Pelakon dan personaliti terkenal, Sharifah Sakinah, 36, tidak menolak bahawa darah seni yang mengalir dalam keluarganya kini turut diwarisi oleh anak saudaranya, Auddra Zulkifli atau mesra disapa Odah, 16.
Menurut Sakinah, sejak awal lagi dia menyedari Odah memiliki ‘spark’ tersendiri, bukan sekadar cantik di depan kamera, tetapi juga berani menonjolkan diri dengan penuh keyakinan walaupun masih di usia remaja.
“Bagi saya, dia memang berani walaupun baru 16 tahun. Saya sendiri dulu tak seberani dia. Odah ni matang dan tak mudah ambil hati dengan komen netizen,” katanya ketika ditemui media di majlis pelancaran butik terbaharu rizman ruzaini di suria klcc.
Walau begitu, Sakinah mengakui dirinya tetap mahu memainkan peranan sebagai kakak dan mentor yang menasihati agar Odah tidak mudah hanyut dengan populariti.
“Saya tak mahu dia terlalu dibayangi glamor. Dunia seni ini indah, tapi ada likunya. Dia kena kuat, fokus dan tahu apa yang dia nak.
Saya nampak potensi dia besar, tapi semua ini perlukan masa dan pengalaman,” ujar pelakon filem Qifarah itu yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Mengulas tentang bakat Odah, Sakinah secara jujur berkata remaja itu bukan penyanyi yang menonjol, namun memiliki keistimewaan tersendiri.
“Terus terang, saya rasa dia bukan ‘vocalist’ yang hebat, tapi dia seorang performer dengan aura yang kuat. Bila di depan kamera, dia tahu cara membawa diri. Itu yang buat saya bangga.”
Bagi Sakinah, sokongan yang diberikan bukan sekadar untuk melihat Odah berjaya, tetapi agar gadis itu belajar menghargai setiap langkah perjalanan seninya.
“Saya tengok dia bersungguh-sungguh dan seronok dengan apa yang dia buat. Itu sudah cukup buat saya gembira,” katanya dengan senyum bangga.
Sakinah turut menitipkan doa dan semangat buat anak saudaranya yang kini menyertai program realiti Talk To My Manager, bergandingan dengan ibunya, Sharifah Shahirah sebagai pengurus.
“Menang atau kalah adat pertandingan. Tapi saya dah cukup bangga tengok dia sampai ke tahap ini. Harapnya dia terus berusaha dan berjaya dengan apa yang dia impikan.”
Selain Odah dan Sharifah Shahirah, program tersebut turut menampilkan pasangan peserta lain seperti Thalita bersama Shuib, Marsya bersama Liza Hanim, Hadie bersama Ina Naim, Ammar Haikal bersama Ameng, serta Amad bersama Siti Saerah.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE