Agak sukar sebenarnya menyatukan tiga figura ini sebagai penyeri penghias hadapan Mingguan Wanita edisi Hari Malaysia. Menjalin kerjasama dengan barang kemas Poh Kong memerlukan kami di redaksi Mingguan Wanita mencari sosok yang sesuai untuk dijadikan sebagai wajah penghias.
Kolaborasi antara Amber Chia, Pushpa Narayan dan Yana Samsudin akhirnya dijayakan dengan sempurna. Ketiga-tiga mereka mewakili wanita Malaysia dari tiga etnik utama yang menjadi sebahagian daripada warganya. Bersama Mingguan Wanita, ketiga-tiga selebriti ini saling berkongsi rasa kasih dan kecintaan mereka terhadap tanah air, perkembangan karier seni masing-masing dan sisi lain kehidupan mereka selaku isteri dan ibu.
Jangan Cuba Rosakkan Keharmonian Malaysia – YANA SAMSUDIN
Norliana Samsudin atau lebih komersial dengan nama Yana Samsudin, merupakan anak kelahiran Yong Peng, Johor. Anak ketiga daripada lima bersaudara ini merupakan anak campuran bangsa. Ibunya Suhaily “Elly” Abdullah berbangsa Bidayuh berasal Serian, Sarawak. Manakala bapanya, Samsudin Jamuri adalah anak jati Yong Peng, Johor, seorang Melayu berketurunan Jawa.
Isteri kepada Fadzil Zahari dan ibu kepada Aisy Mateen ini cukup bimbang apabila adanya anasir-anasir yang cuba mengganggu gugat keharmonian Malaysia. Dengan tegas Yana berkata, jangan cuba bermain dengan isu sensitif yang boleh membahayakan negara dan merugikan kita rakyatnya.
“Apa yang saya bimbangkan apabila Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan bangsa bakal kucar kacir, apabila ada parasit yang cuba memetik api perkauman. Bagi saya orang sebegitu, kelompok manusia lupa pada sejarah dan asal usul perjuangan pejuang-pejuang kita satu masa dahulu.
“Membesar di Yong Peng di mana persekitaran kami dikelilingi masyarakat Cina dan India membuatkan saya cukup menghargai keharmonian yang ada. Perbezaan bangsa bukan subjek utama dalam kawasan kejiranan kami. Apabila tiba musim perayaan, lazimnya kami saling berkunjungan dan bertukar-tukar juadah. Malah saya juga masih menjalin hubungan baik dengan kenalan rapat berlainan bangsa ketika di bangku sekolah hingga ke hari ini.
“Jangan memperjudikan keharmonian Malaysia dan jangan biarkan Malaysia bergolak kerana isu-isu sensitif dan perkauman. Jaga dan pelihara keamanan yang kita kecapi hari ini. Tanpa adanya pejuang bangsa yang bermati-matian menyatukan semua bangsa di bawah satu negara, tidaklah wujud tanah air kita, Malaysia,” tegas Yana.
Ads
Elakkan Sentimen Perkauman – PUSHPA NARAYAN
Keramahan suri hati kepada Richard Frederick Robless yang merupakan naib juara Pencarian Dewi Remaja 2004; Pushpa Narayan membuatkan sesiapa sahaja cukup senang berurusan dengannya. Anak kelahiran Jerantut, Pahang ini cukup selesa apabila berada di studio Karangkraf baru-baru ini. Ujarnya lagi, mana mungkin dia melupakan tempat yang berjaya mencungkil bakatnya sekali gus menaikkan namanya sebagai salah seorang ikon dalam program ikonik Pencarian Dewi Remaja anjuran majalah Remaja.
Hadir meluahkan rasa rindunya, dia awal-awal lagi melapangkan diri bagi memenuhi undangan sebagai salah seorang penghias wajah edisi kolaborasi tiga bangsa. Ibu kepada Rhea Rosa Robless (8) dan Robert Richard Robless (6) anggun mengayakan sari berona biru lembut ketika diminta menggayakan busana kebangsaan. Berbicara perihal persahabatan yang terjalin berbeza bangsa, Pushpa cukup sensitif dan menerapkan nilai murni dalam persahabatan lain bangsa bersama anak-anaknya.
“Saya mendidik mereka untuk menghormati perbezaan dan lebih menghargai nilai persahabatan. Saya tak galakkan anak-anak bergaul dalam satu kelompok bangsa sahaja. Saya mengesyorkan mereka untuk meluaskan pergaulan tanpa terikat pada satu bangsa sahaja.
“Saya juga mengelakkan penggunaan perkataan kaum. Contohnya saya tidak akan menyebut kawan Melayu, kawan Cina atau kawan India merujuk kepada sahabat saya ataupun anak-anak. Saya lebih suka menggunakan nama sahabat-sahabat anak sebagai rujukan yang lebih jelas apabila bertanya berkenaan teman mereka. Sekiranya timbul soalan dari anak-anak terutamanya hal budaya dan agama, saya dan suami akan menjelaskan sebaik mungkin.
“Membesar di Malaysia membuatkan kita terdedah dengan campuran budaya. Saya selalu menerapkan nilai-nilai murni terutamanya dalam mendidik anak-anak yang tinggal di persekitaran masyarakat majmuk. Mungkin kita ada perbezaan identiti melibatkan agama dan bangsa, tetapi itu bukan subjek utama dalam kita menjalin persahabatan. Saling memahami, lengkap melengkapi dan jangan mencetuskan provokasi bagi memastikan keharmonian yang dirasai hari ini, terus berkekalan hingga ke generasi hadapan,” kongsi wanita yang cukup menggemari juadah signature Malaysia, Nasi Lemak bersama ayam rempah.
Ads
AMBER CHIA Bangga Bawa Nama Malaysia
Siapa sangka anak kelahiran Tawau, Sabah ini hanya bergelar penjual ikan di pasar 20 tahun yang lalu. Namun impian besarnya untuk menjadi seorang supermodel akhirnya membuka jalan yang luas untuk dia mencipta nama. Bertahan selama 20 tahun bersandarkan pada bakat sepanjang dua dekad juga membuktikan kemampuan model Asia ini.
Amber Chia, 39 tahun, merupakan seorang figura yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia sendiri teruja apabila kehadirannya diterima umum selama ini. Apatah lagi dia merupakan model berbangsa Cina, jadi dia berasa bertuah dengan jalan hidupnya kini.
Selain berpeluang ke luar negara atas dasar tugas, Amber sememangnya gemar mengembara ke seluruh dunia sebagai seorang peragawati terkenal. Walaupun merantau jauh ke luar negara, tetapi nama Malaysia tidak pernah lekang dari bibirnya.
Malahan dia terlalu lama berada di luar negara, dia sentiasa berasa rindu dengan tanah air. Biar pun terpisah beribu batu dari negara sendiri, Amber pasti memilih untuk memesan atau mencari masakan Malaysia di luar negara. Jika bersama rakan-rakan dari negara luar, dia juga akan menceritakan kelebihan negara Malaysia dari segi makanan dan rakyatnya.
Ads
“Saya sendiri memang suka nasi lemak dan satay. Jika keluar negara, saya cuba mencari dua makanan ini kerana mudah didapati dan makanan kita sudah terkenal di luar negara. Saya rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan harmoni.
“Pergi ke mana pun, di hati saya hanyalah Malaysia kerana bukan sahaja dari segi cuaca yang buat kita selesa, makanan yang sedap pun ada di Malaysia kerana kita mempunyai terlalu banyak makanan. Saya boleh merasa masakan Melayu, India dan banyak lagi.
“Oleh itu, sempena Hari Malaysia, saya mengharapkan Malaysia terus maju dan dapat mengekalkan keharmonian antara bangsa,” jelasnya lagi.
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Yana Samsudin, Amber Chia & Pushpa Narayan, baca sambungannya didalam edisi khas Hari Malaysia, Majalah Mingguan Wanita isu September, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.
Teks & Penyelaras : Mastura Burhanuddin & Nur Syazwani Mehat Foto : Tuan Azman Tuan Muda Video : Nor Yanti Saharuddin Solekan: Pushpa (Anne Karim), Yana Samsudin (Noor Zaleha Mohd Sharif), Amber Chia (Pinky Chia Amber Chia Academy Makeup Coach) Busana : Terima Kasih Butik Qamilla Sacc Mall, Shah Alam, Saree By Jansri Sarees, Saree Blouse By Amisha Fashion House & Tailoring, Zara Malaysia Tajaan Pakaian Amber Chia : Maglifestyle Officialaksesori : Poh Kong Hijab : Butik Radiusite, Seksyen 7, Shah Alam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ketika sesi fotografi muka hadapan ini diadakan, Serina Prof. Datuk Haji Redzuawan Ismail, atau mesra dipanggil Serina Redzuawan, sedang dalam proses mendapatkan hak jagaan anak-anak. Daripada percakapan dan tingkah lakunya, dapat diertikan bahawa dia seorang wanita tabah yang tidak mudah terbuai oleh masalah yang dihadapinya. Sesi fotografi bersama dua buah hatinya yang comel, Tristan Tareef, 6, dan Isabella Saffiya, 5, berlangsung lancar. Mereka berdualah penyejuk dan penguat semangat artis yang pernah bergelar isteri kepada Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.
Wajahnya yang ceria tidak langsung menggambarkan kesedihan yang sedang bersarang di hatinya. Siapa menduga, di sebalik senyuman dan tawanya, wanita cantik itu sedang diuji dengan kisah rumah tangga yang musnah di tengah jalan.
Semua itu adalah rencah kehidupan bagi ibu muda yang sedang ligat membina empayar perniagaan makanan dan beberapa cabang perniagaan lain. Bagi Serina, dia tidak mahu hidup terus menerus dalam kesedihan. ‘Life must move on’. Dia tidak mahu perceraian itu titik noktah dalam kehidupan dirinya.
Haluan Masing-Masing
Ternyata, perkahwinan yang dibina pada 1 Januari 2010 tidak dapat diselamatkan lagi, dan akhirnya mereka membawa haluan masing-masing. Mereka bercerai secara baik dan bagi Serina, dia mahu masyarakat faham penceraian itu berlaku kerana perkahwinan mereka tidak ada persefahaman lagi.
“Takdir Allah SWT tidak boleh dibaca. Ia mungkin menjadi satu titik permulaan untuk sesuatu yang lebih baik kelak. Saya yakin apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya harus kuat demi anak-anak, saya tidak mahu tunjuk kesedihan. Saya akan lakukan sesuatu untuk lupakan kesedihan. Saya banyak mendapatkan nasihat daripada papa kerana nasihat papa memberikan kebaikan buat diri saya. Saya kehilangan suami tapi sekurang-kurangnya saya masih ada papa dan anak-anak sebagai sumber kekuatan.” Ujar Serina dengan tenang, memulakan bicara.
Menurut Serina lagi, bukan mudah ketika dia hendak berterus terang dengan papa tersayang.
Reaksi Chef Wan
“Semasa mula-mula hendak sampaikan kepada papa yang saya hendak bercerai, sebenarnya detik itu bukan mudah. Ini kerana saya tidak pernah berkongsi kisah rumah tangga kepadanya lebih-lebih lagi untuk tunjuk yang saya sedang ada masalah. Maklumlah, tiada siapa yang hendak mahligai yang dibina atas dasar cinta roboh. Begitu juga saya yang sudah mencuba untuk menyelamatkan rumah tangga namun menemui jalan buntu. Akhirnya saya terpaksa merujuk kepada papa untuk mendapatkan nasihat yang terbaik untuk diri saya.
“Ekspresi pertama papa, semestinya dia marah sebab saya tidak pernah memberitahunya perihal masalah yang saya hadapi selama ini. Tapi cukuplah saya katakan bahawa, perceraian saya dan bekas suami kerana tiada persefahaman lagi. Bukan kerana orang ketiga dan sebagainya. Ketika itu, papa kata, dia tak mahu masuk campur dan tak mahu hukum siapa salah, siapa betul. Ini masa depan saya dan paling penting kebahagiaan saya. Papa hendak lihat saya bahagia. Kalau tidak bahagia, tiada gunanya bertahan. Paling penting tanggungjawab terhadap anak-anak jangan diabaikan. Alhamdulillah saya kuat dan perlu segera move on.
“Apa pun sebagai anak, saya sangat terharu dan bangga dengan papa kerana berani mempertahankan maruah anaknya. Saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku kerana yakin Allah SWT akan memberikan yang lebih baik buat saya,” ungkap Serina yang bergilir-gilir menjaga anaknya bersama bekas suami. Serina tidak mahu anak-anak menjadi mangsa hanya kerana dia dan bekas suami sudah bercerai. Dalam hal ini, Serina sangat tegas dalam ada pendapatnya yang tersendiri.
Keputusan sudah diambil dann dipersetujui oleh kedua pihak dan masing-masing tidak mahu perpisahan mereka mengganggu emosi anak-anak. Mereka sepakat mencari jalan damai dan bersama-sama membesarkan anak-anak sebagai memenuhi tanggungjawab dan amanah Allah SWT.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sah sudah aktres Izara Aishah, 25, bergelar isteri kepada Muhammad Adib Dato’ Khalid, 27. Dengan sekali lafaz sahaja, Adib seakan memberitahu dunia bahawa Izara kini miliknya. Tidak ada lagi batasan dalam perhubungan apatah lagi halangan dalam melayari rumah tangga sama seperti pasangan suami-isteri lain.
