
Aidilfitri kali ini tidak lagi sama buat seorang suami dan empat anak kecil yang kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata. Arwah Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, pergi menghadap Ilahi selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian tragis di Kampung Tedong, pagi kelmarin.
Lebih memilukan, beberapa hari sebelum kejadian, arwah sempat mengajak suaminya pulang beraya ke kampung halaman di Terengganu lebih awal daripada kebiasaan. Seolah-olah dia tahu, itu adalah permintaan terakhir sebelum berpulang buat selama-lamanya.
“Dia keluar rumah jam 7.50 pagi, nak hantar anak ketiga ke sekolah. Sebelum tu, dia sempat hantar kuih raya kepada pelanggan. Lepas tu, beli barang dapur sikit. Tapi dia juga sempat pesan… suruh saya jaga anak bongsu kami yang baru enam bulan,” kata suaminya, Tengku Syafarin Tengku Abdullah, 45, dengan nada sebak.
Jasad Terbaring Kaku 2 Kilometer Dari Rumah
Hanya 10 minit selepas itu, dunia beliau seakan terhenti. Seorang jiran datang membawa khabar duka — isterinya terlibat dalam kemalangan. Hatinya luluh melihat jasad isteri terbaring kaku kira-kira dua kilometer dari rumah mereka.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat memaklumkan, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa keluar dari simpang menuju ke jalan utama selepas menghantar anak ke sekolah. Namun, sebuah kereta yang dipandu seorang guru wanita berusia 34 tahun dari arah Sungai Rambai tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat.
Baca artikel lain juga: Suami Isteri Meninggal Dunia Kemalangan Motosikal, Bayi 8 Bulan Bergelar Yatim Piatu

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kaki. Jenazah kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat. mangsa meninggalkan seorang suami dan empat orang anak yang masih kecil dan memerlukan belaian seorang insan bernama ibu.
Hari Raya yang sepatutnya disambut dengan senyum dan peluk cium anak-anak kini hanya tinggal kenangan. Namun, kasih dan pengorbanan seorang ibu tetap hidup dalam ingatan. Al-Fatihah buat arwah Noor Faradhillah – semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI