Jam menghampiri waktu maghrib, tapi anak sekolah lengkap berbaju uniform itu masih lagi setia menanti kedatangan bapa di pagar sekolah. Resah anak kecil ini jangan ceritalah, kalau tak kental mahu berjuraian air mata.
Untungnya, anak ini masih selamat di bawah jagaan pengawal yang kemudian mengadukan halnya pada guru yang ditemuinya sekolah itu. Sungguhpun kejadian yang berlaku ini sudah berlalu 10 tahun lamanya, Firdauz Abdullah(kini Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas) tetap mengingatinya.
Kerana rentetan daripada kisah itu, anak sekolah tadi mempelajari satu teladan. Dan guru ini pun mendapat panduan yang bermakna dalam menyantuni mana-mana anak-anak muridnya di sekolah.
Keluarga Firdauz Abdullah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas
Aduh! Macam Mana Boleh Bapa Tak Ambil Lagi Ni..
Cerita di bulan puasa 10 tahun yang lepas,
Aku masih bujang, dan kecewa cinta. Maka, aku tak ambil kisah sangat bab berbuka dimana atau berbuka dengan siapa.
Macam biasa, aku berbuka di sekolah je. Apa yang ada itulah yang aku makan. Kadang-kadang biskut dengan air masak, kadang-kadang roti dengan susu.
Cuma sekali tu, teringin nak makan ayam percik. Sebelah sekolah ni, ada lah bazar Ramadan. Tak besar mana, tapi adalah dalam 10 gerai.
Aku start motor dan terus nak menuju ke sana, tapi sampai sahaja aku ke pintu pagar sekolah. Sarjan tahan aku, oh ya Sarjan ni panggilan hormat kami pada Pak Noh, pengawal keselamatan kami.
Ads
“Cikgu! Ni ha, ada seorang budak tak balik lagi. Bapa dia tak ambil lagi, dah nak dekat berbuka ni,” terang Sarjan.
Aduh! Macam mana boleh bapa dia tak ambil lagi ni? Dah nak jam 7, magrib pun tak lama lagi.
Saya Telefon Ayah, Masuk Voice Mail
“Amirul, ayah awak biasa ambil jam berapa?”, soal aku pada sesusuk tubuh yang tunduk segan-segan dipondok menunggu.
“Selalu lewat, tapi taklah lewat macam ni. Ayah ambil mak dulu kot cikgu”, jelas Amirul.
“Oklah, macam ni. Kita cuba telefon ayah awak dulu.”
Ads
“Saya dah cuba telefon cikgu, tak dapat. Masuk voice mail,” sampuk Sarjan lagi sambil tunjukkan rekod panggilan yang telah dibuat kepada ku.
“Hmmm.. meh ikut cikgu pergi bazar. Kita beli juadah berbuka sementara menunggu ayah awak sampai. Mungkin telefon dia habis baterilah kot.“
Tanpa berlengah, aku bawa Amirul ke bazar. Pilih yang mana berkenan dan bayar. Kami belikan sekali Sarjan juadah berbuka, walaupun tahu dia dah siap-siap bawa bekal dari rumah.
Ads
Sekeras Mana Pun Hati Anak, Bila Diberi Kasih Sayang, Tuhan Balikkan Hati Mereka
Hari tu, kami bertiga berbuka di pondok menunggu bas. Sambil makan, sambil gelak-gelak mendengar lawak hambar aku dan Sarjan. Amirul cuma tersenggeh-senggeh mendengar apa yang dibualkan kami.
Tak lama lepas berbuka dan selesai solat magrib, barulah ayah Amirul tiba. Dia minta maaf sangat-sangat sebab lambat ambil anaknya itu. Katanya, dia masuk ke Singapura menghantar penumpang. Sesak bila nak masuk balik ke Johor. Oh, baru aku teringat yang ayah Amirul ni bekerja sebagai pemandu teksi.
Sejak dari hari tu, Amirul ni jadi segan dengan aku. Tak pandai melawan atau berani tak siapkan kerja Bahasa Inggeris yang aku beri dalam kelas.
Kau nampak kan? Walau sekeras-keras mana hati anak-anak ni. Bila diberi kasih dan sayang, bila dititip kata-kata yang lembut, Tuhan akan balikkan hati mereka.
Apa yang aku buat dahulu dan akan teruskan, adalah demi anak-anak aku. Semoga Tuhan kurniakan insan-insan yang boleh mendidik dan menjaga anak-anak aku, sama ada tika aku masih bernyawa atau pergi menemui Pencipta nanti.
Salam Ramadan, dan Terima kasih cikgu!
Nota top image : Matiin dan rakan sekelas bersama-sama cikgunya.
Dalam perkahwinan kena ada rasa kepercayaan, baik dalam hubungan suami isteri mahupun keluarga mertua. Perkahwinan juga, bukan bertujuan ‘menjual’ anak untuk mendapat ‘keuntungan’ duit mas kahwin mahupun hantaran. Sebagai mak ayah seharusnya ikhlaskan niat dihati dalam mengahwinkan anak agar kebahagiaan anak itu mampu bertahan selama-lamanya.
Perkahwinan satu pasangan di Dubai hanya mampu bertahan selama 15 minit sahaja apabila pengantin lelaki menceraikan isterinya gara-gara bengang dengan sikap bapa mentua yang tidak sabar meminta wang mas kahwin.
Lelaki terbabit sudah bersetuju untuk menyerahkan wang sebanyak 100,000 dirham (RM108,381) kepada bapa mentuanya. Perkahwinan turut disaksikan keluarga dan rakan mereka yang hadir ke pejabat Hakim Syarie.
Pengantin lelaki telah menyerahkan separuh daripada jumlah wang berkenaan pada masa itu, dan selebihnya akan diberi selepas meninggalkan bangunan, lapor Gulf News. Pengantin lelaki meminta bapa mertuanya agar menunggu selama 5 minit, agar dia boleh mengambil baki duit mas kahwin tersebut didalam kereta.
Bagaimanapun, bapa mentuanya berkeras meminta wang selebihnya dengan segera menyebabkan lelaki berkenaan berasa terhina dan menganggap tindakan tersebut seperti hilang percaya dengan dirinya, sebelum mengambil keputusan membatalkan perkahwinan mereka, kata peguam yang mengendalikan kes itu.
“Dia memberitahu bapa mentuanya bahawa dia tidak lagi mahu memperisterikan anaknya dan menceraikan wanita itu kurang 15 minit selepas menandatangani kontrak perkahwinan,” kata peguam itu.
Ujian demi ujian menimpa adakala mendewasakan diri untuk merubah menjadi lebih baik.Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya, menjadikan diri ‘insan terpilih’ agar lebih cekal, redha serta membina kekuatan dalam diri.Kasih sayang dan ikatan hubungan adik beradik berkongsi rahim daripada ibu yang sama, bagaikan air dicincang yang takkan putus.
Namun adakalanya, keterbatasan waktu dan kesibukan komitmen menguruskan keluarga dan kerjaya, menjarakkan hubungan dalam meluangkan masa bersama-sama.Sehinggalah ujian menimpa, hikmahnya ikatan adik beradik ini bertambah rapat, saling memerlukan dan menjadi penguat semangat.
Coretan oleh wanita cekal ini, Puan Azila Mahmood yang ketika ini sedang berhadapan dengan dugaan, apabila abang kandung sendiri, Khairul Annuar Mahmood,38 baru sebulan lebih disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4, semoga membuka mata kita agar menerima setiap ujian dengan berlapang dada serta pentingnya menjaga ikatan kekeluargaan dan hubungan adik beradik.
Wahai abangku yang berkongsi rahim ibu yang sama denganku.Kita kini dilanda ujian yang sangat hebat.Satu keluarga yang sebelum ini penuh gelak ketawa kini menahan air mata. Allahu… berat ujian mu Ya Allah..
Kita perlu kuat abang. Kerana dugaan yang hebat adalah untuk manusia yang hebat. Jadi orang hebat itu adalah kita sendiri. Barangkali ujian yang kita hadapi ini ialah peringatanNYA untuk kita yang sebelum ini hidup keluarga ini tidak cukup bersatu.Berkumpul sekeluarga hanya pada hari raya dan jarang sekali bertanya khabar akibat sibuk dengan kerja masing-masing.
Kini dengan hikmah dugaan ini, keluarga kita kembali bersatu dan saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kita berkumpul semula untuk memberi sokongan pada abang.
Allahuakbar. Allah Maha Besar.
Wahai abang, adik tahu walaupun berat dugaan ini buat adik, tapi berat lagi bahu abang yang memikul. Berat lagi abang yang bertarung dan berlawan dengan penyakit abang. Alhamdulilah kita semua redha dengan dugaan Allah ini. Kita sama-sama perbetulkan kesilapan kita.
Namun adik tahu abang akan sembuh. Abang hanya perlu kuat, bertahan dan lawan! Semangat abang akan bertambah kuat dengan sokongan keluarga yang tak berbelah bahagi untuk abang.
Terus lawan abang.Kami percayakan abang.Kami semua terlalu sayangkan abang dan kami akan sentiasa disisi abang.Dugaan ini tidak melemahkan kita abang.Tapi membuatkan kita menjadi lebih kuat untuk berjuang. Teruskan berjuang wahai abang. Satu-satunya anak lelaki mama abah dan satu-satunya abang buat kami.
Lawan abang! Banyak perkara lagi yang adik nak lakukan bersama sama abang. Kalau ada rezeki dan izin Allah, kita tunaikan umrah sama sama tahun ini ya. Abanglah pahlawan kami. Kami yakin dengan abang.And we love you so much.
6 tahun lepas, aku diuji dengan ketiadaan zuriat. Berkahwin selama 4 tahun tanpa anak. Allah saja tahu betapa sedihnya aku.Aku seorang manusia yang sangat sukakan kanak-kanak dan pada ketika itu hanya menumpang kasih pada anak-anak saudara. Bila mendengar perkhabaran rakan rakan mendapat anak, aku gembira tapi hati aku meraung. Sebab aku juga mahukan zuriat sendiri.Ya Allah.. aku ingin anak.. ini la rintihan hatiku hari-hari.
Sampailah aku memilih untuk redha sambil berusaha. Namun akhirnya Allah anugerahkan aku zuriat pada tahun ke 4 usia perkahwinan ku. Syukur Alhamdulilah. Ganjaran yang terindah dalam hidup aku. Aku kini punya zuriat yang dapat aku curahkan segala kasih dan sayang aku. Aku bahagia melihat keceriaan suamiku dengan zuriat kami sendiri.
3 tahun lepas pula aku diuji pula dengan kesempitan hidup. Perniagaanku gagal. Setiap kali susu dan pampers anak hampir habis, aku gelisah memikirkan mahu dapat duit dari mana untuk beli.Aku sangat teruji apabila setiap hujung bulan aku taktau mana lagi nak korek duit untuk bayar sewa rumah. Terpaksa tebalkan muka mengharap belas ehsan bapa mertua.Kadang aku teringin makan ayam. Lalu aku ke Tesco beli kaki dan tengkuk ayam. Itu lebih murah dan boleh dapat lebih banyak.
Aku sudah cukup teruji apabila tak mampu membayar roadtax kereta selama 2 tahun. Pergi mana mana pun sentiasa berlari dari polis atau JPJ. Cermin kereta retak dengan cat yang pudar juga selama 2 tahun. Air cond kereta tak berfungsi berbulan-bulan sampaikan anak ku Aisyah yang masih bayi demam panas kerana naik kereta tanpa air cond ketika musim el nino.
Kedengaran macam tak logik. Seorang yang bernama Azila Mahmood pernah mengalami kesusahan sampai tahap itu. Ya, aku pernah merasainya.Setiap memori itu terpahat dalam ingatan ku sebagai semangat aku pada hari ini.
Syukur alhamdulilah. Beberapa tahun aku teruji dengan kesempitan hidup, kini Allah beri aku kesenangan.Aku punya kereta yang lebih besar dari dulu. Aku mampu beli apa yang aku mahu dan wang sudah tidak menjadi masalah lagi. Keperluan cukup dan kehendak selalunya mampu dipenuhi.Aku juga mampu menghantar ibu bapa ku mengerjakan umrah. Pencapaian yang sangat bermakna dalam hidupku. Alhamdulilah..
Aku kira, hidupku sudah dasyat diuji sebelum ini. Namun aku silap. Hidup di dunia tidak akan sentiasa menyenangkan.Kadang kita dapat semua yang kita suka dan kadang kita takkan dapat lari dari ujian yang Allah akan bagi kerana Allah mahu menguji sekuat mana iman kita.
“Firman Allah, sungguh kami telah menguji orang orang sebelum mereka. Dan Allah pasti mengetahui orang orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta (Al Ankabut:3)
Diumur 32 tahun, aku ketemu ujian baru.Ujian yang tak pernah aku bayangkan.Dalam keghairahan aku mengusahakan perniagaan, aku mendapat perkhabaran yang abang aku mendapat kanser.
Apa kanser? Ya, kanser. berderau darah aku bila dapat tahu. Satu penyakit yang semua orang takut.Kanser paru paru stage 4. Kanser itu hampir sebesar paru-paru abang aku sebelah kanan dan kanser itu dah merebak dan memakan tulang tengkuk abang aku.
Allahuakbar… ujian yang sangat hebat untuk aku. Separuh jiwa aku lemah.
Walaupun kita jarang berjumpa tapi sekurang-kurangnya abang aku ada. Jadi aku tak perlu risau.Aku lihat wajah anak-anak buahku yang masih kecil. Aku lihat wajah kakak iparku yang lemah. Aku seolah tak dapat menerima kenyataan.
Kenapa ini berlaku dalam keluarga aku?
Abang sentiasa sihat.
Abang aktif dan ceria.
Kenapa tiba tiba abang sakit? Soal aku dalam hati.Aku murung dan sentiasa menangis.
Suami memeluk aku lalu bersuara.
“Siapalah kita untuk menolak takdir. Ini bukan kerja kita. Ini semua kerja Allah. Banyak berdoa padaNYA. Pandanglah hikmah disebalik semua dugaan ini.”
Barangkali aku lupa. Allah adalah sebaik-baik perancang.Lalu aku mula redha dan membina kekuatan dalam diri. Kalau aku lemah, bagaimana pula abang aku yang menanggung? Abang perlukan kekuatan dari aku. Jadi aku perlu kuat!
Wahai abang, aku takkan mampu memahamimu walau aku cuba. Kerana aku tak pernah merasai berada di tempatmu.Namun aku berjanji, aku takkan pernah meninggalkanmu mengharungi semua dugaan ini. Aku akan sentiasa menemanimu.
Kini aku mula faham. Bila kita rasa ujian kita dah sangat besar, masih ada orang yang lebih teruk ujiannya dari kita.Apalah sangat ujian kesempitan hidup aku dulu kalau nak dibandingkan dengan ujian yang abang aku tanggung ketika ini. Menjadi dewasa bukanlah mudah sebenarnya. Ini ayat yang aku selalu ulang apabila menghadapi ujian-ujian besar.
Kerana aku juga masih cuba memahami erti kehidupan yang sebenar.Part paling last adalah kembali kepada fitrah. Dimana kita tiada kuasa untuk mengubah apa saja yang telah Allah rancangkan. Aku mula melihat hikmah-hikmah besar disetiap dugaan dan musibah.Aku redha dan abang yon juga redha.
Namun perkataan give up takkan ada dalam fikiran aku. Aku akan berusaha yang terbaik untuk abang yon.Dan aku pasti. Abang Yon juga takkan pernah mengalah.
Buat para pembaca yang sedang berhadapan dengan ujian semoga terus cekal dan kuat menghadapi dugaan yang menimpa. Pasti ada hikmahnya yang tersendiri serta ada sebab kita yang ‘terpilih’ menghadapi ujian ini.
Di sebalik berita-cerita panas mengundang resah gelisah masyarakat netizen; dari kisah YB Nurul Izzah Anwar dengan teguran tudungnya, tragedi pembunuhan pelajar perempuan Nur Alya Damia sampailah cerita pilu anak perempuan 10 tahun tercemar emosinya. Ada ikhtibar yang perlu kita semua ambil peduli.
Membaca teguran Bapa Viral Kebangsaan, Khairul Hakimin Muhammadmembuatkan kita tersedar akan sesuatu. Bukan semata-mata mahu menuding jari salah siapa. Tapi lihat jauh ke dasarnya. Puncanya.. semua ini bermula dari mana.
Saya masih belum move on dengan pemergian Nur Alya. Kisah cinta yang akhirnya meragut nyawa seorang pelajar yang membawa kepada banyaknya perbincangan besar di media sosial.
Saling salah menyalah. Saling tengkar bertengkar. Sedang ianya asyik tersebar, lalu pula video panggilan Azrul yang menegur YB Nurul Izzah tentang tudungnya. Berkait terus hal baju dalam dan yang seangkatan dengannya.
Sedang mahu menulis status ini, datang pula berita menggemparkan di Bandar Baru Bangi tentang seorang pemandu van sekolah berumur 47 tahun memaksa kanak-kanak berumur 10 tahun melakukan oral seks di dalam van dan diugut dengan berbagai ketakutan.
Hari ini, kita lebih suka berbincang dari berbuat. Pumpang sana, pumpang sini. Perempuan kata lelaki kena tundukkan pandangan, lelaki pula kata perempuan perlu memakai pakaian yang menutup aurat. Lalu hebahlah serata, berperang mana hak mana yang hebat. Lalu masing-masing rugi.
Nur Alya, Nurul Izzah dan adik berumur 10 tahun itu adalah mangsa kepada lelaki. Jadi lelaki menjadi pesalah besar dalam hal begini.
Namun, di sebalik besar dan hebatnya lelaki itu, ia dilahirkan oleh seorang wanita. Yang mana kaum yang diperlakukan secara jahat itu adalah yang sama jenis dengan ibunya sendiri.
Negara tenat dengan masalah ekonomi. Masyarakat tenat dengan hal moral, sekolah tenat dengan masalah guru dan pelajar dan keluarga penat dengan hal anak-anak yang tidak terdidik, terbiar dan akhirnya menjadi binatang yang terpelajar.
Minggu lalu, kami ada bersembang tentang nak siapkan buku tentang ibu muda yang pernah diganggu hidupnya secara seksual. Lalu melahirkan anak. Bagaimana mereka ini cekal dalam hidup dan terus bangun melawan jahatnya manusia yang ada di sisi mereka.
Kawan kami, sepupunya sendiri pernah jadi mangsa. Ianya bermula dari rumah yang dipenuhi dengan celupar ibu bapa sampai kerap mencarut, kemudian banyaknya gadget tak terkawal.
Berkawan dengan sesiapapun hingga ibu bapa biarkan sahaja. Nak balik, balik. Tak mahu, sudah. Janji hidup dan tak ganggu kehidupan ibu ayah yang sibuk bekerja.
Balik kampung beraya, merogol sepupu sendiri. Dan si perempuan sudah pun selamat melahirkan anaknya. Yang lelaki sudah pun selamat di penjara kerana yang perempuan masih di bawah umur.
Keluarga berpecah. Bergaduh tak sudah. Dan ia merosakkan keseluruhan institusi itu sendiri. Lalu saling salah menyalah. Ayah, salahkan ibu yang tak reti mendidik anak. Ibu marahkan ayah yang tak bertegas dengan anak. Jiran membenci, keluarga sendiri memusuhi. Apa lagi kawan sekerja dan yang lain mengenali. Semua berundur terus. Itu keturunan jahat dan kena jauhi.
Kawan-kawan anak seorang pun tak muncul. Dan paling sedih, apabila dibuka laptop dan telefon mamat ini, bersepah gambar lucah di banyaknya folder dan aps.
Barulah semua menggigil.
Ini adalah kerosakan institusi. Dari rumah, sekolah, kawan dan masyarakat, semuanya sepakat merosakkannya sama-sama.
Budaya tak boleh sibuk tepi kain orang ini sudah semakin tak boleh pakai. Kena tegas dan sentiasa ambil tahu.
Zaman internet semakin laju, setiap selak kain, setiap sehelai serta bidang ela, meter dan depa, kena prihatin dan peka.
Anak-anak adalah anugerah kita. Biar sekarang kita berperang jadi garang dan raksasa kepada anak-anak, didik sampai dia tahu, faham dan takut kepada kesalahan dan kesilapan, dan yang penting dia jadi orang dan tidak menghancurkan orang lain.
Penemuan mayat wanita dalam beg di sebuah rumah kosong di Pedas dipercayai berkaitan kehilangan Suri sejak 15 Disember. Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti identiti dan suspek terlibat.