Kekeluargaan

Dibesarkan Dalam Keluarga Narsisistik, Akhirnya Jadi Orang Yang Kurang Empati

Share

Salah satu luka senyap dalam masyarakat ialah dibesarkan dalam keluarga narsisistik. Ramai orang nampak golongan ini akan baik-baik sahaja.

Dibesarkan Dalam Keluarga Narsisistik

Tetapi mereka tidak tahu betapa penatnya emosi yang dia tanggung sejak kecil. Kadang-kadang bukan orang luar yang menyakitkan hati kita namun keluarga sendiri.

Tidak semua ibu bapa atau adik-beradik mempunyai sifat penyayang. Ada yang mempunyai sifat narsisistik iaitu personaliti yang sangat mementingkan diri, sukar menerima kesalahan, dan kurang empati terhadap orang lain.

Baginya, dia sentiasa betul dan orang lain sentiasa salah. Namun ada beberapa perkara penting yang kita perlu faham.

Sebelum pergi lebih jauh dalam isu ini, jemput baca perkongsian Dr Zubaidi macam mana cara untuk berdepan dengan individu yang mempunyai sifat narsisistik.

1. Kita tidak boleh mengubah mereka. Ini realiti yang pahit.

Individu narsisistik jarang melihat kesalahan diri sendiri. Semakin kita cuba menasihati atau membetulkan mereka, semakin besar konflik yang berlaku.

Kadang-kadang ketenangan datang apabila kita berhenti berharap mereka akan berubah.

2. Sempadan emosi sangat penting

Ramai orang rasa bersalah apabila menetapkan sempadan dengan keluarga. Tetapi sebenarnya sempadan adalah tanda kematangan emosi. Kita boleh memilih untuk:

• tidak berkongsi terlalu banyak perkara peribadi
• mengelakkan topik yang mencetuskan konflik
• menghadkan masa bersama jika interaksi terlalu toksik

Ini bukan derhaka tetapi ini menjaga kesihatan mental.

3. Jangan terlalu mengharapkan empati

Salah satu ciri utama narsisistik ialah kurang empati. Jika kita sentiasa berharap mereka akan memahami perasaan kita, kita mungkin akan terus kecewa.

Kadang-kadang kita perlu menerima bahawa tidak semua orang mampu memberi kasih sayang yang kita harapkan.

4. Belajar tidak melayan provokasi

Ada individu narcissistic yang suka mencetuskan konflik. Kerana konflik memberi mereka perhatian dan rasa kuasa. Jika kita terlalu emosi, keadaan akan menjadi lebih buruk. Kadang-kadang respon paling matang ialah tenang, diam atau tidak melayan.

5. Jaga kesihatan mental sendiri

Hubungan seperti ini boleh menyebabkan:
• stres kronik
• keletihan emosi
• rasa bersalah yang tidak sepatutnya

Akhirnya Jadi Orang Yang Kurang Empati

Sebab itu penting untuk kita menjaga diri sendiri. Berbincang dengan orang yang dipercayai. Atau mendapatkan bantuan profesional jika perlu. Menjaga diri sendiri bukan selfish tetapi ini adalah tanggungjawab.

Dalam psikologi, kita perlu faham bahawa kita tidak bertanggungjawab memperbaiki personaliti orang lain.

Walaupun mereka ahli keluarga. Dalam Islam pula, kita tetap menjaga adab dan silaturrahim. Tetapi Islam juga mengajar kita menjauhi kezaliman dan mudarat.

Kadang-kadang ujian dengan orang yang sukar ini mengajar kita tentang: sabar, hikmah dan batas diri. Semoga Allah memberi kekuatan kepada sesiapa yang sedang melalui ujian ini.

Published by
Nadia