Cukup tragis apabila tahu penuntut kolej Nur Alya Damia ditemui mati di bulan yang mulia dengan kesan dijerut di leher di kawasan yang tak disangka. Berita sedih ini diketahui selepas rakannya Ain Zulaika Zamuri, 19, keluar mencari arwah bersama rakan yang lain dan ditemui di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di Port Dickson, semalam.
“Ketika itu, kami hanya melaungkan Allahuakbar dan menangis sekuat hati,” luahnya.
Pada kejadian jam 10.30 malam itu, mayat Nur Alya Damia Hairi, 19, yang juga penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Cerita rakan arwah, Ain Zulaika Zamuri, 19, sebelum kejadian, Nur Alya Damia yang juga rakan sekelas dan sebiliknya itu keluar dari asrama kolej pada jam 9 malam dan memaklumkan nak bertemu teman lelakinya di kawasan berhampiran.
Rasa Tak Sedap Hati
Penuntut Diploma Rangkaian Komputer itu berkata, berikutan tidak sedap hati, dia menghubungi teman lelaki mangsa dan terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu tidak bertemu Nur Alya Damia.
“Saya bersama dua rakan sebilik yang lain mencarinya dengan menunggang motosikal. Sebaik tiba di Taman PD Permata, kami ternampak anggota polis dan orang ramai berkumpul tepi jalan. Saya pergi kawasan itu dan terkejut apabila tengok mayatnya (Nur Alya Damia).”
“Tak disangka perkenalan kami begitu singkat kerana kami masih berada di semester pertama,” katanya.
Ain Zulaika berkata, mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Klang, Selangor.
Ads
Dari Pihak Yang Jumpa Mayat
Sementara itu, saksi kejadian Izwan Mustaffa, 30 berkata, dia menemui mayat mangsa ketika mahu membuang sampah di depan rumahnya.
Dia yang ketakutan kemudian memaklumkan jiran sebelum panggilan dibuat terhadap pihak polis.
Juruteknik kilang itu berkata, dia terkejut apabila pihak polis yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan remaja itu sudah meninggal dunia.
Ads
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, sepasukan anggota forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam.
Katanya, pemeriksaan menemui kesan jerut pada leher mangsa dan remaja itu dipercayai dibunuh.
“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Ads
Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
Dari pihak Mingguan Wanita, ucapan takziah buat keluarga mangsa, semoga Allah permudahkan segala urusan dan tabah berdepan dengan ujian Allah di bulan Ramadan.
Al-Fatihah.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak-mak bekerja manalah yang tak ada impian nak duduk di rumah menjaga anak-anak. Berhenti kerja tu impian besar yang sentiasa ada dalam lubuk hati. Nak laksanakan tu je yang berani tak berani, takut tak takut.
Macam-macam yang difikirkan sebabnya memanglah tanggungjawab beri nafkah bagai milik suami. Sekurang-kurangnya gaji mak-mak tu membantu, menampung malah buatkan anak-anak dan suami lebih tenang hidupnya.
Tapi bila keadaan memaksa mak-mak terpaksa membuat keputusan. Bukannya mudah tapi, jika niatnya baik Allah mudahkan. Dan inilah yang jadi dekat Surina Shahril Rayyan yang memilih jalan berhenti kerja demi 2 orang anak-anaknya, Muhammad Danish Rayyan, 7 tahun dan Muhammad Daniel Rafael, 3 tahun dan suami tercinta.
“Diam tak diam dah 6 bulan saya berhenti kerja.”
“Alhamdulillah, selama 6 bulan berhenti tiada sesalan. Walau penat berganda. Tak tipu, memang jujur kata duduk rumah penat berganda.”
Tekadnya nak berhenti kerja demi anak dan suami ini sudah ditetapkan lama dalam dirinya. “Plannya memang semasa si sulung darjah 1 saya dah plan untuk resign dan fokuskan dekat anak-anak. Alhamdulillah masa itu fikir, cukup ke tak. Saya dan suami tekad, mesti cukupkan juga kewangan demi anak. Sebab nak hantar dan ambil, masak untuk saya ke sekolah.”
