Walau sudah lebih dua dekad mewarnai dunia seni, nama Fasha Sandha masih kukuh berdiri. Namun bagi aktres ini, populariti bukanlah sesuatu yang wajib diraikan setiap masa.
Malah, Fasha akui tidak kisah langsung jika ada yang tidak mengenalinya walaupun beliau sudah 22 tahun menjadi wajah kesayangan di kaca televisyen.
“Bukan semua orang kenal saya. Dan saya pun tak kisah.”
Begitulah tenangnya pengakuan Nur Fasha Sandha Hassan, 41, yang kini tampil lebih bersahaja dan tertutup dengan penampilan berhijab.
Menurut Fasha, penampilan terkininya yang bertudung dan tidak bersolek tebal membuatkan ramai tidak ‘cam’ siapa dirinya apabila terserempak di luar.
“Saya memang tak bersolek kalau bukan waktu bekerja. Jadi, tak pelik pun kalau orang tak kenal saya. Kita tak boleh anggap semua rakyat Malaysia tonton drama. Ada yang lebih suka program agama atau dokumentari, jadi kalau tak dikenali tu, bukan satu isu.”
Pelakon drama popular Rampas Cintaku ini juga berkongsi bahawa sejak dari dahulu, dirinya tidak pernah mengangkat status sebagai selebriti ke mana-mana.
“Saya tetap pandu kereta sendiri, saya ke pasar macam biasa. Kalau tak kerja, saya memang jadi diri sendiri.”
Sikap down to earth ini nyata menjadi kunci kepada kesederhanaan hidup Fasha, walau namanya pernah menjulang tinggi di puncak glamor.
Makcik Nak Jodohkan Cucu Dengan Fasha?
Baru-baru ini, satu momen mencuit hati telah tular di media sosial apabila seorang wanita warga emas tidak mengenali Fasha, malah dengan selamba cuba menjodohkannya dengan anak lelakinya!
“Waktu tu saya tengah buat content untuk kedai sepupu saya. Tiba-tiba mak cik tu datang dan kata dia nak kenalkan saya dengan anak dia! Saya pun tergelak je lah.”
Lucunya, insiden itu membuat anak lelaki wanita tersebut menghubungi Fasha melalui DM Instagram untuk memohon maaf kerana ibunya tidak mengenalinya.
Ads
“Saya anggap ia momen kelakar dan spontan. Tak ambil hati pun. Saya suka tengok orang happy.”
Buka Bisnes Untuk Masa Depan
Dalam perkembangan terkini, Fasha dan suami tersayang, pelakon Aidil Aziz, kini mula melebarkan sayap dalam dunia perniagaan F&B dengan membuka cawangan ke-208 Kopi Saigon di pusat beli-belah MyTown Cheras.
“Kami laburkan sekitar RM200,000 dari wang simpanan sendiri. Ia satu langkah besar untuk masa depan kami sekeluarga.”
Ads
Kata Fasha lagi, perniagaan ini adalah satu bentuk perancangan jangka panjang yang mereka usahakan bersama, demi kestabilan dan kelangsungan hidup selepas zaman glamor berlalu pergi.
Di sebalik nama gah dan pencapaian besar, Fasha kekal tenang melayari kehidupannya dengan penuh kesederhanaan. Tiada keluh-kesah jika tidak dikenali di khalayak. Tiada rasa tergugat bila tidak dihujani pujian.
Kerana bagi Fasha, menjadi manusia yang baik itu jauh lebih penting dari menjadi selebriti yang dikenali.
“Saya bukan kejar populariti. Saya cuma nak hidup tenang, bahagia dan beri manfaat pada orang.”
Dan itulah yang menjadikan Fasha Sandha, seorang wanita, ibu, isteri dan usahawan yang bukan sekadar dikenali, tetapi dihormati.
Remaja dirempuh kereta dipandu Polis hingga maut, “Anak yang saya sayang hilang sekelip mata.” Detik cemas yang dilalui seorang ibu apabila melihat sendiri anaknya dalam keadaan sawan selepas terlibat dalam kemalangan maut, masih segar dalam ingatan. Lebih memilukan, ibu itu sendiri merupakan jururawat yang bertugas pada malam kejadian.
Norliza Mohd Salleh, 44, berkata insiden itu berlaku pada 28 Julai lalu ketika dia baru sahaja memulakan syif malam di Hospital Yan. Menurutnya, dia sudah berada di Jabatan Kecemasan ketika kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba membawa mangsa.
“Saya tunggu di kecemasan dan apabila kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sampai, sebaik buka pintu, luluh hati saya lihat anak dalam keadaan tidak sedar,” katanya sebak.
Tambah Norliza, walaupun tiada kesan luka luaran pada tubuh anaknya, namun hasil pemeriksaan doktor menunjukkan kecederaan serius di bahagian kepala.
“Memang terlalu sedih…anak yang saya sayang hilang sekelip mata,” luahnya.
Anaknya, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, telah terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat pekan Guar Chempedak bersama sebuah kereta yang dipandu oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.
Siasatan awal melalui rakaman CCTV menunjukkan kenderaan yang dipandu anggota terbabit dari arah Jenun ke Yan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah, lalu merempuh motosikal ditunggang Muhammad Nur Iman yang datang dari arah Alor Setar ke Gurun.
Akibat daripada perlanggaran itu, remaja berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum disahkan meninggal dunia tiga hari kemudian.
Norliza ditemui media di pekarangan Mahkamah Majistret Gurun, Rabu lalu ketika hadir untuk mengikuti prosiding kes pertuduhan terhadap anggota polis terlibat, Koperal Azhar Mat Saini, 52, yang didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian anaknya.
Dalam pada itu, Norliza turut menyatakan bahawa dia tidak sanggup untuk melihat rakaman CCTV yang kini tular dan merakam detik kemalangan membabitkan anaknya.
Sementara itu, suaminya Mohd Roshidi Alias, 44, memaklumkan bahawa mereka sedang merancang untuk melantik peguam pemerhati bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“Kami akan ikut setiap perkembangan kes ini malah kami rancang lantik peguam. Saya anggap ini (pertuduhan di mahkamah) adalah permulaan bagi keadilan buat anak saya,” katanya.
Kronologi kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang meruntun jiwa. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
MEREKA DITUDUH BERSAMA-SAMA MEMBUNUH MOHAMAD NAZMIE AIZZAT, 17, DI BILIK ASRAMA KOLEJ BERKENAAN PADA JAM 9 MALAM 21 MAC HINGGA 7.38 PAGI 22 MAC TAHUN LALU.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Berikut kronologi dan fakta kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat:
23 Mac 2024 – 13 remaja lelaki ditahan reman selama enam hari sebelum disambung sehingga 4 April.
2 April 2024 – 13 remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan membunuh (tiada pengakuan direkodkan)
13 Jun 2024 – Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan ikat jamin bagi tujuh tertuduh kerana tiada alasan istimewa dikemukakan, selain permohonan bersifat pramatang dan kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
16 Mei 2024 – Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia dan bedah siasat.
25 Julai 2024 – Prosiding sebutan semula kes dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
13 Ogos 2024 – Semua 13 tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah tetapkan 10 hari perbicaraan.
19 November 2024 – Hari pertama prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam ucapan pembukaannya menegaskan pihaknya akan membuktikan semua 13 tertuduh terbabit memukul sehingga membawa kepada kematian mangsa.
19 November 2024 – Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol melawat lokasi kejadian di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu.
20 November 2024 – Perbicaraan hari kedua ditangguhkan susulan bantahan daripada peguam berhubung isu lantikan peguam. Tarikh baharu ditetapkan 26 November 2024.
26 November 2024 – Keterangan saksi-saksi pendakwaan. Warden asrama, Nuhrullah Aminuddin, dalam keterangannya memaklumkan Allahyarham ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri semasa kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 22 Mac. Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan kepada mangsa.
27 November 2024 – Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu, Mohammad Zul Amree Hamzah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia antara satu hingga dua jam sebelum pasukan perubatan tiba mengesahkan kematian jam 7.38 pagi 22 Mac.
27 November 2024 – Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul. Sebanyak 107 kesan kecederaan pada hampir keseluruhan tubuh (boleh diselamatkan jika segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan)
27 November 2024 – Siti Hamidah Jumari, 45, ibu kepada Allahyarham menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya. Hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar (gambar nombor 12) kerana sukar mengawal perasaan sedih.
27 November 2024 – Hakim Datuk Duncan Sikodol mengeluarkan amaran kepada keluarga tertuduh di mahkamah supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
28 November 2024 – Saksi dakwa nampak mangsa dipukul empat tertuduh di Bilik 7 Resak kira-kira jam 9 malam pada 21 Mac, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terbabit dan takut dipukul.
29 November 2024 – Saksi mendakwa perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca mangsa dipukul walaupun menafikan melakukan perbuatan itu.
2 Disember 2024 – Saksi pendakwaan ke-12 (PW12) mendakwa melihat 10 tertuduh ‘mengerumuni’ mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan.
4 Disember 2024 Mohamad Nazmie Aizzat tidak bangun ketika dikejutkan untuk bersahur kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac selepas dipukul dalam bilik Asrama 5 Belian, pada malam sebelumnya.
5 Disember 2024 – Saksi pendakwaan PW19, memberitahu mahkamah Mohamad Nazmie Aizzat mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula, menyebabkan dia dipukul pada malam 21 Mac 2024.
5 Disember 2024 Peguam dakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
6 Disember 2024 Pegawai forensik PDRM menemukan kesan darah pada lantai dan tilam bilik asrama 7 Resak, 5 Belian dan 7 Belian di kolej berkenaan yang dipasang tali kuning ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian, kira-kira jam 10 pagi pada 24 Mac.
9 Disember 2024 – Pendakwaan menutup kes selepas panggil 25 saksi.
28 Februari 2025 Mahkamah perintah 13 tertuduh bela diri. Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap semua 13 remaja.
10 Mac 2025 – Kes pembelaan bermula dengan keterangan semua tertuduh diberikan secara bersumpah dari kandang saksi. Dua tertuduh mendakwa mereka dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.
12 Mac 2025 – Tertuduh pertama mendakwa hanya menolak dan menepis bahu mangsa.
13 Mac 2025 – Tertuduh keenam mengaku memukul dan menendang mangsa kerana kecewa.
14 Mac 2025 – Tertuduh kelapan mendakwa tidak nampak mangsa dibelasah beramai-ramai.
15 Mac 2025 – Tertuduh kesembilan mendakwa dihasut untuk memukul mangsa. Prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk semua tertuduh, selesai memberi keterangan.
29 April 2025 – Pendakwaan memfailkan hujahan bertulis.
6 Mei 2025 – Pembelaan mengemukakan hujahan balas.
11 Jun 2025 – Keputusan kes yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguh ke tarikh lain sebanyak tiga.
22 Ogos 2025 – Mahkmah dapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
28 Ogos 2025- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Di balik wajah yang tenang, tersimpan lautan luka. Namun, itulah yang dipamerkan oleh Noraidah Lamat, 45, tatkala hadir ke Mahkamah Koroner Kota Kinabalu demi mengikuti prosiding inkues kematian anak tunggalnya, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Tiba seawal jam 8.50 pagi, ditemani wakil NGO dan barisan peguam, Noraidah melangkah dengan penuh wibawa. Tiada air mata yang ditonjolkan, sebaliknya hanya senyuman halus, seolah-olah memberi isyarat bahawa seorang ibu boleh berdiri gagah walau hatinya retak seribu.
Sebelum melangkah masuk, beliau sempat menjawab salam wartawan yang setia menunggu sejak awal pagi. Senyumannya menjadi saksi bahawa seorang ibu mampu menyembunyikan kepedihan, kerana di hadapan umum yang mahu dilihat adalah semangat juang, bukan kesugulan.
Selesai prosiding, Noraidah terus kekal tenang meskipun suasana luar mahkamah riuh dengan sidang media yang dikendalikan wakil peguam keluarga, Shahlan Jufri.
“Ibu Zara bersemangat… memang inilah hari-hari yang dinantikan. Sejak awal lagi, keluarga Zara mahu inkues ini diteruskan.
Apabila permohonan penangguhan tidak dibenarkan, saya percaya ibu Zara gembira untuk meneruskan prosiding,” jelas Shahlan dengan penuh yakin.
Ketenangan Noraidah bukan sekadar sikap, tetapi cerminan tekad keluarga untuk melihat kebenaran terbela. Baginya, perjuangan ini bukan hanya untuk Zara, tetapi juga untuk semua ibu yang mendambakan keadilan buat anak mereka.
Inkues berkenaan akan berlangsung sepanjang 3 hingga 30 September, dengan beberapa tarikh yang telah ditetapkan oleh Koroner Azreena Aziz. Dan di setiap detik prosiding itu, sudah pasti doa seorang ibu akan terus mengiringi perjalanan mencari jawapan yang tertangguh.
Kisah Noraidah mengingatkan kita bahawa cinta seorang ibu tidak pernah mati walaupun jasad anak telah tiada. Ia menjelma dalam bentuk kekuatan, ketabahan dan doa yang tidak putus.
Di saat ramai mungkin rebah dalam kesedihan, beliau memilih untuk berdiri. Kerana bagi seorang ibu, air mata tidak seharusnya membanjiri jalan, sebaliknya semangatlah yang harus menjadi pelita.