Sebelum sedap memandang sudut kejayaan suami, tolong flashback semua pengorbanan isteri masa zaman mula-mula hidup.
Dia lah yang sanggup tidur di rumah biasa-biasa, dia lah yang sanggup berkorban bangun pagi siapkan makan minum pakai suami dan dia lah juga yang kemaskan rumah setiap hari dan menunggu kepulangan suami nak makan bersama.
Maka betapa ralatnya bila wujud kritikan daripada kaum lelaki tentang kaum isteri yang tak pandai jaga penampilan selepas ada anak-anak. Nah, renungkan perkongsian Puan Intan Dzulkeflisekejap, nampak tak jawapan kenapa seorang suami boleh berjaya dan makin murah rezekinya.
Cerita Di sebalik Kejayaan Lelaki
Boleh kata, kebanyakan orang akan melalui susah payah ketika di awal pernikahan. Segalanya sederhana. Makan, pakai, kenderaan, tempat tinggal. Alhamdulillah, seiring bertambahnya usaha, doa dan tawakal, suami dan isteri akhirnya perlahan-lahan menambah baik kehidupan.
Dari hanya naik motor, mungkin sudah beli kereta.
Dari kereta kecil, beli kereta yang lebih selesa.
Dari sekadar menyewa akhirnya beli rumah sendiri.
Tidur yang dulu hanya dialas toto, mungkin sudah beli katil yang besar dan kukuh.
Dapur yang dulu hanya ada tong gas dan dapur memasak, kini mungkin sudah ada dapur siap berkabinet.
MasyaAllah.
Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh orang alim, bila berkahwin, bukan hanya rezeki kamu, bahkan rezeki isteri kamu, rezeki anak-anak kamu. Yang penting usaha, doa dan tawakal perlu seiring, bukan menunggu bulan jatuh ke riba.
Kadang Muncul Ujian Dalam Rumah Tangga
Namun, begitulah. Langit tak selalu cerah, kadang mula datang ujian lain pula.
Ads
Apabila semakin banyak kerja, hubungan dengan isteri menjauh, anak-anak jarang berjumpa. Mungkin ketika inilah ada lelaki yang diuji dengan kehadiran orang ketiga.
Orang ini yang hanya nampak lelaki yang sudah stabil dari segi kerjaya, kewangan, terjaga penampilan. Terasa mahu mengambil kesempatan. Terasa menang sekiranya dia dapat merampas takhta itu dari seorang isteri. Sedangkan di sebalik semua itu ada seorang isteri yang selalu berkorban dan anak-anak yang selalu terpaksa ditinggalkan.
Apabila diuji dengan godaan sebegini, ada sesetengah lelaki mula hanya nampak kekurangan isteri. Nampak isteri tiada standard, hanya duduk di rumah, berpenampilan sederhana. Sedangkan yang datang itu nampak cantik, fresh dan berwawasan jauh kononnya.
Iya.. banyak lelaki mula lupa. Pandangan mula dikaburi nafsu.
Ads
Sedangkan untuk membina apa yang dia ada sekarang, ada kepenatan, pengorbanan, bahkan mungkin air mata dari isteri yang sentiasa menyokong dari dia tiada apa-apa hinggalah akhirnya nampak berjaya di mata orang luar. Namun kerana pengorbanan itu tidak berbayar dengan material, nampaklah seperti isteri hanya pegun tiada wawasan. Allahuakbar.
Kenang Kembali Susah Payah Dengan Isteri
Bukalah mata wahai lelaki. Jangan biarkan nafsu menutupi akal fikiran. Banyakkanlah muhasabah diri, siapa dahulu di sisi saat dirimu baru bertatih mencari hala tuju hidup?
Kejayaan demi kejayaan yang ditempa, bukan semata atas usahamu. Bahkan juga dari bahagian rezeki isteri dan anak-anakmu serta doa yang sentiasa dipanjat oleh isteri tanpa jemu kepada Tuhan agar Allah mempermudahkan urusanmu.
Jangan lupa, disebalik kejayaan orang lelaki, sebenarnya sentiasa diiringi dengan doa wanita istimewa, iaitu doa ibu dan doa isteri. Keberkatan hidupmu pada mulianya akhlakmu kepada ibumu dan isterimu. Jangan lupa hal ini.
Ads
Meskipun pada pandangan insani, mereka insan yang nampak biasa sahaja. Namun, bagi lelaki yang beriman, kedua wanita inilah yang menjadi prioriti. Lubuk pahala, jalan menuju syurga.
Fokuslah wahai suami. Jangan sewenangnya lupa.
Amalkan membaca al-matsurat (untuk elak perbuatan khianat dan jahat), amalkan majlis taklim, makan bersuap dengan anak isteri, baca doa rabithah (niatkan agar dikuatkan tautan hati sesama anak isteri), jangan abai kekuatan solat berjemaah dan tadarus al-Quran bersama dengan anak isteri. InsyaAllah Allah akan pelihara rumah tangga kita.
Sesekali pandang wajah isteri, renunglah matanya. Banyak langkahnya yang tersekat kerana mendahulukan kebaikanmu dan anak-anak. Sanggupkah wanita itu disakiti hanya kerana memenangkan nafsu yang takkan pernah puas?
Dunia ini sementara cuma. Hakikatnya kerja kalian belum selesai selagi belum memastikan keluarga kalian masuk ke dalam syurga.
Kejayaan sebenarnya ialah apabila kalian berjaya memimpin anak isteri mentaati perintah Allah, kenal dan cinta pada Rasulullah SAW dan keluarganya serta faham dan taat kepada perintah agama.
Wallahu ‘alam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pernah tak terfikir, satu hari nanti, duit kat tangan kita tinggal hanya beberapa ringgit sahaja. Itulah duit untuk kita nak bagi keluarga makan. Mesti tak cukup untuk keluarga. Hati mula gelisah dan tak tenteram. Macam mana nak cari rezeki lagi. Kadang-kadang, bab-bab duit inilah, pasangan suami isteri boleh bergaduh dan bercerai berai.
Sebenarnya, rezeki yang Allah beri bukan hanya duit semata-mata tapi Dia bagi rezeki dengan pelbagai cara. Kita sahaja yang tidak tahu dan tidak pernah mensyukurinya. Risau duit tak ada.
Ini perkongsian daripada Raja Hazamir Raja Jusoh tentang bagaimana kita nak menjemput rezeki. Rezeki bukan dari wang ringgit semata-mata tetapi ada pelbagai cara.
+ Ada yang mengetuk pintu langit dengan cara setiap pagi memberi 40 nasi bungkus untuk orang miskin. Rutin dia lakukan.
+ Ada yang mengundang rezeki dengan cara mencium tangan ibunya lalu minta didoakan.
+ Ada yang mengundang rezeki, setiap minggu dia mendatangi anak-anak yatim, mengusap kepala mereka, membelikan sesuatu untuk keperluan mereka sebagaimana diajarkan Nabi SAW.
+ Ada yang mengundang rezeki, setiap pagi keluar ke tempat kerja dia rutin bersedekah kepada siapa saja.
+ Ada yang mengundang rezeki, tiap malam jumaat dia membahagi makanan kepada orang² yang tidur di jalanan. Doanya tembus ke langit!
+ Ada yang mengundang rezeki, setiap kali setelah solat subuh dia tidak tidur. Dia beristighfar 100 kali dan bertadarrus Al-quran hingga terbit fajar, lalu menatap langit langsung dan mengangkat tangan. Doanya tembus langsung kepada Tuhannya.
+ Ada yang mengundang rezeki, setiap Jumaat profit hasil jualannya 100% disedekahkan.
+ Ada yang mengundang rezeki, tiap bulan 20% dari total pendapatannya disedekahkan. Dia yakin Tuhan-nya MAHA KAYA.
+ Ada yang mengundang rezeki, seminggu sekali tengah malam didatangi rumah orang miskin. Dia angkat/pikul sendiri makanan untuk mereka.
+ Ada yang mengundang rezeki, tiap Jumaat dia tidak mahu dibayar upah untuk khidmatnya yang diberikan ke orang lain. Tiap titik keringatnya penuh pahala.
+ Ada yang mengundang rezeki dengan memperbaiki jadual solat 5 waktunya berjamaah di masjid dan Allah pun memudahkan segala urusannya.
+ Ada yang mengundang rezeki, tiap pagi dia solat dhuha & berdoa, ketika orang lain sudah sibuk dia memilih menghadap langsung ke Penciptanya.
+ Ada yang mengundang rezeki tiap ¼ malam bangun solat tahajud berbisik pada bumi dan terdengar di langit. Allah redha, hidupnya pun berkat.
