Doa Seorang Ibu, Jasad Anak 12 Tahun Timbul Di Sungai Delong

Share

Hati seorang ibu akhirnya luluh… selepas tiga hari menanti dalam doa tanpa henti, jasad anak lelaki kesayangannya, Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman, 12, ditemui terapung di Sungai Delong, Dungun, pagi semalam.

Kanak-kanak yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Delong itu dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu selepas dibawa arus deras ketika mandi bersama empat rakannya sekitar jam 5.45 petang.

Tular di media sosial Yusliza memanjatkan doa untuk jasad anaknya timbul dipermukaan sungai sambil usaha pihak berkuasa giat dijalankan untuk mengesan mangsa.

“Naiklah abang, tolonglah timbul abang, ibu tunggu abang balik… Ya Allah, andai doa seorang ibu tiada hijab, timbulkanlah anakku,” demikian doa penuh sebak Yusliza Jusoh, 45, ibu kepada Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman, 12 tahun.

Yusliza yang duduk di tebing sungai tidak putus-putus menangis sambil berdoa supaya Nik Zariff yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat dengan segera.

Luluh Hati Seorang Ibu

Ketika ditemui, Yusliza berkata, luluh hatinya sebaik mendapat panggilan memaklumkan anaknya itu dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai itu, petang kelmarin.

Pengusaha kantin itu berkata, dia tidak menyangka anaknya mandi di sungai itu kerana dia dan suaminya, Nik Sulaiman Nik Ismail, 48, melarang keras anaknya ke sungai.

Katanya, sebelum kejadian, Nik Zariff memberitahu mahu keluar bermain bersama rakan-rakannya.

Yusliza berkata, Khamis lalau dia menyedari anaknya itu banyak termenung dan apabila ditanya dia hanya menjawab tiada apa-apa.

“Saya dimaklumkan penduduk ada ternampak anak ke sungai itu sehari sebelum kejadian, namun penduduk berkenan melarangnya mandi dan menyuruhnya pulang,” katanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, mayat mangsa ditemui kira-kira 700 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas, pada jam 8.25 pagi.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.

Rintihan Seorang Ibu

Yang lebih meruntun jiwa, jasad Nik Zariff ditemui timbul tidak lama selepas ibunya, Yusliza Jusoh, 45, berdoa di tebing sungai. Dengan air mata yang tak pernah kering, doa seorang ibu akhirnya menemukan jasad anak yang pergi terlalu awal.

Nik Zariff merupakan anak ketiga daripada lima beradik. Pemergiannya bukan sekadar meninggalkan kekosongan di rumah, tetapi juga meragut sebahagian jiwa seorang ibu yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

Al-Fatihah buat arwah Nik Zariff Maliqi Qausar.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu