Sayu pagi ini apabila Wisma Putra mengesahkan remaja 17 tahun yang dilaporkan hilang. Muhammad Haziq Mohd Tarmizi telah meninggal dunia dalam tragedi solat Jumaat di Christchurch, New Zealand.
Ketika kejadian pada Jumaat lalu, Haziq menunaikan solat Jumaat di masjid Al Noor bersama ayahnya, Mohd Tarmizi Shuib, 42 dan adiknya, Mohd Haris, 12.
Bagaimana pun adiknya terselamat namun mengalami trauma. Bapanya pula ditembak ketika sedang bersujud. Mengakibatkan kecederaan di bahagian belakang badannya.
Selain Tarmizi, dua lagi rakyat Malaysia turut tercedera dalam serangan pengganas. Mereka adalah Rahimi Ahmad, 39 dari Kampung Binja, Bayan Lepas dan Muhammad Nazril Hisham Omar, 46 dari Shah Alam, Selangor. Tragedi berdarah ini juga mengorbankan 50 para syuhada yang lainnya.
Ads
Muhammad Haziq dalam bulatan.
Sumbangan Derma Untuk Keluarga Mangsa
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Menteri akan ke Christchurch. Sebagai mewakili kerajaan dalam memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan kejadian tragis ini.
Susulan dari berita ini, Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf, Datuk Husammudin Yaacob mengumumkan akan menyerahkan sumbangan Tabung #Sinar4NZMartyrs. Sejumlah kira-kira NZD30,000 kepada Datuk Seri Dr Mujahid di KLIA kira-kira jam 1 tengahari ini.
Ads
Tabung #Sinar4NZMartyrs merupakan inisiatif Sinar Harian/Karangkraf yang mengumpulkan derma daripada orang ramai. Bertujuan membantu keluarga dari Malaysia yang cedera dan keluarga Allahyarham Muhammad Haziq serta mangsa-mangsa yang lain.
“Ini adalah agihan pertama. Insya-Allah agihan selanjutnya akan dibuat dari masa ke semasa kerana derma masih diterima.” ujar Datuk Hussammudin.
Ads
Timbalan Pengerusi LP Karangkraf, Dato Md Nasir Hamzah yang mewakili Sinar Harian, akan menyerahkan sumbangan derma kepada DS Dr Mujahid sebelum beliau berangkat ke New Zealand tengahari ini.
Maklum ibu saudara allahyarham, Zarina Shuib, 53 wajah anak saudaranya kelihatan berseri-seri, tersenyum seperti sedang tidur.
Inilah yang disampaikan oleh adiknya, Mariani Shuib, 49 yang merupakan ibu Haziq dalam perbualan mereka pagi tadi.
Sekitar jam 8 pagi tadi, adiknya menghubungi maklumkan yang Haziq sudah tiada. Cuma belum ada pengesahan lanjut. Sejam selepas itu, dia dihubungi semula adiknya.
Kali ini, mengesahkan yang anak saudaranya itu telah pun meninggal dunia.
Menerusi perbualan itu, maklum adiknya, “Mereka semua dapat kucup Haziq sebelum dibawa ke kubur. Wajah Haziq berseri-seri, tersenyum seperti sedang tidur.”
Jenazah anak saudaranya itu dipercayai terkena dua tembakan di badan. Namun wajahnya tidak cedera malah kelihatan bersih.
“Keadaan jenazah tidak terjejas sedikit pun. Walaupun sudah meninggal dunia hampir seminggu.” Arwah juga meninggal dalam keadaan berwudhu ketika menunaikan solat.
“Kami sekeluarga sangat lega, akhirnya semua sudah selesai. Memanglah kami sangat sedih dengan ketiadaan Haziq. Tambahan pula dah lama tak jumpa Haziq.”
“Tapi kami bersyukur akhirnya dia ditemui.” Kongsinya malah memaklumkan adiknya itu dapat berbual dengan tenang saat menceritakan keadaan anak kedua yang terkorban.
Bagaimana pun, berita kematian Haziq masih belum diketahui oleh adiknya, Mohd Haris, 12 yang turut berada di dalam masjid ketika serangan pengganas.
Ibu saudaranya ini tak dapat membayangkan bagaimana kelak reaksi Haris sebaik mengetahui pemergian abangnya. Dia juga gagal bercakap dengan anak saudaranya itu.
Semasa berbual dengan Mariani, anak saudaranya seakan mengelak untuk berbual. “Dia pergi ke lain.” Sebaik telefon bimbit diberikan kepadanya. Ujarnya, Haris masih trauma.
Zarina juga memaklumkan mereka sekeluarga bercadang untuk mengadakan solat ghaib untuk arwah selain majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah bermula malam ini.
Dia bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia. Yang membantu dan memudahkan urusan adiknya, Mohd Tarmizi dan keluarga sepanjang menempuh dugaan di New Zealand.
Sumber/Foto : Mstar, Sinar Harian, Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sudah seminggu tragedi solat Jumaat menyelubungi emosi rakyat Malaysia. Sebagaimana anda sukar untuk memadamkan memori hitam yang terjadi di Masjid Al Noor dan Linwood di Christchurch, New Zealand.
Begitulah kuatnya tragedi berdarah yang terpahat di kotak ingatan salah seorang mangsa, Mohd Nazril Hisham Omar, 46. Selepas tiga hari, barulah trauma tak lagi bermain-main dengan perasaannya.
Hal ini dikhabarkan sendiri oleh isterinya, Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48 di dalam facebook miliknya pada 18 March lalu.
“Suami saya Hisham Omar memaklumkan kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan bekas-bekas pelajar bahawa beliau ok.”
Mingguan Wanita berpeluang menemubual Zurinawati yang ketika ini berada di New Zealand, di sisi suami yang masih dalam rawatan di hospital.
“Suami saya dah banyak berubah. Daripada saya mula sampai New Zealand, dia dah boleh duduk lama. Dekat 2 setengah jam atas kerusi.”
“Tak banyak gerak kerana kakinya masih bersimen. Kesan tembakan di jari kedua belah kaki.” Dalam kejadian tak berperikemanusiaan itu, Nazril ditembak pada jari-jemari kakinya dan bahagian belakang.
Membuatkan beliau terpaksa menjalani tiga kali pembedahan dalam tempoh 5 hari.
Kebimbangan terhadap kesihatan suami tak lagi secemas sebelumnya. Hari ini, akui Zurinawati, suaminya sudah minta makan. “Banyak dia makan. Ubat pun dah makan yang jenis pil. Tak banyak dah ikut tiub.”
“Alhamdulillah, tak seperti hari kedua operation. Mungkin masa itu, ubat bius masih kuat. Buat dia meracau.”
Sebelum ini, Nazril dilaporkan alami trauma dan meraung sebaik nampak pegawai polis yang lengkap bersenjata yang menjaga keselamatan mangsa di hospital. Ini kerana ketika serangan, pengganas kejam memakai pakaian seragam seolah-olah anggota polis.
“Pihak yang menjaga hopital pun tak lagi berpakaian lengkap dengan senjata api macam sebelum ini. Bila dia (suami) nampak senjata api. Itu yang buat dia ‘trigger’.”
“Mereka dah pakai macam biasa. Detektif pun dah ambil statement berkaitan kejadian itu.”
Begitu juga dengan kunci kereta, jam tangan malah barang peribadi yang menjadi bahan bukti jenayah juga sudah dipulangkan kepada Nazril.
Sepanjang menjaga suami di hospital, Zurinawati menyaksikan sendiri mangsa-mangsa lain ada yang masih dirawat dan perlu jalani pembedahan. Namun, dia tidak pasti bagaimana tahap keseriusan kecederaan mereka.
Mengimbas memori tragedi buat Zurinawati yang mendengar dari mulut suami, berasa gerun teramat. “Saya tak boleh bayangkan kalau dalam situasi itu.”
“Sebab benda itu menakutkan.”
Kata suami, “Ia bermula dengan bunyi seakan mercun. Letusan pertama yang buatkan semua orang terpinga-pinga. Kemudian, kedengaran bunyi yang lebih kuat.”
“Suami mulai panik dan bangun. Paling ke belakang, perasan ada jemaah lain yang sudah terkorban.”
Dia yang masih selamat berlari mahu mencari tempat berlindung. Sewaktu berlari itulah jari-jari kakinya ditembak.
Walau dah kena tembakan, dia gagahkan diri masih berlari. Ketika itulah, tubuhnya di sebelah kiri menjadi mangsa sasaran tembakan dari belakang. Dia rebah. “Sebenarnya, Allah masih lindungi lagi dirinya.”
Cerita isterinya, selepas suami terjatuh, tubuhnya dihempap timbunan mayat-mayat. Darah mayat terkorban yang menghempapnya mengalir masuk ke mata, mulut dan hidungnya.
“Dia juga nampak ada jemaah yang otaknya dah berkecai.” Derap kaki pengganas masih kuat kedengaran berjalan ke hulu ke hilir menembak para jemaah lain yang dirasakan berpura-pura mati.
Dalam ketakutan yang amat dahsyat itu dia cuma berfikir, “Bila gilirannya akan mati.”
Rupanya timbunan mayat yang menghempapnya itu, asbab untuknya terus hidup. “Itu yang sebabkan dia panjang umur.” Kongsi Zurinawati dengan Mingguan Wanita.
Pembunuhan kejam itu berlaku dalam tempoh yang singkat. Namun, Nazril merasakan situasinya terlalu lama.
“Sewaktu diangkat, pegawai yang menyelamatnya bertanyakan namanya. Itu cara untuk bagi dia sedar. Sebaik memberitahu nama, dia langsung tidak ingat apa-apa.”
Kejadian pembunuhan kejam ini yang disiarkan secara live, seakan permainan video game yang menjadi kegilaan anak-anak remaja malah dewasa masa kini.
Membuatkan pelayar media sosial ketika itu tidak sedar, mereka sedang menyaksikan satu video pembunuhan kejam umat Islam.
“Masa tembakan, ada yang ingatkan bukan pembunuhan. Malah ada yang kata, ‘shoot’ ‘shoot’. Ia macam video game. Di rumah, suami dah minta anak-anak musnahkan video game yang berbentuk keganasan.”
Dan inilah yang perlu mak ayah ambil tindakan pada anak-anak yang menjadikan video game sebegini sebagai satu kegilaan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
15 March 2019, Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48 berada jauh dari Malaysia. Ketika itu, dia mendapat berita suaminya, Mohd Nazril Hisham Omar, 46 ditembak ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor, Christchurch.
Debaran di hati usah cerita. Mahu saja dia terbang ke bumi kiwi, New Zealand secepatnya. Apakan daya, ketika itu dia berada di Thailand.
Nak tak nak, dia perlu berkejaran ke sempadan Bukit Kayu Hitam. Agar dia dapat masuk ke Malaysia dengan segera.
Perlu packing, cari tiket penerbangan dan terbang ke New Zealand bersama anak sulungnya, Muhammad Haiqal Daniel, 19 bagi mendapatkan suami yang ketika itu ditimpa musibah.
Berbelas jam perlu ditempuh untuknya sampai kepada suami yang ketika itu sedang terlantar di hospital.
“Masa kejadian itu, saya tak rasa marah. Lebih kepada panik, kalau jadi benda-benda di luar jangkaan yang akan berlaku. Tapi saya redha.”
“Hari itu, hari Jumaat dan suami saya dalam wudhu, di dalam masjid pula. Jika ditakdirkan ‘pergi’. Insya-Allah jannah untuknya.”
“Dan jika ditakdirkan tidak bertemunya, saya redha dan dah maafkan apa jua kesalahannya selama kami hidup bersama.” Itulah doanya sepanjang menantikan detik mahu bertemu suami.
Di dasar hati, sukar untuknya melihat wajah pengganas yang telah menembak suaminya. “Tapi siapa kita untuk benci dan marah orang. Apa yang Allah jadikan ini pasti ada hikmah. Dan ia berlaku sebab izin Allah.”
“Tanpa izinNya ia takkan berlaku.”
Perjalanan berbelas jam akhirnya menemukan isteri ini dengan suami yang telah pun terlantar di hospital dengan kesan tembakan pada jari jemari kaki serta bahagian belakang.
Sepanjang berada di sana, Zurinawati menghabiskan masa dari pagi hingga malam menemankan suami di hospital. Sekitar jam 9 malam baru dia akan sampai ke rumah.
Anak-anaknya pula meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Namun, kesan luka tembakan memberi impak kepada anak yang bongsu. Apabila si bongsu itu jadi takut untuk dekat dengan ayahnya. Takut dengan kesan darah yang ada pada tubuh ayah.
“Yang bongsu jadi rindu dekat ayahnya. Semalam (21hb) first time jumpa, dia menangis sampai tertidur.” Selepas enam hari barulah anak bongsu ini berpeluang bertemu ayah.
Di hospital, isteri ini menjadi peneman yang paling setia.
Ketika suami diganggu igauan ngeri, dia di sisi untuk menenangkan. Begitu juga ketika terpaksa menelan pil yang pahit, tangan isteri digenggam erat sebagai sokongan emosi dan kekuatan buat suami.
Zurinawati dan anak sulungnya ber’PJJ’ dengan suami dan anak-anak yang lain. Di Malaysia, dia meneruskan bakti menjadi Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Hatinya bebelah bagi saat ditebak soalan mahu berapa lama berada di New Zealand.
“Susah untuk saya jelaskan. Saya masih lagi pensyarah. Hakikatnya, saya perlu berada di sana (UiTM) untuk pelajar saya. Macam-macam kerja tapi keluarga saya perlukan saya.”
“Untuk saya berada di hospital ini dari pagi sampai ke malam. Ketika suami sakit, atau perlu menelan ubat yang pahit. Suami akan pegang saya.”
Sungguh kesan serangan pengganas di Christchurch turut memberi kesan kepada keluarga kecil ini. Di New Zealand, suaminya bekerja sambil menjaga tiga orang anaknya yang lain, Muhammad Hazieq Daniel, 13, dan Muhammad Hazriq Daniel, 9.
Zurinawati melihat kesan kecintaan masyarakat New Zealand dengan mana-mana keluarga mangsa. Ketika hari Mingguan Wanita menghubunginya, iaitu pada 22 March lalu, ini yang beliau maklumkan.
“Di sini suasananya kebanyakan kawasan masih ditimbuni bunga-bungaan. Kerana peristiwa itu masih baru.
“Di sekolah anak saya, masih ada kawan-kawan meletakkan bunga untuk mana-mana mangsa. Dan dua tiga hari ini, hampir semua orang yang saya jumpa akan memberi salam.”
“Kalau ada yang naik motor ke basikal, mereka akan berhenti. Kami sambung bersedih dan saling memberi kata semangat. Alhamdulillah saya tak lapar di sini.”
“Ada yang memasak malah tolong masakkan sepanjang masa. Sumbang duit pun ada.”
“Majikan suami malah sekolah anak saya tak putus bertanya khabar. Mereka akan minta tolong pelajar-pelajar di sini tolong hantarkan ke mana-mana. Sebab kita masih dalam kawasan masjid dan tak boleh keluar lagi.”
“Segalanya senang, macam berada di negara sendiri.”
Selama terlantar di hospital itu, Nazril mendapat kunjungan daripada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. “Sebelum ini, beliau melawat di tingkat bawah, tak berkesempatan naik sampai ke tingkat tiga.”
“Hari ini beliau naik ke atas dan kami sempat berjumpa. Sempatlah bergambar, berpeluk.”
“Dia sangat berkarisma, cantik dan hebat. Ketika berbual dengan suami saya, dia sebut ‘kalau lah boleh u-turn kan masa’. Prihatinnya dia sehingga jumpa seorang demi seorang. Bercakap, dan memang nampak wajah empatinya.”
Begitulah, sungguh kejadian tragis ini cukup menyayat hati umat Islam di seluruh dunia. Namun, hikmahnya cukup besar buat umat Islam sejagat.
Islam mula diterima di bumi New Zealand. Ramai yang mengucapkan kalimah syahadah. Bersatunya hati masyarakat muslim dan non muslim yang sangat hebat berlaku di bumi kiwi itu.