
Peti ais lama yang dah lebih 10 tahun akan pudar warnanya. Berkarat pun boleh dikesan terutama dekat bahagian pemegang. Cantikkan kembali peti ais lama yang masih elok fungsinya itu dengan wallpaper sticker.
Wallpaper sticker ini yang biasa dipasang di dinding rumah tu. Antara kegunaan lainnya boleh ditampal di peti sejuk malah kabinet. Ia tak meninggalkan kesan melekat apabila mahu ditanggalkan kelak.
Anda akan berhadapan masalah jika baru pertama kali memasangnya. Sebabnya, kalau tak dipasang dengan betul akan ada gelembung dan tak cantik permukaannya. Sebab itu kena belajar cara yang betul.
Bahan-bahan
Wallpaper Sticker yang anda boleh beli di kedai DIY
Span pembersih
Air dan sabun
Gunting/Pisa
Cara Betul Pasang Wallpaper Sticker
1. Bersihkan Permukaan Peti Ais
Semasa membeli wallpaper sticker pastikan anda beli yang mudah ditanggalkan. Bersihkan permukaan peti ais dengan span basah. Gunakan air sabun semasa mengelap. Sebab anda mungkin akan terpaksa menanggalkan semula (buat kali pertama, akan berhadapan masalah ini). Air sabun memudahkan kerja menanggal dan memelihara wallpaper dari rosak.
2. Ukur 2 Kali, Barulah Gunting
Kebanyakan wallpaper sticker ini datang dalam gulungan yang besar. Ukur saiz peti ais terlebih dahulu. Lebihkan 7 ke 8 inci daripada saiz lilitan tepi peti ais. Lebihan ini nanti bolehlah anda nak kelim ke tepi atau potong. Sebaiknya ukur dua kali agar tak tersilap.
Di belakang wallpaper sticker ada garisan yang anda boleh jadikan panduan ketika memotong. Jadi tidaklah hasilnya senget-benget nanti.
3. Tampal Di Pintu Atas Dulu (Jika 2 pintu)
Tanggalkan pelekat wallpaper sticker yang teal dipotong ikut ikuran pintu peti ais anda. Lebihkan 3 inci di setiap bahagian tepi. Tekan di tengah dan tolak ke atas dan ke tepi untuk mengurangkan gelembung. Gunakan tuala untuk memudahkan kerja meratakan permukaan.
4. Potong Lebihan Dengan Pisau
Gunakan pisau lipat untuk memotong lebihan terutama di sudut lengkungan. Buat dengan kemas dan berhati-hati. Boleh kelimkan ke tepi atau buang saja lebihan yang tak diperlukan itu. Gunakan pisau untuk memotong dan kemaskan wallpaper sticker di bahagian pemegang peti ais.
Lakukan langkah yang sama untuk pintu di bahagian bawah. Projek DIY ini sememangnya akan banyak menguji kesabaran anda. Namun, hasilnya memang memuaskan hati.
Rupa-rupanya bukan peti ais saja boleh ditampal dengan wallpaper sticker ni. Ada macam-macam peralatan rumah yang boleh dicantikkan dengan wallpaper sticker yang pelbagai rekaan menarik dan cantik ni.
Ohsemkan Projek DIY Wallpaper Sticker Ini
Peti Ais Berbunga Rose
Hasil kreativiti: Puan Naida Ramli
Mesin Basuh Berbatu Coklat
Hasil kreativiti: Tuan Shah Ehsan
Locker Dan Tikar
Hasil kreativiti: Puan Salwa Sarif
“Demam wallpaper habis semua akak balut. Loker tu dah nak dibuang akka ambil balut buat tempat baju anak akak sekali pandang dah macam kotak hadiah. Join kelab ni (Kelab Kaki D.I.Y) banyak benda yang nak buang akak ambil balik. Contoh tikar tu dah nak letgo sekali nampak org letak wallpaper akak pun ape lg tampallah maka jadilah tikar bilik anak akak 1 set ngan loker. Modal RM10.”
Kabinet Dapur Berbunga
Hasil kreativiti: Puan Azita Azhar
Meja Makan Marmar
Hasil kreativiti: Cik Puan Maa Nyior Kulit Hidup
“Meja mini kami ni tak pernah beralas sejak beli 6 tahun yang dulu. Pagi ni bekpes atas MEJA MARMAR BARU. Guna wallpaper 1 gulung RM4.20 jer.”
via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ajal Wanita Sarat Mengandung 35 Minggu, Maut Dalam Perjalanan Ke Klinik Kesihatan

Ajal dan maut semuanya ketentuan tuhan.Berita kemalangan maut melibatkan empat buah kenderaan di Kampar,Teluk Intan pagi semalam, cukup menyayat hati.Tragisnya salah seorang mangsa kemalangan tersebut yang terkorban merupakan wanita yang sedang sarat mengandung dan hanya menunggu hari sahaja untuk melahirkan anak kelimanya.Malah dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan.
Ketika kejadian Allahyarham Faridah Md Nayen, 38, dalam perjalanan ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan bulanan kandungannya dengan menumpang kenderaan jirannya yang turut maut dalam kemalangan itu.Kemalangan tersebut berlaku di Kilometer 32 Jalan Langkap – Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat di Teluk Intan.
Redha Ketentuan Tuhan
Suaminya, Ahmad Ismail, 45, berkata, dia menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 11.30 pagi tadi daripada sepupunya yang memaklumkan hanya kemalangan kecil.
“Sebaik terima panggilan saya bergegas ke Hospital Teluk Intan, namun semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan.
Menurutnya, sebelum kejadian isterinya bersama tiga yang lain yang juga jiran sebelah rumah sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Tanjung Keramat menuju ke Klinik Kesihatan Desa Tanjung Keramat terletak kira-kira 1 kilometer.
“Saya reda dan terima kehendak tuhan ini… kami menunggu kelahiran anak kelima namun tuhan lebih menyayangi mereka dan anak itu turut meninggal dunia dalam perut kandungan,” katanya sayu.

Arwah Ibu Penyayang
Sementara itu, anak sulungnya, Mohd Firdaus Ahmad, 15, ternyata tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui susulan kehilangan insan tersayang.
“Ibu adalah seorang yang sangat penyayang, namun sentiasa tegas dalam pelajaran.
“Hasrat ibu adalah untuk melihat saya berjaya dalam pelajaran dan arwah sering menasihatkan saya supaya rajin belajar serta mahu saya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lama lagi.
“Saya ingin memenuhi hasrat arwah yang mahu saya memperoleh keputusan cemerlang itu,” katanya.
Dalam kejadian 10.30 pagi itu, kemalangan mengakibatkan tiga wanita maut iaitu suri rumah, Farah Ain Salim, 19; pesara Fuziyah Sarjuni, 62 dan Faridah Md Nayen, 38 yang sarat mengandung 35 minggu.
Kemalangan membabitkan sebuah lori, pacuan empat roda Ford Ranger, Suzuki Swift dan Proton Saga itu turut mengakibatkan anak kepada Farah Ain iaitu Nur Afrina Miqaila berusia lapan bulan cedera dan seorang lelaki berusia 43 tahun luka di hidung.
4 Kenderaan Terlibat
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 10.50 pagi membabitkan sebuah lori, pacuan empat roda jenis Ford Ranger, Suzuki Swift dan Proton Saga.
“Siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 36 tahun dan Suzuki Swift dinaiki tiga wanita dan seorang bayi perempuan yang kedua-dua kenderaan itu dari arah Langkap hendak menghala ke Kampar.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan dipercayai terlanggar belakang Suzuki Swift berkenaan yang hendak membelok ke kanan masuk ke simpang Klinik Desa Tanjung Keramat.
“Rempuhan itu menyebabkan kereta berkenaan berpusing beberapa kali sebelum terlanggar Ford Ranger yang datang dari arah bertentangan sebelum terperosok ke dalam parit,” katanya.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan terbabas dan terlanggar Proton Saga yang berada di belakang Ford Ranger sebelum terjatuh ke dalam parit di sebelah kanan jalan.
“Penumpang Suzuki Swift, wanita berusia 19 tahun tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandunya berusia 62 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 38 tahun meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.