Mengimbas semula majlis pernikahan pasangan selebriti ini, segala-galanya dibuat mengikut impian Izara sendiri. Majlis pernikahan yang dihadiri lebih 500 tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis dan sahabat handai itu telah diuruskan oleh Dato’ Rizalman. Majlis berlangsung di Mercu Mustapha Kamal yang terletak di Damansara.
Cara Adib Melayan Saya Sangat Istimewa
Walau ada pelbagai komen positif mahupun negatif yang diberikan oleh netizen terhadap veil yang dipakai oleh Izara, namun artis berdarah kacukan Melayu dan Pakistan ini tetap gembira dengan majlis yang penuh bersejarah dalam hidupnya itu.
Begitu juga dengan majlis resepsi yang dilakukan pada sebelah pengantin lelaki di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur yang diuruskan oleh Nas Great Ideas. Izara amat gembira kerana kedua-dua majlis dengan penuh jayanya.
“ I was beyond happy. Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan betapa gembiranya Izara dengan majlis yang telah berlangsung. Sehingga ke hari ini Izara tidak dapat melupakan majlis tersebut.
“Majlis resepsi keluarga Adib juga sangat hebat. Izara dan Adib amat seronok, begitu juga dengan semua tetamu yang hadir,”ujarnya yang bersyukur semua perancangan berjalan lancar.
Rahsia 99 Kuntum Bunga
Bagi yang mengikuti cerita percintaan dan Izara dan Adib, sudah pasti mengetahui betapa pasangan ini agak lama berkawan sebelum bercinta dan seterusnya bertunang dan mendirikan rumah tangga.
Memetik kata Muhammad Asyraf Khalid dalam resepsi yang telah berlangsung, abang dan kakak iparnya ini amat saling mencintai. Malah Asyraf juga bercerita bagaimana penglibatan pelakon Ummi Nazeera sebagai orang tengah yang mempertemukan Adib dan Izara.
Katanya lagi, Adib amat sukakan Izara. Pelbagai cara dilakukan bagi menarik hati wanita jelita itu. Adib pernah memberi 99 kuntum bunga kepadanya. Malah apa sahaja majlis yang dilakukan oleh syarikat mereka, Izara sudah pasti akan dijemput. Malangnya Izara sentiasa sibuk dan tidak dapat menghadirinya.
Namun Adib tidak mudah putus asa memikat Izara. Akhirnya cair juga hati wanita jelita ini. Boleh dikatakan selepas Izara dan Adib mengakui mereka bercinta, ketika itu jugalah masyarakat dan peminat akan dapat melihat Adib akan menemani Izara pada majlis-majlis tertentu.
Akui Izara yang dihubungi selepas beberapa hari bergelar isteri, sepanjang dia menjalin hubungan dengan anak tiri Dato’ Seri Siti Nurhaliza ini, tidak ada sebarang cabaran besar yang dihadapi.
Cabaran Dalam Hubungan
“Tiada cabaran semua berjalan lancar, Alhamdulillah syukur dengan usaha yang Izara berikan dan doa serta selawat yang tidak berhenti-henti dari mulut Izara.”
Akhirnya setelah tiga tahun menyulam cinta, Adib mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan Izara pada bulan Julai 2017. Tarikh 17 November 2017 dipilih sebagai tarikh keduanya disatukan.
Apa istimewanya Adib di mata Izara? Sudah pasti itu pertanyaan yang sering ditanya kepada pelakon J Revolusi ini.
“ He is very loving man, family man, sangat positif. Tidak pernah cakap buruk pasal orang. Respectful to everyone, bertanggungjawab dan cara dia jaga Izara itu yang memikat hati Izara.
“Izara mengharapkan perkahwinan dan perhubungan dengan suami akan kekal loving till Jannah. Doakan kami. Kini cabaran yang Izara rasa akan dihadapi setelah bergelar suami-isteri adalah dari segi memberi keseimbangan antara karier, suami dan keluarga,”ujarnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hari Raya Aidiladha sememangnya mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.
Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban, yang hanya boleh dilakukan dalam tempoh empat hari, bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.
Sempena dengan sambutan Aidiladha, Mingguan Wanita berkesempatan bekerjasama dengan keluarga popular Rozita Che Wan, 45, dan anak-anaknya, Ammar Effendy, 22, Aniq Ezzra, 20, dan Aaisyah Dhia Rana, 3, bagi menghiasi ruangan muka depan.
Pengertian Aidiladha
Bila ditanya tentang pengertian Aidiladha pada dirinya, isteri kesayangan kepada Zain Saidin ini menjelaskan, “ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik Muslim itu untuk bersikap dermawan. Daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin. Pada saya, Aidiladha juga sambutannya lebih pengertiannya kepada mereka yang melakukan ibadah haji. Di Kuala Lumpur jika ada rezeki lebih, rasanya lebih afdal jika kita berkorban,” terang Che Ta membuka bicara.
Disambut Secara Sederhana
Che Ta juga berkongsi, berbeza dengan sambutan Aidilfitri, hari raya haji disambut secara sederhana. Malah mereka sekeluarga juga tidak pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, sebaliknya lebih selesa beraya di ibu kota kerana cuti yang singkat.
“Tahun ini kami sekeluarga akan sambut Aidiladha di KL saja. Tahun lepas kami beraya di Seremban, di rumah adik saya, Ayu Raudhah. Sememangnya sejak saya duduk di ibu kota dan semasa zaman bekerja sebagai pramugari dulu memang bila raya haji saya akan bekerja. Selepas beralih ke dunia lakonan pula, biasanya kami cuma diberi cuti sehari saja, jadi memang tak sempat nak pulang berhari raya di kampung. Sekarang ini, memandangkan saya, suami dan anak-anak juga mempunyai banyak komitmen jadi kami memilih beraya di sini saja,” terang Che Ta lagi.
Diusik tentang baju yang bakal digayakan pada hari raya haji ini, Che Ta menerangkan 20 pasang baju baru yang ditempah sewaktu Aidilfitri masih ada dan belum digayakan.
“Saya tempah baju raya puasa 20 pasang baru, tapi yang telah dipakai hanya 11 pasang, jadi ada lagi yang boleh digayakan pada hari raya haji. Selebihnya saya akan pakai untuk menghadiri majlis perkahwinan atau majlis-majlis yang bersesuaian. Kiranya 20 pasang itu boleh digayakan untuk setahun.
“Biasanya pada pagi raya, kami sekeluarga akan makan bersama keluarga. Biasanya saya akan tempah ketupat palas yang sememangnya menjadi kegemaran kami. Selain itu nasi impit dan kuah kacang hidangan yang akan disajikan,” kongsi artis cantik berkenaan sambutan pada pagi Aidiladha yang sering diamalkan oleh dia sekeluarga.
Simpan Impian Tunai Haji
Memandangkan Che Ta dan suaminya sudah acap kali menunaikan ibadah umrah, ditanya tidakkah dia teringin untuk menunaikan ibadah haji pula? Che Ta terus tersenyum sambil berkata;
“Ya Allah, memang saya selalu cakap dengan Zain, “sayang doakan kita dapat tunaikan haji tahun depan ya”. Saya sememangnya berharap dan simpan impian jika ada rezeki mahu menunaikan haji tahun depan.”
“Perasaan bila berada di Mekah memang lain. Bila kita berada di sana, kita dapat merapatkan diri dengan Allah SWT. Malah saya juga gemar berkongsi perkara yang baik di Instagram. Baru-baru ini saya ada kongsi tentang hadis awalkan waktu solat dan saya mendapat respons yang cukup baik, ada yang berkata bila baca hadis yang saya kongsikan dia terus bangun tunaikan solat.
“Sememangnya kadangkala saya terfikir bila ada instagram akan jadi riak. Kadang tu saya terfikir jika tak ada perniagaan memang tak nak ada instagram. Namun dengan kongsikan ilmu yang baik. Alhamdulillah dapat juga saya berikan sesuatu yang positif pada masyarakat,” ujarnya.
Tak Pernah Penat Dalam Berfesyen
Usianya yang kini sudah mencecah 45 tahun namun Che Ta masih berjaya kekalkan tubuh badan yang cantik. Ditanya tidakkan dia terbeban dengan fesyen yang digayakan, Che Ta akui kunci utama dalam berfesyen perlulah menjaga badan.
“Saya gayakan baju mengikut kesesuaian bentuk badan. Kalau nak berfesyen tak terbatas pada umur seseorang itu. Kalau nak berfesyen berapa umur bukan satu masalah. Cuma kalau tak jaga badan tiba-tiba nak berfesyen sakan memang tak sesuai.
“Malah ada yang cakap terbeban bila kita suka berfesyen. Saya sendiri tidak menggayakan baju yang majal. Tak semestinya baju mahal akan nampak cantik. Untuk kelihatan cantik tak perlu barang mahal,” ujar Che Ta yang cuma bersiap selama sejam untuk menghadiri majlis formal atau sesi fotografi.
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Che Ta dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru Isu Ogos, Volume 2 ini. Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
TEKS: NORHAYATI SUBOH
FOTO: TM AZMAN
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Air mata terakhir Zara Qairina, bersumpah & nafi mencuri sebelum temui ajal. Inkues kematian pelajar, Zara Qairina membuka kisah memilukan apabila arwah dilaporkan menitiskan...