+ Ada yg mengundang rezeki dengan cara menanam pkok agar semua makhluk bumi boleh menikmati oksigen.
REZEKIMU BUKAN DATANG DARI BOSSMU ATAU PELANGGANMU, TAPI REZEKIMU DATANG DARI ALLAH S.W T.
Tapi dari ALLAH SWT.
Jemputlah rezeki datang dengan cara-cara yang Allah Redhai.
MW: Kita tidak tahu, kadang-kadang kita bagi kucing makan pun boleh menjadi asbab rezeki ada kawan pejabat datang bagikan kita sarapan.
Tak salah bila isteri nak bantu suami, tapi kena tahu sempadannya. Saya masih menerima aduan kes tentang para isteri yang tak tahu bahawa mereka berhak dibiayai segala keperluan oleh si suami disebabkan mereka sendiri bekerja dan berkerjaya.
Malah ada para suami yang bertegang urat menegaskan mereka tidak perlu membiayai keperluan si isteri kerana suami telah memberikan izin untuk isterinya itu bekerja. Sama ada gagal memahami hak sendiri atau keliru sebab semua orang yang ingin berkahwin perlu hadiri kursus pra perkahwinan dan setahu saya, perkara mengenai tanggungjawab nafkah ini, memang ada dinyatakan sepanjang kursus.
Tak Dinafikan, Lelaki Adalah Pemimpin
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.
Islam menetapkan bahawa suami adalah sebagai ketua keluarga. Apabila disebut sebagai ketua maka jelas sudah bahawa seorang suami bertanggungjawab atas segalanya. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan segala yang terangkum sebagai satu keperluan bagi isteri dan juga satu perkara sampingan tetapi menjadi perkara utama apabila dilakukan demi suami tercinta seperti rawatan kecantikan dan solekan.
Hak Mutlak Isteri
Malahan, sekiranya suami seorang yang mampu tetapi masih mengizinkan isterinya bekerja, suami sewajarnya menanggung segala kos ulang alik si isteri ketika bekerja. Segala pendapatan isteri pula adalah hak mutlak si isteri dan suami, sekiranya berkehendakkan hasil pendapatan isteri bagi membantunya menanggung perbelanjaan rumah tangga, adalah dikira sebagai berhutang dengan si isteri.
Cuma, demi kerukunan rumah tangga malahan di dalam era globalisasi dan ketamadunan yang kian mencabar ini, memang satu bonus dan satu keperluan bagi sesetengah individu untuk si isteri bekerja bagi membantu meringankan tanggungan suami. Membantu meringankan bebanan dan tanggungan suami bukan bererti suami terlepas daripada tanggungjawab.
Membantu juga bermaksud bukan isteri sebagai tunggak utama sebaliknya si suami. Hanya bila pendapatan suami tidak mencukupi selepas suami telah peruntukkan untuk keperluan, bukan untuk hobi atau perkara tak perlu dahulu, maka si isteri wajar membantu dengan menambah kadar yang tidak mencukupi sahaja.
Membantu bukan bermaksud segala perbelanjaan keperluan rumah tangga dibahagi sama banyak dan isteri diarah membiayai sebahagian daripadanya. Itu prinsip bantuan dan perkongsian yang salah.
Bagi seorang lelaki yang betul-betul ada harga diri, dia akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi segala keperluan isteri, anak-anak dan keperluan rumah tangga tanpa mengharapkan hasil pendapatan isteri.
Jangan ‘Biasakan’ Bantu Suami Sewenangnya
Menyebut tentang hasil pendapatan isteri, saya ingin mengingatkan para isteri yang bekerja, memang tak salah kita membantu meringankan beban suami tetapi jangan terlalu membiasakan suami kita dibantu sewenangnya. Hasil pendapatan kita adalah hak kita yang mutlak. Kita bebas membelanjakannya sewenangnya hatta nak beli barang kemas selori pun adalah tidak salah. Cuma, secara logiknya, sudah tentulah kita ingin membantu suami kerana suami adalah insan yang kita cintai.
Seperti saya tegaskan, tidak salah membantu tetapi ada batasan. Walaupun tidak semua tetapi kebanyakannya para suami yang sentiasa ditolong ini akan mudah lupa diri. Rasa bebas bernafas sikit, terus segala tugas yang patutnya dipikul oleh suami telah diserah bulat-bulat kepada isteri. Suami pula, mula pasang strategi nak tubuh ‘cawangan’ terkini.
Satu perkara lagi, ingin saya ingatkan kepada para isteri, jangan sekali-kali menyerahkan segala hasil pendapatan anda kepada suami.
Hak Isteri Sepenuhnya
Pendapatan anda itu adalah hak anda sepenuhnya. Sekiranya ingin membantu, berikan sekadar yang perlu sahaja. Biasakan juga menyimpan segala resit perbelanjaan yang anda keluarkan bagi membantu suami menguruskan rumah tangga. Sebabnya, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di belakang hari.
Bukan meminta atau mendoakan tetapi tidak salah jika bersedia menghadapi segala kemungkinan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Mungkin kita yakin kasih suami sepanjang hayat tetapi dalam sesaat, segalanya boleh berubah.
Tak Sangka, Kebahagiaan 25 Tahun Berkecai
Kebahagiaan dua puluh lima tahun hidup bersama boleh musnah sekelip mata hanya apabila wujud insan ketiga. Ini yang terjadi kepada seorang klien saya. Setelah dua puluh lima tahun berkongsi dan berkorban segala akhirnya beliau ditinggalkan sendiri bersama hati yang lara. Hanya anak-anak pengubat duka. Sesal dah tak berguna.
Berbanding seorang klien lagi yang telah beringat-ingat sejak awal, hampir segala lelahnya dibayar apabila segala bukti pengorbanannya yang tidak dihargai suami dikemukakan kepada pihak mahkamah. Lantas, beringatlah, jangan dah terhantuk baru nak terngadah.
Artikel: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berlaku kesilapan ketika jalani rawatan kesuburan.” Selepas 30 tahun barulah rahsia terbongkar bahawa selama ini anak yang dibesarkan bukanlah anaknya sang bapa.
Kesilapan ini terbongkar secara tidak sengaja dan sudah tentu perkara ini membuatkan keluarga ini kecewa kerana sudah 30 tahun berlalu.
Berlaku Kesilapan Ketika Jalani Rawatan Kesuburan
Selepas 30 tahun, seorang lelaki di Ohio, Amerika Syarikat (AS) terkejut apabila mendapati bahawa anak perempuannya tidak mempunyai pertalian darah dengannya.
Ia kerana kesilapan ketika dia dan isterinya menjalani rawatan kesuburan untuk mendapatkan zuriat.
Daily Star melaporkan keluarga berkenaan kemudian memfailkan saman di mahkamah pada 2 Februari lalu.
Selepas 30 Tahun
Saman itu terhadap Dr Nicholas J Spirtos yang ketika itu bekerja sebagai Ketua Endokrinologi Reproduktif dan Kemandulan dan Persenyawaan In Vitro dan Pemindahan Embrio di Sistem Kesihatan Summa.
Dalam tuntutan berkenaan, keluarga terbabit mendakwa hospital terbabit melakukan penyelewengan, penipuan dan kecuaian.
Difahamkan, Jeanie dan John Harvey pergi ke klinik kesuburan di Hospital Akron City di Cleveland dengan harapan untuk mendapat zuriat.
Hasil daripada prosedur rawatan kesuburan yang dijalankan pada 1991, Jeanie disahkan hamil.
Pasangan itu menimang cahaya mata perempuan diberi nama Jessica pada 1992.
Dua tahun lalu, Jeanie menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas menjalankan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) anak perempuan dan suaminya sempena Hari Krismas.
“Bapa Jessica mempunyai warisan Itali dan dia berharap melakukan ujian itu dapat mengesan ahli keluarganya yang jauh supaya boleh berhubung dengan mereka semasa mengembara ke seluruh Eropah.
“Kami fikir ia adalah untuk berhubung dengan saudara jauh di negara yang mungkin kami lawati,” katanya.
Dalam tuntutan berkenaan, Jessica didakwa mempunyai pertalian darah dengan ibunya, tetapi tiada hubungan dengan bapanya.
Siasatan seterusnya mendapati bapa kandung Jessica adalah seorang lelaki lain.
Mingguan Wanita : Soal anak ini jangan dibuat main, apatah lagi mereka mengeluarkan kos untuk mendapatkan anak. Pihak yang bertanggungjawab seharusnya dikenakan tindakan sewajarnya.
Seorang wanita ditemukan maut tergantung di kipas siling di rumahnya di Kulim selepas dipercayai membunuh anak perempuannya berusia empat tahun akibat tekanan emosi. Kes tragis ini disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.