Ramai yang beritahu mereka kagum tengok saya tak menangis masa last day dan masa bagi ucapan. Apatah lagi masa peluk kawan-kawan.
Jawapan saya :
√ Buat apa nak menangis untuk sesuatu yang gembira?
√ Saya gembira berhenti kerja demi anak.
√ Di usia saya 32 tahun saya berhenti kerja. Lambatlah tu kan.
√ Saya gembira sebab dah lepas bebanan bila saya selalu EL anak sakit. EL anak sakit ini tak semua faham. Kadang-kadang depan kita je macam faham tapi kat belakang kita sebakul pula kita dikeji.
√ Ni nama dia politik kerja. Mana-mana tempat ada.
“Masa saya bekerja sebagai PA selama 5 tahun di bank, walau kerja teruk macam mana. KPI kita tara tu saja, C. Ya, C. Tapi tu dah memang lumrah. C tu normal lah tu. Tapi perasaan tak dihargai tu tinggi. Walau ramai yang dapat C dan C tu normal lah kalau dapat. Tetapi tetap ada beza antara A dan B, betulkan?”
“Jadi perlu ke berkhidmat dekat tempat yang tak hargai kita sebagai kakitangan? Moral down membuatkan kita tak ikhlas bekerja tapi bulan-bulan kutip gaji.”
So what for? Resign je lah jalan terbaik.
Dan lepas resign boleh fokus 100% dekat anak. Sengkek ke lepas resign? Jawapan saya :
√ Tak lah. Saya makin senang lepas resign. Allah tarik tang sana Allah lebihkan tang sini.
√ Allah tambah rezeki bisnes saya semakin banyak customer
√ Allah tambahkan rezeki saya anak-anak sentiasa sihat
√ Jadi nikmat apa yang perlu didustakan?
√ Sebab itu bila Allah tetapkan kita yakin saja dengan kuasa dia.
Duduk rumah ni memang tak ada kawan Duduk rumah ni kadang-kadang boring tak ada orang nak bersembang Duduk rumah ni asyik melayan anak-anak bergaduh. Menangis berebut barang, menjerit tapi nikmat tu sekali saja. Benda ni kita tak boleh putar balik tahun depan.
Jika berkemampuan
Jika ada rezeki lebih
Duduk la rumah jaga anak
Tapi cari juga side income
Supaya kita senang hati duduk rumah
Memandangkan ramai yang bertanya persediaan Surina sebelum berhenti kerja dan apa yang dilakukan selepas berhenti kerja, dia kongsikan pengalaman itu dalam bentuk Q & A.
Jawapan Saya :
Semuanya demi anak dan demi suami. Kerja saya bukan lah hebat sangat. Tapi bagi saya hebat dah tu sebab nak jadi PA pada orang besar pun tak mudah. Dengan saya tak ada pengalaman sebagai PA.
Jawapan Saya :
Persediannya just kurangkan bebanan hutang yang ada. Alhamdulillah, saya dan suami tak ada hutang-hutang yang pelik-pelik. Kereta, rumah itu biasalah. Cuma memang saya tak ada hutang.Tak bolehlah nak follow cara saya sebab ramai yang cakap ‘Dia tak ada hutang bolehlah berhenti kerja.”
Tapi ramai juga yang suka cipta hutang-hutang lapuk yang tak guna tu. Contohnya, hutang kad kredit. Saya tak ada hutang kereta, hutang rumah. Ramai juga sebenarnya perempuan-perempuan ni tak beli rumah, tak beli kereta tapi masih tak boleh berhenti kerja.
Sebab mereka ada hutang-hutang lain terutama kad kredit dan PTPTN. Sebelum saya resign, saya keluarkan KWSP untuk bayar PTPTN saya separuh. Tukar ke Ujrah. Jadi sekarang masih membayar tapi sangat sikit lah bulanannya. Janji bayar. Ingat! HUTANG WAJIB BAYAR.
Jawapan Saya :
Sebenarnya saya nak jawab ni malu. Sebab bisnes saya biasa-biasa saja. Bukan income juta-juta pun jadi bila orang nampak cam saya mampu berhenti sebab bisnes stabil kadang-kadang malu. Sebab pucuk pangkalnya suami saya je sebenarnyaa.
Saya mulai bisnes online pada tahun 2015 tapi mulai stabil pada hujung tahun 2016. Waktu itu, sambil jaga anak sambil berniaga, jual pakaian kanak-kanak. Masa saya mula-mula bisnes baju tak ada orang nak beli pun. Sampai pernah fed-up. Sebab semangat tinggi dalam diri maka teruskan saja shingga sekarang.
Ketika itu saya gunakan medium Fb saya surinashahrilrayyan sebagai medium utama untuk saya mencari income. Alhamdulillah, saya berjaya ada customer tersendiri. Actually bisnes ni suka-suka saja sebab saya dulu pembeli online tegar. Rupanya terus jadi saya punya income.
Jawapan Saya :
Kenapa awak awak semua suka fikir suriumah tak boleh buat income ya? Buat lah sikit income, cari kelebihan dari tu. Dari pada awak duduk rumah hadap wasap, fesbuk, IG tak dapat duit baik buat income dapat juga duit walau sikit.
Nak meniaga apa?
√ Jual tudung
√ Jual baju
√ Jual kuih
√ Jual kek
√ Menjahit
√ Jaga anak orang
√ Buat dropship
√ Ajar tuisyen
√ Jual nasi lemak
Eh macam-maca caralah.. awak punya kemampuan apa. Jangan ikut-ikut orang bab bisnes ni. Tak maju nanti.
Jawapan Saya :
Apa nak bosan. Duduk rumah tak adanya bosan. Penat banyak lagi adalah. Tapi bila saya refer jawapan nombor 1 (demi anak, demi suami) saya jadi gembira. Nak buat keputusan berhenti kerja yesss bukan mudah. Bukan senang. Bukan macam kau mintak cendol. Memang susah.
Fikir komitmen, fikir mampu ke? Haa.. bab “MAMPU ke” memang always bermain kat fikiran. Tapi Allah dah cakap kau MAMPU maka MAMPU lah kau laki bini.
Persediaan mental fizikal tu kena ada lah ya sebab jadi suriumah bukan perkara mudah. Kita tak cukup masa, tak cukup tidur, letih. Masa untuk diri sendiri pun tak ada. Apa pun bila kita nekad, benda-benda kecil macam tu kita boleh hadap.
Ingat ya 1 perkara Kita mungkin tak kaya duit Kita mungkin tak kaya harta Tapi saya nak kaya MASA dengan anak-anak saya Dengan suami saya
Kahwin dan ada anak bukan perkara yang saya boleh ulang-ulang. Jadi tak salah saya ambil langkah “tinggalkan kerja demi anak” tapi jadilah wanita yang berpendapatan walau anda hanya suriumah.
Diberi kesihatan tubuh badan adalah nikmat terbesar dalam kehidupan.Namun jika diberikan penyakit ia boleh terjadi pada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, pangkat mahupun kedudukan.Baru-baru ini, wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump,48 tidak terkecuali diuji dengan masalah kesihatan diri. Melania dilaporkan telah menjalani pembedahan buah pinggang akibat ketumbuhan bukan barah ‘benigna’.
Pengarah komunikasi Stephanie Grisham berkata, Melania, 48, menjalani prosedur embolisasi untuk membuang ketumbuhan dan akan dirawat di hospital selama seminggu.
“Prosedur tersebut berjaya dan berjalan lancar tanpa ada sebarang komplikasi.
“Wanita Pertama ini tidak sabar untuk pulih sepenuhnya dan meneruskan tugas seperti biasa,” kata Grisham.
Presiden Donald Trump ada mengumumkan di twitter mahu melawat isterinya di Pusat Perubatan Tentera Kebangsaan Walter Reed beberapa jam selepas pembedahan selesai.
