Salah satu perkara yang menjadi idaman pasangan suami-isteri ialah dapat hidup bersama di bawah satu bumbung, bukan hidup berjauhan. Setiap hari dapat bertemu dan apabila sudah ada anak, maka masing-masing dapat melihat anak itu dewasa di depan mata.
Kerja Di Luar Negara
Namun keadaan yang sempurna itu bukan milik semua orang. Teringat situasi seorang rakan lama yang selalu mengeluh nasib terpaksa duduk jauh dengan keluarga. Dia bekerja di ibu pejabat syarikat minyak antarabangsa di Eropah manakala isteri dan anak-anak tinggal di Kuantan.
Walaupun berpendapatan berkali ganda daripada gaji rakan-rakan lain yang bekerja dalam negara tetapi dia tidak merasa itu istimewa. Dia pernah berkata pada saya yang 70% masa hidupnya ialah duduk dalam kapalterbang, bermesyuarat di benua-benua berbeza dan tidur di hotel-hotel lima bintang serata dunia.
Jenguk Anak Isteri Sehari Dua Saja
Bila ada kesempatan selain daripada cuti tahunan, dia akan mencuri masa untuk singgah di KLIA dan balik ke Kuantan untuk bersama keluarga. Biasanya dapatlah dua hari dan selepas itu terpaksa balik ke Eropah. Begitulah rutin hidupnya, daripada anak-anaknya lahir hingga sekarang sudah melepasi usia 20-an.
Sebenarnya ramai pasangan yang begitu. Saya pernah merasai sedikit pangalaman duduk berjauhan selama lebih kurang dua tahun semasa melanjutkan pelajaran suatu masa dahulu. Pada ketika itu teknologi internet baru bermula dan tidak semaju hari ini. Bila bercakap tentang tinggal berjauhan ini pasti perkara-perkara negatif yang banyak diulas.
Ads
Maka apa yang saya mahu kongsikan kali ini adalah sudut positif sekiranya anda dalam status PJJ iaitu ‘Perkahwinan Jarak Jauh’ hari ini.
Sudut Positif Bila Berjauhan
Ada pepatah lama menyatakan ‘biar jauh di mata tetapi dekat di hati’. Ini sangat betul sekiranya kita jujur melihat realiti pasangan yang berkahwin.
Duduk berjauhan tidak bermakna jauh di hati. Ada ramai pasangan yang duduk sebumbung, ke pejabat bersama tiap hari, tetapi hati masing-masing terpisah beribu batu jauhnya. Dalam hal begitu, adakah jarak patut disalahkan?
Faktor seterusnya yang selalu diungkit ialah kebarangkalian tinggi untuk curang yang dikatakan selalu berlaku pada pasangan PJJ. Saya selalu bercakap tentang risiko curang ini.
Ads
Jarak Bukan Penyebabnya…
Sebenarnya curang tidak semesti disalahkan kepada jarak yang memisahkan. Ianya lebih kepada faktor diri sendiri. Suami atau isteri boleh curang apabila masing-masing ada isu dengan pasangan sendiri. Jika mana-mana
pihak mengambil mudah insan yang setiap hari berada di depan mata maka pintu depan dan pintu belakang rumah sentiasa terbuka untuk mereka berlaku curang.
Hari ini anggapan bahawa duduk berjauhan maka susah untuk berkomunikasi memang tidak boleh diterima. Teknologi internet telah menghilangkan fungsi ‘Telegram kertas’ dan kos perbualan telefon jarak jauh yang mahal itu.
Dengan telefon pintar dan isyarat wi-fi yang kuat dan murah maka anda yang duduk di benua lain boleh berbual dengan keluarga seperti duduk di ruang tamu. Dengan suara jelas dan visual yang baik, komunikasi itu boleh dikatakan 80% sudah sempurna.
Ads
Makin Menghargai Pasangan
Kata orang bila duduk berjauhan ini susah kita untuk mengenal pasangan. Saya tanyakan pula soalan ini. Berapa ramai pasangan yang terasa seperti orang asing walaupun tidak pernah duduk berjauhan?
Apabila duduk berjauhan maka masa bersama itu menjadi sangat berharga. Manusia ini sifatnya menghargai apa yang susah untuk mereka dapat. Apabila jarang bertemu maka anda akan lebih bersedia untuk benar-benar mengenali pasangan dalam masa-masa emas itu.
Anggap Pasangan Sebagai Kekasih
Yang terakhir saya mahu kongsikan dalam bentuk soalan. Kenapa waktu bercinta kita rasa semuanya indah belaka? Ya, kerana ketika itu kita masih ada halangan hukum agama untuk intim bersama orang yang kita cintai. Apabila sudah berkahwin, semua itu menjadi halal dan boleh dilakukan tanpa halangan. Secara tanpa sedar perlahan-lahan muncul rasa tidak berpuas hati, bosan dan sebagainya.
Tambahan pula selepas bertahun-tahun semuanya berlaku mengikut S.O.P yang sama. Benar hukum sudah menghalalkan tetapi jarak dan masa tetap memberi cabaran. Itulah yang menjadikan setiap kali pertemuan seolah-olah seperti pasangan bercinta yang boleh berbuat apa sahaja. Anda boleh mencubanya jika anda tidak percaya. Cubalah!
** Artikel ini telah dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Para suami jangan terlepas pandang soal emosi isteri. Ramai isteri jadi burnout, penat, breakdown ini disebabkan emosi dan mental. Lagi-lagi pula kalau suami tidak faham keadaan isteri.
Suami Selalulah Perhatikan Emosi Isteri
Ia tak dizahirkan, perlu digali dan diperhati dengan penuh fokus dan berhati-hati. Golongan isteri sangat pandai memendam rasa. Nak diluahkan takut buat suami serabut dan menyusahkan. Maka disimpannya kemas-kemas. Dia menangis dan mengalirkan air mata di balik sebuah senyuman buat suami.
Itulah hikmahnya Allah anugerahkan pada lelaki jumlah akal yang banyak, supaya lihat dari pelbagai sudut dan menyelesaikan misteri nusantara paling besar di dunia iaitu hati wanita.
Tanda-tanda isteri sedang burnout ialah cepat marah atau meninggikan suara pada anak-anak. Walaupun hal yang berlaku adalah kesalahan kecil.
Anak sepahkan rumah. Anak lupa nak siapkan kerja sekolah. Anak diam je tak menyahut bila dipanggil. Isteri terus hilang sabar.
Biasanya Dia Tak Akan Luah Sedang ‘Burnout’
Apabila dia sudah mula tinggi suara tu, ketahuilah bukan anak yang bersalah tetapi mental dan emosinya yang tak dapat menampung kesabaran dalam melayan anak-anak.
Ditambah pula dengan moodnya yang hilang untuk bergurau. Kurang bercakap seperti biasa, mula jauhkan diri serta mengasingkan diri semasa di dapur atau bilik tidur, dan ada juga masa kita nampak dia menangis tanpa sebab.
Waktu itu, kita cepat-cepatlah kesat air matanya. Dan terus ambil alih peranan dan tanggungjawabnya. Biarkan dia berehat.
Kata, “awak rehatlah dulu. Pergi mandi, bersihkan diri dan baring ya. Biar abang masak dan jaga anak-anak.”
Masa itu, yakinlah walau penat macamana pun dia, tetap dia akan rasa lebih lega dan tenang seketika kerana dia ada suami yang bertanggungjawab, prihatin dan penyayang.
Para suami, jangan biarkan isteri kepenatan dan kalian perlu yakin satu perkara ini, bila isteri hilang penat, dia akan gembira, dan bila kamu lihat dia gembira, penat kamu juga turut hilang.
Kena selalu buat begini. Kena selalu hadir untuk isteri.
Kaum wanita biasanya bila suka beli set pinggan mangkuk tapi sayang nak guna. Bila suami tanya “kenapa tak guna barang yang dibeli tu?” Jawapannya “yang lama elok lagi, sayanglah nak guna yang baru..”
Bukan saja pinggan mangkuk, kasut, beg tangan, baju atau apa saja mesti simpan dulu. Kadang bila mengemas baru perasan barang yang dibeli beberapa tahun lepas masih tak guna dan elok je dalam kotak atau plastik.
Set Pinggan Mangkuk Jangan Simpan! Gunalah
Sama juga set pinggan mangkuk atau tupperware kebanyakan ibu-ibu rela simpan dalam almari. Hanya guna sesekali jika ada tetamu datang, majlis tertentu ataupun ketika Hari Raya.
Kalau diikutkan, barang-barang yang kita beli jika disimpan saja dan tak guna, kita akan berat saat dihisab nanti. Na’uzubillahi min zalik. Ingat bukan tak boleh membeli, boleh tetapi jangan mengumpul harta.
Bukan Tunggu Ada Tetamu Baru Pakai
Seperti perkongsian Puan Nurlia Mohd Nor, ada tiga perkara yang dia belajar dari arwah maknya sehingga buatkan diri tersedar dan cuba ubah untuk jadi lebih baik.
Ada 3 benda saya belajar dari arwah mak:-
1) Pinggan mangkuk untuk kegunaan keluarga dalam rumah sebolehnya jangan tangkap muat. Kalau raikan tetamu kita kalut keluarkan pinggan mangkuk cantik, sebenarnya di rumah pun sama. Tak kisah la plastik/ kaca tapi make sure kalau boleh seragam.
