Disangka Hanya Letih, Guru Besar Ditemui Tidak Bernyawa Selepas Pengsan Di Pejabat

Share

Dunia pendidikan sekali lagi dikejutkan dengan khabar duka. Seorang guru besar wanita, berusia 44 tahun, meninggal dunia secara mengejut di pejabatnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Gedok, Tampin, pagi Ahad lalu.

Difahamkan, mendiang hadir ke sekolah bagi meraikan sambutan Hari Keusahawanan. Namun, sebelum acara bermula, beliau mengadu kurang sihat kepada rakan guru dan memilih untuk berehat seketika di pejabatnya. Tidak lama kemudian, mendiang ditemui tidak sedarkan diri.

Guru-guru segera membawanya ke Klinik Kesihatan Gemencheh, namun mendiang disahkan meninggal dunia.

Mengejutkan Semua Pihak

Menurut Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, yang dijadualkan hadir merasmikan program itu pada jam 11 pagi, mengakui terkejut menerima perkhabaran berkenaan.

“Saya diberitahu mendiang mengadu kurang selesa sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bilik pejabat. Baru minggu lalu saya berjumpa dengannya di pejabat. Berita ini sungguh mengejutkan,” katanya.

Menurutnya lagi, suami mendiang memaklumkan isterinya tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan sebelum ini.

Baru Lapan Bulan Berkhidmat

Lebih memilukan, mendiang baru sahaja lapan bulan berkhidmat di sekolah berkenaan setelah bertugas di SJKC Air Kuning sebelum ini. Dalam tempoh singkat itu, beliau dikenali sebagai seorang guru besar yang mesra, berdedikasi dan amat disenangi rakan sekerja serta murid-muridnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superitenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan selepas hasil laporan bedah siasat diperoleh.

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Rosmah Idayu