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ternyata bukan mudah buat seorang suami untuk menjalani hari-hari mendatang apabila isteri yang dikasihi terlantar sakit selepas tiga bulan melahirkan cahaya mata pertama mereka.
Secara Tiba-Tiba
Baru sahaja mengecap kebahagiaan saat dikurniakan anak kembar lelaki setelah empat tahun menunggu zuriat hasil perkongsian hidup bersama, Mohd Nizam Zolkefli, 34, sekali lagi diuji apabila isteri tersayang Nor Hafizah Yulisailani, 34, disahkan mengalami saraf otak tidak berfungsi (mati otak) sejak hampir dua tahun lalu.
“Saya masih ingat hari pertama Nor Hafizah diserang penyakit ini iaitu selepas tiga bulan melahirkan anak kembar kami yang kini berusia dua tahun. Pada malam kejadian, isteri minta saya untuk menjaga anak-anak kerana dia mahu tidur sebentar. Ketika itu dia masih sihat seperti biasa,” ujarnya menceritakan perihal isterinya yang tiba-tiba diserang sakit.
Tambahnya lagi, lebih kurang jam 2.30 pagi, ketika mahu mengejutkan isterinya untuk menyusukan anak mereka, tiba-tiba isterinya mengalami kekejangan otot dan kemudian terus terdiam.
“Pada ketika itu saya hanya mampu memikirkan untuk membawa isteri ke hospital dan apabila tiba di Hospital Batu Gajah, doktor memberitahu denyutan nadi isteri saya sudah terhenti dalam tempoh 45 minit dan kemudian kembali berdenyut namun agak perlahan. Isteri saya kemudiannya dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama tiga minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa selama tiga bulan,” katanya.
Keadaan Tak Berubah
Selepas beberapa kali berpindah hospital dan wad, keadaan isteri Mohd Nizam tidak banyak berubah. Justeru anak-anak mereka yang masih kecil terpaksa dihantar kepada ahli keluarga yang lain untuk dijaga sementara Mohd Nizam menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri tercinta.
“Sebelum ini kami tinggal di Batu Gajah kerana isteri bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ipoh namun selepas jatuh sakit, kami berpindah ke rumah mak saya di Kampung Changkat Banjar ini. Alhamdulillah, ahli keluarga termasuklah mak ayah saya dan mak ayah mentua serta adik-beradik banyak membantu saya menjaga anak-anak serta menguruskan isteri.
“Ketika mula-mula isteri jatuh sakit saya langsung tidak boleh bekerja kerana memberi sepenuh perhatian kepada isteri dan ketika ini ahli keluarga begitu banyak membantu termasuk dari segi kewangan,” ujarnya.
Sehingga kini, mereka sekeluarga masih belum mengetahui punca sebenar penyakit yang menimpa isteri Mohd Nizam. Apa yang boleh dikatakan Nor Hafizah kini lumpuh sepenuhnya dan memerlukan bantuan untuk menguruskan diri.
Empat tahun menunggu zuriat
Setelah empat tahun berkahwin, barulah pasangan ini dikurniakan rezeki yang diidam-idamkan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Kegembiraan berganda apabila anak yang dikandung disahkan kembar. Penantian selama ini berbaloi dengan rezeki kurniaan Ilahi.
“Sebenarnya kami menunggu selama lebih kurang empat tahun untuk mendapat zuriat dan apabila isteri saya disahkan hamil anak kembar memang kami sangat teruja. Ketika itu dia dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang masalah namun ketika hamil dia mengalami tekanan darah tinggi hingga memaksanya untuk bersalin awal melalui pembedahan ketika usia kehamilan lebih kurang tujuh bulan lebih.
“Namun selepas itu keadaannya kembali normal dan sihat seperti biasa termasuklah ketika dalam pantang dan selepas habis pantang. Ketika mula-mula diserang penyakit itu, Nor Hafizah masih lagi dalam tempoh bercuti kerana dia mahu melanjutkan cutinya bagi menjaga anak-anak kami yang masih bayi,” katanya.
