
Dipukul isteri lebih 20 tahun, suami pernah patah hidung nekad mohon cerai nekad mohon cerai. Seorang suami nekad menamatkan perkahwinannya bersama isteri selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama lebih dua dekad, satu realiti yang jarang diperkatakan apatah lagi melibatkan lelaki sebagai mangsa.
Kisah ini dikongsikan oleh seorang peguam syarie, Tuan Aiman yang menggunakan gelaran @aimansyarie di threadsnya serta banyak berkongsi kes-kes yang berlaku di mahkamah syariah.
Menurut Aiman, permohonan cerai itu difailkan oleh pihak suami (plaintif) atas alasan tidak lagi mampu menanggung penderaan fizikal dialami dan ianya berlarutan sehingga lebih 20 tahun sejak di awal perkahwinan lagi.
Dalam prosiding mahkamah, plaintif secara jelas menyatakan penderitaan yang ditanggungnya selama ini.
“Saya mohon cerai. Isteri saya selalu pukul saya,” katanya ringkas ketika ditanya hakim.
Namun di sebalik jawapan yang pendek itu, tersimpan cerita panjang tentang ketakutan yang menjadi rutin hariannya di mana tubuhnya sering dipukul isteri namun dirinya terus bersabar memandangkan kasihan pada anak-anak yang masih kecil namun kini dirinya nekad selepas anak-anak meningkat dewasa.
Plaintif memaklumkan demi mengelak tubuh terus dibelasah isteri, dia memilih tidak lagi tidur sebilik dengan isteri malah setiap kali pulang dari masjid, dia akan terus mengunci diri di dalam bilik bagi mengelakkan sebarang konflik yang boleh berakhir dengan keganasan.
Malah, untuk mengurangkan risiko dicederakan, dirinya memilih untuk makan di luar sebelum pulang ke rumah. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan telah bertukar menjadi ruang yang menimbulkan rasa takut kepada dirinya walau dirinya adalah suami iaitu ketua keluarga.
Dalam masa sama ketika perbicaraan di mahkamah, defendan (isteri) tidak menafikan perbuatannya memukul suami namun cuba merasionalkan tindakan tersebut yang jelas luar dari kebiasaan alam rumahtangga.
“Saya pukul sebab nak tegur dia je… apalah sangat pukulan saya sebagai perempuan, dia lelaki,” katanya.
Kenyataan itu secara tidak langsung mencerminkan persepsi umum bahawa lelaki tidak mungkin menjadi mangsa keganasan rumah tangga sekali gus meremehkan kesakitan yang dialami.
Isteri ini turut mempertikaikan alasan suami untuk bercerai dengan menyatakan bahawa sebagai lelaki, plaintif tidak sepatutnya menjadikan perkara itu sebagai sebab untuk berpisah.
Kes ini menjadi lebih jelas apabila plaintif mengemukakan bukti laporan perubatan.
Menurutnya, dirinya pernah mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang hidung akibat dipukul isterinya. Selain itu, terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan malah b mendakwa dipukul menggunakan objek.
“Dia pukul banyak guna barang,” jelasnya. Keterangan ini mengukuhkan dakwaan bahawa kejadian yang berlaku bukan sekadar pertengkaran biasa, sebaliknya melibatkan keganasan fizikal yang nyata.
Plaintif turut mendedahkan bahawa dirinya telah memberi peluang kepada isterinya untuk berubah selama lebih 20 tahun malah dirinya turut bertahan kerana anak-anak namun tiada perubahan ketara berlaku di saat anak-anak sudah dewasa.
Lebih menyentuh, suami malang ini turut memaklumkan sikap agresif isterinya kerana datang dari latar belakang keluarga yang turut berdepan keganasan di mana sejak kecil isteri sudah selalu melihat ibunya dipukul si ayah.
“Saya tak sangka dia kaki pukul bila kahwin. Dia dibesarkan dalam keluarga yang ayahnya pukul mak,” katanya.
Faktor ini menunjukkan bagaimana kitaran keganasan boleh berulang dari satu generasi ke generasi seterusnya jika tidak ditangani.
Namun bagi plaintif, kesabaran yang panjang akhirnya menemui hadnya. Saya dah makin tua… badan tak kuat macam dulu untuk tahan sakit,” ujarnya.
Dalam prosiding tersebut, plaintif turut memaklumkan bahawa anak-anak mereka yang sudah dewasa menyokong keputusan untuk bercerai.
Beliau juga memberi jaminan bahawa isterinya masih boleh tinggal di rumah mereka, manakala dirinya akan berpindah dan tinggal bersama anak.
Perkara ini menunjukkan bahawa keputusan yang dibuat bukan secara terburu-buru, sebaliknya telah dipertimbangkan dari pelbagai sudut termasuk kebajikan keluarga.
Ketika hakim bersedia membuat keputusan perceraian antara pasangan ini, suasana menjadi tegang apabila defendan bertindak agresif.
Isteri telah menghentak meja, menolak plaintif dan keluar dari dewan perbicaraan sambil menghempas pintu.
Tindakan tersebut berlaku di hadapan hakim dan secara tidak langsung menguatkan lagi gambaran tentang sikap agresif yang didakwa oleh plaintif.
Selepas meneliti keterangan dan bukti yang dikemukakan, mahkamah akhirnya membenarkan plaintif melafazkan cerai.
“Mahkamah benarkan plaintif lafaz cerai,” kata hakim. Dengan suara yang tenang, plaintif melafazkan cerai, sekali gus menamatkan perkahwinan yang telah bertahan lebih dua dekad.
Kes ini membuka ruang kepada satu realiti yang sering dipinggirkanlelaki juga boleh menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Persepsi bahawa lelaki harus sentiasa kuat dan tidak terkesan dengan kekerasan fizikal sering menyebabkan kes sebegini dipandang ringan atau tidak dilaporkan. Namun hakikatnya, penderaan tetap penderaan tanpa mengira jantina.
Kisah ini bukan sekadar tentang perceraian tetapi tentang keberanian seorang lelaki untuk keluar daripada kitaran penderitaan yang terlalu lama dipendam.
Dan mungkin juga, satu peringatan bahawa keganasan dalam rumah tangga tidak pernah wajar dinormalisasikanwalau dalam apa jua bentuk sekalipun.