Biasa kalau ada anak kecil kita prefer plastik kan. Mahal atau murah tak jadi isu, tapi biarlah sedap mata memandang. Yang sebenarnya family dalam rumah ni lagi kena raikan. Takkan tunggu tetamu datang baru suami atau anak-anak dapat merasa guna pinggan cantik kan. Mak dulu pinggan Pyrex kaler coklat dia guna untuk pakai harian. Kata abah,
“Buat apa simpan. Dah beli guna. Bukan boleh bawa mati pun..”
2) Pastikan telekung kita bersih dan cantik. Mampu beli yang mahal, belilah. Bila nak jumpa orang kita beria pilih baju cantik, siap make up bagai tapi nak mengadap Allah kenapa tak boleh cantik jugak kan. Tetiba jadi berkira dan cincai saja.
Janganlah pakai telekung yang dah bertahi lalat, dah kuning dan kusam. Murah pun tak apa asalkan bersih. Mak dulu telekungnya sentiasa bersih. Kalau tak sebab reput/ kain dah jarang memang boleh guna lagi. Bila mak meninggal saya wakafkan telekung-telekung dia yang masih elok di surau- surau.
3) Sejadah. Ada masa sejadah perlu dicuci. Jangan biarkan berbau kepam. Macam mana kita nak perkara lain pun cantik dan elok, sama jugalah dengan sejadah. Nak menghadap Allah jangan ambil mudah. Sampai masa kalau perlu tukar baru, tukarlah. Baju boleh beli dan tukar, kenapa sejadah tak bolehkan.
Beberapa hari lepas saya beli set pinggan mangkuk ni memandangkan set pinggan mangkuk Ikea yang kami guna seharian dah banyak yang sumbing/pecah. Encik suami suggest beli yang baru. Senang, tetamu datang pun guna yang ni, orang dalam rumah pun pakai juga yang ni. Harta benda dah beli, sila guna.
Kredit: Nurlia Mohd Nor
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
10 Tahun Dah Bercerai, Bekas Suami TETAP Tanggung Sepenuhnya Perbelanjaan Bekas Isteri & Anak-Anak. Bukan semua perceraian berakhir dengan kisah penderitaan. Mungkin satu daripada 1000 kisah perceraian yang baik sebegini.
Meskipun tidak lagi memegang ikatan tali perkahwinan bersama, bekas suami tetap menunaikan tanggungujawab sebaiknya bukan hanya menanggung nafkah anak-anak malah turut menanggung segala perbelanjaan bekas isteri.
Baca perkongsian kisah daripada Puan Normaliza Mahadi ini yang juga merupakan Kaunselor Perkahwinan dan Keluarga untuk dijadikan pengajaran bersama.
Klien saya bercerai dengan isterinya atas dasar tidak sefahaman setelah sekian lama berusaha mempertahankan perkahwinan.
Klien berpindah rumah dan bekas isteri dengan anaknya tinggal di rumah kelamin mereka. Klien berpendapat biarlah dia sahaja yang perlu menyesuaikan diri di tempat baru tetapi bukan bekas isteri dan anak-anak. Bekas isteri dibelikan sebuah kereta untuk kegunaan dengan anak-anak dan sekeping credit card untuk petrol.
Klien saya meneruskan semua perbelajaan rumah seperti biasa dan hak penjagaan anak diberikan sepenuhnya kepada bekas isteri.Bekas isteri diberikan sebanyak RM1000 sebulan untuk kegunaan sendiri. Semua perbelajaan lain bekas isteri seperti perubatan, percutian mengikut anak-anak, pakaian hari raya dan sebagainya masih dalam tanggungan bekas suami.
Sudah 10 tahun berlalu perkara ini tidak pernah berubah walaupun bekas suami sudah 5 tahun berkahwin lain.
“Jika bekas isteri tuan berkahwin lain, adakah perbelajaan beliau yang tuan tanggung akan dihentikan?”
“Tidak. Beliau adalah mak yang sangat baik kepada anak-anak saya. Pemberian saya biarlah Allah membalasnya. Selagi saya mampu, InsyaAllah saya akan teruskan apa yang saya buat selama ini”
by NM
Lupa pula nak share.
Setiap kali bekas suami dapat bonus, bekas isteri akan dapat 20%. Dan kereta bekas isteri ditukar pada tahun lepas untuk keselesaan.
Mingguan Wanita: Satu dalam seribu. Rezeki apabila perceraian tidak memutuskan hubungan dan tanggungjawab. Semoga lelaki sebegini mendapat rahmat dan rezeki berlipat kali ganda apabila memudahkan urusan dan memberi keselesaan pada bekas isteri dan anak-anak.
Inkues Zara Qairina bermula 3 September 2025, seramai 195 saksi dirakam percakapan. Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar...