Akhir-akhir ini, ramai yang mendakwa mengalami depresi atau kemurungan dalam diri. Atas pelbagai faktor yang mungkin berpunca daripada rasa serabut, rendah diri, rasa diri tidak berguna,jiwa kosong keseorangan dan tiada siapa yang dapat memahami.

Ternyata ia bukan perkara main-main, silap percaturan, tekanan dan kemurungan yang dihadapi boleh membawa kepada bunuh diri. Perlu tahu bahawa depression merupakan satu penyakit yang perlu dirawat dan bukanlah petanda seseorang itu jauh dari tuhannya. Kena dapatkan rawatan segera dengan berjumpa terapi mahupun doktor pakar untuk mengatasinya.

Jemput baca perkongsian pengalaman dan kisah benar yang dikongsi oleh Puan Norzi Malek yang merupakan seorang Occupational Therapy. Semoga menjadi iktibar buat kita.

“Saya rasa lost la abang.Rasa stress, rasa kosong sejak duduk rumah jaga anak ni. Saya rasa serabut hidup saya. Tak tahu nak gambarkan macam mana. Serabutlah” Luah Alia pada suaminya.

Amir pandang lama-lama isteri yang dinikahi sejak 5 tahun yang lalu. Terbit rasa sesal dalam dada.

“Sayang, sayang kena dekatkan diri pada Tuhan. Banyakkan mengaji, berzikir. Sayang jadi macam ni sebab sayang tak buat amal ibadat banyak. Jauh dari Tuhan.

Buat banyak sikit amalan. Jangan asyik belek handphone saja siang hari”.

Dan perbualan mati di situ.

Putaran Hidup Berubah

Alia rasa nak menjerit apabila mendengar suaminya nasihat benda yang sama berulang kali setiap kali Alia luahkan gelodak di jiwa yang Alia sendiri tidak mampu uruskan.Sejak Alia berhenti kerja menjaga anak-anak di rumah, putaran hidup Alia berubah sama sekali.

Matlamat Alia berhenti kerja cuma satu. Nak menjaga anak-anak di depan mata. Nak anak-anak membesar mengikut acuan yang Alia sendiri tetapkan.

Alia mula berbisnes online untuk mencari side income. Selama Alia bekerja sebelum ini, Alia tidak pernah tiada duit. Semua kehendak dan keinginan Alia, akan diusahakan sendiri. Itulah kepuasan hidup Alia.

Namun, berbisnes tidak semudah yang disangka. Ada pasang surut. Tidak semuanya indah. Ada ketika umpan mengena, ada ketika langsung tiada.

IKLAN

Rasa Diri Tak Berguna

Alia mula merasakan dirinya tidak berguna apabila tiada duit. Setiap kali berkeinginan sesuatu, Alia perlu melalui suaminya untuk pelepasan duit.

Apabila ada perjumpaan keluarga, saudara mula bertanya aktiviti Alia sejak berhenti kerja. Dari sebesar-besar soalan hingga ke soalan sensitif, Alia banyak terasa.

Alia dapat rasakan saudara mara mula memandang rendah padanya dan dia tiada nilai dalam keluarga itu disebabkan statusnya hanya suri rumah.

Kalau dahulunya Alia banyak berkomunikasi dengan rakan-rakan sekerja, sekarang dunia Alia hanya anak-anak. Alia rasa sunyi. Kosong. Tiada kawan.

Apabila suaminya balik dari kerja, Alia berharap suaminya menjadi rakan baik yang akan berkongsi apa sahaja cerita tentang dunia luar. Akan mendengar keluh kesah Alia dalam menjaga anak-anak yamg semakin lasak.

Tapi ada ketikanya, hanya sepatah sepatah yang diterima daripada suaminya. Bergantung pada mood suami. Kalau suaminya penat bekerja, pendeklah ayat berbicara.

Depression Penyakit Perlu Dirawat, Bukan Petanda Seseorang Itu Jauh Dari TuhanNya

Berubah Sikap

Alia mula berubah. Dia semakin garang pada anak-anak. Terjerit-jerit setiap kali bercakap dengan anak.

IKLAN

Penampilan Alia juga berubah. Alia dah tak peduli tentang penampilan dirinya. Dia dah tidak kira mandi atau tidak. Dia mula termenung dan bercakap seorang diri untuk menaikkan semangatnya supaya sentiasa positif.

Rutin tidur Alia juga berubah. Malam-malam Alia sukar tidur, namun apabila siang hari Alia mampu tidur dari pagi hingga ke penghujung senja.

Perkara ini berlaku selama berbulan-bulan sehinggalah suatu ketika, Amir mendapat panggilan daripada ayah mertuanya.

‘Amir, kau tolong bawak Alia jumpa doktor. Ayah tengok makin pelik Alia ni sejak dua menjak ni’

Amir meyakinkan ayah mertuanya yang Alia masih ok dan hanya penat uruskan anak-anak dan hal rumahtangga.

Balik rumah, Amir nasihatkan lagi Alia. Dekatkan diri pada Tuhan. Minta berzikir selalu. Amir juga bawak balik air penawar yang ustaz bacakan untuk ketenangan hati Alia.

“Sayang, dekatkan diri pada Tuhan. Sayang stress sebab sayang jauh dari Tuhan”

Alia diam.

Rasa Kosong

Pagi yang hening, Alia bercakap lagi seorang diri. Untuk menaikkan semangat dia. Dia rasa kosong. Tiada siapa faham apa yang dia rasakan.
Tiba-tiba dia terdengar suara berbisik,

IKLAN

“Cuba lompat dari tingkap ini. Semua masalah akan selesai”

Alia menuju ke tingkap apartment rumahnya yang berada di tingkat 9. Lalu dia pon melompat terjun kerana dia mendengar nasihat hanya dengan melompat dari situ, semua masalahnya akan selesai.

#DepressionIsReal.
#KisahBenar

Nota kaki : Depression adalah penyakit yang perlu dirawat. Depression bukan petanda seseorang itu jauh dari TuhanNya.

Depression bukan hanya berlaku pada suri rumah, depression boleh berlaku dimana-mana dan pada sesiapa sahaja. Malahan pelajar, fakir miskin, artis dan jutawan juga boleh mendapat depression.

Mempunyai Coping skill yang baik akan membantu anda mengawal depression dari menjadi semakin buruk.

Ketahui tahap depression anda serta dapatkan rawatan therapy dan bagaimana untuk mengawalnya.

Depression tidak mengenal usia, jantina, bangsa dan agama.

“Are you ok today?”

Norzi Malek
Dari Therapist Untuk Therapy
Rabu, 11 September 2019.

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Lebih ramai mengambil berat dan membantu ahli keluarga yang melalui fasa depressi. Terutamanya peranan daripada pihak suami sendiri, mohon lebih prihatin dengan sebarang perubahan sikap dan luahan hati isteri, agar tidak menyesal di kemudian hari.Bagi yang mengalami depressi mohon dapatkan rawatan terapi dengan berjumpa pakar di hospital segera. Ia boleh dilakukan di hospital kerajaan secara PERCUMA sahaja.

Sumber: Norzi Malek

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI