
Da’i Syed Kekal bersalah kes rogol & dihantar ke penjara, isteri serah kepada Allah dan peguam. Pendakwah selebriti, Da’i Syed dihantar ke penjara hari ini selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita pada tujuh tahun lalu.
Dalam pada itu, isterinya, Hana Ismail, 40, dilihat kekal tenang dan memaklumkan dia menyerahkan segala-galanya kepada Allah selepas keputusan itu diumumkan.
“Saya serahkan semuanya kepada Allah dan juga peguam. Saat ditebak bagaimana keadaan anak-anak serta kebajikan dua anak mereka, dirinya turut membalas, dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah taala.
“Insya-Allah… semua Allah akan uruskan. Saya serahkan semua kepada Allah dan peguam. Insya-Allah… kita tawakal,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah hari ini.
Terdahulu, di galeri mahkamah, Hana dilihat memeluk suaminya itu berulang kali selepas permohonan bagi penangguhan hukuman dibuat barisan peguam Da’i Syed ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid.
Keputusan itu menyaksikan Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31, terus dihantar ke penjara serta-merta sebaik prosiding mahkamah berakhir. Sehubungan itu, hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang diputuskan sebelum ini dikekalkan.

Syed tiba di mahkamah ditemani ibu (kiri) dan isteri
“Setelah meneliti keseluruhan hujahan serta rekod perbicaraan, mahkamah mendapati tiada kekhilafan dalam keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen.
“Hukuman adalah munasabah dan setimpal dengan kesalahan dilakukan. Oleh itu, hukuman dikekalkan dan berkuat kuasa bermula hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, Syed diwakili peguam bela, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, memohon agar hukuman ditangguhkan atas alasan isteri tertuduh baru sahaja tiga bulan bersalin dan anak mereka masih kecil.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman, mewakili pihak pendakwaan, berpendapat bahawa alasan yang dikemukakan perayu tidak kukuh untuk menangguhkan hukuman.
Mahkamah tidak membenarkan penggantungan hukuman kerana kesalahan yang dilakukan amat serius dan memberi impak besar kepada mangsa.
Sementara itu, Syed dilihat menangis ketika berada di kandang tertuduh sebaik sahaja keputusan mahkamah dibacakan. Kredit:- Harian Metro.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




