Dapat 6A Dalam SPM. Meloloskan diri ke menara gading bukanlah perkara mudah. Wanita ini berkongsi tentang dirinya yang mendapat keputusan agak bagus namun ditolak beberapa institusi pengajian untuk menyambung pelajaran.
Pada awalnya seperti mana dikongsi Nursyafiqah Roslan menerusi akaun Facebooknya, akui dirinya agak sedih kerana tidak berjaya menyambung pelajaran. Namun jangan cepat mengalah dan rezeki untuk menyambung pelajaran pasti ada cuma hadir cepat atau lambat.
“Untuk adik-adik yang baru dapat keputusan SPM, mesti sedang fikir mahu sambung belajar di mana kan? Hari ini saya mahu cerita satu kisah tentang diri saya yang DITOLAK oleh IPG, UiTM dan Politeknik.
Tahun 2014. Saya dapat 6A dalam SPM. Saya pun mohon UPU untuk mendapat ‘tempat’ di mana-mana IPTA. Sebelum itu, saya sudah hadir temuduga IPG tetapi gagal di peringkat ujian fizikal.
Bila dapat tahu saya gagal IPG, saya sedih. Tapi saya teruskan usaha untuk dapatkan UiTM. Pada hari keputusan UPU diumumkan, sekali lagi saya terkejut sebab saya langsung tidak ditempatkan di mana-mana IPTA.
Saya buat rayuan. Tapi keputusan tetap sama, saya gagal. Saya pun pergi ke UiTM untuk berjumpa dengan pihak pengurusan. Selepas berbincang, pihak UiTM tetap dengan keputusan mereka untuk menolak saya.
Disebabkan jarak UiTM dengan Politeknik dekat, saya pun singgah ke Politeknik untuk membuat permohonan kemasukan bagi program diploma. Selepas berbincang dengan pihak di sana, keputusannya hampa. Tidak ada tempat kosong untuk saya.
Waktu menuruni tangga Politeknik, hati saya hancur berkecai. Rasa seperti sudah GAGAL dalam hidup. Gugur jugalah air mata, sebab semangat untuk sambung belajar itu sangat kuat.
Dalam kehampaan itu, saya tiba-tiba teringat pelawaan melanjutkan pelajaran ke peringkat STPM yang saya terima beberapa bulan lalu. Ya, pelawaan yang saya tolak mentah-mentah sejak hari pertama lagi.
Saya nampak ada sinar di situ. Saya pun cepat-cepat pergi ke pejabat pendidikan daerah. Saya merayu supaya saya dimasukkan semula ke dalam tingkatan 6. Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan. Sekejap sahaja, urusan selesai.
Saya akhirnya diterima masuk ke tingkatan 6 (STPM) di Pusat Prauniversiti SMK Putatan. Bayangkan, selepas SEBULAN sesi persekolahan bermula; barulah saya tiba-tiba muncul di hadapan sekolah.
Syukur alhamdulillah. Pihak sekolah pada ketika itu (Cikgu Suhaibul) menyantuni saya dengan baik. Saya dimasukkan ke aliran sastera dan menerima banyak rakan baru di sana. Saya tidak pernah menyangka, tingkatan 6 sangat menyeronokkan!
Kesudahannya; selepas 1 tahun setengah menimba ilmu di sekolah itu, saya pun menerima keputusan STPM pada tahun 2017. Saya menjadi antara 10 pelajar paling cemerlang pada ketika itu dengan pencapaian STPM 3.67!
Berkat usaha dan doa daripada orang sekeliling, saya akhirnya merasa duduk di dalam kampus bernama Universiti Malaysia Sabah. Selama tiga (3) tahun saya menimba ilmu di situ bersama barisan pensyarah yang hebat-hebat.
Tahun 2020. Saya berjaya keluar dari kampus itu dengan segulung ijazah di tangan. Kini, saya sudah pun bekerja sebagai EDITOR BUKU sepenuh masa. Apa yang boleh saya kongsikan di sini, kita tidak selalu dapat apa yang kita harapkan. Tapi Allah SWT akan berikan apa yang terbaik untuk kita.
Baik di mata kita, belum tentu baik di mata Allah SWT. Kejayaan setiap orang itu tidak sama. Ada yang berjaya cepat, ada yang berjaya lambat. Apa yang pasti, semua orang akan berjaya dengan cara masing-masing, pada waktu yang dijanjikan Allah SWT,” kongsi Nursyafiqah Roslan lagi.
Nasihat Nursyafiqah Roslan lagi kejayaan seseorang itu tidak semestinya dalam bentuk pelajaran.
“Kejayaan itu tidak semestinya dalam bentuk pelajaran. Menjadi anak yang baik dan selalu mendoakan ibu bapa juga adalah satu bentuk kejayaan.
“Rajin bekerja dan berdikari juga adalah satu kejayaan. Tidak menganggur dan ada kerja tetap juga adalah satu kejayaan. Pada akhirnya, kita semua berjaya dengan cara kita,” ujar Nursyafiqah Roslan.
Baca Disini : Usahawan Wanita 36 Tahun Nekad Duduki SPM Demi Cita-cita Bergelar Doktor
Kuat sungguh dugaan bintang lagenda Uji Rashid ini. Walau sudah berusia namun amat tabah meneruskan kehidupan mencabar dalam menjaga anaknya Cico Harahap yang kurang sihat.
Macam mana nak meninggal dalam keadaan husnol khatimah jika tidak sentiasa berzikir, kata Datin Seri Umie Aida.