
“Saya sangkakan itulah penerbangan terakhir dalam hidup kami suami isteri.”
Demikian luahan seorang penumpang penerbangan MH2742 Malaysia Airlines yang berdepan detik mencemaskan apabila pesawat itu mengalami penurunan tekanan udara secara tiba-tiba sebelum selamat mendarat di Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak pada Rabu lalu.
Suasana Cemas Dalam Pesawat Malaysia Airlines
Menerusi perkongsian di Facebook, Abdul Jalil menceritakan pengalaman ngeri itu berlaku kira-kira sejam sebelum pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.20 pagi dijangka mendarat di Bintulu.
Menurutnya, keadaan di dalam kabin bertukar panik apabila kedengaran bunyi ganjil diikuti pesawat terasa menjunam. Tidak lama kemudian, topeng oksigen jatuh secara automatik dari ruang atas tempat duduk penumpang.
Penumpang Cemas Dan Suasana Panik
“Apabila keluar alat bantuan penafasan dan kapten mengisytiharkan kecemasan (dan) menasihati penumpang untuk memasang alat bantuan penafasan, saya tahu ada sesuatu yang tidak elok berlaku.
“Pada masa itu hati saya terdetik, kiranya inilah penerbangan terakhir kami, sekurang-kurangnya ada rakaman terakhir untuk tatapan anak-anak dan cucu,” tulisnya.
Abdul Jalil turut menggambarkan suasana di dalam kabin menjadi sunyi dan tegang, dengan ramai penumpang kelihatan cemas manakala kru kabin tidak sempat memberi arahan seperti kebiasaannya.
Pesawat MH2742 Mendarat Selamat Di Bintulu
Namun begitu, rasa takut itu bertukar lega apabila juruterbang memaklumkan bahawa pesawat kembali stabil pada ketinggian 10,000 kaki sebelum mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Bintulu sekitar jam 10.35 pagi.
“Alhamdulillah, kami selamat mendarat. Peristiwa singkat ini terasa begitu panjang kerana pelbagai kenangan dan doa silih berganti dalam fikiran,” ujarnya lagi.

Pengajaran Dari Insiden Penerbangan MH2742
Melalui pengalaman tersebut, Abdul Jalil mengakui insiden itu memberi pengajaran besar tentang nilai kehidupan dan keinsafan terhadap kebergantungan manusia kepada Allah SWT dalam setiap detik kehidupan.
Kejadian dalam penerbangan MH2742 Malaysia Airlines ini menjadi peringatan kepada semua tentang pentingnya kesyukuran, ketenangan dalam menghadapi kecemasan, serta kecekapan kru penerbangan dalam memastikan keselamatan penumpang.
Sumber: Abdul Jalil
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




















