melihat suaminya lebih rendah dari sudut pendidikan, kewangan, cara hidup dan sebagainya. Mereka mudah memperlekehkan suami dan tidak tahu untuk hormat.
Suami pula dengan keegoan dan kurang kesabaran akan menyebabkan mereka tidak ada kesatuan dan keserasian.
5. Mudahnya mereka ingat lafaz dan akad yang dihasilkan hanya sebagai mainan duniawi bukan sebagai membina hubungan terus kepada Tuhan hingga ukhrawi.
Perkahwinan tiada matlamat yang jelas hanya untuk membina impian penuh tipuan.
6. Setiap fasa perkahwinan ada ujian tersendiri. Jika tak kuat dan tiada ilmu nak harungi setiap fasa dalam perkahwinan : fasa awal, fasa pertengahan dan fasa akhir maka penceraian yang jadi.
7. Faktor diam sendiri dalam menyelesaikan masalah dan tiada perbincangan dengan yang pakar dan pengalaman membuatkan mereka terjerat dalam kasih yang dibina. Keputusannya CERAI.
Antara penyelesaian yang boleh diambil pertama, terus menerus memenuhi diri dengan ilmu. Hanya dengan ilmu dapat membantu kita. Kedua, ada diskusi dengan kaunselor atau yang lebih berpengalaman.
Apabila berjumpa dengan orang yang lebih pakar, nasihat mereka umpama mutiara yang berharga dapat mengubah sedikit sebanyak mindset kita yang tepu dan kurang ilmu.
Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, anak yang masih kecil itu menjadi mangsa akibat kebodohan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri.
Mereka umpama kain putih suci dan murni. Kita yang mencorakkan kesedihan dan keburukan kepada mereka.
Dalam psikologi, keperluan pertama dalam membina personaliti dan watak diri yang baik adalah bermula saat mereka kecil. Apakah keperluan? Iaitu kasih sayang yang baik dari penjaga anak itu.
Semak kembali anak kita.
Adakah mereka dibina dalam ruang persekitaran kasih sayang atau permusuhan. Akan ada perbezaan personaliti keduanya.
I. Anak yang dibina dalam persekitaran kasih sayang dan positif membesar lebih gembira, sihat dan personaliti yang baik.
II. Anak yang dibina dalam persekitaran sebaliknya akan mudah sedih, sakit dan watak diri yang tidak baik.
Untuk pasangan yang muda pula, kewangan, dan psikologi diri juga akan terganggu. Mungkin mereka lebih berhati atau ada rasa kerisauan dalam membina rumah tangga yang seterusnya.
1. Jangan ingat bila seseorang itu berkahwin, ilmu rumah tangga hadir sendiri. Ia perlu dituntut dan diperoleh.
2. Semua pihak terus mengambil langkah untuk membina kerukunan rumah tangga, institusi kerajaan, swasta terus mengambil langkah supaya statistik penceraian tidak berleluasa.
Matlamat membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah itu dituntut di dalam al-Quran dan juga agama lain. Lafaz penceraian adalah mudah dan yang dapat mengharungi rumah tangga adalah yang kuat jiwa mental dan emosi.
“Punca utama penceraian adalah kerana asas kehidupan yang tidak kuat iaitu pendidikan agama. Ramai yang cetek ilmu agama dan salah guna mengikut keperluan mereka dan bukannya supaya kita dapat kembali ke landasan yang betul.
Bila isteri buat silap dalam agama, wajib sang suami yang perbetulkan. Cari pendekatan supaya teguran diterima oleh isteri.
Bukan cari kesalahan isteri dan seterusnya hukum dengan penceraian. Lelaki kenalah jadi khalifah dalam rumah tangga bukannya jadi hakim yang menjatuhkan hukuman secara membuta tuli.
“Tak kurang juga dengan dugaan dekat luar terutamanya di tempat bekerja. Isteri zaman sekarang banyak berkerjaya, nak uruskan rumah tangga, anak-anak dan urusan keluarga yang lain.
Isteri bekerja untuk sama-sama bantu suami, tapi berapa ramai suami yang bila balik kerja sama-sama uruskan urusan rumah?
Kalau perkara asas ini seperti tanggungjawab dan sebagainya dikupas sejak sebelum nikah dan mereka dalaminya, Insya-Allah kes penceraian dapat dibendung dan dikurangkan,” Sharifah Othman
“Bila seseorang itu belum berkahwin,ia menganggap isu seperti ini remeh untuk dijadikan alasan bercerai.
“Walau bagaimana pun, situasi berbeza pada pasangan yang sudah berkahwin. Malah, dalam hubungan suami isteri, kadang-kadang ada perkara yang dianggap remeh oleh orang luar tetapi ia boleh menjadi masalah besar jika sudah hidup bersama.
“Oleh itu, kemungkinan alasan tersebut diguna pakai kerana sudah terlalu lama dipendam hingga mendatangkan kesan negatif dalam hubungan perkahwinan tersebut,” Nurul Shamira Rashikin
“Tak dinafikan memang wujud alasan-alasan bercerai yang tak munasabah seperti fizikal isteri yang tidak menepati cita rasa suami dan sebagainya.
Bagi saya itu mungkin disebabkan pengaruh media massa terutamanya televisyen. Isteri pun sama juga, sebab suami tak menepati ciri-ciri yang mereka mahukan maka itu dijadikan alasan untuk berpisah setelah berumah tangga.
Namun begitu, kadang-kadang itu hanya sekadar alasan untuk diberikan kepada orang ramai atau hakim ketika proses penceraian berlaku, mungkin ada alasan lain yang tidak dapat dikongsi.
Bukan itu sahaja, bagi saya keadaan ekonomi dan sara hidup yang tinggi pada masa kini juga menyumbang kepada punca penceraian yang tinggi dalam masyarakat hari ini.
Maka komunikasi itu amat penting dalam sesebuah perhubungan. Kalau ada yang tak kena jangan dipendam dan berbincanglah demi kesejahteraan rumah tangga yang dibina,” Mahadi Ibrahim
“Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap pasangan seharusnya saling melengkapi setiap kekurangan pasangan.
Bagi saya antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga ialah jangan melihat ke belakang.
Contohnya, asyik mengungkit alasan saat awal perkahwinan, berfikir secara logik kerana konflik boleh mengheret hal lain yang sebetulnya tidak terlibat, lihat kelebihan pasangan dan bukan sebaliknya.
Insya-Allah dengan berbuat demikian rumah tangga yang terbina akan lebih harmoni dan bahagia,” Mohd Azli
Penulis : Norhayati Suboh & Shahrina Azlin Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Madam Mariyah cari jodoh sekufu, elak orang cakap tumpang kesenangan bini. Walau pernah diuji dalam rumah tangga, usahawan sensasi ini tidak tertutup untuk berkahwin sekali lagi.