Mohd Marzukhi berkata, lelaki berusia 43 tahun yang pemandu Ford Ranger tidak cedera, manakala penumpangnya yang juga seorang lelaki luka di hidung.
“Pemandu Proton Saga yang turut terbabit dalam kemalangan itu terselamat tetapi masih belum dikenal pasti identitinya.
“Pemandu lori berusia 36 tahun juga terselamat dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
MW: Salam takziah buat semua keluarga mangsa yang terlibat. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan serta redha dengan ketentuan ini. Ajal maut, ketentuan tuhan. Hargailah insan tersayang. Siapa sangka rutin biasa yang dilakukan setiap bulan, jadi asbab itulah pertemuan akhir dengan keluarga.Buat yang memandu terutama kenderaan besar, lebih berhati-hatilah di jalan raya, jangan akibat kecuaian ramai mangsa terkorban.
Sumber: Hmetro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tragedi 4 Beradik Maut Kebakaran, Ibu Baru 10 Minit Keluar Beli Kelengkapan Berbuka

Tragedi 4 Beradik Maut Kebakaran, Ibu Baru 10 Minit Keluar Beli Kelengkapan Berbuka. Sunggguh menyayat hati insiden kebakaran yang menyebabkan 4 beradik berusia 8 hingga 3 tahun maut petang semalam.
Hajat seorang ibu yang meninggalkan kesemua anaknya di kediaman demi keluar mencari kelengkapan berbuka puasa berakhir tragedi apabila keempat-empat beradik itu ditemukan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian 7.49 malam itu, mangsa, Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka.
Ibu Keluar Pergi Kedai
Menurut Raiz Mukhliz, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun terpaksa keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran, manakala bapanya yang berusia 30 tahun bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar, di sini.
“Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.
“Bagaimanapun, kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat ditemukan di dalam tandas dipercayai. Mereka (di situ) bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail, di sini, malam tadi.
Baru Keluar 10 Minit
Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar selama 10 minit mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi jiran.
“Kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak bomba. Mangsa sudah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Terdahulu, 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
Raiz Mukhliz, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang sudah merebak sehingga 70 peratus.
“Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Setelah api padam sepenuhnya, bomba bertindak membuat pencarian mangsa sebelum menemukan mayat dua kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya.
Mesti Baca:Tragedi Selepas Berbuka, 4 Beradik Berusia 3-8 Tahun Meninggal Dalam Kebakaran Di Rumah
Baca Lagi Di Sini:“Kita Dah Tak Ada Apa-Apa Harta Lagi Mak…”, Tangisan Anak Saksi Kereta Terbakar Cetus Simpati
Artikel Menarik:2 Beradik Rentung Dalam Kebakaran, Cuba Lari Keluar Namun Terperangkap Di Sebalik Pintu Jerigi
Mingguan Wanita:Allahuakabar, besar sungguh ujian buat mak ayah 4 beradik ini. Bukan mudah untuk reda dan menerima kehilangan kesemua anak tersayang. Semoga di beri kekuataan dan kesabaran tinggi dalam menghadapi musibah tragedi duka ini.
Sumber: Hmetro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pakar Kimia Jelaskan “Bahaya” Guna MONOSODIUM GLUTAMAT (MSG) Adalah MITOS

Selama ini mungkin ramai yang ragu-ragu untuk menggunakan Monosodium Glutamat (MSG) sebagai penambah perasa menyedapkan lagi rasa masakan. Ini kerana beranggapan ia boleh ‘membahayakan’ dan tak bagus untuk kesihatan. Rupanya tanggapan tersebut, merupakan satu mitos semata-mata.
Untuk faham lebih lanjut, baca penjelasan daripada CHM Dr Fatimah Salim, Pensyarah Kanan Kimia & Penyelidik UiTM ini.
MONOSODIUM GLUTAMAT (MSG) RACUN YANG SEDAP?
TIDAK Benar!
Saya telah beberapa kali menulis mengenai MSG. Bermula dengan penulisan santai hinggalah ke pengalaman saya sendiri melawat salah sebuah kilang pemprosesan MSG terkemuka di Kuala Lumpur.
Seiring dengan penambahan pengetahuan, kali ini saya kongsikan lagi secara terperinci segala (A-Z) yang anda perlu tahu mengenai MSG. Artikel ini sangat panjang, namun berbaloi baca kerana ianya merangkumi ilmu asas struktur kimia MSG, sejarah penemuannya, cara penghasilannya, pertukaran kimianya dalam badan (metabolisma), ulasan mengenai kesan buruk MSG, kesan sampingan yang bergantung kepada individu, akta peraturan makanan Malaysia dan dunia mengenai MSG, manfaat yang mampu diperolehi daripada MSG.
…Dan yang paling penting ialah MITOS dan momokkan selama berpuluh tahun tentang bahaya MSG yang mana secara KESIMPULANnya tidak disokong secara saintifik.
Apakah itu MSG?
MSG ialah acronym yang digunakan untuk menyatakan MonoSodium Glutamat. Ianya merupakan bahan kimia penambah perasa yang telah digunakan sejak 100 tahun yang lalu untuk memberikan rasa sedap dalam makanan. Dan dalam industri makanan komersial ianya dikenali dengan kod E penambah perasa makanan, E621.
Struktur kimia MSG terdiri daripada komponen glutamat (~78%) dan natrium (~12%) yang terikat secara ionik. Apabila dimakan, MSG akan larut dalam air liur membentuk ion natrium (Na+) dan glutamat (Glut-). Komponen glutamat akan bertindakbalas dengan reseptor umami pada lidah, dan otak kita mentafsirnya sebagai rasa sedap.
Ion natrium pula merupakan komponen kimia sama yang ada dalam garam (natrium klorida, NaCl). Disebabkan kehadiran ion natrium inilah MSG berasa sedikit masin, dan kesinambungan ini perlu untuk mencetuskan persepsi sedap.
Bagaimana MSG ditemui?
Komponen glutamat pertama kali ditemui pada tahun 1908 oleh ahli kimia Jepun iaitu Profesor Kikunae Ikeda semasa menghirup keenakkan sup (broth) yang dibuat daripada rumpai laut. Beliau kemudian menamakan rasa ‘enak’ ini sebagai ‘umami’ yang mana berasal dari perkataan Jepun ‘umai’ (うまい) yang bermaksud ‘sedap’ dan digabungkan dengan ‘mi’ (味) yang bermaksud ‘rasa’.
Beliau seterusnya mempelajari cara memencilkan (isolate) komponen MSG agar dapat digunakan sebagai penyedap pelbagai jenis makanan dengan cepat dan mudah. Contoh sama seperti proses penghasilan vitamin C yang kemudiannya dijadikan tablet ‘berdos’ sesuai untuk keperluan pengambilan kita tanpa perlu lagi mengambil buah oren yang banyak.
Bagaimana MSG dihasilkan?
Pada awalnya MSG diperoleh melalui proses pengekstrakan dan pemencilan. Namun proses ini sangat lambat dan kosnya mahal. Maka, MSG mula dihasilkan melalui proses penapaian oleh bakteria species Corynebacterium dengan bahan-bahan mentah semulajadi berkanji seperti ubi kayu, ubi kentang, tebu atau jagung. Proses ini adalah sama dengan yang digunakan untuk membuat tapai, kicap, cuka dan dadih.
Larutan kanji yang diekstrak daripada bahan mentah tadi ditukar kepada larutan glukosa melalui proses pencairan dan sakarifikasi di bawah pengaruh tindakbalas enzyme. Seterusnya bakteria menukarkan glukosa kepada asid glutamik melalui proses penapaian. Asid glutamik kemudiannya di neutralkan dengan menambah komponen natrium (NaCl) membentuk larutan MSG. Larutan MSG ini kemudiannya melalui proses penghabluran di mana ditukarkan kepada bentuk kristal (seperti yang kita lihat di dapur) dengan penyejatan air yang berlebihan melalui udara panas.
Apakah itu Umami?
Secara saintifik umami merupakan rasa asas kelima yang mampu dikesan oleh lidah kita selain daripada rasa manis, masam, masin dan pahit. Ia merujuk kepada persepsi pelbagai gambaran rasa sedap makanan seperti ‘rasa semacam daging’ (Bahasa Malaysia), ‘savoury’ (English), ‘xian wei’ (Bahasa Cina), ‘sabroso’ (Spanish), ‘gosto’ (Portuguese), ‘lezzetli’ (Turkish), ‘lecker’ (German).
Selain daripada yang dikomersialkan, Komponen MSG ini juga boleh didapati secara semulajadi dalam makanan harian kita yang berasa sedap. Namun hanya glutamat bebas (mempunyai cas) yang efektif dalam memberikan rasa umami dari makanan.
Selain daripada rumpai laut, glutamat bebas juga terkandung secara semulajadi dalam makanan harian kita termasuk tomato, anggur, keju, cendawan, kicap, ubi kentang, ubi kayu, broccoli, kacang pea, kacang badam, daging ayam, ikan, udang, ketam, daging, budu, cencalok, belacan, besou… malahan dalam susu ibu juga (sebab itu bayi mendapati susu ibu ini sedap disamping pelbagai rasa lain yang dipengaruhi oleh diet pemakanan si ibu). Maka pendek kata glutamat ini terdapat dalam semua makanan yang kita rasa sedap. Maka tidak ada istilah #noMSG
Sebenarnya komponen glutamat merupakan bahan kimia semulajadi dari alpha-amino asid yang digunakan oleh hampir kesemua benda hidup dalam protein sintesis. Ianya terikat bersama asid amino yang lain membentuk struktur kimia protein dalam badan. Ianya dikenali sebagai zat tidak perlu dari sumber luar kerana badan kita mampu menghasilkannya dengan banyak secara semulajadi. Peranan utamanya dalam badan adalah sebagai penguja pengutus saraf (excitatory neurotransmitter) utama dalam badan. Komponen glutamat dan reseptornya banyak ditemui pada sistem saraf dan sistem penghadaman kita.
Bagaimana Proses Kimia MSG dalam badan?
Bergantung kepada jumlah pengambilan dalam diet, kajian menunjukkan proses metabolisma (pertukaran kimia) glutamat berlaku di dalam usus di mana kebanyakkannya ditukarkan kepada gas karbon dioksida, digunakan dalam penghasilan ATP (sumber tenaga) atau ditukarkan kepada asid amino lain iaitu arginine, citrulline, alanine, ornithine, dan proline sebelum diserap oleh badan lalu dimanfaatkan dalam pelbagai proses kimia badan.
Komponen natrium pula berfungsi menyeimbang bendalir dalam dan luar sel, juga dikumuhkan daripada badan melalui peluh, air kencing dan juga najis.
Adakah MSG bahaya?
TIDAK. Kebanyakkan dapatan kajian kesan dilakukan terhadap tikus tidak dapat membuktikan sepenuhnya keburukan MSG kerana sistem metabolismanya yang berlainan dengan sistem badan manusia dan juga cara pemberian MSG yang kurang kebersandaran dalam konsumsi manusia. Ini bermaksud kita tidak makan atau suntik MSG begitu sahaja dalam dos yang tinggi, namun diambil dalam makanan.
Dan justifikasi ini dikukuhkan lagi dengan proses kimia MSG yang berlaku di dalam usus dan ditukarkan kepada amino asid lain (bukan dalam struktur kimia MSG itu sendiri) sebelum diserap badan dan bertindakbalas.
Bagaimana pula dengan kesan sampingan MSG yang telah dilaporkan?
Kesan sampingan pertama oleh MSG dilaporkan pada tahun 1968 yang dikenali sebagai Chinese restaurant syndrome (CRS). Ianya dipanggil sebegitu kerana gejala seperti kebas di bahagian tangan dan belakang leher, dan kadar denyutan jantung meningkat dilaporkan setelah memakan masakan Cina. Pun begitu, punca gejala tersebut akhirnya tidak dapat dikaitkan dengan MSG kerana gejala sama juga berkaitan dengan pengambilan natrium, potassium, alkohol dan histamin yang banyak digunakan dalam masakan Cina.
Pengambilan MSG juga dikaitkan dengan SAKIT KEPALA, sakit dada, kebas otot, masalah kulit. Keadaan ini disebabkan oleh sensitiviti individu (alergi) terhadap MSG terutamanya mereka yang mempunyai kelainan genetik mungkin yang berkaitan dengan masalah penghadaman.
MSG juga dikaitkan dengan peningkatan selera makan. Ini sememangnya betul. Sebab makanan sedap, haruslah menambah. Di sini perlunya akal untuk mengawal nafsu dan selera.
Dan tidak dinafikan kesan buruk MSG yang dirasai oleh sesetengah individu adalah disebabkan oleh kesan ‘placebo’ iaitu peranan bahan kimia dalaman badan yang bertindak bersama apa yang kita fikirkan dan harapkan. Kalau orang Sabah bilang, “dari ko saja tu”. Orang putih cakap “you are what you think”.
Masih lagi ragu-ragu dengan MSG?
Mari lihat antara penilaian keselamatan MSG oleh badan-badan bertangungjawab antarabangsa ini:
- Di Malaysia, Akta dan Peraturan Makanan 1985, mengkategorikan MSG sebagai penambah perisa makanan yang dibenarkan, sebaris dengan garam dan lada sulah.
- Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) turut mengklasifikasi MSG di bawah kategori Secara Umumnya Diiktiraf Selamat (GRAS).
- Jawatankuasa Pakar Bersama Memgenai Aditif Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (JECFA), satu badan penasihat saintifik kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) dan Jawatankuasa Saintifik Komuniti Eropah untuk Makanan: menklasifikasikan MSG sebagai selamat untuk digunakan dan pengambilan harian yang boleh diterima (ADI) adalah tidak ditetapkan.
- Majlis Pertubuhan Perubatan Amerika Syarikat Mengenai Hal-ehwal Saintifik mengklasifikasikan MSG adalah selamat untuk digunakan.
MITOS Mengenai MSG:
Adakah MSG menyebabkan keguguran rambut?
- Tidak. Tiada bukti saintifik yang menyokong kenyataan ini. Pakar menyatakan keguguran rambut kebanyakkannya diakibatkan oleh faktor genetik, tekanan, perubahan hormon, kecacatan struktur rambut, pengambilan ubat-ubatan dan rawatan kemoterapi.
Adakah MSG mengakibatkan dahaga?
- Tidak ada bukti saintifik yang membuktikan kenyataan ini. Kehausan ialah tindakbalas badan yang berlaku disebabkan oleh kehilangan banyak bendalir dari badan atau pengambilan natrium ion (Na+) yang berlebihan. Benar MSG mengandungi komponen natrium ion ini tetapi jumlahnya jauh lagi sedikit iaitu 12% jika dibandingkan dengan 40% dalam garam. Maka pengambilan garam (NaCl) yang berlebihan adalah penyebab kehausan dan bukan MSG.
Adakah MSG menyebabkan tekanan darah tinggi?
- Tidak terbukti secara saintifik yang boleh disandarkan kepada kenyataan ini. Seperti juga isu ‘kehausan’, natrium ion dalam garam adalah penyumbang lebih besar kepada tekanan darah tinggi dan bukan MSG.
Adakah MSG menyebabkan kanser?
- Tidak. Tiada kajian saintifik yang menyokong kenyataan ini dan MSG tidak bersifat kasinogen (bahan pengaktif sel kanser).
Adakah LEBIH MSG, makanan menjadi lebih lazat?
- TIDAK. Hanya sejumlah kecil MSG diperlukan bagi mencapai rasa optimum. Pengunaan MSG secara berlebihan adalah membazir, malahan menjejaskan rasa ‘sedap’ yang patut dihasilkan. Ini kerana deria rasa umami akan menjadi tepu menyebabkan natrium (daripada garam) lebih dirasai yang mana punca kepada rasa ‘haus’ yang melampau.
- Pengunaan MSG dalam masakan yang manis (seperti kuah kacang) dan pahit (seperti peria) juga tiada fungsi penyedap kerana dominasi rasa. Maka tiada keperluan untuk menambahkan MSG dalam masakan sebegini.
Apakah kebaikan pengambilan MSG dalam makanan?
Selain daripada melazatkan makanan, ianya juga meningkatkan selera makan seterusnya menggalakkan pengambilan nutrisi terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan juga warga emas.
Kajian menunjukkan kesan tindakbalas kerjasama (umami sinergi) antara MSG dengan dua lagi struktur kimia protein iaitu necleotides inosinate (IMP) dan guanylate (GMP) yang terdapat dalam makanan berprotein seperti ikan. IMP dan GMP tidak mampu memberikan rasa umami dengan sendiri, namun dengan menambahkan MSG, rasa umami akan meningkat 15 kali ganda.
Memerap makanan berprotein yang mengandungi IMP dan GMP dengan MSG juga mampu mengekalkan rasa sedap makanan untuk jangka masa yang lebih lama. Sebab itu, makanan yang diperap dengan bahan yang mengandungi MSG berasa sangat sedap!
Pengambilan MSG juga akan mengurangkan pengunaan garam sebanyak 30% dan mengelakkan pengunaan gula dalam memberi keseimbangan rasa kepada makanan.
Kajian terkini juga membuktikan pengambilan MSG juga mungkin membaiki penghadaman makanan berprotein dalam perut oleh kerana terdapatnya banyak reseptor glutamat dalam perut.
Namun, berpada-pada juga dalam pengambilan MSG ini untuk mendapatkan kelazatan optimum, mendapat sistem penghadaman yang baik dan yang paling PENTING ialah tidak mengganggu keseimbangan bahan kimia dalaman badan.
Ingat, segala yang BERLEBIHAN itu berpotensi menjadi MUDARAT. Kenali badan anda, jika ada alahan dengan MSG, maka elakkan. Anda sebenarnya unik dari segi genetik.
Sememangnya keburukan mengenai MSG ini telah menjadi mitos yang sukar dibetulkan dalam minda masyarakat. Tulisan ini bukan bertujuan untuk mengalakkan pengambilan MSG, namun lebih bertujuan membetulkan persepsi dan menyampaikan ilmu yang tepat. Pakat-pakatlah sebarkan, betulkan tanggapan buruk terhadap MSG!
Semoga bermanfaat
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
Rujukan:
1) Kazmi, Z., Fatima, I., Perveen, S., Malik, S.S., 2017. Monosodium glutamate: Review on clinical reports. International Journal of Food Properties 20 (2), 1807-1815.
2) Ghirri, A., Bignetti, E., 2012. Occurance and role of umami molecules in foods. International Journal of Food Sciences and Nutrition.
Mari ikuti group FB Makmal Makanan (MaMa) untuk mendapatkan pelbagai ilmu sains berkenaan Makanan dan Pemakanan agar minda kita lebih bebas daripada mitos sebegini.
Baca Lagi Di Sini:
Kiub Perencah Homemade Guna 6 Bahan, Nak Buat Pun Senang!
Cara BETUL Guna Baja Air Ajinamoto, Siram Dekat Tanah Bukan Pokok Sekali Seminggu!
MW: Semoga perkongsian daripada Pakar Kimia ini bermanfaat. Rupanya “bahaya” guna MONOSODIUM GLUTAMAT (MSG) selama ini adalah satu MITOS.Jadi jangan ragu-ragu guna MSG dalam masakan. Apa yang penting berpada-padalah dalam penggunaannya.
Sumber: Dr Fatimah Salim
JOM SERTAI GRUP TELEGRAM BANGKIT WANITA MW
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirasi dan lain-lain.
Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik, kursus-kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini.Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI
Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 12 Jun dan 26 Jun 2021. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti. ( https://toko.ideaktiv.com/product/jom-pandai-bakeri-buat-duit-jual-kek-dan-roti/ )
JOM JAHIT BAJU KURUNG. BUAT DUIT JAHIT DI RUMAH
Orang kata kalau pandai jahit baju kurung, maka nak jahit pelbagai jenis baju lain akan jadi lebih mudah. Kursus dijalankan dalam dua pilihan tarikh iaitu 12 Jun dan 26 Jun 2021 ( https://toko.ideaktiv.com/product/jom-jahit-baju-kurung-buat-duit-jahit-di-rumah/ )
Mingguan Wanita juga boleh diikuti di
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Telegram: https://t.me/bangkitwanitaMW
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!