Siapa yang tidak terkejut dengan keadaan yang sebegitu. Isteri yang sihat tanpa sebarang penyakit, kini terlantar tidak lagi seperti dahulu. Hati lebih sayu apabila melihat anak-anak yang masih kecil, belum pun sempat dimanjakan oleh ibu mereka yang mengandung dan melahirkan mereka. Namun sedar itu semua ujian dari Allah, Mohd Nizam menerima segala ketentuan ini dengan penuh reda.
“Mula-mula kami begitu gembira kerana mendapat cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini namun sudah takdir isteri hanya mampu mengecap rasa bahagia itu sekejap sahaja. Sekarang anak-anak kami makin besar dan mereka boleh menyebut ibu walaupun dalam keadaan pelat. Saya dapat melihat Nor Hafizah seolah-olah seperti memberi respons dengan membuat bunyi tertentu apabila anak-anak memanggilnya ibu,” katanya penuh sayu.
Perbelanjaan perubatan isteri dan anak
Nor Hafizah kini perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga memandangkan keadaan dirinya yang kini terlantar sahaja.
“Awal-awal dulu dia sering kejang atau sawan dan matanya juga tertutup namun kini matanya sudah boleh dibuka. Makan juga melalui tiub khas yang ditebuk di perut manakala lehernya ditebuk untuk membuang kahak,” cerita Mohd Nizam tentang keadaan isterinya kini.
Jelasnya lagi, sehingga kini isterinya perlu diberi susu khas dan mereka amat bertuah apabila mendapat bantuan susu itu daripada jabatan kerajaan tempat isterinya bekerja dahulu.
“Selain itu isteri ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan duit ini boleh juga menampung pembelian lampin pakai buang isteri yang bernilai lebih kurang RM160 sebulan.
“Namun begitu, perbelanjaan kami makin lama makin tinggi memandangkan anak-anak juga semakin membesar. Saya amat berharap agar dapat menyelesaikan masalah tuntutan gaji isteri yang sehingga kini tidak dapat diambil disebabkan masalah tertentu dengan pihak bank. Jika duit ini dapat diambil sekurang-kurangnya dapat membantu kami sedikit sebanyak kerana pada masa ini saya kadang-kala terpaksa bergantung kepada ahli keluarga,” katanya yang hanya bekerja kampung.
Walaupun sudah dua tahun Nor Hafizah terlantar sakit, kasih dan cinta Mohd Nizam terhadap isteri tersayang tidak pernah pudar. Selagi hayat dikandung badan, Mohd Nizam akan cuba menjaga isterinya itu sebaik mungkin.
“Saya sedih namun saya perlu terima hakikat ini dan akan terus menjaga isteri sebaik mungkin kerana ini adalah amanah untuk saya. Kini anak-anak (Muhmmad Amar Aqif dan Muhammad Aiman Aqif) menjadi kekuatan saya untuk menempuh kehidupan mendatang,” tambahnya.
Syawal yang mendatang bagaikan kurang serinya apabila isteri terlantar sakit dan tidak dapat bergerak. Bagi Mohd Nizam, sambutan yang dibuat hanya biasa sahaja. Kadang terbit rasa sedih apabila melihat rakan-rakan yang lain menyambut bersama isteri dan anak-anak.
“Dalam tempoh dua tahun ni bila tiba raya saya sambut macam biasa sahaja. Tapi tipulah kalau saya kata tak sedih bila lihat kawan-kawan lain yang meriah menyambutnya bersama keluarga tersayang. Saya masih belum berpeluang merasa keadaan itu. Saya teringin sangat nak keadaan kembali seperti dulu, tapi apakan daya ini takdir kami, Insya-Allah saya akan jalankan amanah ini dengan seikhlas dan setabah mungkin,”akhirinya dengan redha.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga ini, anda boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank Mohd Nizam Zolkefli 158118263466
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Diuji tiada anak dalam perkahwinan, pelakon Siti Elizad berpendapat golongan wanita yang belum dikurniakan cahaya mata pasti mampu dan kuat menerima takdir hidup.