Berita

Derma Organ Selepas Meninggal Dunia, Allahyarham Syukri Bazli Selamatkan Tiga Nyawa Lain

Share

Derma organ demi menyelamatkan nyawa insan lain yang memerlukan, kisah pemergian Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, tular dek kerana kebaikan hamba Allah ini pergi secara tiba-tiba selepas diserang jantung.

Derma Organ Selepas Meninggal Dunia

Menurut laporan portal Sinar Harian, arwah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), ahli keluarga termasuk ibu bapa dan isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32 sepakat untuk membenarkan proses pendermaan organ dilakukan memandangkan usia arwah yang masih muda.

​Menceritakan detik sebelum kejadian, Azlan berkata, anak kedua daripada lima beradik itu pada mulanya mengalami simptom gastrik selama lima hari sebelum tiba-tiba rebah di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke klinik di Wakaf Tapai bersama ibu bapanya, petang Selasa lalu.

​”Arwah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Wakaf Tapai sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Hulu Terengganu sekitar jam 6 petang.

Selepas diberikan bantuan pernafasan, arwah dipindahkan ke wad neuro dan seterusnya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Syukri yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran tomyam berhampiran Hospital Hulu Terengganu disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.06 tengah malam tadi.

​Kisah Allahyarham menjadi tular di media sosial selepas upacara ‘Walk of Honor’ diadakan di HSNZ pagi tadi sebagai tanda penghormatan tertinggi kakitangan perubatan atas jasa mulia arwah sebelum prosedur pengambilan organ dilakukan pada jam 5 pagi.

Syukri Bazli Selamatkan Tiga Nyawa Selepas Hembuskan Nafas Terakhir

​Mengulas mengenai peribadi arwah, Azlan menyifatkan Muhammad Syukri sebagai seorang yang sangat penyayang, periang dan ringan tulang membantu keluarga tanpa pernah meninggikan suara terhadap anak-anaknya yang berusia satu, tiga dan enam tahun.

​”Kami pasti akan merindui kehadirannya setiap kali perjumpaan keluarga. Arwah meninggalkan seorang isteri yang juga suri rumah sepenuh masa demi menjaga anak sulung mereka yang merupakan anak istimewa (autisme).

“Walaupun dia tiada sejarah penyakit kronik, sifatnya yang sentiasa rela berkhidmat kepada orang lain membuatkan kami memutuskan untuk meneruskan pendermaan organ ini sebagai amal jariah terakhirnya,” tambah Azlan.

​Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah bapanya di Kampung Tok Dor dan neneknya di Felda Bukit Bading untuk penghormatan terakhir.

​Solat jenazah dijangka dilaksanakan di Masjid Tok Dor selepas Isyak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peroh pada malam Ahad.

Ketiga-tiga Organ Dihantar Menggunakan Helikopter

 

Menerusi perkongsian di Facebook, Ahmad Nazrul memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham Syukri Bazli telah menjalani proses pengambilan organ dan tisu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pagi tadi.

Satu buah pinggang dihantar ke Hospital Selayang, manakala satu lagi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Hati Allahyarham pula dibawa ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur untuk tujuan pemindahan organ.

Ketiga-tiga organ tersebut diterbangkan menggunakan helikopter bagi memastikan proses pemindahan dapat dilakukan segera kepada penerima yang sedang menunggu.

Difahamkan, hati Allahyarham akan memberi peluang hidup kepada seorang kanak-kanak, manakala dua buah pinggangnya pula bakal membantu dua pesakit diabetes yang kini bergantung kepada rawatan dialisis.

Bukan itu sahaja, proses pengambilan turut melibatkan tisu lain seperti tulang dan kulit bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan lanjut. Tulang akan digunakan dalam prosedur bone graft melibatkan mangsa kemalangan, pesakit kanser tulang serta masalah tulang belakang. Manakala kulit pula dimanfaatkan untuk rawatan pesakit melecur teruk serta pembedahan rekonstruktif.

Sebuah perjalanan hidup yang cukup bermakna sampai hujung nyawanya, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman dan syurga tertinggi.

Published by
Nadia