
Chef Asma dedah alkohol digunakan dalam kek & pastri overseas, jangan teruja sampai lupa halal.
“Saya pergi belajar, kutip ilmu tapi saya tak sentuh makan pun semua ini sebab ada alkohol. Bila letak semua itu, kek bau dan rasa sedap.”
Itu perkongsian Chef Asma Nordin, chef berpengalaman lebih dekad dan cukup dikenali dalam bidang masakan dan pembuatan kuih ketika bercerita tentang pengalamannya menuntut ilmu kulinari di luar negara. Meskipun mengikuti apa yang diajar oleh tenaga pengajar, dirinya tidak akan menjamah hasil hidangan yang diketahui menggunakan alkohol.
Dalam masa sama, Chef Asma mengingatkan rakyat Malaysia yang gemar bercuti ke luar negara agar tidak terlalu leka menikmati kek dan pastri tanpa memeriksa bahan yang digunakan. Katanya, di Malaysia ada yang cukup berhati-hati menikmati kek dan pastri atau bakeri yang tidak mempunyai logo halal tetapi apabila berada di overseas, tiramisu, Black Forest, pavlova, fritters dan pelbagai pastri pula terus dinikmati tanpa menyemak sumber pembuatannya.
Berdasarkan pengalamannya belajar di luar negara, Chef Asma berkata pelbagai flavour dan alkohol digunakan dalam sesetengah pembuatan kek serta pastri untuk memberikan aroma dan rasa tertentu.
“Uolls pergi overseas, tengok kek, pastries bau sedap semuanya. Macam-macam flavour dan alcohol dimasukkan,” tulisnya.
Ketika belajar, Chef Asma tetap mengikuti apa yang diajar kerana menghormati chef atau ‘sifu’ yang menjadi tenaga pengajarnya. Namun apabila diminta merasa hidangan yang mengandungi alkohol, beliau tidak menelannya dan sekadar menghidu aroma.
Baginya, tujuan berada di sana adalah untuk mendapatkan ilmu dan memahami teknik yang diajar.
Apabila kembali mengajar pelajarnya sendiri, Chef Asma tidak menggunakan resipi tersebut bulat-bulat. Sebaliknya, bahan mengandungi alkohol akan ditukar kepada flavour atau alternatif yang halal.
Beliau turut menegaskan bahawa gelatin yang digunakan dalam kelasnya dipastikan halal.
Chef Asma turut mengingatkan pengguna supaya tidak terus menganggap sesuatu produk selamat dimakan hanya kerana mempunyai label vegan atau vegetarian.
Menurutnya, senarai bahan masih perlu diperiksa kerana ada produk yang mungkin menggunakan alkohol, liqueur atau flavour tertentu. Begitu juga dengan penggunaan vanilla flavour, vinegar dan krim dalam pencuci mulut yang menurutnya perlu diteliti terlebih dahulu.
“Walaupun produk itu kategori vegan atau vegetarian, kena perhati dan tengok bahan yang tertulis. Kadang-kadang ada juga alcohol atau liqueur dimasukkan ke dalam produk itu,” pesannya.
Beliau turut menyebut mengenai ABV (Alcohol By Volume) yang lazimnya tertera pada botol bagi menunjukkan kandungan alkohol mengikut isipadu.
Bagaimanapun, mengenai hukum serta peratusan alkohol yang dibenarkan dalam makanan, Chef Asma sendiri meminta orang ramai mendapatkan penjelasan daripada ustaz, ustazah atau pihak yang lebih arif.
Peringatan Chef Asma cukup mudah. Jika ketika berada di Malaysia kita begitu teliti mengenai status halal sesuatu makanan, sikap sama perlu diteruskan apabila melancong ke luar negara.
Jangan kerana kek kelihatan cantik, baunya harum atau sesuatu pencuci mulut sedang viral, kita terus menikmatinya tanpa mengetahui bahan yang digunakan.
Bagi Chef Asma sendiri, pengalaman belajar di luar negara tetap menjadi ilmu yang cukup berharga. Beliau mempelajari teknik dan resipi yang diajar, tetapi apabila tiba masanya menghasilkan makanan sendiri atau mengajar pelajar, bahan yang digunakan akan disesuaikan.
“Jangan risau, bila saya buat resipi semuanya saya akan tukar kepada bahan yang halal. Tak adanya saya follow bulat-bulat apa yang diajar.”
Jadi buat mereka yang suka menikmati kek dan pastri ketika bercuti ke luar negara, pesanan Chef Asma wajar dijadikan peringatan. Sebelum makan, periksa dahulu bahan yang digunakan. Jangan di Malaysia sibuk bertanya soal halal tetapi apabila sampai overseas semuanya terus dilupakan.