Tahukah anda berapa banyak kuantiti protein yang boleh diambil tanpa bahayakan kesihatan badan? Jangan makan sebarangan kerana kesannya pasti memudaratkan.
Ramai yang mencuba untuk mengamalkan diet makanan berprotein dengan tujuan untuk mengurangkan berat badan agar kesihatan mereka lebih baik.
Namun begitu ramai yang kurang faham berapa banyak kuantiti protein yang selamat untuk diambil oleh badan setiap hari.
Penjelasan Dietitian, Pantai Hospital Sungai Petani, Norhayati Binti Samsuddin ini boleh dijadikan panduan.
Dietitian, Pantai Hospital Sungai Petani, Norhayati Binti Samsuddin
Berapakah Kuantiti Protein Yang Selamat Untuk Diambil?
Diet seharian sepatutnya membekalkan protein (berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien – RNI Malaysia) sebanyak 10% hingga 15% daripada jumlah kalori yang diperlukan dari tubuh badan atau 0.8 hingga 1.0 gram per kilogram berat badan.
Bagi individu yang tidak mempunyai sebarang komplikasi penyakit terutamanya penyakit buah pinggang, jumlah pengambilan makanan berprotein yang disyorkan menerusi Piramid Makanan Malaysia 2010 adalah ½ hingga 2 sajian/hari untuk ayam, daging dan telur.
Atau 1 sajian ikan serta 1 hingga 2 sajian susu dan produk tenusu.
Sebagai contoh:
1 sajian ikan bersamaan 1 ekor ikan kembung bersamaan 14g Protein
1 sajian ayam bersamaan 1 ketul paha ayam bersamaan 14g Protein
1 sajian daging bersamaan 2 ketul daging tanpa lemak bersamaan 14g Protein
1 sajian telur bersamaan 2 biji telur bersamaan 14g Protein
1 sajian susu dan produk tenusu bersamaan 1 gelas susu (250ml)/1 keping keju/4 sudu makan (membumbung) susu tepung bersamaan 7g Protein
Manakala, bagi protein tumbuhan pula, jumlah pengambilan yang disarankan adalah ½ hingga 1 sajian kekacang.